Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 7 Februari 2012

momen yang telah lama ditinggalkan

Telah hampir satu jam Yusuf duduk mengelamun di kerusi pejabatnya. Dia berkeadaan sedemikian sejak masuk semula ke pejabat setelah menguruskan bekalan baja di perkampungan Orang Asal, Kampung Pulau Aur awal pagi tadi. Senandung pantun empat kerat yang didengarnya semula awal pagi tadi sangat membekas. Seperti, tidak ada lirik kesudahannya.

Senandung pantun empat kerat itu persis bisikan mistik - menakluk minda dan denyut nafasnya. “Ulang alik ulang alik, Hari sudah siang, Upek cantik Upek cantik,Campamlah sayang.”

Yang duduk di kerusi pejabat itu, tubuh biologi Yusuf di usia hujung 40-an. Sebaliknya, yang diperangkap dalam tubuh biologi itu ialah seorang Yusuf yang mudik merentas masa-masa yang telah lama ditinggalkan. Seorang Yusuf si anak kampung yang naif.    

Yusuf baru sahaja dua bulan bertukar dari Ibu Pejabat ke Pejabat Cawangan yang terletak kira-kira 7 kilometer sahaja dari kampung asalnya, Kampung Lubuk Paku. Dia sendiri yang membuat permohonan bertukar ke tempat asal sebelum bersara 6 tahun lagi.

 “Hai, jauhnya mengelamun. Ingat orang rumah atau tersangkut dengan gadis Kg.Pulau Aur?”  tegur Shakir yang masuk semula ke pejabat setelah melawat kawasan jagaannya.

“ Tak adalah. Penat.” Yusuf menjawab sambil tersenyum. Dia menyembunyikan rahsia yang mengocak perasaannya. Dia memerhatikan Shakir menghala ke mejanya di bahagian belakang ruang pejabat di tingkat bawah itu.

Sepantas itu, slide kenangan pagi tadi yang terganggu seketika mengimbas semula lembar demi lembar.

Seawal jam 8.20 pagi tadi Yusuf dan Kadir, pemandu jabatan telah sampai di balai raya Kampung Pulau Aur. Kadir meletakkan kenderaan pacuan empat roda agensi dengan muatan 20 kampit baja di luar pagar balai raya yang pintu pagarnya masih belum dibuka.

“Belum ada orang datang lagi En.Yusuf,” Kadir memulakan bicara.

“Tidak mengapa, biar kita tunggu. Jangan mereka tunggu kita,” Yusuf berethorik dengan meminjam ungkapan yang selalu diucapkan oleh Ketua Unitnya ketika bertugas di Ibu Pejabat dahulu.

 “ Pagi ini berapa orang?”

“Tiga orang, 7 kampit, 7 kampit dan yang seorang lagi 6 kampit.”

“Janji pukul berapa?” Kadir bertanya lagi.

“Pukul 9 pagi,” jawab Yusuf pendek. Dua orang kakitangan kerajaan itu serentak melihat jam di tangan masing-masing. Jam menunjukkan pukul 8.55 pagi.

Mereka berpandangan sesama sendiri.

Sejurus kemudian kelihatan tiga orang lelaki separuh umur berjalan secara berbaris menghampiri pintu pagar balai raya. Lelaki yang di hadapan membuka pintu pagar balai raya. Setelah membuka pintu pagar lelaki itu menegur, “Minta maaf Encik kami lambat sedikit. Kami menoreh dahulu. Silakan masuk ke dalam.”

Yusuf yang mengetahui lelaki itu ialah Tok Batin setelah dibisikkan oleh Kadir menjawab, “ Tok Batin tidak lewat. Kita janji pukul 9.00 pagi. Sekarang tepat jam 9.00 pagi.Orang Jepun pun tidak setepat ini.” Ha..ha..ha.. Semua yang hadir ketawa. Mereka sama-sama masuk ke dalam  balai raya setelah pintunya dibuka oleh Tok Batin.

Yusuf memilih salah satu kerusi yang dilengkapkan dengan alas menulis. Dia mengeluarkan dokumen bekalan baja yang perlu dilengkapkan sebelum bekalan boleh dibuat. Tok Batin yang bertindak sebagai pemudah cara dan dua orang lagi penerima bantuan berdiri mengelilinginya.

“Akop anak Jali,” Yusuf menyebut nama penerima pertama.

Akop anak Jali yang sudah biasa dengan proses bekalan mengeluarkan kad pengenalannya. Lelaki berusia pertengahan 50-an itu menurunkan cap jarinya di ruangan akuan menerima bekalan baja setelah diterangkan oleh Yusuf. Dia mendapat 7 kampit baja.

Yusuf menyebut seorang lagi nama penerima bantuan bekalan baja, Usin anak Lampam. Lelaki di usia hujung 30-an yang bersekolah setakat darjah (tahun) enam itu menurunkan tandatangannya di ruangan yang ditetapkan. Usin anak Lampam juga mendapat 7 kampit baja.

Yusuf mengeluarkan satu lagi borang di atas nama Atan anak Hitam. Tok Batin terus menerangkan keadaan sebenar. Katanya, “Atan anak Hitam telah meninggal dunia dua minggu lepas.

“Warisnya?” tanya Yusuf.

“Ada, isterinya,” jawab Tok Batin.        

Akop anak Jali dan Usin anak Lampam mengekori Yusuf ke kenderaan agensi untuk mengambil bekalan baja masing-masing. Yusuf sempat mengingatkan kedua-dua orang pekebun getah itu supaya membaja kebun masing-masing secepat mungkin. “ Jangan simpan di bawah rumah pula,” sambung Yusuf secara berjenaka. Kedua-dua orang pekebun getah Orang Asal itu tersenyum mendengar gurauan sinis itu.

Yusuf masuk semula ke dalam balai raya menemui Tok Batin yang masih berada di situ. Tok Batin terus bertanya, “ Encik, macam mana dengan baja si mati, mendiang Atan anak Hitam?”

“ Pihak kami akan bekalkan kepada waris mendiang, isterinya,” balas Yusuf.

Tok Batin menunjukkan arah dan kedudukkan rumah mendiang yang tidak beberapa jauh dari balai raya. Ketua masyarakat Orang Asal itu juga menawarkan diri untuk menemankan Yusuf ke rumah itu. Yusuf menolak niat baik Tok Batin kerana mengetahui Orang Asal sebaya usianya itu hendak mengambil anaknya di sekolah.      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."