Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Rabu, 29 Februari 2012

teman menangis


Kata pujangga, " Kita mungkin akan melupakan orang yang pernah tertawa dengan kita, tetapi tidak mungkin melupakan orang yang menangis dengan kita."

Spesis hamba-hamba Allah ini pada kebiasaannya menghuni banglo-banglo mewah atau kondominium-kondominium di kawasan perumahan elit. Atau sekurang-kurangnya rumah teres RM350,000 ke atas.

Tuan-tuan mereka biasanya YB Menteri, ahli korporat, doktor pakar atau sekurang-kurangnya pegawai kerajaan Gred 54. Sedikit golongan sedang-sedang - pegawai kerajaan gred 44, guru, eksekutif rendah swasta atau pegawai polis. Amat sedikit di kalangan kerani atau juruteknik. Hampir tiada di kalangan buruh kasar yang mendiami kuarters satu bilik atau rumah setinggan.

Sekali haiwan kesayangan tersebut batuk, tuan-tuan mereka akan segera membawa ke klinik veterinar. Mungkin dengan menaiki 'merc', BMW atau paling kurang versi Honda. Sekali rawatan mencecah ratusan RM.      

Bagaimanapun, catur kehidupan berbagai versinya. Seorang gadis jelita mungkin tidak menemui jodoh sepanjang hidupnya. Seorang graduan mungkin bertuankan taukeh yang tidak tamat darjah enam.

Begitulah nasib hamba-hamba Allah ini - terkurung menunggu kedatangan bakal tuan-tuan mereka di sebuah kedai haiwan. Andainya bernasib baik, adalah tuan-tuan yang akan datang menjemput. Andai sebaliknya, terkurunglah hamba-hamba Allah itu di situ selama-lamanya - terkurung dan diperdagangkan.

Kehidupan ini umpama air pasang surut, tiada siapa yang dapat menahannya. Ini 'real kehidupan', bukan suatu kekejaman. Atau, kejam itu teramat subjektif takrif dan jurainya.

  

Khamis, 23 Februari 2012

jepun (4) - malaysia (0) : berpijaklah di bumi nyata

Ketika catatan ini ditulis saya dan rakan-rakan sekerja berkursus di Kuala Lumpur. Jadual kursus yang ketat tidak memungkinkan kami menyaksikan pertemuan Malaysia menentang Jepun dalam aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil melalui siaran secara langsung di stesyen television sebentar tadi.

Sedemikian ada di antara rakan-rakan amat terkilan kerana tidak dapat menyaksikan perlawanan tersebut melalui siaran secara langsung di peti television.

Saya secara peribadi tidak terkilan sangat kerana menyedari keupayaan sebenar pasukan kita.Sebaliknya, saya akan lebih terkilan jika tidak dapat menyaksikan perlawanan antara Kelantan dengan Terenggganu dalam Liga Super Malaysia 2012. 

Jelas, sebilangan rakan-rakan yang mengharapkan 'miracle' berlaku, terpedaya dengan kata-kata dan harapan palsu yang ditabur oleh samada tokoh-tokoh sukan bolasepak tanah air, jurulatih atau media  yang tidak jujur dengan hakikat keupayaan pasukan Malaysia dalam saingan peringkat Asia. Masakan Malaysia dapat menyaingi pasukan bolasepak Jepun dalam tempoh terdekat ini! 

Kami cuma dapat menyaksikan babak-babak akhir perlawanan tersebut ketika pasukan Malaysia ketinggalan 0-4. Cuping telinga saya masih terngiang-ngiang mendengar susunan ungkapan nakal yang diucapkan oleh seorang pengulas sukan tetap stesyen television yang bermaksud lebih kurang : "Jangan turut bersorak ketika pasukan Malaysia meraih kemenangan, jika tidak sanggup bersama ketika Malaysia dikalahkan."

Bukannya saya tidak memiliki semangat patriotik. Akuilah dengan hati terbuka akan hakikat keupayaan sebenar pasukan kita. Berpijaklah di bumi nyata. Janganlah kita mengingau dan tertipu dengan senandung lunak yang kita sendiri mengetahui palsu atau tidak benar.

Deretan kalah dalam semua perlawanan kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menunjukkan betapa lemahnya pasukan kita di peringkat saingan Asia. Pasukan Jepun bukannya lawan kita, Malaysia. Kita memerlukan suatu tempoh masa yang panjang untuk layak 'bermain' dengan legasi keturunan Kamamoto, pemain pasukan bolasepak Jepun yang digeruni dalam aksi Merdeka Cup beberapa dekad yang lalu.

