Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 1 Oktober 2011

'little padang' ada di kuala kelawang,jelebu

                                                            Bangunan Muzium Adat

Selasa, 20 September 2011, saya bersama isteri ‘makan angin’ di Jelebu, Negeri Sembilan atau setepatnya di bandar Kuala Kelawang. Kendatipun berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, saya cuma dua kali sahaja sampai ke bandar yang  terletak 40 kilometer ke arah timur Bandar Seremban ini. Kali terakhir ialah kira-kira 25 tahun yang lalu.

Perjalanan dari Seremban ke bandar ini melalui struktur jalan yang agak mencabar – berbukit bukau, curam dan bengkang-bengkok. Namun, fenomena alam semula jadi yang indah di sepanjang jalan amat mengasyikkan mata memandang. Fenomena alam seperti turut mempersilakan tetamu luar datang mengunjungi bandar terpencil dari laluan utama ini.

Pengunjung juga disajikan dengan tidak kurang daripada sepuluh papan tanda penunjuk arah ke tempat-tempat perkelahan hutan lipur di sepanjang jalan ke Bandar Kuala Kelawang. Ini menunjukkan daerah ini begitu akrab dengan alam semula jadi. Keinginan hendak meninjau salah satu daripada taman rekreasi hutan lipur tersebut terpaksa disimpan di dalam hati kerana faktor tidak biasa dengan persekitaran kawasan sekeliling.

Asyik dan larut melayan deria lihat membuatkan kami terasa perjalanan dari Seremban ke Kuala Kelawang begitu singkat. Sayangnya lukisan hidup alam tidak dapat dirakamkan  kerana  masalah mendapatkan tempat yang selamat di kiri-kanan jalan. 

Ketika jam menunjukkan hampir 12.30 tengah hari, kami sampai di Kuala Kelawang, bandar YB Datuk Seri Dr.Rais Yatim, bandar penyanyi/pelakun Aman Shah. Siapa lagi? Ah..naifnya saya.  

Bandar Kuala Kelawang ialah sebuah bandar kecil. Kalau tidak silap saya, bandar ini tidak mempunyai kawasan sub-urban yang menempatkan taman-taman perumahan atau kilang-kilang. Mungkin juga saya silap.

                                                      Dari Satu Sudut Kuala Kelawang

Seperti bandar-bandar lain di bawah majlis perbandaran daerah, bandar ini mempunyai kemudahan prasarana seadanya seperti Kompleks Pentadbiran Daerah, Balai Polis, Muzium Adat, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah berasrama penuh MRSM, hotel, stesen minyak, bank dan perhentian bas. Ketika ‘berpusing-pusing’ di bandar ini saya terlihat bangunan dua tingkat Pejabat RISDA Daerah Jelebu.

Bandar kecil ini kelihatan seolah-olah memperagakan ‘segala yang ada’ di tengah-tengah bandar. Umpama, sebuah rumah pangsa yang dilengkapkan dengan perabut untuk kediaman di banglo. Walaubagaimanapun, bandar ini bersih dan cantik dengan hiasan seni taman yang menarik.

Sekalipun saya anak Negeri Sembilan, pesona wajah bandar ini sedikit ‘asing’ kepada saya. Saya tidak hairan dengan kelainan nama bandar ‘Kuala Kelawang’ yang menjadi pusat pentadbiran Daerah Jelebu tidak sama dengan nama daerahnya. Semua bandar/pekan pentadbiran di lain-lain daerah seluruh Negeri Sembilan dari Gemas hingga ke Nilai mengikut nama daerah masing-masing.

                                                    Bangunan Majlis Daerah Jelebu

Saya merasa ‘asing’ kerana serlahan senibina bangunan-bangunan penting di bandar ini berbeza dengan senibina bangunan di bandar-bandar lain di seluruh Negeri Sembilan. Senibina beberapa bangunan penting terutamanya Kompleks Majlis Daerah Jelebu dengan struktur bucu bumbungnya yang tajam seolah-olah menujah langit, sarat dengan senibina Minangkabau.

                                                             Pentas Stadium Jelebu

Selain dari itu, sebuah pentas kecil di dalam Kompleks Muzium Adat Negeri, Astaka Stadium Jelebu dan Perhentian Bas Jelebu juga bercirikan senibina Minangkabau.

