Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 27 Julai 2010

Catatan Kehidupan: nostalgia di sekolah rendah

Masa mendewasakan kita. Sebaliknya, nostalgia tidak pernah dianjak seiring dengan perjalanan masa. Nostalgia membawa kita mudik semula ke sesuatu ruang kehidupan yang pernah kita lalui.

Nostalgia masa lampau terurai lerai demi lerai apabila imbauannya mendatangi kita. Sesekali ia mendatangi kita, kesannya amat mendalam. Kita akan larut bersamanya.

Saya mempunyai tabiat suka menceritakan pengalaman semasa zaman anak-anak secara berulang-ulang kepada anak-anak saya. Ada kalanya mereka meluahkan perasaan bosan kerana seperti dipaksa mendengar perkara yang sama secara berulang-ulang.

Keterujaan menceritakan pengalaman ketika zaman anak-anak akhirnya secara tidak sengaja telah menimbulkan satu lawak sindiran 'clise' tetapi menyeronokkan di dalam keluarga kami. Sebelum sempat saya mengulangi skrip yang sama semasa melewati bekas sekolah rendah ketika bercuti di kampong, salah seorang anak saya secara berjenaka akan mengatakan: “Ini sekolah ayah, Sekolah Kebangsaan Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Ayah adalah di antara pemain yang membantu pasukan sekolah menjadi johan Sepakbola Sekolah-Sekolah Daerah Rembau Selatan, Negeri Sembilan pada tahun 1966. Masa itu ayah di darjah 5." Semuanya akan ketawa.

Dan apabila melalui jambatan besi (dulu jambatan kayu)di Kampong Mayon, anak yang lain pula akan berkata: “Di sinilah tempat ayah dan kawan-kawannya selalu mandi sungai ketika balik dari sekolah. Kerapkali pakaian ayah dan kawan-kawannya yang disangkutkan pada tunggul-tunggul kayu di tepi sungai diambil oleh orang ketika mereka seronok mandi. Seperti selalunya ayah dan kawan-kawannya tanpa berpakaian pergilah ke rumah Pak Cik Abu yang terletak tidak jauh dari sungai tersebut untuk mengambil pakaian masing-masing dan berjanji tidak akan mandi sungai lagi kepada orang tua tersebut.”

Alam persekolahan di sekolah rendah telah lama ditinggalkan. Namun, sesekali naluri kerinduan kepada kawan-kawan se darjah datang juga menjenguk. Ketika zaman kami dahulu, sesebuah darjah yang mengandungi 30 hingga 35 orang murid cuma ada satu kelas sahaja. Ini bermakna, kawan-kawan se darjah kami adalah pelajar yang sama ketika kami di Darjah Satu hingga Darjah Enam (1962 - 1967). Keadaan tersebut menjadikan perhubungan sesama pelajar menjadi rapat.

Di antara kawan-kawan se darjah yang pernah saya temui di dalam masa terdekat ialah Cikgu Adris Abu Bakar dari Kampong Mayon yang kini menetap di Taman Guru, Seremban. Seorang lagi ialah kawan se kampung bernama Mohd Nor Abd. Ghani yang kini menetap bersama keluarganya di Melaka.

Saya agak rapat dengan Adris Abu Bakar bukan sahaja ketika di sekolah rendah bahkan juga ketika di sekolah menengah. Saya masih ingat beliau lahir pada bulan Januari tahun 1955.

Adris bin Abu Bakar adalah budak pandai. Beliau biasanya dapat nombor satu dan menjadi ketua darjah kami. Seorang lagi budak pandai bernama Jariah Ayub. Mereka berdua sahaja yang membolot nombor satu atau nombor dua.

Saya masih teringat satu kenangan yang agak lucu mengenai Adris. Di darjah kami ada seorang budak lelaki nakal yang berbadan besar. Hobinya suka mengganggu pelajar-pelajar lain. Bagaimanapun, perhubungan dia dengan kawan-kawan se darjah yang lain pada amnya adalah baik. Cuma dia nakal sedikit sahaja.

Dipendekkan cerita maka ditetapkanlah 'pertarungan' di antara budak nakal tersebut dengan Adris selepas waktu sekolah. Susuk tubuh Adris kecil sedikit daripada budak nakal tersebut tetapi tegap.