Jangan halang penonton bolasepak Malaysia bersorak ketika kita menang. Jangan halang penonton Malaysia menunjukkan sikap protes kerana diaibkan dengan kekalahan demi kekalahan.

Sesungguhnya, penonton bolasepak Malaysia telah terlalu lama tidak dapat bersorak untuk meraikan kemenangan pasukan Malaysia di peringkat saingan Asia. Sedemikian, janganlah ada ugutan atau kata-kata sumbang yang tidak membenarkan penonton bersorak.

Pihak yang diberi mandat hendaklah berusaha sedaya upaya supaya penonton pada hari ini dapat bersorak kembali di peringkat  saingan Asia seperti yang dapat dilakukan oleh generasi era Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, James Wong, Hasan Sani dan ramai lagi suatu ketika dahulu.

Ini harapan rakyat. Ini juga KPI kepada pihak yang diberi mandat untuk memartabatkan pasukan bolasepak Malaysia.

    


Isnin, 20 Februari 2012

india Islam : india peranakan @ jawi peranakan


Saya berkesempatan membaca buku Kenangan-Kenangan Abdullah Munsyi yang ditulis oleh Datuk Zahari A.Rashid. Buku tersebut ialah cubaan beliau memaparkan kembali kisah-kisah yang terdapat di dalam buku Hikayat Abdullah. Pada saya, buku tersebut adalah jalan pintas terutamanya di kalangan kita yang 'malas' membaca, mendapat manfaat dalam usaha memahami seboleh mungkin isi kandungan buku Hikayat Abdullah yang hebat itu.

Dinyatakan dalam buku tersebut bahawa empat bangsa di Bandar Melaka, yaani bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa Keling (India) dan bangsa Nasrani (Portugis) hidup dalam suasana harmonis, aman damai, bekerjasama, saling  menghormati dan  menggunakan bahasa Melayu semasa berkomunikasi di antara etnik (bangsa).

Bangsa Cina yang dimaksudkan oleh pengarang Hikayat Abdullah, Abdullah bin Kadir Munsyi, ialah masyarakat Baba atau Cina Peranakan. Kewujudan masyarakat Baba atau Cina Peranakan atau Baba Melaka diketahui oleh kebanyakkan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, mungkin ada di kalangan kita tidak menyedari bahawa seiring dengan wujudnya masyarakat Baba atau Cina Peranakan di Melaka ketika itu, wujud juga golongan India Peranakan atau Jawi Peranakan.

Diceritakan bahawa bangsa Keling termasuklah Tamil, Gujarati, Malabari,Bangali dan Chitty. Bangsa Keling di kalangan yang beragama Islam lebih rapat dengan Orang Melayu kerana mereka menganut agama yang sama.

Kebanyakkan pedagang India Islam yang telah mempunyai isteri di India tidak membawa isteri mereka ke Melaka. Sehubungan itu, ramai di antara mereka berkahwin lagi dengan wanita Melayu Melaka. Lama kelamaan keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu tempatan dikenali sebagai India Peranakan atau Jawi Peranakan.   

Bagaimanapun, berbeza dengan Cina Peranakan yang tidak boleh berbahasa Cina kecuali bahasa Melayu, golongan India Peranakan masih terus menggunakan bahasa Tamil dalam keluarga.

Seterusnya buku tersebut mencatatkan; " Sehingga hari ini, umumnya golongan India Peranakan ini masih menggunakan bahasa Tamil dalam perbualan harian sesama keluarga. Namun kini kewujudan kaum India Peranakan di Bandar Melaka sudah tidak ketara lagi. Hal ini mungkin kerana bilangan mereka sudah semakin mengecil samada akibat ramai yang berpindah ke bandar-bandar lain atau sudah terserap (asimilasi) sepenuhnya ke dalam masyarakat Melayu. Kesan yang masih tinggal hari ini hanyalah kawasan Kampung Keling dan Masjid Keling di tengah-tengah kota raya Melaka. Selain itu, masih terdapat sekumpulan kecil keturunan India Muslim yang menjalankan perniagaan barangan antik di Jongker Street." 

Sehubungan ini saya teringat kepada sahabat saya yang berketurunan DKK, Kadir. Bagaimanapun, dalam konteks ini Kadir tidak layak dikategorikan India Peranakan @ Jawi Peranakan kerana institusi keluarganya berpengkalan di Pulau Pinang, bukannya Melaka. 

Pun demikian, acapkali pengunjung tersesat ke blog saya kerana salah faham dengan nama 'Ujang Kutik'. Ramai yang beranggapan saya berketurunan DKK. Tidak mengapa, apalah yang ada pada nama!   

