Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 29 Ogos 2011

ramadhan:kedatangannya dinanti,pemergiannya ditangisi



Ungkapan, "Kedatangannya Dinanti,Pemergiannya Ditangisi", amat popular pada Ramadhan 1432H ini. Sebelum ini ungkapan tersebut tidak dirasakan kewujudannya. Ini adalah suatu anjakan dalam kita menekuni hidup beragama.

Kita tidak lagi terlalu diusik dengan buaian nostalgia Ramadhan di zaman anak-anak.dahulu . Naik bosan telinga anak-anak kita disumbatkan secara berulang-ulang pengalaman kita semasa menyambut Ramadhan  di zaman anak-anak dahulu.

Kita ceritakan kepada mereka berulang kali betapa seronoknya suasana berpuasa 3- 4 dekad yang lalu .Kita ceritakan hebatnya 'ayah kamu ini' membuat meriam buluh di usia  semuda 10 -12 tahun. Kita ceritakan juga suasana kampung diterangi oleh pelita buluh yang diletakkan pada tiang-tiang pagar rumah penduduk. Ahh.....terlalu banyak yang kita imbaukan.

Bagaimanapun, pada Ramadhan 2-3 tahun kebelakangan ini kita tidak lagi terlalu bercakap mengenai nostalgia masa lalu. 

Kita terutamanya yang menetap di bandar mula bercakap mengenai kehadiran jumaah yang ramai ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawikh. Bukan sahaja di awal Ramadhan, tetapi juga di sepanjang bulan Ramadhan tanpa menafikan berlaku sedikit kekurangan pada akhir Ramadhan.

Kini kita juga mula bercakap mengenai pengisian program keagamaan  seperti tazkirah, qiamullail , iktikaf, membantu golongan orang susah dan sebagainya, khususnya di surau dan masjid di Kuala Lumpur dan Selangor di sepanjang bulan Ramadhan.

Sebelum ini kita cuma dimaklumkan oleh ustaz atau pelajar-pelajar yang pernah belajar di Timur Tengah mengenai 'Pak-Pak Arab' beriktikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Bagaimanapun, fenomena tersebut telah mula berlaku di beberapa buah masjid di sekitar Lembah Klang. Malah, ibadah mendirikan malam dipimpin oleh ustaz-ustaz yang berkelayakan dan terkenal. Para jumaah juga disediakan juadah untuk bersahur.

Mungkin inilah suasana yang membuatkan kita begitu leka dan asyik menghayati 'Kedatangannya Dinanti, Pemergiannya Ditangisi'.

Kata Ustaz, " 'Pemergiannya Ditangisi' bermaksud kita khuatir kalau dosa-dosa kita tidak diampunkan pada Ramadhan kali ini."

Semoga kita dipanjangkan umur dan berpeluang menyambut Ramadhan yang kita nantikan kedatangannya pada tahun 1433H kelak. Semoga.


 

1 ulasan:

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."