Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 29 Mei 2011

bodoh-bodoh alang, lurus bendul

Pasti. Ada objek keretapi, gunung ganang, taman bunga, nyanyian dan elemen tarian. Itu filem Bollywood – filem Hindustan. Semua orang tahu mengenai ‘trade mark’ filem-filem terbitan Benua Kecil India ini.

Ironinya, aliran sedemikian berlaku juga kepada drama-drama TV tempatan yang berlatarbelakangkan masyarakat Negeri Sembilan. Diperhatikan bahawa skrin penceritaan mengenai masyarakat Negeri Sembilan yang unik dan berbagai, khususnya berkaitan dengan amalan Adat Perpatih, loghat percakapan,emosi dan masakan seperti diperkecilkan kepada ruangan yang terhad dan klise . Watak-watak individu yang ditonjolkan di dalam kebanyakkan drama TV seperti telah diprogramkan menjurus kepada watak-watak dominan .

Akan ada watak bodoh-bodoh alang atau lurus bendul. Kedua, ada lawak serta gurauan yang memanjang. Ketiga, ada dialog merapu,nada percakapan yang kuat dan suasana hiruk-pikuk - macam K * * * * g karam. Dan, keempat, kebanyakkan pelakunnya tidak mahir bercakap loghat Negeri Sembilan kerana mereka bukan Orang Negeri Sembilan. Mereka cuma menghafal atau meniru-niru bercakap loghat Negeri Sembilan. Hasilnya, sebutan mereka bukan sahaja tidak tepat, bahkan menyakitkan telinga Orang Negeri Sembilan mendengarnya .

Betulkah Orang Negeri Sembilan dijangkiti virus bodoh-bodoh alang,lurus bendul, tidak serius dan asyik bergurau sahaja sepanjang hari? Kalaulah sedemikian, dimanakah hendak diletakkan kedudukkan anak-anak negeri ini yang diakui berjaya atau terkenal?

Allahyarham Tuan Syeikh Said Jamaludin Linggi, dari Rasah, Seremban yang menerima Tarikat Ahmadiah di Mekah telah menekuni kehidupan beragama dan bertarikat. Beliau telah berjaya mengembangkan tarikat tersebut bukan sahaja di Malaysia, bahkan melangkau hingga ke Singapura, Brunei dan alam Nusantara. Pengaruh tarikat tersebut masih kuat hingga ke hari ini.

Anak negeri ini, dari Kuala Pilah, Allahyarham Pendeta Zaaba masih diingati hingga ke hari ini kerana bakat, kesungguhan,sumbangan dan ketokohan beliau dalam bidang bahasa.

Anak kelahiran Rembau, Governor Negeri Melaka ke-2, Allahyarham Tun Hj. Abdul Malek b. Yusoff mengungguli kerjaya di dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran sehingga dilantik ke kedudukkan tersebut.

Anak Kuala Pilah, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang, berjaya memiliki penghormatan setinggi itu adalah di atas ketokohan,kualiti diri dan daya tahan yang hebat.

Anak Seremban, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Angkasawan Negara Pertama dan setakat ini adalah satu-satunya Angkasawan Negara, tentunya dipilih berdasarkan kelebihan dan kualiti diri berbanding dengan ribuan pemohon yang lain.

Selain dari tokoh-tokoh tersohor di atas, ramai lagi anak-anak negeri ini yang berjaya di dalam bidang masing-masing. Di antaranya: YB Dato’ Shaziman Abu Mansor, Menteri Jabatan Kerja Raya; Ustaz Nasharuddin Mohd Isa, Timbalan Presiden Pas; Datuk Abdul Ghani Minhat,dilahirkan di Rantau,Raja Bola; Minarwan Nawawi, Tokoh Sukan Hoki; Datuk Chef Ismail Ahmad, ‘celebrity chef’ dan usahawan; Hishamudin Rais, individu dan penulis yang agak kontroversi tetapi menjadi ikon kepada sebilangan pengikut; Ahmad Mahmood, pelakon filem; Aisyah, penyanyi; Hattan, penyanyi dan ramai lagi.