Sabtu, 18 Februari 2012

sekadar renungan

Semalam, Jumaat, selepas waktu pejabat, hujan turun dengan selebat-lebatnya di  Ampang, Selangor. Kalakian, berlakulah kesesakkan lalu lintas di jalanraya yang teruk. 'Mengerikan'. 

Keadaan sedemikian adalah sesuatu yang tidak diingini oleh warga kota yang dalam perjalanan balik dari pejabat ke rumah masing-masing. Di sekitar jam 6.00 petang, setelah menunggu hujan reda tetapi tidak juga reda-reda, saya terpaksa meredah jalan raya untuk balik ke rumah yang letaknya 7 kilometer sahaja dari pejabat.

Saya sampai di Ampang Indah jam 7.00 petang. Hujan masih turun dengan lebatnya. Perjalanan untuk sampai ke rumah yang cuma tiga kilometer sahaja lagi semasa waktu puncak dan ditambah pula dengan hujan lebat mengikut kaedah dan sifir warga kota sebenarnya 'terlalu jauh'.

Sedemikian, saya singgah di Masjid Bukit Indah, Ampang menunggu masuknya waktu Maghrib. Selesai solat maghrib dan dalam keadaan hujan masih belum berhenti, saya menuju ke kereta untuk balik ke rumah. Aduhh......kereta saya dihalang oleh sebuah kereta lain.

Saya kembali semula ke beranda masjid untuk menunggu tuan punya kereta yang 'tidak berhati perut' tersebut keluar. Dia tidak keluar. Saya tidak dapat balik ke rumah.

Saya marah. Perut pun lapar. Terlintas juga di dalam hati hendak 'mengapakan' kereta (Camry) hamba Allah tersebut. Itu cuma lintasan hati, saya tidak akan tunduk dengan semudah itu.

"Bagaimanapun, kalau umur saya 25 tahun belum tahu lagi!!!" Ini juga bukan kata-kata atau ungkapan saya. Ungkapan tersebut adalah kata-kata seorang kawan sebaya yang menceritakan dia diajak bertumbuk oleh pemandu remaja berusia 20-an kerana berlaku perlanggaran kecil di jalan raya.

Akhirnya, saya tiada pilihan kecuali masuk semula ke dalam masjid dan mendengar kuliah sementara menunggu masuk waktu solat Isyak.

Saya duduk di satu sudut di bahagian belakang dewan masjid. Di dalam dewan masjid saya terlihat kelibat mantan penyanyi 'dr  Sam' yang popular dengan lagu 'Aku Anak Malaysia' suatu ketika dahulu. Beliau kini berketerampilan dan berpakaian secara satu jumaah dakwah yang berpengkalan di Seri Petaling, Kuala Lumpur/Selangor. Secara peribadi, saya meminati beliau dari dahulu dan  kini/sekarang. Esok, belum tentu lagi.

Saya juga sempat memerhatikan gelagat seorang insan istimewa di dalam dewan masjid. Beliau yang berpakaian jubah dan berserban dengan selamba menjadi makmum di belakang individu yang lewat menunaikan solat maghrib atau melakukan solat sunat. Beliau tidak solat berjumaah sehingga selesai dengan seseorang yang dijadikannya imam. Sebaliknya, beliau akan beredar dan mengikut orang lain yang dilihatnya baru hendak menunaikan solat. Pembaca jangan ada sebarang prasangka, beliau ialah insan istimewa.

Saya mengambil gambarnya ketika beliau solat berjumaah berimamkan seorang yang solat di hadapan saya. Saya terkejut kerana ketika sedang solat dia memberhentikan solatnya dan datang ke arah saya.

"Apa hal pulak ni," saya berkata di dalam hati.

"Kasyafkah dia, dia nampak gambarnya diambil," hati kecil saya membayangkan sesuatu.

Beliau , awal 40-an, memiliki air muka yang jernih dan berpakaian bersih tersenyum dan menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan saya. Saya menyambut salam persahabatan itu dengan menggenggam erat tangannya yang lembut dalam tempoh yang agak lama. Subhanallah.

Setelah selesai solat Isyak saya menuju ke kereta untuk balik ke rumah. Hujan telah berhenti. Ketika sampai di parkir, hamba Allah 'yang tidak berhati perut' pun sedang mengundurkan keretanya untuk keluar dari kawasan masjid, rumah Allah.

'Hamba Allah 'yang tidak berhati perut' itu tidak mengetahui bahawa saya pernah mempunyai perasaan marah terhadapnya kerana menghalang kereta saya. Dia juga tidak mengetahui bahawa saya juga berterima kasih kepada beliau kerana tindakannya tersebut telah memberi peluang saya mengikuti kuliah maghrib dan menunaikan solat Isyak berjumaah di Masjid Bukit Indah, Ampang. Kalau saya terus balik selepas solat maghrib, saya cuma dapat menunaikan solat isyak secara sendirian sahaja di rumah. Ini takdir. Ini anugerah Allah. Alhamdulillah.

