Seperti pada hari raya tahun-tahun sebelumnya, saya akan memerhati kehadiran sosok tua, Pak Mad Bongek, 78, di masjid tua semasa menunaikan solat sunat 'aidilfitri. Alhamdulillah, pada 'aidilfitri 1432H ini , dia masih hadir ke masjid. Allah masih memberi kesihatan yang baik dan memanjangkan usianya.
Setelah selesai menunaikan solat sunat 'aidilfitri, para jumaah terutamanya dari golongan tua mengadakan bacaan tahlil. Selepas selesai bacaan tahlil, sebilangan jumaah bersama-sama menikmati hidangan nasi yang dibawa oleh penduduk kampung. Ini adalah tradisi penduduk kampung. Amalan ini masih terpelihara hingga ke hari ini.
Saya menghampiri Pak Mad Bongek ketika dia berjalan keluar ke arah pintu besar masjid. Saya menegurnya dan kami bersalaman. Dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih di atas sedikit sumbangan yang saya kepilkan semasa bersalam dengannya.
Ketika kami berbual, dia juga sempat bersalaman dengan jumaah lain yang mengenalinya. Air mukanya yang ceria menunjukkan dia amat bahagia dengan kehidupannya. Setelah berbual pendek, Pak Mad Bongek meminta diri untuk balik ke rumah. Kami bersalaman sekali lagi.
Ketika kami berbual, dia juga sempat bersalaman dengan jumaah lain yang mengenalinya. Air mukanya yang ceria menunjukkan dia amat bahagia dengan kehidupannya. Setelah berbual pendek, Pak Mad Bongek meminta diri untuk balik ke rumah. Kami bersalaman sekali lagi.
Nama sebenar Pak Mad Bongek ialah Hj. Ahmad . Dia ialah 'orang semenda'( orang lelaki dari luar berkahwin dengan perempuan kampung saya). Gelaran Pak Mad 'Bongek' terlekat pada namanya kerana dia berasal dari Kampung Bongek, sebuah kampung kira-kira 5 km jaraknya dari kampung saya. Dia sekampung dengan arwah datuk saya.
Pak Mad Bongek bertubuh sederhana dan tinggi lampai. Di usia 78 tahun, dia masih gagah mengayuh basikal tuanya ke pekan kecil sejauh 7 km dari kampung kami.
Walaupun dia jauh lebih muda dari arwah datuk, mereka bersahabat baik semasa arwah datuk masih hidup. Seingat saya mereka suka berborak sesama sendiri dengan nada suara yang kuat di anjung rumah kami sehingga larut malam.
Saya tidak mempunyai banyak info mengenai latar belakang keluarga Pak Mad Bongek di kampung asalnya. Setahu saya ayahnya seorang guru. Kebanyakkan adik beradiknya mempunyai pekerjaan yang baik - bekerja dengan kerajaan. Salah seorang adik lelakinya bergelar 'Datuk' dan pernah menjadi Duta Besar di Timur Tengah.
Sebagai perbandingan, cuma Pak Mad Bongek sahaja yang 'tidak menjadi' di kalangan adik beradiknya. Dia cuma seorang penoreh getah sepanjang hidupnya.
Isteri Pak Mad Bongek, Induk Emah telah meninggal dunia 5 atau 6 tahun yang lalu. Kini dia tinggal bersama anak perempuannya. Seingat saya Pak Mad Bongek mempunyai empat orang anak, 3 orang perempuan dan seorang anak lelaki. Walaupun tidak berjaya ke menara gading, kesemua anak-anak Pak Mad Bongek mempunyai pekerjaan tetap di jabatan kerajaan atau swasta.
Semasa mudanya dia adalah penyokong kuat sebuah parti bukan arus perdana. Saya pernah mengusiknya pada satu pilihanraya tiga dekad yang lalu, "Ada harapan menangkah pada pilihanraya kali ini?" Dia menjawab sambil bermotivasi, "Belum tahu lagi." Sebenarnya, pada ketika itu, pencapaian parti-parti bukan arus perdana kalau tidak hilang deposit pun telah dianggap 'menang'!
Meskipun, dia penyokong kuat parti siasah bukan arus perdana, Pak Mad Bongek amat mengagumi Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham Tun Hj.Abdul Razak. Malah, dia menamakan anak lelaki tunggalnya sempena nama mantan Perdana Menteri yang amat berjasa tersebut, Abdul Razak. Saya tidak mengetahui pegangan siasahnya mutakhir ini.
Laluan kehidupan Pak Mad Bongek pada zahirnya tidak sebaik adik beradiknya. Tidak dinafikan kebenaran bidalan orang tua-tua, "Emas pendinding malu,dek emas segala kemas dan hilang bangsa tak beremas."
Namun di sebalik kekurangan harta benda, dia dianugerahkan kesihatan yang baik, kehidupan yang bahagia dan dipanjangkan umur.
Sejak saya mengenalinya, jarang saya melihat dia tanpa basikalnya.Mungkin kudrat kayuhannya semakin perlahan. Namun, dia masih terus mengayuh basikal tuanya seumpama suatu marathon yang tiada garis penamat.
Sejak saya mengenalinya, jarang saya melihat dia tanpa basikalnya.Mungkin kudrat kayuhannya semakin perlahan. Namun, dia masih terus mengayuh basikal tuanya seumpama suatu marathon yang tiada garis penamat.
marathon jarak jauh...
BalasPadam78 tahun..dah ye..
Tuan,
BalasPadambagaimana pula marathon kita?Boleh sampai ke 70+?