Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 8 September 2011

berita dari pusat penetasan penyu: rumahnya laut luas



“akhirnya, si comel ini selamat keluar dari ruyungnya di sebuah perkampungan tepi pantai itu ”

Pertama-tama, dia memeta arah pantai, arah lautan, arah rumah kekalnya. Hatinya lega, deru ombak yang mendesir di deria dengarnya menandakan rumah kekalnya tidak jauh dari persinggahan transit  yang diuruskan oleh segelintir manusia prihatin– Pusat Penetasan Penyu.

Sehubungan itu, dia amat terhutang budi kepada segelintir individu prihatin dalam memastikan kelangsungan dia dan spesisnya terus wujud di dunia ini.

Paling dia berterima kasih sudah semestinya kepada Pak Awang dan keluarganya. Bukan sedikit jasa orang tua berbadan sasa tersebut kepada dia dan ratusan anak-anak penyu yang lain di Pusat Penetasan Penyu itu.

Pak Awanglah yang mengutip telur-telur penyu dari pulau-pulau berhampiran untuk ‘diram’ selama hampir dua bulan di pusat tersebut. Dia bernasib baik kerana telurnya dijumpai terlebih dahulu oleh Pak Awang. Andainya dijumpai oleh manusia lain, tiadalah dia lahir di dunia ini.


Pak Awang dan keluarganya juga yang bersengkang mata menjaga ‘dia’ dan ‘rakan-rakannya’ yang masih belum menetas dari gangguan sang penceroboh si biawak ganas.       

Ya, dia tahu. Dia makhluk yang mengenang budi.           

Pun demikian, deruan ombak yang tidak pernah henti bersenandung di pantai berhampiran amat menggoda naluri kesabarannya dalam menunggu hari siang. Dia tahu Pak Awang akan membawanya ke pulau tempat ibu yang tidak pernah dikenalinya bertelur untuk dilepaskan ke rumahnya, di laut luas seawal sinar matahari kelihatan diufuk timur.          


Seawal pagi, dia dilepaskan oleh Pak Awang ke laut luas, rumah kekalnya. Seperti yang difikirkan oleh Pak Awang, dia juga tidak pasti samada tubuh kerdilnya mampu menghadapi cabaran kehidupan sebenar di dunia laut yang bergelombang dan ganas secara bersendirian.                       


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."