Dan, ketika melalui jalan keluar kawasan masjid, saya melewati insan istimewa yang berjalan sendirian dengan menggunakan tongkat. Saya tidak tahu destinasinya. Namun, saya mengagak, sebelum azan subuh berkumandang di esok hari, beliau telah ada di rumah Allah itu memperhambakan dirinya kepada Pencipta dengan caranya sendiri. Allah Hu Akbar.

        
  


Ahad, 12 Februari 2012

mak andeh & pak andeh: bukan nogoghi somilan yo yang golor, oghang lain pun golor


Keputusan Liga Super Malaysia 2012 Pada 11 Februari 2012 :
Negeri Sembilan (1), Lions X11 (3)
Negeri Sembilan Kalah!!!


Nasihat Mak Andeh menenangkan suaminya, Pak Andeh, penyokong tegar Negeri Sembilan  di sebuah kampung di Negeri Sembilan, "Bukan kito yo yang golor (golor dalam kontek ayat ini bermakna kalah), oghang lain pun golor juo. Terengganu kono 1-2 dengan Kelantan, Selangor lai paghah -kono 0-2 dengan adeknyo PKNS, Perak kono 0-2 dengan T-Team, Chelsea pun golor, Liverpool pun golor...ramai lai yang golor." 

 Uwa....aaa!!!!!!!!


Sabtu, 11 Februari 2012

mencari melayu cameron highland


Wajah iras Melayu ditemui di mana-mana di Cameron Highland.  Di penginapan apartment dan hotel, di perkebunan sayur dan bunga, di taman rama-rama, di ladang teh, di cafeteria BOH di puncak Ladang BOH Sungai Palas, di pasar sayur dan bunga, di pasar malam Brinchang dan semestinya di Jabatan-Jabatan Kerajaan. Sembilan puluh peratus iras Melayu! Saya membuat andaian mudah : Orang Melayu sekarang mampu 'Cuti-Cuti'.

Nisbah kasar ini setelah dikecualikan wajah wanita iras Melayu  pekerja pasar malam, yang mudah dikenali melalu loghat Indon mereka. Orang Bangla atau India yang bekerja di kebun teh, sayur dan bunga tidak perlu diambil kira kerana jelas 'kebanglaan' atau 'keindiaan' mereka.

Ya, kita boleh mengira melalui 'simple arithmatic'dan merumuskan: Sembilan puluh sembilan peratus (99%)pekerja @ kuli dalam industri pertanian berteknologi tinggi di Cameron Highland ialah golongan pendatang. Malah, tidak ada sesiapa yang mempertikaikan jika anda mengatakan seratus peratus!

Bagaimanapun, apabila 'membanci' pekerja pendatang dari India kita harus lebih berhati-hati kerana nisbah bilangan pekerja berketurunan India di kalangan rakyat negara kita agak besar juga. Ini berkait rapat dengan kedatangan kaum India ke negara kita di masa era penjajahan Inggeris. Penjajah Inggeris membawa pekerja dari India untuk bekerja di ladang teh mereka. 

Kewujudan kaum India sejak begitu lama di Cameron Highland dapat dilihat melalui kemampuan mereka bersaing dan memberi impak dalam perniagaan mini market, kedai runcit dan restoran. Malah, dalam perniagaan restoran, kejayaan pengusaha kaum India yang beragama Hindu tidak mampu disaingi oleh pengusaha restoran Mamak (India Muslim) yang biasanya mudah meratah pesaing mereka di tempat-tempat lain. Di Cameron Highland (termasuk Tanah Rata dan Brinchang), susah , bukan 'susah sedikit' tetapi 'susah banyak' hendak mencari restoran Mamak.

Saya dapati beberapa restoran Mamak telah ditutup atau yang mampu bertahan menghadkan waktu perniagaan mereka. Nasihat saya kepada pengunjung tegar restoran Mamak, "Lupakan sahaja hajat anda untuk menghirup teh tarik sambil bersembang, melayari internet atau menonton EPL layar lebar di Cameron Highland." Anda boleh melakukannya di Ampang, Klang, Seremban, Rembau atau di mana sahaja kecuali di Cameron Highland.            

Dan, di tengah-tengah keriuhan pengunjung iras Melayu di Cameron Highland, saya cuba mencari 'Melayu Cameron Highland', yaani orang Melayu jati Cameron Highland. Bukannya Orang Asal (Orang Asli) tetapi Melayu Jati Cameron Highland.

