Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 14 Julai 2012

ulama silam rembau: Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad

Rembau, salah sebuah daerah dalam Negeri Sembilan agak terkenal dalam melahirkan sebilangan tokoh yang dikenali ramai. Di antaranya : Allahyarham Tun Abdul Malek b. Yusuf (Menteri Besar Negeri Sembilan Pertama dan Gabenor Melaka Ke-2), Allahyarham En.Abdullah Kadir (Pengerusi/Ketua Pengarah RISDA yang pertama), Professor Tan Sri Dr Rashdan Baba, Professor Datuk Dr Kamaruddin Kachar, Radika Menon (Bekas pemain tenis negara), AF Yassin (Penulis), Dato’ Ismail Ahmad (Cef Selebriti) dan tentunya YB En.Khairy Jamaludin (Ahli Parlimen Rembau/Ketua Pemuda UMNO).
Penduduk daerah Rembau juga adalah yang masih kuat mengamalkan Adat Perpatih berbanding penduduk di daerah lain di seluruh Negeri Sembilan.
Di daerah ini jugalah terletaknya Gunung Datuk (Gunung Rembau) yang menjadi tumpuan pendaki gunung amatur dari seluruh pelusuk negara. Gunung ini juga sarat dengan kisah-kisah mistik di kalangan penduduk tempatan. Kononnya, sebelah kesan tapak kaki yang terdapat di puncak gunung itu adalah bekas tapak kaki Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang. Ada versi yang mendakwa sebelah tapak kaki lagi melalui satu langkahan, berbekas di Tanjung Tuan, Port Dickson yang berpuluh kilometer jarakya.
Di sebalik kemegahan itu, Rembau agak gersang dalam melahirkan tokoh-tokoh agama. Bagaimanapun, ini bukannya bermakna Rembau tidak pernah melahirkan tokoh agama  langsung.
Di antara tokoh agama yang pernah dilahirkan oleh daerah ini ialah ulama silam Lebai Muhammad Harith bin Ahmad Kg. Nerasau, Lebai Haji Ibrahim Kg. Bongek dan terkini di antaranya, Ustaz Dato’ Muhammad Fuad bin Kamaludin Kg.Ampangan Penajis.
Allahyarham Lebai Haji Ibrahim bin Dahan (Kg. Bongek) dan Ustaz Sheikh Dato’ Muhammad Fuad bin Kamaludin Kg. Ampangan Penajis telah dikenali ramai. Namun demikian, yang alim Syeikh Sheikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad Kg. Nerasau hampir tidak dikenali dan boleh dikatakan tidak diperkatakan langsung oleh generasi hari ini.
Ketika di usia belasan tahun, seorang ‘semenda’ dari Kampung Nerasau (orang dari luar yang berkahwin dengan wanita kampung saya) pernah menyatakan bahawa di kampung ayah saya, Kampung Nerasau,  pernah ada seorang alim yang memiliki karamah. Dia menyatakan bahawa orang alim itu telah lama meninggal dunia.
Jujurnya, saya juga tidak mempunyai banyak info mengenai tokoh ini. Maklumat yang saya dapati adalah berdasarkan ingatan pembacaan saya kepada buku karangan Ustaz Sheikh Dato’ Muhammad Fuad bin Kamaludin bertajuk ‘Manaqib Syeikh Muhammad Harith’. Kalau tidak silap, buku itu diterbitkan pada tahun 2004. Ketika itu Ustaz  Muhammad Fuad bin Kamaludin belum lagi bergelar Dato’ dan juga masih belum popular seperti sekarang. Saya juga menambah ramuan catatan ini melalui cerita lisan yang disampaikan oleh saudara mara saya di Kampung Nerasau,Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan dan juga kenalan yang berasal dari kampung itu.
Sedemikian, catatan mengenai tokoh yang alim ini mungkin tidak mencapai ke tahap yang memuaskan hati sebilangan pembaca. Bagaimanapun, saya berpegang kepada prinsip, ‘Daripada Tidak, Baik Ada’.
