Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Rabu, 24 April 2013

CHECKLIST 50 TAHUN KE ATAS

HIASAN - MASJID KG.HULU MELAKA
Ketika usia menjejak setengah abad, saya telah menelefon Ibu saya bahawa anak lelaki tunggalnya ini (saya ada seorang adek perempuan) telah berusia 50 tahun. Ibu saya agak terkejut kerana katanya beliau tidak pernah mendengar seorang anak memaklumkan usianya genap 50 tahun kepada ibunya. Ibu saya, Hjh Maimunah bt. Hj. Idris telah meninggal dunia beberapa tahun lalu di usia 72 tahun. 

Saya sendiri tidak mengetahui sebab musabab yang jelas mengapa saya memaksa diri memberitahu ibu bahawa usia saya telah menjangkau 50 tahun, setengah abad. Mengapa tidak pada usia 30 tahun, 40 tahun atau  45 tahun dahulu?

Adakah 30 tahun muda sangat? Adakah 40 tahun ‘ life start at 40’? Adakah di usia zon 50 tahun seseorang itu telah terlalu tua?

Seorang kawan, 62 tahun,  yang terjun ke dunia perniagaan secara aktif selepas bersara mengemukakan pendapat seperti ini apabila diajukan soalan mengenai usia, “ Usia cuma kombinasi angka. Gaya hidup dan kemajuan dalam bidang perubatan membuatkan ‘generasi tua usia’ hari ini jauh lebih muda dari segi fizikal dan emosi berbanding generasi tua sebelum ini.” Di usia 62 tahun dia kelihatan masih bergaya, bertenaga dan awet muda.

Kadang-kadang kita terfikir bahawa usia tua sangat subjektif definasinya. Di negara ini, anjakan usia bersara dari 55 tahun ke- 56 ke- 58 dan ke-60 dalam perkhidmatan awam adalah di antara penyumbang kepada seseorang itu lambat mengaku diri sudah tua. Ianya seperti definasi tua yang telah begitu lama diterimapakai perlu dikaji semula. Jangan terkejut bahawa seorang penjawat awam di usia 55 tahun tidak merasa dirinya tua kerana dia lambat lagi hendak bersara.           

Namun demikian, ada satu spesis yang sentiasa merasakan dirinya tua, yaani mati! Ini kerana; Bayi mati, kanak-kanak mati, remaja mati, orang dewasa mati, warga emas mati.

Sedemikian, seorang Islam yang baru akhil baligh sepatutnya  setara komitmennya dalam beragama dengan warga emas kerana sesiapa sahaja boleh mati dahulu tanpa mengambil kira usia.

Ironisnya, seorang Islam di usia akhil baligh yang lalai mungkin bercita-cita untuk ‘menjadi baik’ pada usia remaja.

Seorang remaja yang lalai mungkin bercita-cita untuk ‘menjadi baik’ pada usia dewasa.

Seorang dewasa di usia 30 tahun yang lalai mengharapkan dipanjangkan usia agar boleh ‘menjadi baik’ pada usia 40 tahun.

Seorang dewasa di usia 40 tahun yang lalai dan lupa diri mengharapkan dipanjangkan umur agar boleh mula beribadat pada usia 45 tahun.

Seorang dewasa di usia 45 tahun yang lupa diri mengharapkan dipanjangkan umur agar boleh mula beribadat pada usia 50 tahun.

‘ Stop!’. Sepatutnya tiada lagi angan-angan atau bermain-main dengan janji untuk mula beribadat dan mengabdikan diri setaat-taatnya kepada Allah di ketika usia menjejak 50 tahun. Hakikatnya, usia 50 tahun dan ke atas adalah zon di hujung jalan. Zon ini adalah 'Janji Mesti Dikotakan Sekarang Juga! Ini zon mati! Zon ini adalah peluang terakhir sebelum mati.

Syukur, kita masih hidup di usia melebihi 50 tahun. Seorang di usia lebih 50 tahun dan ke atas sepatutnya telah beres Rukun Islam. Seorang Islam di usia 50 tahun dan ke atas sepatutnya telah ada ‘checklist routine’ hidup sehariannya yang dipatuhinya pada sekurang-kurangnya amalan berikut ;

·         Solat berjumaah,
·         Menghadiri kuliah agama di masjid/surau secara konsistan,
·         Solat sunat kabliah dan ba’diah,
·         Solat sunat witir,
·         Solat malam (mendirikan malam),
·         Solat sunat dhuha,
·         Puasa sunat Isnin dan Khamis,
·         Zikir pagi dan petang.  

Jujurnya, saya sendiri di kalangan 50 tahun ke atas mengharapkan amalan-amalan di atas mendarah daging dalam kehidupan saya. Namun demikian, banyak diantaranya yang tidak berdaya saya lakukan kerana kelemahan diri. Namun demikian, saya tidak pernah menghilangkan niat untuk melakukannya.




Catatan ketika menunggu hujan teduh di RNK Ampang Avenue
24/4/2013 (Rabu) 
6.00 petang 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."