Pada pendapat saya, satu-satunya cara untuk bertemu dengan Orang Melayu Jati Cameron Highland ialah secara mengunjungi kampung-kampung tradisional mereka. Di kesempatan yang terluang saya secara bersendirian membuat rayauan di sekitar Tanah Rata dan Brichang untuk mencari perkampungan tradisional kaum sebangsa , Melayu Jati Cameron Highland. Saya tidak menemuinya.

Secara beralas saya katakan bahawa mungkin ada perkampungan tradisional penduduk Melayu Jati di penempatan tanah tinggi yang dijumpai oleh juru ukur Inggeris bernama William Cameron pada tahun 1885 ini. Cuma, mungkin saya tidak menjumpai 'Kampung Melayu Jati Cameron Highland' itu semasa melakukan rayauan yang singkat. Saya juga tidak mendapatkan maklumat yang lebih lanjut dengan pihak yang ada 'authority' seperti Pejabat Daerah Cameron Highland.

Kendatipun demikian, saya dan pembaca mungkin mempunyai naluri ilusi yang sekata mengenai wajah-wajah gadis Melayu Jati Cameron Highland (jika ada) yang membesar dan diulit ekosistem tanah tinggi yang dingin, indah dan menenangkan. Naluri tidak pernah menipu. 

   

   

Khamis, 9 Februari 2012

made in england: land rover



Dalam filem retro barat, kenderaan buruk sekukuh kereta kebal ini digunakan untuk  membawa soldadu. Sebaliknya, di bumi Cameron Highland yang subur dan dingin, kenderaan ini digunakan untuk kerja-kerja di ladang – membawa peralatan ladang, memabawa baja dan racun atau membawa keluar hasil kebun untuk dipasarkan kepada orang ramai.
Inilah situasi yang menarik perhatian saya ketika bercuti bersama keluarga di Cameron Hinghland pada 6 hingga 8 Februari 2012 yang lalu.  Kenderaan tersebut, yaani jeep-jeep Land Rover buruk kelihatan  di mana-mana; di bandar, jalan-jalan besar, laluan di perkebunan sayur dan bunga, atau sekadar diletakkan di pinggir perkebunan kerana tuan punyanya sedang berkebun, atau ditinggalkan terbiar di kiri kanan laluan perkebunan kerana tidak ekonomik lagi untuk diperbaiki.
Jelas sekali  jeep Land Rover versi lama yang tidak dikeluarkan lagi oleh syarikat pengeluar ini tahan lasak @ heavy duty dan ada ‘gah’ yang tersendiri. Bagaimanapun, urutan ke atas kekerapan pertukaran pemilik, menunjukkan bahawa pengurusan Land Rover sangat mencabar. Apabila sesuatu syarikat tidak dapat bertahan, baton pemilikan (owners) terpaksa diserahkan kepada pihak lain.
Deretan syarikat-syarikat besar yang pernah menjadi pemilik Land Rover adalah; 1948-1967(Rover Company), 1967-1968(Leyland Motor Corporation), 1968-1096(British Leyland Motor), 1986-1988(Rover Group), 1988-1994(British Aerospace), 1994-2000(BMW), 2000-2008(Ford Motor Company) dan 2008-sekarang (Tata Motors).  
Walaupun Land Rover masih berpengkalan di JLR Gaydon Centre, Gaydon, United Kingdom, gah masa lampau orang barat atau khususnya Inggeris telah diambilalih oleh suatu kuasa yang ada kaitan dengan benua kecil India, yaani Tata Motors.        
Jeep lama Land Rover di Cameron Highland adalah secebis peninggalan sisa-sisa keunggulan produk England yang pernah dikagumi suatu ketika dahulu – berprestij, menarik, umur hayat yang lama (atau lambat rosak) dan berkualiti. Generasi hari ini tidak mengetahui fakta ini.    

Rabu, 8 Februari 2012

j.a.russel: dedaunnya.......


Dia, J.A.Russel, anak kepada seorang pegawai di syarikat Inggeris datang ke Malaya ketika berusia 7 tahun pada tahun 1890. Apabila mencapai usia remaja dia bekerja dengan syarikat Inggeris, Straits Trading Company. Gajinya sebulan RM30.00. Jumlah itu dianggap rendah untuk seorang pegawai Inggeris pada ketika itu.

Namun, dia seorang yang berkebolehan,berbakat dan bercita-cita tinggi. Dia beralih ke bidang perniagaan. Di usia 44 tahun dia telah memilikki beberapa buah perniagaan yang melibatkan pelaburan dalam sektor bijih timah, getah dan hartanah. Dia terlibat dalam pembinaan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Dia, Si kacak J.A. Russel, tidak berhenti setakat itu. Dia seperti yang dinyatakan di atas berkebolehan, berbakat dan bercita-cita tinggi. Pada tahun 1927, harga komiditi turun kecuali harga teh yang berkualiti. Dia membuka kebun teh di Cameron Highland, Pahang dan menamakannya BOH. Legasi perniagaan bangsa yang pernah menjajah negara kita ini kekal hingga ke hari ini di Malaysia.