Selepas habis waktu sekolah Adris terus balik ke rumahnya yang tidak beberapa jauh dari sekolah untuk menukar pakaian. Kami pula kawan-kawan se darjah yang kebanyakkannya penyokong Adris terus pergi ke tempat yang ditetapkan. Si budak nakal
tersebut pun ada bersama kami menunggu kedatangan lawannya, si Adris.

Kelibat Adris masih tidak nampak setelah kami menunggu hampir satu jam. Si budak nakal tersebut pun mulalah memperlekehkan Adris. Kononnya Adris takut kepadanya. Saya pun berpendapat dakwaannya ada asasnya.

Ketika kami bersiap-siap hendak balik ke rumah masing-masing, tiba-tiba Adris muncul dari celah-celah semak ke tempat 'pertarungan'. Semua pandangan terarah kepada Adris. Kagum...Hebat...Hairan.....Lucu. Yang datang bukan Adris tetapi 'Cassius Clay'(Muhammad Ali)!

Adris datang dengan berseluar cerut pendek, berkaki ayam, tidak memakai baju dan memakai 'glove' tinju kepunyaan bapa tirinya!

Pembaca tentu hendak mengetahui kesudahan 'pertarungan' di antara budak nakal dengan Ketua Darjahnya, Si Adris. Kalau semua yang hadir termasuk lawan Adris sendiri kagum,hairan,lucu dan ketawa berdekah-dekah, siapa yang hendak 'berentap'?

Tiada perlawanan dan tentunya tiada pemenang.

Selain daripada mereka berdua, saya tidak pernah berjumpa lagi dengan kawan-kawan se darjah di dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 hingga 30 tahun yang lalu. Malahan, ada juga yang terus terputus hubungan sejak meninggalkan bangku sekolah rendah pada tahun 1968.

Kadang-kadang kita merasakan bahawa dunia ini terlalu kecil kerana ditakdirkan boleh berjumpa dengan kawan-kawan di tempat yang tidak dijangkakan.Sebaliknya, ada kalanya kita merasakan bahawa dunia ini terlalu luas sehingga membuatkan kita tidak pernah berjumpa walaupun sekali di dalam tempoh berpuluh tahun.

Alangkah seronoknya jika ditakdirkan bertemu semula dengan kawan-kawan se darjah dahulu. Perkara pertama yang mungkin akan dilakukan ialah memperkenalkan isteri,suami,anak-anak, anak-anak menantu atau cucu masing-masing.

Seterusnya, mungkin topik wajib yang akan diimbas semula ialah membawa kayu api ke sekolah untuk memasak bubur gandum sumbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seterusnya, mungkin ada yang akan menceritakan semula betapa seronoknya menyertai rombongan sekolah yang dipimpin oleh Cikgu Nordin Ahmad ke Cameron Highlands yang sangat sejuk ketika itu. Ada yang tidak tidur malam kerana terlalu teruja menyertai rombongan tersebut.

Mungkin ada juga yang akan menceritakan semula betapa pihak sekolah memanjakan kami dengan menyediakan makanan yang tidak mampu disediakan oleh keluarga masing-masing walaupun cuma telor setengah masak dan minuman glugos sepanjang tempoh latihan mewakili pasukan sepakbola sekolah.

Dan sebenarnya banyak lagi perkara yang akan ditanya dan diceritakan.

Agaknya, di mana dan bagaimanakah keadaan kawan-kawan se darjah dahulu seperti Akasah Isa, Aris Adam, Mohd Aris Abd. Aziz, Roslan Karim, Rosli Samin, Aminuddin Alias, Mohd Apas Talib, Dahalan Manaf, Raja Azahan, Khalid, Mohd Yunus, Zabedah Sharif, Jariah Ayub, Azimah Alias, Latifah Adam, Latifah Madnor, Zaharah Burhan dan lain-lain lagi? Semoga mereka dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan menjalani kehidupan yang baik.

Aminuddin Alias ialah anak Penghulu yang memiliki bakat melukis. Lukisannya cantik dan nampak seperti hidup.

Secara spesifik kalau boleh saya berhajat menemui kawan se darjah yang seorang ini. Saya percaya kebanyakkan kawan-kawan se darjah lelaki yang lain kalau berpeluang pun berhajat menemui beliau. Saya berpendapat nama beliau tidak perlu dinyatakan di dalam tulisan ini. Kami tidak berlaku adil dan melayannya dengan baik. Dia adalah anak kepada seorang tukang kebun berketurunan Jawa yang bekerja di rumah persinggahan orang kenamaan. Keluarganya yang tidak diketahui asal usulnya tinggal menumpang di dalam kawasan perumahan orang kenamaan tersebut.