Saya percaya ramai anak Rembau, dan bahkan anak-anak kampung di kejiranan Kg. Ampangan Penajis/Nerasau, Chengkau, Rembau sekalipun tidak mengetahui bahawa pada suatu masa dahulu adanya seorang alim dari kampung itu yang bernama yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad. Mungkin keadaan ini berlaku kerana beliau telah lama meninggal dunia. Dikatakan beliau meninggal dunia pada tahun 1948 di usia muda , iaitu 42 tahun.
Sekalipun demikian, beliau telah meninggalkan impak yang sangat mendalam dan besar dalam bidang dakwah di Negeri Sembilan dan khususnya di Siak dan Kepulaun Riau, Indonesia.
Yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith (disebut Lebai Haris) menerima pendidikkan tertinggi agama secara tidak formal ketika membesar di kampungnya dan pedidikkan formal dari sebuah sekolah pondok di utara tanah air. Sungguh pun beliau tidak pernah belajar di tanah  Arab seperti yang menjadi kebiasaan pada zamannya, beliau mengamalkan dan menghayati ilmu yang dipelajarinya. Beliau seorang yang sangat alim dan warak. Beliau dikatakan dianugerahkan ilmu ‘laduni’, yaani menerima ilmu yang tidak diketahui di atas anugerah, belas kasihan dan kasih sayang Allah.
Seperti kebanyakkan orang alim di zamannya, beliau mengamalkan tarikat. Dan, seperti juga kebanyakkan Orang Negeri Sembilan yang sezaman dengannya, beliau juga mengamalkan Tarikat Al-Ahmadiyyah dengan bergurukan Sheikh Hj.Muhammad Sa’id Al-Linggi. 
Seperti yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad mengetahui bahawa umurnya tidak panjang. Ketika berusia 27 tahun, beliau telah berangkat ke Siak seorang diri dengan tujuan berdakwah dan mengembangkan Tarikat Al- Ahmadiah. Pada mulanya tindakan beliau tersebut dianggap ‘tidak masuk akal’. Pertama, ada pihak yang meragui kedalaman ilmunya. Kedua, Siak adalah sebuah tempat yang begitu jauh dan asing.
Namun demikian, sebelum itu beliau telah pernah menjejakkan kaki di bumi Siak ketika menziarah seorang kenalannya yang berasal dari situ. Kenalannya itu jugalah yang banyak membantu dan bersama-sama beliau dalam mengharungi sebarang ujian ketika beliau mula bertapak di bumi Siak.
 ‘ Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau’. Walaupun Lebai Harith bin Ahmad orang dagang, beliau ialah seorang yang sangat alim dan memiliki aura yang sangat hebat. Dikatakan kehadiran yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad sebagai pendakwah dan pembawa Tarikat Al- Ahmadiyyah di tengah-tengah bumi Siak dan Kepulauan Riau telah menimbulkan satu fenomena di zaman itu.  Sedemikian beliau telah berjaya menarik minat masyarakat setempat,  termasuk pihak istana dan rakyat jelata. Mereka bersama-sama menyemarakkkan kelangsungan hidup beragama mengikut hukum hakam yang ditetapkan dan mengamalkan hidup bertarikat.
Hubungan baik beliau dengan pihak istana banyak membantu dalam melicinkan lagi kerja-kerja ‘amal maaruf nahi mungkar.  Dikatakan Sultan Siak ketika itu telah berguru dan berbai’ah Tarikat Al- Ahmadiyyaah daripada yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad.
Yang alim Lebai Muhammad Harith bin Ahmad mempunyai seorang isteri dan beberapa orang anak di Rembau. Beliau juga mempunyai keluarga di Siak. Sedemikian, walaupun pusat aktiviti dakwah dan amalan tarikat beliau di Siak, beliau sering berulang alik antara Siak-Rembau. Dikatakan ketika balik ke Rembau , beliau mengunjungi anak-anak gurunya yang sangat alim dan dihormati, di antaranya, Sheikh Abdullah dan Sheikh Ahmad di Rasah, Seremban.