Namun demikian, J.A.Russel mungkin tidak pernah terfikir bahawa golongan yang sebangsa dengan pekerjanya , yaani kaum India akan menguasai minuman berunsurkan teh dan menimbulkan fenomena 'teh tarik' dan 'lepak di kedai mamak' di kalangan penduduk negara ini pada hari ini.

'Kegilaan' tersebut tidak akan dapat memadamkan peranan besar J.A. Russel dalam penerokaan industri kebun teh dan produk daun teh di Malaysia. Walaupun merentas zaman, kedua-duanya saling kuat menguatkan. Namun demikian, J.A. Russel berada di klas ekslusifnya yang tersendiri. Tidak terkalahkan.

Selasa, 7 Februari 2012

momen yang telah lama ditinggalkan

Telah hampir satu jam Yusuf duduk mengelamun di kerusi pejabatnya. Dia berkeadaan sedemikian sejak masuk semula ke pejabat setelah menguruskan bekalan baja di perkampungan Orang Asal, Kampung Pulau Aur awal pagi tadi. Senandung pantun empat kerat yang didengarnya semula awal pagi tadi sangat membekas. Seperti, tidak ada lirik kesudahannya.

Senandung pantun empat kerat itu persis bisikan mistik - menakluk minda dan denyut nafasnya. “Ulang alik ulang alik, Hari sudah siang, Upek cantik Upek cantik,Campamlah sayang.”

Yang duduk di kerusi pejabat itu, tubuh biologi Yusuf di usia hujung 40-an. Sebaliknya, yang diperangkap dalam tubuh biologi itu ialah seorang Yusuf yang mudik merentas masa-masa yang telah lama ditinggalkan. Seorang Yusuf si anak kampung yang naif.    

Yusuf baru sahaja dua bulan bertukar dari Ibu Pejabat ke Pejabat Cawangan yang terletak kira-kira 7 kilometer sahaja dari kampung asalnya, Kampung Lubuk Paku. Dia sendiri yang membuat permohonan bertukar ke tempat asal sebelum bersara 6 tahun lagi.

 “Hai, jauhnya mengelamun. Ingat orang rumah atau tersangkut dengan gadis Kg.Pulau Aur?”  tegur Shakir yang masuk semula ke pejabat setelah melawat kawasan jagaannya.

“ Tak adalah. Penat.” Yusuf menjawab sambil tersenyum. Dia menyembunyikan rahsia yang mengocak perasaannya. Dia memerhatikan Shakir menghala ke mejanya di bahagian belakang ruang pejabat di tingkat bawah itu.

Sepantas itu, slide kenangan pagi tadi yang terganggu seketika mengimbas semula lembar demi lembar.

Seawal jam 8.20 pagi tadi Yusuf dan Kadir, pemandu jabatan telah sampai di balai raya Kampung Pulau Aur. Kadir meletakkan kenderaan pacuan empat roda agensi dengan muatan 20 kampit baja di luar pagar balai raya yang pintu pagarnya masih belum dibuka.

“Belum ada orang datang lagi En.Yusuf,” Kadir memulakan bicara.

“Tidak mengapa, biar kita tunggu. Jangan mereka tunggu kita,” Yusuf berethorik dengan meminjam ungkapan yang selalu diucapkan oleh Ketua Unitnya ketika bertugas di Ibu Pejabat dahulu.

 “ Pagi ini berapa orang?”

“Tiga orang, 7 kampit, 7 kampit dan yang seorang lagi 6 kampit.”

“Janji pukul berapa?” Kadir bertanya lagi.

“Pukul 9 pagi,” jawab Yusuf pendek. Dua orang kakitangan kerajaan itu serentak melihat jam di tangan masing-masing. Jam menunjukkan pukul 8.55 pagi.

Mereka berpandangan sesama sendiri.

Sejurus kemudian kelihatan tiga orang lelaki separuh umur berjalan secara berbaris menghampiri pintu pagar balai raya. Lelaki yang di hadapan membuka pintu pagar balai raya. Setelah membuka pintu pagar lelaki itu menegur, “Minta maaf Encik kami lambat sedikit. Kami menoreh dahulu. Silakan masuk ke dalam.”