                                                               Perhentian Bas Jelebu

 Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa bandar Kuala Kelawang ialah ‘Little Padang’ bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga di seluruh Malaysia. Ya, ‘Little Padang’ ada di Kuala Kelawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

                                                  Panorama Bandar Kuala Kelawang

Pun demikian, anda dinasihatkan supaya jangan mencari ‘Masakan Padang’ di Kuala Kelawang. Masakan Padang tiada di sini. Sebaliknya, anda boleh memesan masakan tom yam di salah sebuah restoran di bandar ini. Anda juga jangan terkejut apabila pelayan restoran tersebut menyambut kedatangan anda dalam loghat Patani yang pekat dan bukannya loghat Negeri Sembilan, jauh sekali dialek Minangkabau.    

                                                     Astaka Di Kompleks Muzium Adat


Seorang Orang Negeri Sembilan dari Nilai yang ditemui di Perhentian Bas Jelebu secara bergurau berkata, “Kalau ada kumpulan kebudayaan dari Jelebu membuat pertunjukkan di Padang, Sumatera Barat, jangan nyanyikan lagu ‘Ayam Den Lapeh’ atau ‘Ubekkan Denai’. Itu bukan lagu kita. Sebaliknya, nyanyikanlah lagu-lagu bercirikan Negeri Sembilan seperti ‘Bongai’ atau Dendang Umpan Bocek’. Atau, sekurang-kurangnya lagu ‘Apo Nak Dikato (Ito/Blues Gang)’. Itu lagu kita.”

Sebelum meninggalkan bandar ini, hati kecil saya seperti membenarkan kata-kata orang  dari Nilai tersebut kerana Adat Perpatih Negeri Sembilan ialah penyatuan Adat Minangkabau, Adat Tempatan Siak dan Adat Tempatan Negeri Sembilan (Adat Benar). Adat tersebut ialah penyatuan tiga adat dari suku kaum yang berbeza latar belakang dan budaya.  

Itulah kehebatan Orang Minangkabau terdahulu: Mereka lebih cerdik dan jika mahu boleh mengambil kesempatan di atas kenaifan Orang Tempatan (Orang Asal). Namun, mereka tidak pernah mengambil kesempatan ke atas situasi tersebut. Sebaliknya, mereka (Orang Minangkabau terdahulu) mengambil kaedah ‘Menang – Menang’ di dalam segala hal apabila melibatkan pihak Orang Tempatan (Orang Asal). Sahsiah nenek moyang (Orang Minangkabau terdahulu) orang Negeri Sembilan hari ini mendepani zaman, beradab dan beradat.

‘Wajah sebenar Negeri Sembilan’ dilakar dari tiga elemen  tanpa menafikan bahawa ada di antara elemen-elemen tersebut lakarannya lebih menyerlah dari yang lain . Sungguhpun dilakar sedemikian cara, ketiga-tiganya telah larut dan tidak dapat diasingkan lagi. Itulah cantiknya Negeri Sembilan. 

Anda perlu datang ke Bandar Kuala Kelawang untuk melawat Muzium Adat , menyaksikan sendiri keunikan Bandar Kuala Kelawang dan seterusnya bersantai bersama keluarga di tempat perkelahan hutan lipur di daerah ini. 


Senikata Lagu Apo Nak Dikato
(Ito/Blues Gang)

Poi pokan naik basika
Tongah haghi tongah paneh
Apo dayo motong gotah
Apo nak dikato
Kalau boleh nak jadi cikgu sekolah
Kek Kolo Pilah


Sawah leba kobau banyak
Air pigi sojuk sekali
Sunyi sopi takdo oghang
Apo nak dikato
Kalau boleh nak bising-bising
Macam pokan Tampin


Tanak nasik bogheh kampong
Masak lomak cili (lado) api
Mesen padi takdo lai
Ramai oghang dah kojo kilang
Kek pokan Seghomban


Batu Ompek Toluk Komang
Tompek oghang mandi mando
Aghi minggu ponoh sosak
Apo nak dikato
Air laut bertambah masin
Kek pokan Port Dickson





  

4 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Melihat kepada struktur bangunan yang unik mencerminkan identiti masyarakat yang kreatif.

    BalasPadam
  2. Sdr Pak Mail,

    Ya, hampir semua kehidupan mereka ada kaitan dengan seni yang tersendiri - Adat, senibina, lagu,percakapan.....

    BalasPadam
  3. Tuan

    Sayang, sayang sekali ye ..nasi padang tiada
    untuk kita 'ikhtiraf' kan little padang ni..

    Menjadi harapan saya jolokan ''litte padang''
    akan tersebar luas..haha..

    BalasPadam
  4. Sdr Theolrascal,

    Ya, di Jelebu dan seluruh Negeri Sembilan tiada masakan padang.

    Semoga.T.Kasih

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."