Saya percaya kebanyakkan masyarakat Negeri Sembilan hingga ke hari ini masih mengingati kehebatan Mufti Negeri Sembilan yang pertama,  Tuan Sheikh Hj. Ahmad bin Sheikh Hj.Muhammad Sa’id Linggi. Tuan Sheikh Hj. Ahmad juga ialah di antara anak-anak  penyebar Tarikat Al-Ahmadiah ar-Rashidiyyah Al-Dandarawiyyah di Tanah Melayu Tuan Sheikh Hj. Muhammad Sa’id Al-Linggi yang sangat menonjol, terkenal, dikagumi dan dihormati.
Untuk pengetahuan pembaca dari luar Negeri Sembilan, Tuan Sheikh Hj.Muhammad Sa’id Al-Linggi dan dikuti oleh keturunan beliau adalah ikon keturunan keluarga orang alim di Negeri Sembilan. Keturunan ini jugalah yang melangsungkan legasi amalan Tarikat Al-Ahmadiyyah yang berpengkalan di Rasah, Seremban, Negeri Sembilan ke negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Brunei dan kepulauan Indonesia.
Khalifah Tarikat Al-Ahmadiah ar-Rashidiyyah Al-Dandarawiyyah sekarang Dato’ Sheikh Hj. Mohd Murtadza b. Sheikh Hj.Ahmad ialah anak kepada Mufti Negeri Sembilan yang pertama, Tuan Sheikh Hj. Ahmad yang dinyatakan di atas .
Di sebalik kehebatan dan keharuman nama Tuan Sheikh Hj. Ahmad, mungkin ramai tidak yang mengetahui bahawa Tuan Syeikh Hj. Ahmad juga sangat akrab dengan yang alim Sheikh Lebai Muhammad Harith. Masing-masing saling menghormati di antara satu sama lain. Malah dikatakan Sheikh Ahmad yang lebih muda, turut kagum serta mengakui kehebatan dan karamah yang dimilki oleh anak murid ayahandanya itu.
Bersesuaian dengan kuat dan patuhnya yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith menekuni hidup beragama, beliau diberi banyak kelebihan oleh Allah. Dikatakan beliau dianugerahkan ilmu laduni dan ‘karamah’ . Saya tidak akan menyatakan perkara-perkara mencarik adat yang dianugerahkan kepada beliau kerana menyedari kelemahan dan naifnya diri saya. Saya juga tidak bersedia untuk mendepani ‘fitnah’ yang mungkin timbul.
Objektif yang sangat ketara sehingga beliau sanggup berkelana ke Siak ialah kerana ingin berdakwah dan menyebarkan Tarikat Ahmadiah. Beliau berjaya mencapai kedua-dua objektif tersebut dengan jayanya. Beliau berjaya menyampaikan dakwah dan menarik ribuan anak murid mengamalkan Tarikat Ahmadiah.
Akhirnya, pada tahun 1948, di usia yang sangat muda, 42 tahun, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan 'Lebai Haris' di kampung asalnya, menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau tidak meninggal dunia di tanah tumpah kelahirannya, Kampung Nerasau, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau meninggalkan dunia ini jauh di seberang lautan, di bumi Penciptanya juga, bumi Teluk Air, Bengkalis, Indonesia.
Jalan mudah menghimpunkan keluarga ialah dengan cara membina diri menjadi orang terhebat. Namun demikian, jika tidak dapat menjadi orang yang terhebat, binalah diri menjadi orang hebat di kalangan orang hebat-hebat. Sehubungan ini, setelah lebih enam dekad pemergian yang alim Sheikh Lebai Muhammad Harith, gah kehebatan beliau masih dirasakan oleh keluarga dan saudara maranya di Kampung Ampangan Penajis/Nerasau. Mutakhir ini di antara keturunan dan saudara mara beliau di telapak Kampung Ampangan PenajisNerasau yang hebat ialah yang alim Sheikh Dato' Muhammad Fuad Kamaludin. Saya juga yakin bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor, Tuan Abu Bakar bin Manat (Manaf) mempunyai ikatan persaudaraan atau di kalangan keturunan/saudara mara yang alim Sheikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad. Wallahuaklam.       
AL-FATIHAH.