Yusuf yang mengetahui lelaki itu ialah Tok Batin setelah dibisikkan oleh Kadir menjawab, “ Tok Batin tidak lewat. Kita janji pukul 9.00 pagi. Sekarang tepat jam 9.00 pagi.Orang Jepun pun tidak setepat ini.” Ha..ha..ha.. Semua yang hadir ketawa. Mereka sama-sama masuk ke dalam  balai raya setelah pintunya dibuka oleh Tok Batin.

Yusuf memilih salah satu kerusi yang dilengkapkan dengan alas menulis. Dia mengeluarkan dokumen bekalan baja yang perlu dilengkapkan sebelum bekalan boleh dibuat. Tok Batin yang bertindak sebagai pemudah cara dan dua orang lagi penerima bantuan berdiri mengelilinginya.

“Akop anak Jali,” Yusuf menyebut nama penerima pertama.

Akop anak Jali yang sudah biasa dengan proses bekalan mengeluarkan kad pengenalannya. Lelaki berusia pertengahan 50-an itu menurunkan cap jarinya di ruangan akuan menerima bekalan baja setelah diterangkan oleh Yusuf. Dia mendapat 7 kampit baja.

Yusuf menyebut seorang lagi nama penerima bantuan bekalan baja, Usin anak Lampam. Lelaki di usia hujung 30-an yang bersekolah setakat darjah (tahun) enam itu menurunkan tandatangannya di ruangan yang ditetapkan. Usin anak Lampam juga mendapat 7 kampit baja.

Yusuf mengeluarkan satu lagi borang di atas nama Atan anak Hitam. Tok Batin terus menerangkan keadaan sebenar. Katanya, “Atan anak Hitam telah meninggal dunia dua minggu lepas.

“Warisnya?” tanya Yusuf.

“Ada, isterinya,” jawab Tok Batin.        

Akop anak Jali dan Usin anak Lampam mengekori Yusuf ke kenderaan agensi untuk mengambil bekalan baja masing-masing. Yusuf sempat mengingatkan kedua-dua orang pekebun getah itu supaya membaja kebun masing-masing secepat mungkin. “ Jangan simpan di bawah rumah pula,” sambung Yusuf secara berjenaka. Kedua-dua orang pekebun getah Orang Asal itu tersenyum mendengar gurauan sinis itu.

Yusuf masuk semula ke dalam balai raya menemui Tok Batin yang masih berada di situ. Tok Batin terus bertanya, “ Encik, macam mana dengan baja si mati, mendiang Atan anak Hitam?”

“ Pihak kami akan bekalkan kepada waris mendiang, isterinya,” balas Yusuf.

Tok Batin menunjukkan arah dan kedudukkan rumah mendiang yang tidak beberapa jauh dari balai raya. Ketua masyarakat Orang Asal itu juga menawarkan diri untuk menemankan Yusuf ke rumah itu. Yusuf menolak niat baik Tok Batin kerana mengetahui Orang Asal sebaya usianya itu hendak mengambil anaknya di sekolah.      

Sabtu, 4 Februari 2012

kadir, i missed you

01 Februari 2012, ketika kami bertugas di Batu Pahat, rakan sekerja ,Kadir , 46, telah pergi meninggalkan kami.  

Kadir bukannya meninggal dunia. Kadir cuma dengan rasminya bertukar ke Jabatan lain. Saya sempat bersama Kadir di Jabatan sekarang selama hampir lima tahun.

Saya, Kadir dan dua orang rakan sekerja lagi dalam kumpulan yang sama ketika bertugas di luar ibu pejabat. Sedemikian, masa kualiti dua puluh empat jam  bersama dalam sehari ketika bertugas di luar Ibu Pejabat merapatkan perhubungan kami.Kami akrab.

Justeru itu, kehilangan Kadir di kalangan kami amat dirasakan.

Kadir, anak kelahiran Pulau Pinang berdarah ‘DKK’ ini paling muda di antara  kami berempat. Di kalangan kami juga, Kadir ialah ‘anchor’. Kadir bukan sahaja komited dengan tugas rasminya, malah Kadir juga amat berkebolehan dalam ‘ko-kurikulum’. Kadir boleh membuat kerja-kerja binaan yang asas seperti menyimen, bertukang, kerja-kerja paip air (plumbing), kerja-kerja letrik yang asas, membaiki kenderaan dan banyak lagi.

Kadir juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Dia AJK persatuan kakitangan. Dia juga AJK surau di kawasan perumahannya.

Kadir juga bijak berhujah dan seolah-olah serba tahu. Ada di kalangan kawan-kawan yang menggelarkan Kadir,‘The Professor’. 

