ADAhttp://waris-gadong.blogspot.com/2012/04/adat-perpatih-di-rembau-dan-naning-ada.htmlT
PERPATIH DI REMBAU DAN NANING: ADA APA-APA PERBEZAAN? Allahyarham
TS Abd. Samad Idris (kanan), mantan menteri dalam kabinet Persekutuan,
juga pengarang buku tentang Adat perpatih yang gigih. Beberapa tokoh pengarang
yang saling beliau hubungi ketika hayatnya ialah Allahyarham Dharmawijaya,
Dharmala NS dan Norhalim Ibrahim. Menurut terombo di Negeri Sembilan, Datuk
Perpatih Pinang Sebatang ini telah diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar
Ruyung pergi ke tanah seberang (Semenanjung Malaysia) untuk menjaga kepentingan
orang Minangkabau yang telah lama bermastautin di sana. Hari ini kawasan itu
meliputi Negeri Sembilan, Alor Gajah, Segamat dan Kelang. Bagaimanapun,
kedatangan datuk adat ini diceritakan dalam pelbagai versi. Dua yang paling
terkenal ialah apa yang disebut Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi
Naning. Akhir-akhir ini penulis buku Negeri Yang Sembilan (1995), Norhalim
Haji. Ibrahim telah memperkenalkan Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi
Batu Hampar. Kesemua versi ini cuba menegakkan keberanan masing-masing.
Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih terasa. Kata seorang Datuk
Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang tak tahu versi yang mana
yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau Rembau. Dan siapa tahu tidak
lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu, Johor, Tampin dan Sungai
Ujong. Semua akan mengaku versinya lebih tepat dan betul.” Anggapan versi mana
yang lebih tepat dan betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme
datuk peneroka adat itu sendiri. Secara psikologis kelompok masyarakat yang
mendakwa mereka dari keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status
sosialnya lebih tinggi berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi
pengikut. Sesetengah kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh kerana
“kehebatan tokoh inilah, maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk
ini dengan pembukaannya.” Terombo versi Kuala Pilah setakat ini lebih tertonjol
berbanding versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada versi yang dapat
menyanggah kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap versi terkuat.
Lagi pula yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang bukan
“calang-calang”, antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui buku
Payung Terkembang (1990) dan pengarang Dharmala N.S.. Terombo versi Naning
adalah pencabar terdekatnya. Menurut terombo versi Kuala Pilah yang dicatat Abu
Cit Mat Serum, rombongan pertama orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan di
bawah pimpinan Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Rombongan meninggalkan Pagar
Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Muar. Dari Muar,
rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan terus ke Johor (Lama?).
Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan terus ke Hulu Muar ke satu
tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa ketika rombongan meneruskan
perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan akhirnya Pilah. Rombongan
akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah. Ketua rombongan Datuk Perpatih mula
menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang akhirnya dinamakan Adat Perpatih.
Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang berdekatan yang didiami orang asli,
antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk Perpatih kemudian bertolak ke Naning
tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua penduduk orang asli di sana. Dalam
perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu.
Menurut ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah, pengikut-pengikutnya terus
meneroka negeri. Maksudnya mereka menetap di tempat-tempat yang dilalui dan
berkahwin dengan penduduk-penduduk asli tempatan. Pada tahun 1372, dan setelah
berada selama 20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu
perhimpunan besar di Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam
perhimpunan itu Datuk Perpatih melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga
untuk semua kawasan yang telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan
setelelah pelantikan itu Datuk Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?).
Penduduk-penduduk di kaki gunung itu mendakwa nama Gunung Datuk itu adalah
mengambil sempena nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih
terkenal berbanding nama rasminya Gunung Rembau. Terombo versi Naning pula
membawa sedikit kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba, menulis Datuk Perpatih
Pinang Sebatang meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar lalu ke Siak. Dari Siak
rombongan belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu. Rombongan kemudian menyeberang
Selat Melaka ke muara Sungai Linggi. Dari muara ini mereka mudik ke hulu sungai
hingga ke Paya Dalam dan meneruskan perjalanan ke Bukit Penyaling lalu membuat
kampung. Datuk Perpatih berkahwin dengan anak Datuk batin, ketua orang Jakun di
kawasan itu, sementara pengikut-pengikut Datuk itu berkahwin dengan anak-anak
buah Datuk Batin. Tidak lama kemudian Datuk Perpatih menamakan tempat itu
Naning dan beliau dilantik menjadi Penghulu Naning yang pertama bergelar Datuk
Naning. Datuk Naning pertama mewujudkan Suku Semelenggang dan keturunan Datuk
Naning dari suku ini menjadi pewaris jawatan Datuk Naning hingga ke hari ini.
Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih Pinang Sebatang) meninggal dunia dan
dimakamkan di pinggir jalan yang menghala ke Lubok Kepong. Terombo versi Naning
mendakwa Datuk Perpatih Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka” dan
memperkenalkan Adat Perpatih di Segamat, Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai
Ujong, Jelebu, Kelang, Hulu Pahang, Jempul dan Serting. Semua daerah ini
diteroka oleh kumpulan orang Minangkabau yang datang kemudian. Kumpulan inilah
yang memperkenalkan adat ini setelah mendapat restu dari Datuk Perpatih di
Naning. Maka jelas melalui kedua-dua versi ini terlihat percanggahan dalam
penglibatan Datuk Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning. Dari sudut geografi,
versi Naning lebih mudah difahami dan lebih diterima akal. Secara alamiah,
kawasan pantai barat Semenanjung akan menjadi kawasan pertama yang akan didiami
oleh penghijrah dari Sumatera. Dalam hal ini kemungkinan amat besar bahawa
rombongan Datuk Perpatih akan meneroka daerah di sepanjang pantai. Rombongan
berikutnya akan “terpaksa” mudik dari muara sungai ke hulu atau mengikut jalan
darat ke daerah pedalaman. Jika dikaji kedudukan daerah-daerah yang disebutkan
itu, Naning merupakan kawasan yang paling dekat dengan pantai. Jaraknya tidak
melebihi 40 km berbanding Kuala Pilah atau Jelebu yang jauhnya ratusan
kilometer di pedalaman, hatta Sungai Ujong sekalipun. Hanya Rembau yang
bersamaan jarak dengan Naning. Juga sedikit aneh dan tidak ada sebab, mengapa
rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan beratus-ratus kilometer ke daerah
pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu untuk menjaga kepentingan orang
Minangkabau. Sedangkan secara geografisnya kebanyakan orang Minangkabau telah
terlebih dahulu bermastautin di kawasan-kawasan pantai Selat Melaka.
Pemastautin di Kuala Pilah tentunya merupakan pendatang-pendatang terkemudian.
Lain lagi ceritanya dengan Terombo versi Rembau (Batu Hampar) yang
diperkenalkan Norhalim. Menurut Norhalim, yang memetik beberapa hasil kajian
orang Portugis dan Belanda, adat Perpatih yang hampir sama dengan adat di
Minangkabau diperkenalkan oleh seorang “wakil” Raja Minangkabau. Wakil raja itu
bernama Datuk Leteh dan diperintahkan pergi ke Rembau pada tahun 1490an Raja
untuk memimpin masyarakat Minangkabau yang menetap di daerah-daerah di sekitar
pantai dan kawasan yang hari ini disebut Rembau. Datuk Leteh berasal dari Batu
Hampar, Mendiling dan bersukukan Caniago. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada
penduduk-penduduk dari suku Batu Hampar sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan
Agam. Mereka sampai di muara sungai yang hari ini disebut Kuala Sungai Linggi lalu
mudik ke Lubok China (wilayah Naning sekarang Alor Gajah). Dari Lubok China
Datuk Leteh mudik ke hulu hingga ke Relong dan bertemu dengan ketua orang Asli,
Datuk Batin Skudai. Datuk Leteh meminta izin dengan datuk batin untuk menetap
di Relong. Kawasan itu hari ini dinamakan Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula
menyusun dan mengatur system masyarakat orang Minangkabau sehampir mungkin
dengan system adat di tanah asalnya. Sistem ini diterima baik oleh penduduk
orang asli pimpinan Datuk Batin Skudai kerana kebersamaan dengan adat orang
asli yang matrilineal. Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama Datuk Batin Skudai
meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada, Chengkau. Datuk Batin
Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap di Seliau, Rantau dan
meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk Bungkal, dalam jagaan Datuk
Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat Datuk Leteh. Ada
kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan anak Datuk Batin
Skudai anak angkatnya. Pada tahun 1502, Datuk Leteh sekali lagi pindah, kali
ini ke Kampung Kota Lama (sebelumnya dinamakan Kampung Gembira yang dibuka oleh
Datuk Batin Pak Nilu dari Sungai Ujong, kawasan Rahang, Seremban sekarang). Di
kampung itu pertemuan diadakan dengan Datuk Lela Balang, juga dari Batu Hampar
yang telah menetap di Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk membahagikan wilayah
kuasa di Kota Lama itu kepada dua, satu ditadbirkan Datuk Leteh dan satu lagi
Datuk Lela Balang. Berdasarkan permuafakatan itu Datuk Leteh mendapat wilayah
“kiri mudik” Sungai Rembau, sementara Datuk Lela Balang wilayah “kanan mudik.”
