Ini bulan Ramadhan. Ini period syaitan dirantai. Ini kala kebanyakkan orang tidak lagi bertuankan syaitan.
Seawal pagi hari ke-4 Ramadhan, Yunus Romeo yang telah mula memakai ketayap putih sejak awal Ramadhan, menyampaikan ‘tazkirah’ Ramadhan kepada rakan-rakan sepejabat yang baru memulakan tugas masing-masing.
Yunus Romeo memulakan ‘kuliahnya’, “ Alhamdullillah, tahun ini ramai ‘hard core’ yang dahulu tidak berpuasa dan tidak sembahyang kini telah menjenguk surau di pejabat kita.” Dia begitu yakin bercakap dan lupa bahawa dia juga adalah sebahagian daripada spesis yang dijadikan bahan ‘kuliahnya’
Rakan-rakan sepejabat mengetahui susuk lahir dan batin Yunus Romeo. Mereka tidak memberi sebarang reaksi.
Berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelumya, Yunus Romeo memang konsistan dalam bab berpuasa walaupun dia tidak menunaikan solat.
Bagaimanapun, pada Ramadhan tahun ini, ada perubahan radikal berlaku ke atasnya. Yunus Romeo telah mula memakai ketayap putih dan rajin menghadiri kuliah zuhur di surau pejabat yang terletak di tingkat 1, bangunan 13 tingkat pejabat kami.
Pun demikian, walaupun telah memakai ketayap dan mula menjenguk surau pejabat, dia masih melakukan tabiat hodohnya menikam nombor ekor di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.
Yunus Romeo terus menyambung, “ Eloklah tu, setahun sekali, tak kan mereka tidak boleh berpuasa. Lagi pun, kita sudah tua.”
Suasana pejabat yang mempunyai 12 orang staf hening seketika. Tiada sesiapa yang bercakap. Namun, masing-masing memandang sesama sendiri. Ada juga yang tersenyum. Senyuman tersebut mudah difahami maksudnya.
Tiba-tiba, Osman, 51, yang duduk berhampiran meja Yunus Romeo bersuara, “ Aku pula tidak bersetuju solat tarawikh di surau tempat aku buat lapan rakaat sahaja, sepatutnya 20 rakaat. Orang-orang dahulu tidak pernah buat 8 rakaat.”
Osman yang ‘dua kali lima’ dan ‘cakap tidak serupa bikin’ seperti Yunus Romeo, malahan lebih teruk lagi kerana jarang-jarang menunaikan solat Jumaat mengajak Yunus Romeo memperkatakan perkara-perkara berkaitan amalan di bulan Ramadhan. Di antara perkara yang mereka perkatakan ialah mengenai hukum menyuntik ubat ke badan, mengorek telinga yang gatal, terlupa niat puasa, waktu sahur tamat dan sebagainya.
Rakan-rakan sepejabat yang lain tersenyum sesama sendiri melihat gelagat dua orang rakan mereka bercakap mengenai sesuatu yang amat berlawanan dengan saksiah masing-masing. Ada yang berbisik, “Bukan kita tidak kenal dia, baru kenal tangga surau nak bercakap tentang agama. Tengoklah lepas bulan puasa nanti, kalau tidak balik asal, potong jari aku.”
Kendatipun, tanpa ada usaha mengajak Yunus Romeo kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sekurang-kurangnya ada perubahan positif berlaku kepada beliau. Rakan-rakan sepejabat sepatutnya lega dengan perkembangan drastik tersebut. Semoga perubahan beliau berkekalan.
Bercakap mengenai mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar maaruf nahi mungkar), saya teringat kepada intipati kuliah maghrib oleh seorang ustaz di masjid Seksyen 19, Shah Alam yang sempat saya hadiri ketika melawat keluarga kakak ipar baru-baru ini(sebelum Ramadhan). Tajuk kuliah beliau ialah tafsir Surah Ali-Imran, Ayat 110.
Opp… saya tahu bab ini kurang disenangi oleh pembaca kerana orang yang tidak ada autoriti galak pula bercakap mengenai agama. Sebenarnya, saya juga dihinggapi sedikit sikap sedemikian. Hatta, seorang pakar motivasi yang ada Phd tetapi bukan di dalam bidang agama yang sering menyelitkan petikan terjemahan hadis dan ayat-ayat Al-Quran di dalam ceramah beliau juga ada pihak yang curiga.
‘Moral of the story’, jangan pedulikan siapa saya. Semoga anda mendapat sedikit manfaat dari catatan ini.
Terjemahan lengkap Surah Ali-Imran - Ayat 110 (Tafsiran Ar-Rahman) yang saya perolehi hasil dari bertanya dengan sahabat yang lebih arif serta semakan di dalam kitab tafsir adalah seperti di bawah:
Terjemahan lengkap Surah Ali-Imran - Ayat 110 (Tafsiran Ar-Rahman) yang saya perolehi hasil dari bertanya dengan sahabat yang lebih arif serta semakan di dalam kitab tafsir adalah seperti di bawah:
'Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).Dan kalaulah Ahli Kitab(Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka.(Tetapi) di antara mereka ada yang beriman,dan kebanyakkan mereka orang-orang yang fasik.'
Intipati kuliah Ustaz tersebut yang menarik perhatian saya ialah huraiannya yang mudah difahami dan jelas:
- Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada perkara-perkara mungkar (amar makruf nahi mungkar) ialah kerja-kerja yang dituntut oleh agama.
- Kerja-kerja mengajak kepada perkara-perkara kebaikan dan mencegah kepada perkara-perkara mungkar (amar makruf nahi mungkar) tidak dilaksanakan kerana jahil.,takut dimarahi dan dikutuk, kehilangan keselesaan, kehilangan harta benda, bahkan kehilangan nyawa. Kerja-kerja tersebut juga memerlukan kesabaran dan keberanian.
- Tiada sesiapa yang akan mengganggu, marah atau mengetuk pintu rumah kita walaupun kita berzikir dan menunaikan solat sepanjang malam. Sebaliknya, kerja-kerja amar makruf nahi mungkar tidak semudah itu.
Kata seorang sahabat dari Jumaah Tabligh, “ Bab inilah yang ‘orang di luar’ (bukan Jumaah Tabligh) tidak lakukan.” Namun, mereka (Jumaah Tabligh) juga ada kelemahan yang tidak sesuai dibincangkan dalam catatan pendek ini.
Catatan di atas berdasarkan pemahaman yang sempat saya catatkan semasa menghadiri kuliah maghrib di sebuah masjid di Shah Alam, Selangor. Mungkin ada perkara yang saya catatkan kurang tepat. Ini kelemahan saya. Harap maaf.
haha..yunus romeo..
BalasPadamape pun kita harap perubahan beliau berkekalan sehingga selepas ramadan dan seterusnye...
dia pun dah mengaku..'' lagi pun , kita sudah tua..''
Tuan,
BalasPadamIni bukan cerita 'fiction'. Real.
Ya, kita tunggu selepas Ramadhan.Namun, kita pun kena check juga. Selepas Ramadhan ini adakah kita galak lagi panjat tangga masjid/surau?
Terma kasih.