Hamba Allah yang suka memakai songkok berwarna hitam ke sekolah ini pun satu hal. Pada usia semuda kami, dia mengaku telah memiliki ilmu kebatinan. Kononnya, di dalam songkoknya ada tangkal. Mungkin inilah di antara sebab mengapa dia selalu dipermain-mainkan oleh kawan-kawan se darjah. Kerap kali songkoknya yang kononnya ada tersimpan tangkal dijadikan bahan gurauan dengan dilemparkan dari seorang pelajar kepada seorang pelajar yang lain . Minta maaf banyak-banyak!

Sebenarnya saya teragak-agak dan tidak pasti samada pertanyaan berikut sesuai atau sebaliknya kerana boleh menimbulkan prasangka yang bukan-bukan atau tidak relevan lagi pada masa ini. Di manakah agaknya kini budak perempuan cantik bernama Aziah Harun yang menjadi perhatian setiap pelajar lelaki di sekolah kami dahulu? Dia tidak lama bersama kami kerana mengikut ayahnya yang bertukar ke tempat lain.

Di peringkat para guru pula yang saya ketahui telah meninggal dunia ialah Allahyarham Cikgu Nordin b. Ahmad. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa beliau dan mendapat tempat yang baik di akhirat kerana mengajar kami pada satu ketika dahulu. Amin.

Saya mendapat tahu bahawa guru ugama yang pernah mengajar kami Ustazah Zainab bt. Mahmud masih di dalam keadaan sehat walafiat. Putera beliau adalah seorang ulamak yang terkenal di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Mungkin kawan-kawan se darjah masih mengingati Cikgu Aziz dari Kuala Pilah yang telah membimbing pasukan sepakbola sekolah kami sehingga menjadi pasukan yang kuat dan ditakuti. (Disamping itu, pasukan ‘net ball’ sekolah kami pun tidak kurang hebatnya). Kalaulah beliau masih hidup lagi, ketika ini beliau berusia lebih kurang 70 hingga 75 tahun.

Melayan imbauan nostalgia melebihi empat dekad sememangnya mengasyikkan. Bagaimanapun, sesekali kedatangannya juga membuatkan hati menjadi sebak kerana bersamanya ada kehilangan yang tidak dapat digapai semula. Sesungguhnya, tiada yang kekal melainkan Allah.

2 ulasan:

  1. Kalau begitu kenalah buat perjumpaan dengan kawan-kawan lama dan berikan sumbangan bakti kepada warga s.k.chengkau kini yang telah dianugerahkan sek kluster yang pertama diRembau

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama,

    Terima kasih kerana terjumpa entri lama saya - Julai 2010. Catatan ini ditulis ketika saya mula berjinak-jinak dengan blog. Mungkin ada sedikit sebanyak kekurangan dari segi pengolahannya.

    Saya mengikuti perkembangan sekolah saya ini. Kalau masa zaman saya dahulu Sek.Kebangsaan Chengkau melahirkan ramai 'pejuang' sukan (bolasepak dan net ball), Namun, 20 tahun kebelakangan, SKC adalah kilang pelajar-pelajar cemerlang di UPSR.

    Mungkin Tanpa Nama guru di SKC atau yang ada kaitan dengan SKC. Tiga orang anak-anak saudara saya bersekolah di SKC semuanya dapat 5A - Nor Azra Azmi, Mohd Azri Azmi dan Mohd Azwan Azmi. Ada yang ke TKC, Alam Shah dan Sekolah Sains. Nor Azra skor 10A1 pada SPM dan sekarang bertugas di Petronas. Bukan saya hendak bangga tentang anak-anak saudara tetapi inilah hebatnya 'sekolah chengkau', sekolah saya sampai bila-bila.

    Saya juga mendapat tahu bahawa seluruh watga kerja SKC khususnya para guru sangat komited dalam melahirkan pelajar cemerlang. Iini adalah di antara sebab sekolah ini dianugerahkan Sekolah Kluster Pertama Rembau. Saya turut merasa bangga.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."