Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 18 Julai 2013

INDIA MUSLIM & ISLAM

Sempena berkat bulan Ramadhan, banyak hijab terbuka. Di antaranya, kita berpeluang melihat 'the beauty of Islam' di beberapa pelusuk dunia di layar TV. Ironinya, pada bulan-bulan lain tidak banyak peluang ke arah itu.

Di antara rancangan TV yang menarik perhatian ialah paparan senario masyarakat Islam di negara-negara yang majoriti penduduknya adalah bukan Islam.- Asia, Eropah, Amerika, Australia/New Zealand, Scandinavia.

Melalui siaran-siaran TV tersebut kita mengetahui bahawa hampir semua watak yang menggerakkan komuniti Islam di negara-negara bukan Islam adalah komuniti India Muslim. Komuniti India Muslim seolah-olah berada di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini. Mereka, bukannya Orang Arab yang mengibarkan panji-panji Islam di negara-negara bukan Islam pada alaf ini dan sebelumnya.

Komuniti India Muslim berjaya menyesuaikan diri, bersaing dan menyerap kehendak tempatan di 'negara baharu' mereka tanpa meminggirkan jati diri sebagai penganut agama Islam yang baik.

Dalam satu slot, penonton diperlihatkan mengenai kejayaan membina sebuah kehidupan yang baik oleh pasangan professional yang berketurunan Muslim Surinam di Hague, Holland. Walaupun pasangan itu dikatakan berketurunan Surinam, iras/air muka mereka jelas menunjukkan bahawa mereka adalah dari keturunan India.
 
Komuniti India Muslim di Negara-Negara Eropah khususnya dilihat sangat berjaya dalam bidang pendidikkan dan perniagaan. Banyak yang menjadi doktor, jurutera, peniaga, ahli farmasi dan lain-lain profession. Mereka juga dilihat tidak mudah larut (terikut-ikut) dengan pengaruh negatif penduduk tempatan.

Tidak dinafikan bahawa mungkin ada di antara sisi yang dipertontonkan adalah sisi ' surface ' (luaran) atau tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan sepenuhnya. Kalau pun berlaku kemungkinan sedemikian, nisbah kebarangkaliannya tidaklah terlalu tinggi kerana daya tahan/saing golongan imigran India Muslim yang ampuh telah diakui oleh masyarakat dunia.
  
Satu perkara lagi yang mereka tidak pernah tinggalkan apabila telah bersedia di sesuatu tempat (termasuk yang telah dibuktikan di Malaysia) ialah membina masjid. Inilah yang telah mereka lakukan. Malah, ada di antara masjid-masjid tersebut dibina di dalam kawasan perumahan yang majoriti penduduknya adalah bukan Islam.    

Sesungguhnya, keberanian komuniti India Muslim dalam meneroka penghidupan baharu di negara orang mungkin bertitik tolak kepada sejarah lampau bangsa dan persekitaran negara asal mereka. Susur galur keturunan dan jati diri mereka ada kaitan dengan kehebatan kerajaan Islam India berabad-abad yang lalu. 

'Maaf cakap', " Umumnya, orang Melayu masih belum menampakkan lagi riak-riak keberanian seperti itu setakat ini. Kita masih tidak bersedia mengharung sungai, apatah lagi bermain ombak di laut luas. "

2 ulasan:

  1. Pemerhatian saya semasa bermusafir di bumi Kanada begitu. Banyak rangkaian perniagaan diterajui oleh mereka. Yang sangat saya kagumi kebanyakan mereka sangat menjaga tatasila islam. Anak anak perempuan masih lagi dicarikan jodohnya.

    BalasPadam
  2. Sdr Tanpa Nama,

    Tuan lebih bernasib kerana melihat sendiri situasi sebenar.

    Seperti tuan, unsur inilah di antara perkara yang saya kagumi terhadap saudara seIslam kita itu.

    T.Kasih.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."