Semua jiran saya di sebuah taman
perumahan di pinggir Ibu Kota adalah baik-baik belaka. Mereka; Melayu, Cina,
India dan termasuk satu keluarga keturunan Filipina.
Namun demikian, jiran di sebelah
kanan rumah, adalah jiran paling istimewa. Saya yakin jiran-jiran yang lain pun
sependapat dengan saya. Jiran yang seorang ini adalah seorang Melayu. Beliau seorang
yang peramah, dikenali bukan sahaja oleh jiran keturunan Melayu tetapi juga
oleh lain-lain kaum. Beliau yang juga bendahari masjid adalah seorang yang ringan
tulang dan suka membantu.
Saya sekeluarga mempunyai lebih
akses mengenai kelebihan jiran ini kerana rumahnya di sebelah kanan rumah kami.
Beliau jiran terdekat saya.
Saya mengenali jiran yang berketurunan
Jawa dari Batu Pahat, Johor ini sejak tahun 1979, iaitu ketika kami mula
bertugas di Jabatan yang saya bertugas sekarang. Dia yang lebih tua beberapa tahun dari saya
telah bersara beberapa tahun yang lalu.
Isterinya yang berketurunan Rawa (pecahan
etnik Minangkabau) berasal dari Jerantut, Pahang. Pasangan ini mempunyai 4
orang anak perempuan. Kesemua anaknya mendapat pendidikan tinggi dan mempunyai
kerjaya yang baik. Kecuali puteri bongsunya seorang graduan UKM, tiga anak
beliau yang lain telah berumah tangga.
Dalam banyak hal, saya dan
keluarga ‘seperti bergantung’ dengan kelebihan beliau. Katakan sahaja
masalah-masalah khususnya masalah teknikal; Paip air bocor, plug tidak
berfungsi, talian letrik, kereta rosak, masalah alat penghawa dingin (kereta
dan rumah), beliau siapa siaga untuk membantu, samada membaikinya sendiri dengan
tulus hati atau mengesyorkan kaedah untuk mengatasinya.
Salah satu buah tangan beliau
yang saya jaja dengan bangganya ke hulu ke hilir ialah kebolehannya membuat
sambungan binaan 20’ x 10’ secara sendirian atau ‘one man show’. Saya menganggap
kebolehan beliau sebagai ‘keajaipan’. Bayangkanlah betapa beliau seorang pesara
kerajaan yang tidak pernah terlibat dalam kerja-kerja binaan mampu membina
‘porch’, tembok bersimen, lantai dengan kemasan jubin yang kemas, kukuh dan
cantik secara sendirian.
Saya tidak dapat gambarkan di
mana beliau belajar untuk membuat dua batang tiang konkrit dengan ketinggian lebih
10 kaki yang tetulang besinya ‘dianyam’ seperti yang dapat dilihat di
tapak-tapak binaan. Saya tidak dapat bayangkan kudrat seorang di usia emas
mampu mengangkat palang-palang kayu yang berat untuk membuat atap (genting)
bangunan. Saya juga tidak pernah mengetahui bahawa dia mempunyai kemahiran
membuat lantai dengan kemasan jubin yang begitu kemas.
Suatu ketika dahulu suri rumah
begitu teruja membuat ‘plaster ceiling’ di rumah masing-masing dan termasuklah isteri saya. Jiran saya ini ada datang
sekali dua menjenguk pekerja-pekerja membuat kerja ‘ plaster ceiling’ di rumah
saya. Tidak lama selepas kerja-kerja membuat ‘plaster ceiling’ di rumah saya
siap, jiran saya membuat sendiri ‘plaster ceiling’ di rumahnya. Buatannya kemas
dan cantik. Saya diberitahu bahawa kos yang beliau keluarkan jauh lebih rendah
dari kos yang terpaksa saya bayar kepada pekerja Indon.
Sebenarnya banyak lagi kebolehan jiran
saya ini yang saya ‘megahkan’. Antaranya, beliau juga mahir memasak sehingga
boleh di bawa ke tengah seperti kenduri kendara, membuat roti canai/roti Arab
segera secara komersial. Beliau juga pernah menghadiahkan saya bekas makanan kucing
yang sesuai dan praktikal digunakan semasa saya balik ke kampung sehari
dua.
Di kalangan ahli keluarga saya,
kami mengangkat jiran ini sebagai ‘ The Genius’. Seorang yang disenangi dan juga
seorang yang tahu dalam ‘semua (banyak) perkara’.
Setelah berpuluh-puluh tahun
berjiran, perhubungan kami berjalan dengan baik, harmoni, saling
hormat-menghormati dan juga saling percaya-mempercayai. Sejambak kunci rumah
saya ada dalam simpanan jiran ini dan begitulah juga sebaliknya, iaitu sejambak
kunci rumah beliau ada dalam simpanan saya.
Bijak pandai mengungkapkan, “
Tetangga yang baik adalah lebih baik dari kawan yang baik.” Saya sangat-sangat
bersetuju dengan ungkapan ini!
ujang kutik,
BalasPadamKita juga di tuntut untuk mendahalui jiran terdekat dari saudara yang jauh.
Menjadi kelebihan yang amat apabila kita mempunyai jiran yang macam tuan ceritakan ini.
Sdr theolrascal,
BalasPadamYa, saya bertuah mempunyai jiran seperti beliau.