--------------------------------------------------------------------------------




Nota:
Saya menulis catatan ini berdasarkan pemahaman melalui ingatan dari pembacaan dan maklumat-maklumat lisan yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi. Disebabkan catatan ini berbentuk semi biografi yang sepatutnya disokong oleh fakta yang tepat, saya memohon maaf jika berlaku catatan yang tidak tepat.
Secara jujur saya mengakui bahawa sungguh pun susur galur keturunan di sebelah arwah ayah saya berasal dari Kampung Nerasau, iaitu kampung Syeikh Lebai Harith dilahirkan,  saya bukan anak tempatan kampung itu. Sedemikian, banyak perkara yang saya sampaikan mungkin kurang/tidak tepat. Bagaimanapun, berdasarkan hasil pembacaan ‘Manaqib Syeikh Muhammad Harith’ yang ditulis oleh yang alim Dato’ Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin, saya memberanikan diri menulis catatan ringkas ini.
Sebenarnya  ‘Manaqib Syeikh Muhammad Harith’ sarat dengan maklumat-maklumat lengkap mengenai pendakwah dan penyebar Tarikat Ahmadiah ini. Bagaimanapun, disebabkan kekangan penerbit buku itu, saya tidak mempunyai keberanian ‘mengeluar ulang’.
Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lengkap mengenai Syeikh Muhammad Harith atau lebih dikenali dengan nama Lebai Haris Kampung Ampangan Penajis/Nerasau, terutamanya di kalangan anak-anak Rembau atau khususnya anak-anak Kampung Ampangan Penajis/Nerasau atau lebih khusus lagi yang mungkin baru menyedari bahawa tokoh yang sangat alim dan berjasa ini mempunyai ikatan persaudaraan susur galur keturunan samada dekat atau bau-bau bacang, carilah buku   ‘Manaqib Syeikh Muhammad Harith’ tulisan yang alim Dato’ Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin.
Untuk makluman, Syeikh Muhammad Harith atau Lebai Haris Kampung Ampangan Penajis/Nerasau  ialah datuk saudara (mengikut nasab di sebelah ibu) kepada yang alim Dato’ Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin        

18 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Terima kasih atas maklumat ini.

    BalasPadam
  2. saudara ujang,

    satu perkongsian ilmu yg bagus ... terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pn. CM,

      Terima kasih.Sila datang lagi.

      Padam
  3. Ujang Kutik,

    Tulisan yang ilmiah, saya yakin ia akan membri menafaat dari segi sejarah setempat khas nye kepada warga Rembau dan am nye kepada pembaca blog saudara.

    Teruskan usaha sebegini..haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Terima kasih kerana memberi galakan untuk menulis seperti ni.
      Wa caya lu....

      Padam
  4. yang jauh di dekat-dekatkan..percayalah orang yang taat itu adalah di sisi allah suatu hari nanti..di kampung nerasau itu bukan seorang je yang harus di kenali malah banyak lagi yang kita tidak kenali..bukan seorang..

    BalasPadam
  5. Sdr/i Tanpa Nama 5/10/12,

    Seronok kalau dapat menyingkap tabir di sebalik Sdr/i Tanpa Nama 5/10/12.

    Tentunya sdr/i sebahagian dari Kg.Nerasau itu.Saya orang jauh yg menyusur asal usul.

    T.Kasih.

