Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 21 Disember 2012

KELANTAN, SISI YANG SAYA BOLEH BERCERITA (BAB TIGA) – AIR SARBAT TELUR PUYUH

Pada awal tahun 80-an hingga penghujung tahun 90-an, perkara ‘wajib’ yang saya lakukan ketika berada di Kota Bharu,Kelantan ialah meronda di sekitar medan selera yang terletak di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Ketika itu, lokasi medan selera itu terletak tidak jauh dari Pasar Siti Khadijah dan di sisi sebelah kanan pusat beli belah The Store yang ada sekarang. Peniaga makanan di situ menggunakan kereta sorong dan beroperasi di sebelah malam sahaja. Pada waktu siangnya, tempat itu menjadi tempat meletak kenderaan.

Di sekitar kawasan itu juga terdapat peniaga menjual pakaian, buah-buahan, ubat tradisional dan lain-lain barangan yang biasa dijual di pasar malam kecuali ikan atau sayur-sayuran. Ketika itu, saya merasakan tempat itu sangat ‘happening’.

Setelah penat meronda dan ‘mencuci mata’, saya mencari salah sebuah warung minuman dan menikmati makanan yang dibeli di warung-warung di dalam kawasan medan selera itu. Salah sebuah warung minuman yang saya selalu singgah ialah warung menjual air sarbat telur puyuh. Saya masih boleh mengingat cara peniaga di hujung 30-an( ketika itu) yang suka memakai baju pagoda berlengan berwarna putih bersih membancuh air sarbat dengan telur puyuh. ‘Cantiknya’ peniaga di Kelantan ketika itu. Mereka akan menyediakan pelanggan dengan segelas air kosong percuma sebaik sahaja pelanggan duduk di warung mereka. Tidak mengapa, jika pelanggan tidak memesan minuman lain!    

Kini medan selera itu telah tiada lagi di lokasi asal kerana dipindahkan ke lokasi baru yang tidak jauh dari situ. Kira-kira dua tahun lalu saya pernah menjenguk tempat baru itu. Malangnya imbauan masa lalu tidak dapat dirasakan lagi. Tempat baru itu kurang memuaskan – tidak teratur dan kotor. Saya juga tidak melihat peniaga ‘Warung Air Sarbat Telur Puyuh’ yang dahulu atau legasinya di situ!   

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Sesungguhnya, biarpun usia saya telah melebihi setengah abad, namun, saya belum pernah menjejakkan kaki ke bumi Kelantan. Adik ipar saya (orang Kelantan) beberapa kali mempelawa, tetapi masih belum ada kelapangan. Inilah satu-satunya negeri di negara kita ini yang belum saya datangi.

    In syaa Allah, ada keizinan Allah swt mahu saya melawat Kelantan. Terutama Pasar Siti Khadijah yang banyak saya dengar dan baca.

    BalasPadam
  2. Sdr P
    ak Mail,

    Pasar Siti Khatijah adalah pasar bangunan batu biasa:
    - Hampir semua peniaga wanita
    - Semua peniaga Melayu
    - Jualan ikan, sayur, buah-buahan,ikan,daging,beras,pakaian,kain batik dsb
    Bagaimanapun, pengalaman sdr di luar negara lebih mengujakan.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."