Datuk Leteh menamakan wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh kerana
banyaknya pokok perah (elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang
dikahwinkan dengan Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan
Undang Rembau hari ini. Walaupun terombo versi Rembau ini tidak menyebut
langsung nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang tetapi perintah yang diberikan
kepadanya oleh Raja Minangkabau dan tindakannya memperkenal sistem adat
Minangkabau adalah sama seperti yang ditulis dalam versi Kuala Pilah dan
Naning. Cuma perbezaannya terletak pada nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk
Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk Leteh. Di kalangan penduduk Rembau ada yang
menganggap Datuk Leteh dan Datuk Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama orang
yang sama. Anggapan ini diasaskan kepada beberapa pertimbangan. Pertama
berlakunya peristiwa perhimpunan besar di Gunung Datuk untuk melantik undang
dan lembaga oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Gunung ini terletak di Rembau.
Di kaki gunung terletak Kampung Perah dan Kampung Kota Lama yang pula
bersempadankan Naning. Sedangkan Kuala Pilah berada jauh di sebalik gunung.
Bayangkan Datuk Perpatih terpaksa mendaki Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum
mendaki Gunung Datuk. Andainya Datuk Perpatih Pinang Sebatang mahu melantik
undang dan lembaga, apakah perlu beliau naik gunung turun gunung yang mungkin
memakan masa beberapa hari, malah minggu untuk sampai ke puncak Gunung Datuk.
Manakala Datuk Leteh yang tinggal di kaki gunung tersebut hanya memerlukan
kira-kira tiga atau empat jam untuk sampai ke puncak. Kedua, titah perintah
raja Minangkabau kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja
Minangkabau kepada Datuk Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan
dua orang pembesarnya untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di
kawasan yang sama di seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar
ke seberang melalui pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk
Perpatih menuju muara Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh
menuju muara Sungai Linggi (versi Rembau). Dalam hal ini ada persamaan antara
versi Naning dengan Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut orang besar raja ini
belayar dari Siak menuju muara Sungai Linggi. Jika versi Kuala Pilah diambil
kira maka sudah tentu ada kesan-kesan peninggalan Minangkabau di Muar seperti
halnya di Kuala Linggi. Setidak-tidaknya adan proses penyemendaan antara orang
Minang dengan penduduk tempatan. Ketiga dan dianggap lebih penting ialah kisah
penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga versi. Teromba versi Kuala Pilah
memperlihatkan satu perjalan yang kompleks (sungai dan daratan) sebelum membuka
tempat baru. Versi ini menunjukkan kehebatan Datuk Perpatih mengembari dari
Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu Sawar tempat bersemanyamnya Sultan Johor),
lalu mudik ke Hulu Muar sebelum meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah. Secara
geografisnya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua negeri,
Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa
berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan
Rembau adalah lebih rasional. Demikianlah, tiga versi terombo yang
kadang-kadang terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut
adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim
barangkali berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh
peneroka dengan daerah tempat tinggalnya. (A.F.Yassin, Utusan Melayu Mingguan
suatu ketika dahulu. )
Copy and WIN : hhttp://bit.ly/copynwin
Copy and WIN : hhttp://bit.ly/copynwin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."