    BalasPadam
  6. http://malaycivilization.ukm.my/idc/groups/portal_aperpatih/documents/ukmpd/adat_00744.pdf

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Terima kasih kerana mesej yg padat & tepat. Saya pernah melihat portal itu dan juga buku karangan Dato' Syeikh Fuad yg saya nyatakan dalam catatan ini.

      Laailahaillallah.Muhammadurrasulallah.Fiikullilamhatin wanafasin 'adadamawasiahu'ilmullah.

      Padam
    2. maafkan sy tuan..tidak niat tok sy menyalahkan mane2 pihak..nerasau ni adalah kampung lama yg sy tau.dan di nerasau ni juga terdapat wali2 yg kt tak kenali..

      Padam
    3. Sdr Tanpa Nama 30/1/4.20ptg,

      Saya memohon maaf kerana cuma memaparkan secara rengkas mengenai beliau sahaja kerana tidak mengetahui selainnya.

      Seorang ibu saudara dan bapa saudara saya masih ada di Kg.Nerasau.Saya ada 'sedikit hak' untuk mengakses serba sedikit mengenainya.

      Segala kekurangan atau yg tidak tepat mohon dimaafkan.

      Padam
  7. salam...
    nak bertanya la,sheikh haris ni memang asal kampug nerasau ke...cerita ni macam2 kita ble reka..nk bercerita biarlah sampai wujud..ertinya nyata.......kalau ble kita cari asal usul ceritanya sape orang pertama yang membuka kampung nerasau tu..ok..saya cucu cicit adam..assalam...........

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama 30/1/13/4.14 ptg

      Waalaikomsalam,

      Saya memohon di atas segala kekurangan catatan saya.

      Terima kasih.

      Padam
  8. salam tuan...di suatu ketika permulaan pembukaan kampung nerasau di datangi 3orang ulama yang murshidi..yang tinggi ilmu agamanya..pada 3orang inilah terbentuknya kampung nerasau sehingga kini..tapi tiada sapa yang tau siapa dan apa kehebatan hamba allah ini..di masjid nerasau itulah tempat pertama mereka berehat dan membuat sesuatu sehungga terjadinya masjid yang tertua di negeri sembilan ini..sama2 la kita mencari rahsia di sebalik cerita ini..assalam.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikomsalam,

      Terima kasih kerana sudi berkongsi maklumat.

      Insya Allah saya akan cuba mendapatkan kisah tiga ulamak itu. Saya juga setia menunggu kesudian tuan untuk menceritakannya.

      Di sebalik misteri yang mulia tiga hamba Allah itu , saya juga terpaksa bersabar menunggu kemunculan wajah tuan yang sebenarnya.

      Padam
  9. Utk Maklumat. Hari ni 10 Rabiulawal 1436 @1/1/2015 perginya anak sulung kpd Syeikh Haris. Pengembumian beliau turut di Hadiri anak buah beliau Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaluddin. Syeikh Fuad juga mengimamkan solat jenazah beliau yg lebih dikenali dgn gelaran Paklong Ismail.

    Wallahualam

    Yg komen sey yg bernamo Mohd Zabid 0183705696

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Mohd Zabid,

      1. Innalillahiwailaihirajiun. Al-Fatihah.

      2. Semasa membaca buku Dato' Sheikh Muhammad Fuad mengenai ' Lebai Haris' saya terbaca bahawa salah seorang anak beliau bernama ' Ismail' yang menetap di Kampung Kendung.

      3. Mungkin saudara juga mengetahui bahawa salah seorang anak lelaki Allahyarham Lebai Haris berkahwin dengan perempuan Kg. Bongek ketika masing-masing telah lanjut usia (setelah kematian isterinya). Perempuan Kg.Bongek itu ialah sepupu ibu saya. Ketika menziarah rumahnya di Kg.Bongek saya ditunjukkan gambar Lebai Haris yang digandingkan dalam satu frame dengan Tuan Sheikh Ahmad.

      4. Allahyarham bapa saya dikatakan adalah sepupu kepada Allahyarham Lebai Haris.

      Wallahualam.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."