Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 4 November 2011

sidang

PETANG itu, semua ahli JKKK hadir di balai raya Kampung Lubuk Petai. Sidang kali ini akan membincangkan agenda tunggal yang  memerlukan tindakan segera. Mereka akan membincangkan cara yang sesuai untuk mengatasi masalah  gangguan oleh sekumpulan kera di kampung itu.

Kampung Lubuk Petai tidak lagi seaman dahulu. Masalah penagih masih tidak dapat diselesaikan, timbul pula masalah baru, gangguan oleh gerombolan sang kera.Telah banyak tanaman dimusnahkan. Ada juga penduduk kampung dicederakan oleh haiwan itu. 

Bakar Lani, pesara tentera, mencadangkan supaya kera-kera perosak tersebut ditembak sahaja. Bagaimanapun, cadangan itu tidak mendapat sokongan sebulat suara. Cadangan itu memerlukan kepakaran menembak dan kosnya juga tinggi.

Baha Ani, pesara Telekom Malaysia, pula mencadangkan supaya kawasan berpagar tanaman direntang dengan jaring menangkap ikan. Katanya, "Jaring menangkap ikan yang rosak dan tidak digunakan boleh didapati dengan mudah dan murah di perkampungan nelayan di Sungai Baru, Melaka."  Cadangan Baha Ani juga tidak diterima oleh sebilangan besar ahli mesyuarat. Cara itu  tidak akan dapat mengusir gerombolan kera  dari kampung mereka sepenuhnya.

Akhirnya, mesyuarat ditangguhkan tanpa keputusan yang konkrit.

Sebaliknya, satu sidang lain di hulu Kampung Lubuk Petai masih berjalan dengan rancaknya. Sidang itu mengumpulkan semua ketua kabilah  kera di bekas hutan rimba sekitar Kampung Lubuk Petai. Selain itu, kumpulan minoriti kabilah ungka, siamang, cikah dan beruk juga menghantar wakil masing-masing. Agenda yang dibincangkan ialah mengenai tindakan sesuai di atas kerakusan manusia  yang telah memusnahkan kawasan penempatan mereka. 

Kawasan penempatan dan tempat 'cari makan' mereka telah diceroboh oleh manusia untuk ditanam dengan  tanaman kelapa sawit dan pokok getah.

Ketua Kera Lembah Panchor yang amat dihormati dan disegani oleh kalangan masyarakat kera di sekitar Kampung Lubuk Petai telah mencadangkan dua kaedah. Pertama, meneruskan tindakan kacau-ganggu ke atas penduduk Kampung Lubuk Petai dengan cara merosakkan , memakan hasil tanaman dan kalau perlu mencederakan  penduduk Kampung Lubuk Petai.

Tindakan kedua ialah mengemukakan tuntutan ganti rugi atau pampasan kepada penduduk Kampung Lubuk Petai .  Semua ahli mesyuarat sebulat suara menerima cadangan Ketua Kera Lembah Panchor itu.

Mesyuarat yang berlangsung sehingga senja itu memutuskan supaya penduduk Kampung Lubuk Petai membayar ganti rugi atau pampasan dengan menyediakan ladang tanaman pokok pisang dan jagung untuk dimanfaatkan oleh kumpulan kera yang suatu ketika dahulu ialah pemilik asal kawasan itu. Keluasan kawasan tanaman akan ditentukan setelah kajian ke atas kerosakan harta benda dan kehilangan digniti kumpulan kera dijalankan.

Kumpulan kera akan mengemukakan tuntutan pampasan kepada 'penceroboh @ penakluk ' yang angkuh dan mementingkan diri sendiri itu secepat mungkin. 

Tidak syak lagi, manusia, penduduk Kampung Lubuk Petai akan 'terkejut beruk' apabila menerima tuntutan pampasan tersebut di dalam tempoh terdekat!

2 ulasan:

  1. Tuan Ujang,

    ekekeke...sinis dan menarik...hehe

    Rasa nye sebelum kedua belah pihak membuat ape2 tindakan...rasa nye baik kedua2 nye penduduk kg lubuk petai dan kumpulan kera duduk berbincang demi kepentingan bersama...

    semoga mereka mencapai a win win situation....

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    samada saya atau tuan akan menjadi pengerusinya....he..he..tapi seeloknya tuan-orang luar dilihat tidak bias..

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."