Mungkin ada yang akan bertanya, “Bukankah Nabil, Raja Lawak yang berasal dari Mambau, Negeri Sembilan itu menunjukkan persepsi yang cuba dinafikan ada asasnya?” Sungguhpun Nabil adalah pelawak, beliau serius membina kerjaya. Bagaimanapun, terpulanglah kepada seseorang untuk menilainya.

Tiada salahnya karyawan seni memaparkan keunikan masyarakat Negeri Sembilan ke skrin tv kerana negeri ini memiliki segala ramuan yang amat dicari oleh golongan tersebut. Bagaimanapun, seeloknya skop dan mesej drama yang dihasilkan hendaklah dipelbagaikan. Seboleh mungkin elakkanlah memaparkan jalan cerita yang sama secara berulang-ulang sehingga menjadi klise.

Satu lagi tip yang mungkin tidak diketahui oleh pengarah drama tempatan dan juga orang bukan berasal dari negeri ini ialah Orang Negeri Sembilan amat sensitif dengan loghat mereka. Mereka tidak suka loghat percakapan mereka dipersendakan atau disebut secara tidak betul.

Juga, masih ada pengarah drama tempatan yang agak jahil tentang emosi Orang Negeri Sembilan. Mereka menyamakan Orang Minangkabau dengan Orang Negeri Sembilan. Justeru, pernah tersiar sebuah drama yang memperlihatkan betapa sekumpulan anak muda di sebuah kampung di Negeri Sembilan menjerit-jerit menyanyikan lagu ‘Aku Anak Minang’.

Paparan tersebut mungkin betul di atas kertas catatan sejarah. Bagaimanapun, ‘real Nogoghi Sombilan’ tidak sedemikian. Orang Negeri Sembilan tidak akan menyanyikan lagu ‘Aku Anak Minang’. Orang Negeri Sembilan akan menyanyikan lagu-lagu seperti ‘Bongai’ atau ‘Apo Nak Dikato’.

Hatta, ada di kalangan anak Negeri Sembilan berpendapat bahawa lagu popular ‘Apo Kono Eh Jang’ tidak beberapa tepat sebutan ‘lidah Negeri Sembilannya’. Dikatakan bahawa sebutan senikata lagu tersebut lebih mirip kepada sebutan ‘lidah Rawa’ atau ‘lidah Minangkabau’. Walaupun perbezaannya mungkin lebih nipis dari kulit bawang, masih ada golongan yang dapat mengesannya.

Memang benar, negeri yang bernama Negeri Sembilan ini unik dan sesiapa pun akan letih untuk memahaminya. Bagaimanapun, elemen-elemen penting tersebut perlu dikuasai oleh karyawan seni yang hendak menghasilkan drama TV ‘real Noghoghi Sombilan’.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Untuk pengetahuan tuan, ketika saya masih berkhidmat di dalam TLDM, beberapa teman rapat saya adalah orang dari Negeri Sembilan seperti Jamal yang pernah saya ceritakan menerusi entri di blog saya. Dan ada beberapa lagi sahabat lain. Ada seorang lagi Kamarul namanya yang kini menjadi Penghulu di sebuah kawasan yang saya tidak berapa ingat kawasan itu.

    Mereka ini walau pun bergaul dengan kami dari berbagai-bagai negeri namun mereka tetap berbangga dan kerap berbahasa dengan loghat daerahnya.

    Itu yang membuatkan loghat kedaerahan ini unik.

    Oh ya, saya kini telah bertukar blog. Kerana blog lama mempunyai sedikit masalah. Untuk ke blog baru saya klik sahaja ikon PakMail itu.

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam.

    Sejujurnya,blog tuan lebih terkedapan dari saya.Banyak juga yg saya pelajari dari blog tuan.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."