Tulisan ini akan dianggap memuji Kadir secara berlebihan jika saya tidak memaparkan ‘keburukkan’ Kadir. Walaupun aktif di surau, Kadir juga ‘boleh ke tepi ke tengah’. Dia ialah orang kuat dalam penganjuran pertandingan nyanyian karaoke di tempat kerja kami. Kadir kuat berkaraoke! Malah, Kadir ialah naib juara pertandingan karaoke di tempat kerja kami dua tahun berturut-turut. 

Tiada manusia biasa yang sempurna. Namun, Kadir memiliki banyak kelebihan. Kudrat empat keratnya sentiasa bersedia untuk menolong atau membantu orang lain samada yang melibatkan kerja pejabat atau hal-hal peribadi.  Saya sendiri banyak belajar dari Kadir tentang pengendalian komputer.

Saya dan Kadir bergilir-gilir membawa kenderaan apabila bertugas di luar Ibu Pejabat . Kami juga bermalam di bilik yang sama ketika menginap di hotel-hotel seluruh Malaya (Sila baca Semenanjung Tanah Melayu). Daya tahan perhubungan seperti ini menagih persefahaman dan tolak ansur yang tinggi.

Satu peraturan yang tidak bertulis di kalangan kami ialah rakan-rakan yang membawa kenderaan umpama ‘pemandu’ kepada rakan-rakan yang lain . Ketika bertugas di Butterworth, rakan yang membawa kenderaan terpaksa membawa kami ke Kulim yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer cuma untuk melunaskan hajat rakan lain yang hendak makan ‘Mee Goreng Mamak Kulim’ .

Selain itu, rakan yang membawa kenderaan hendaklah menghantar rakan lain (kecuali rakan lain parkir kereta di ibu pejabat)  ke rumah-rumah masing selepas balik dari bertugas di luar ibu pejabat. Secara kebetulan, kawasan perumahan saya cuma sekitar 7 kilometer sahaja dari ibu pejabat. Ini memudahkan Kadir menghantar saya ke rumah. Dan begitulah juga ‘peraturannya’ ketika saya membawa kenderaan.Belum pernah lagi kami meninggalkan rakan-rakan di tengah jalan atau perhentian bas.

Selain dari kenangan-kenangan bersama Kadir yang dinyatakan di atas, ada  satu ungkapan yang tidak akan kedengaran lagi dan juga satu hajat saya yang tidak kesampaian sempena ‘perginya’ Kadir.

Biasanya selepas penat memerap di dalam bilik hotel, yaani di sekitar pukul 10.00-10.30 malam, Kadir akan mengajak rakan-rakan ‘mengetea’ di kedai mamak dengan panggilan ‘tag linenya’, “ Night Still Young”. Selepas ini, ‘tag line’ Kadir itu tidak akan kedengaran lagi.

Sebenarnya, Kadir yang tidak menjangka pertukarannya telah menyediakan cadangan bertugas di Batu Pahat, Johor bersama saya dan dua orang rakan yang lain. Kali in agak istimewa sedikit kerana saya akan menaiki kereta baru Kadir, Proton Inspira yang baru sebulan dibelinya. Ketika di Batu Pahat dapatlah kami berempat menaiki kereta baru  Kadir  ke Restoran Nasi Berani Md Shah dan warung-warung asam pedas  yang terkenal di bandar itu. Namun, hajat itu tidak kesampaian. Kadir telah 'pergi' terlebih dahulu.

Apabila balik semula bertugas selepas  bercuti panjang, saya telah menyediakan ungkapan klise ketika berjumpa Kadir di majlis perpisahan yang tertangguh nanti. Saya akan memeluk Kadir dan membisikkan, “I missed you”.    
 

Jumaat, 3 Februari 2012

kalau di masjid pun tidak selamat, tiada lagikah tempat selamat?



Papan kenyataan mini gergasi seperti di atas ditemui di salah sebuah masjid di Gelang Patah, Batu Pahat, Johor. Mungkin ada di antara kita akan berrethorik:"Kalau di masjid pun tidak selamat , tiada lagikah tempat selamat?"

Kebiasaannya papan tanda atau kenyataan di kebanyakkan masjid mengingatkan kita kepada sesuatu peringatan atau galakan supaya kita menekuni hidup beragama. Kalau pun ada peringatan sekunder seperti yang dipaparkan di atas, biasanya saiz kenyataan tersebut tidaklah begitu besar. Memadailah sekadar dapat dibaca oleh pengunjung atau jumaah masjid sahaja. 

Klisekah atau cuma susunan kata-kata rethorik yang dapat difahami melalui pertanyaan, ungkapan atau sindiran, " Kalau di masjid pun tidak selamat, tiada lagikah tempat selamat?"

Atau, sememangnya tiada lagi tempat selamat untuk kita?