Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 18 Jun 2011

sayangkan cucu,anak orang; sayangkan anak,isteri orang

Ketika kecil, selain daripada ibu bapa, orang yang amat kita sayangi ialah adek beradek kita. Kalau kita anak kedua daripada tiga adek beradek yang kesemuanya perempuan, mereka ialah Kak Long dan Alang (adek) kita. Begitulah juga keadaan sebaliknya kepada kedua-dua saudara kandung kita, kita ialah orang yang paling mereka sayangi.

Andainya, kita cuma dua beradek dan yang tua ialah lelaki, dia ialah Abang Long kita. Begitulah juga sebaliknya kepada Abang Long kita, kita ialah orang yang paling disayanginya.

Manakan tidak, kita bersama merentas laluan kehidupan yang rencam; samada susah atau senang, gembira atau lara, kenyang atau lapar, menderita atau bahagia. Segala-galanya!

kok sikit sama banyak
kok ada sama dirasa
kok tidak sama duduk
bertimbang sama beri
hati kuman sama dicecah
hati gajah sama dilapah
kok membahagi sama rata.

Namun, kehidupan ini sebenarnya tiada yang muktamad. Istilah muktamad mungkin hanya sesuai khusus untuk sesuatu fasa kehidupan sahaja.

Apabila saudara kandung kita berkahwin, orang yang paling disayanginya beralih daripada kita kepada suami atau isterinya.

Apabila saudara kandung kita mempunyai anak, orang yang paling disayanginya beralih pula daripada isteri atau suami kepada anaknya pula.

Roda kehidupan akan terus berpusing fasa demi fasa. Saudara kandung yang pernah menjadi orang yang paling kita sayangi suatu ketika dahulu, akhirnya, tidak lagi berada dikedudukkan asalnya. Begitulah juga kedudukkan kita di hati mereka. Ini hukum alam.

‘Moral of the story’ ialah, “kasih sayang seseorang kepada seseorang lain bukan milik mutlak tunggal seseorang itu, masih ada pihak yang lebih berautoriti."

Sayang saudara, isteri orang;
Sayang cucu, anak orang;
Sayang anak, isteri orang.

Akhirnya, kita masih bernasib baik, jika silatul rahim di antara adek beradek tidak terputus di ketika masing-masing dilekakan dengan kedudukkan, anak cucu dan keluarga masing-masing. Kecuali perlu, jangan masuk campur sangat hal keluarga mereka. Fasa ini, adalah,‘ Dek galak bersuara; kok benar disukai, kok salah dibenci.’

4 ulasan:

  1. Namun begitu sayangnya seorang ibu, sayang sejati sehingga akhir hayatnya.

    BalasPadam
  2. Sayangkan kepada yang bernamanya Manusia.. ada tempohnya.. Sayang dan Kasih ALLAH kepada Hambanya, serta sayang dan kasihnya RASUL kepada umatnya kenapa tidak kita ukur..

    BalasPadam
  3. Memang betul, kalau sempurna hubungan kita dengan Allah, sempurnalah hubungan kita dengan manusia dan makhluk yang lain. Kita cuma kadang-kadang terkeliru.Terima kasih.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."