Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 28 Julai 2011

atoi

Sejak anak-anak balik semula ke kolej masing-masing, saya, isteri dan anak sulung kami, Mohd Adib, seperti sepakat merasakan ada ruang kosong yang ditinggalkan oleh Angah dan Adik.

Manakan tidak. Musim cuti semester yang panjang membolehkan keluarga kecil kami menjalani seketika kehidupan seperti sebelum anak-anak menuntut di kolej – solat berjumaah, makan bersama di rumah, makan-makan di luar, sesekali melayani permintaan Adik menikmati minuman kegemarannya ‘3 Layer’ di restoran Mamak pada waktu dinihari, menziarahi keluarga, berkelah, berbeza pendapat, mengemas dan menghias rumah dan sebagainya.

Akhirnya, kami terpaksa menerima hakikat bahawa mereka telah kembali semula ke kolej masing-masing. Larut melayan naluri keibuan, seperti kebiasaannya, isteri saya akan menangis dalam tempoh beberapa hari selepas anak-anak balik semula ke kolej. Kami merindui mereka.

Namun, tiba-tiba Atoi muncul mendambakan diri mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Angah dan Adik.

Atoi, dua bulan, anak kucing jantan, bulu bewarna oren, ialah anak kucing jalanan, Si Pungut. Ibu Atoi ketika itu dijangkiti penyakit kurap yang teruk, kurus kering dan kelaparan mendatangi rumah kami di waktu berbuka puasa dua tahun lalu. Ketika itu ibu Atoi berumur lebih kurang 4 – 5 bulan. 



Syukur, penyakit kurap ibu Si Atoi, Si Pungut, pulih sepenuhnya dengan hanya sekali rawatan di klinik veterinar berhampiran rumah kami.

Ibu Si Atoi berbulu putih bersih melahirkan empat ekor anak . Si Atoi sahaja yang masih hidup.

Ibu Si Atoi tidak pandai menjaga anak. Atoi terpaksa mengejar ibunya untuk menyusu. Kerapkali Atoi tidak dapat menyusu kerana ibunya tidak membenarkan.

Sehubungan ini, kami telah mengambilalih tugas menjaga Atoi. Menjaga Atoi bagai menjaga anak kecil. Bunyinya mungkin ‘memualkan telinga’ mereka yang tidak sukakan kucing, tetapi itulah hakikatnya.


Atoi yang tidur di tingkat bawah rumah, akan merengek meminta susu sebaik sahaja terdengar kami turun tangga untuk mandi dan seterusnya solat subuh. Jadi, sebelum mandi pagi, kami akan menyusukan Atoi dengan susu tepung khas untuk haiwan terlebih dahulu.

Setelah menyusu Atoi akan memulakan aktiviti hyper aktifnya – berlari, memanjat, mencakar dan sebagainya.



Atoi ‘boy’ yang pandai! Dia melepaskan hajatnya di dalam takung berisi pasir yang kami sediakan. Najisnya kecil comel – sebesar jari kelingking.

Setelah letih bermain sendirian, Atoi akan tidur. Biasanya Atoi tidur semula ketika saya hendak ke pejabat – sekitar jam lapan pagi.

Selepas saya ke pejabat, tugas melayan Atoi dilakukan sepenuhnya oleh isteri saya. Atoi akan disusukan sebanyak 5 kali; subuh, 10.00 pagi, 2.00 petang, sebelum waktu maghrib dan 9.00 malam.

Atoi diberi makanan khas untuk anak kucing sebanyak tiga kali sehari; 9.30 pagi, 2.30 petang dan selepas solat Isyak.  Kami dinasihatkan oleh kawan-kawan yang memelihara kucing supaya jangan memberi anak kucing makan ikan kerana dikatakan akan memudahkan dijangkiti cacing dan juga penyakit kurap.

Setakat in keadaan kesihatan Atoi agak memuaskan. Atoi sehat, badannya kecil tetapi keras dan padat.

Atoi cuma anak kucing biasa; ekor kontot, berbulu pendek, tidak cantik. Saya cuba menghasilkan foto Atoi sebaik mungkin supaya kelihatan cantik, tetapi Atoi tidak fotogenik.   

Tidak mengapa, anda boleh menuduh kami ‘syok sendiri’.Mungkin ada di antara anda yang akan berkata, “Apalah yang hendak dibanggakan dengan seekor anak kucing seperti itu.” Tidak mengapa.

Keadaan in mengingatkan saya kepada seorang kawan yang terlalu asyik dengan cucu pertama beliau yang menetap di Melaka. Beliau yang tinggal di Bangi, akan mudek ke Melaka bersama isteri selepas waktu pejabat pada hari Jumaat untuk bersama cucu yang disayangi di sepanjang cuti hujung minggu.

Saya merasakan bahawa keluarga kecil kami dilanda ‘Fenomena Atoi’. Semua ahli keluarga diasyikkan oleh keletah Atoi. Semua ahli keluarga akan bertanya sesama sendiri – Atoi sehat kah? Atau sudah makan ke belum? Atoi sudah menyusu ke belum? Atoi ini tidur ke mati?Atoi sudah berapa hari tidak mandi?Atoi in macam tidak sehat aje? Topik pertama yang akan ditanya oleh Si Angah dan Si Adik semasa menelefon kami juga ialah mengenai Si Atoi.      



Ya, Atoi ada aura, sekurang-kurangnya kepada kami sekeluarga. Atoi persis anak kecil – aktif bermain, merengek meminta susu dan tidur setelah penat bermain.

Atoi pandai bermain. Gigi kecilnya yang tajam suka menggigit-gigit manja jari tangan atau jari kaki kami. Sesekali dia akan bermain-main di atas riba dan berlari semula ke serata tempat di dalam rumah.  

Ohhh…..ini dunia kami. Ini dunia Atoi. Akrab dan saling memerlukan.




4 ulasan:

  1. salam Jang,, koo poso ni balik siggah lah berbuko pose kek sungai ghombau tu,,,,,

    BalasPadam
  2. Wa'alaikumsalam,

    Selamat berpuasa.Bantai jangan lupo balik kampung.Jangan lupo cari buluh.Pandai ke ambil buluh lomang?He...he

    BalasPadam
  3. Selamat Menyambut Ramadhan AlMubarak. Semuga saudara seisi keluarga diberkati dan dilindungi Allah sentiasa.

    BalasPadam
  4. Pak Mail,

    Selamat berpuasa.Ramadhan datang lagi.

    Mungkin Ramadhan yg lepas kita 'pulun' habis - tarawikh,sedekah,baca Quran, tahajud dsb.

    Mungkin ruang di antara selepas Ramadhan tahun lepas hingga Ramadhan tahun ini tidak diterjemahkan seperti apa yg 'dikursuskan' semasa Ramadhan tahun lepas.

    Insya Allah,kita akan cuba lagi tahun ini.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."