Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 28 Oktober 2011

toleransi ada di Cukai,Terengganu


Bijak pandai berkata, "Toleransi adalah satu-satunya alat penguji yang sejati bagi peradaban."

Realitinya, toleransi boleh dipertahankan pada satu fasa, tetapi selalunya tidak dapat dipertahankan pada fasa-fasa berikutnya. Keadaan ini mungkin berlaku kerana toleransi oleh satu pihak tidak dihargai oleh pihak yang satu lagi. 

Bagaimanapun, jika kedua-dua pihak menghormati amalan bertoleransi, segala-segalanya akan berjalan dengan harmoni dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Mungkin  teori  inilah yang diamalkan oleh masyarakat majmuk di bandar kecil Cukai, Kemaman. 


Saya percaya anda akan bersetuju dengan catatan ini jika anda berpeluang mengunjungi  bandar Cukai dan bermalam di sini. Untuk makluman , di tengah-tengah bandar Cukai terdapat sebuah masjid jamek lama. Di tengah-tengah bandar ini juga ada sebuah penempatan orang Melayu Terengganu. Saya menceritakan perkara ini supaya anda lebih mudah memahami senario kemungkinan sebab musabab wujudnya toleransi yang hebat di bandar kecil ini. 

Ahad, 16 Oktober 2011, saya dan dua orang rakan sekerja bertolak jam 2.00 petang dari Kuala Lumpur. Kami sampai di Cukai jam 6.00 petang setelah berhenti solat Asar di R&R Temerloh. Sebaik sahaja keluar dari pintu kereta dan berjalan ke hotel, saya dan rakan mengalami sedikit kelainan kerana mendapati hampir seluruh bandar ini seperti berada di dalam sebuah masjid. 

Kedatangan kami diraikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang amat lantang..Masjid tempat datangnya bacaan tersebut seperti begitu hampir dengan kami.  Saya cuba mencari pandang lokasi masjid. 

Sesampai di kaunter hotel, saya dimaklumkan oleh kakitangan hotel bahawa kedudukkan masjid tidak beberapa jauh dari tempat kami menginap - tidak sampai 100 meter. Bunyi bacaan ayat-ayat suci dari masjid semakin jelas semasa saya memasuki bilik hotel. Saya rasa bunyinya lebih jelas berbanding dengan bunyi di dalam masjid di tempat saya.

Tidak beberapa lama selepas memasuki bilik hotel, azan maghrib pun berkumandang. Getarnya lebih kuat dan bilik hotel seperti bergegar. Ini juga bermakna penghuni di rumah kedai di sekitar bandar ini yang majoritinya bukan Melayu pun berpeluang mendengar alunan azan yang syahdu. Tidak mustahil, mereka juga telah hafal dengan kalimah-kalimah  azan dan mungkin juga mampu menyampaikannya. 


Dengan keadaan sedemikian, amatlah tidak patut jika kami tidak solat berjumaah di masjid. Kami bertiga menunaikan solat Maghrib di masjid dan menjamakkannya dengan solat  Isyak- Jamak Takdim. Kami musafir. Setelah usai, kami balik ke bilik masing-masing .Kami  tidak mengikuti kuliah Maghrib. Kononnya, penat kerana perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur - hampir 400 kilometer.


Bagaimanapun, seperti yang telah saya utarakan, kuliah di masjid dapat didengar hampir ke setiap penjuru bandar ini. Setiap patah dan buah butir yang disampaikan didengar dengan jelas dari bilik hotel.

Begitulah seterusnya. Kemeriahan bandar  kecil ini seperti terhenti dan  sunyi setelah para jumaah di masjid menyelesaikan wirid selepas solat Isyak dan mengaminkan doa yang dipimpin oleh imam. Bacaan wirid dan doa juga dibaca dengan kuat dan lantang.   

Keadaan yang sama akan berulang lagi seawal jam 5.00 pagi, sebelum solat subuh pada pagi esoknya. Kalimah-kalimah tahmid akan diperdengarkan dengan kuatnya sebelum azan solat subuh berkumandang. Kemeriahan suasana di masjid akan berhenti seketika lebih kurang jam 7.00 pagi, iaitu selepas segelintir jumaah selesai mengikuti kuliah tajwid.   

Saya ada terdengar rakan sekerja membincangkan perkara ini. Bagaimanapun, isu yang mereka bincangkan 'mati' dengan sendirinya kerana menyedari mereka tidak mempunyai asas  agama yang kuat. Biarlah mantan mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mengulas perkara ini!
     
Bagi saya, keadaan 'status quo' di bandar kecil Cukai ini tidak perlu diganggu atau dirisaukan. Bagi anda yang berpendapat bahawa amalan bertoleransi ini cuma berlaku di pihak penghuni rumah kedai bukan Melayu di bandar Cukai, khususnya di sekitar Masjid Jamek Cukai, hendaklah mengambilkira toleransi yang lebih klasik oleh penduduk awal Cukai, Orang Melayu, sebelum  peniaga bukan Melayu datang dan seterusnya mendirikan rumah kedai di kawasan mereka.

Bukankah SN Usman Awang pernah meluahkan di dalam puisi beliau, Melayu, "Malangnya Melayu itu kuat bersorak, terlalu ghairah pesta temasya, sedangkan kampung telah tergadai, sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual,meski telah memiliki telaga." Dan, "Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan,segala yang ada sanggup diberikan,sehingga tercipta sebuah kiasan, "Dagang lalu nasi ditanakkan, suami pulang lapar tak makan, anak di pangkuan mati kebuluran."?    
     
Mungkin inilah rahsia yang tidak terlihat mengapa generasi terkemudian penghuni rumah kedai , bukan Melayu, di Bandar Cukai, Kemaman, Terengganu dilihat begitu bertoleransi.  Mereka melangsungkan sinambung toleransi yang telah asaskan oleh generasi terdahulu dan bukan kerana mereka golongan minoriti.  Semoga amalan bertoleransi terus dipupuk dan dipertahankan untuk mewujudkan negara bangsa yang kita idam-idamkan.

Justeru, andainya akan timbul masalah pada masa akan datang, masyarakat Islam yang lebih dominan perlulah menanganinya dengan berhemah. Orang Islam tidak akan menyakiti jirannya. 

1 ulasan:

  1. Tuan Ujang,

    Menarik. Mari lah kita bayar cukai di Cukai...

    Selamat Maju Jaya pada penduduk Pekan Cukai...semoga kita akan ketemu.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."