Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 29 November 2011

jelatang:menyaring pemimpin negeri sembilan

                                                        Replika Istana Raja Melewar

Tiada khilaf lagi bahawa  semasa zaman anak-anak dan awal remaja, atau secara jelasnya ketika masih di kampung, saya amat mengenali dan biasa dengan pokok ini – POKOK JELATANG. Namun, apabila bekerja di bandar, perhubungan di antara anak kampung yang membesar dengan alam dan saujana hamparan sawah padi ini dengan tumbuhan itu perlahan-lahan dijarakkan. Akhirnya ‘kami’ saling tidak kenal mengenali.

Kendatipun tidak lagi mengenali tumbuhan itu dengan tepat, saya masih ingat bahawa tumbuhan itu akan menyebabkan anggota tubuh menjadi tersangat gatal apabila disentuh  secara fizikal.

Namun demikian, akhirnya setelah begitu lama, kami dipertemukan lagi. Pertemuan yang bermakna dan tanpa dijangka itu berlaku ketika saya melawat Kompleks Replika Istana Raja Melewar di Kampung Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pihak pengurusan Kompleks Replika Istana Raja Melewar ada menanam sebatang pokok jelatang di dalam pasu dan meletakkannya berhampiran dengan replika ‘Batu Timbang’ dalam kawasan kompleks tersebut. Mengapakah pokok ini ‘dimuliakan’ sedemikian rupa?    

Sebenarnya, ada info yang amat menarik mengenai ‘jasa’ tumbuhan yang tidak disukai ini dalam menyaring pemilihan raja-raja yang pernah memerintah negeri Adat Perpatih ini suatu ketika dahulu.

Mengikut sejarah, pada zaman dahulu raja-raja yang memerintah Negeri Sembilan didatangkan dari Pagar Ruyung, Tanah Minangkabau di atas permohonan penghulu (undang) luak atau pembesar-pembesar Negeri Sembilan . Sehubungan itu raja Minankabau di Pagar Ruyung telah mewujudkan satu kaedah yang amat ketat dalam memilih anak-anak raja yang layak dihantar untuk dijadikan raja di Negeri Sembilan.

Salah satu daripada disiplin ujian tersebut ialah tidur beberapa hari (tentunya tanpa baju) di atas batu yang dilapik dengan daun jelatang yang gatal itu. Sesungguhnya, Raja Melewar, yaani Raja Pertama Negeri Sembilan telah berjaya menjalani semua disiplin ujian tersebut termasuk tidur beberapa hari di atas batu yang dilapik dengan daun jelatang.

Raja Melewar atau nama sebenarnya Raja Mahmud menjadi Raja Pertama Negeri Sembilan pada tahun 1773. Beliau meninggal dunia pada tahun 1795. Makam Raja Melewar dan isterinya terletak kira-kira 800 meter dari kompleks ini.

                                                                   Pokok Jelatang


 
                                                      Replika Batu Kasur (Timbang)


 




Pengajaran yang boleh dijadikan ikhtibar ialah setiap sesuatu itu ada kelebihan dan kekurangannya. Dalam konteks catatan ini, pokok jelatang yang gatal itu pun ada manfaatnya jika digunakan dengan baik dan bijaksana.    

Kota,Negeri Sembilan
28 November 2011.

  

Jumaat, 25 November 2011

tetamu

Ibnu Abbas pernah berkata, "Ada tiga kewajiban pada tamu saya. Apabila dia datang aku sambut dengan baik,aku persilakan dia dan aku dengarkan kata-katanya dengan penuh perhatian."

Seseorang itu mempunyai caranya sendiri melayan tetamu. Biasanya, asas dan tahap layanan adalah berdasarkan kategori tetamu; samada ahli keluarga terdekat, saudara jauh, jiran, sahabat karib atau kawan biasa. Juga diambil kira ialah waktu kedatangan dan juga samada kedatangan dimaklumkan terlebih dahulu atau secara mengejut.

Sehubungan itu, kita mempunyai berbagai pengalaman mengenai layanan yang diberikan oleh tuan rumah. Kebiasaannya, kita tidak menghiraukan sangat layanan daripada keluarga jauh atau kawan biasa. Sekadar teh 'o' dan sebiji karipap pun dalam sebarang keadaan dan waktu sudah memadai.

Pun demikian, kita hendaklah memberi layanan yang sebaik mungkin apabila menerima tetamu tanpa mengambil kira status masing-masing.

Namun, kita mungkin akan sedikit mudah sensitif semasa mengunjungi rumah saudara terdekat yang pada sangkaan kita tidak memberi layanan dengan sepatutnya. Kita akan membandingkan atau mengungkit layanan yang telah kita berikan kepada mereka.

Melalui pengalaman, kita juga telah 'mengkategorikan' tahap layanan keluarga terdekat samada 2,3,4 atau 5 bintang. Kita telah tahu rumah manakah yang 'selamat' dikunjungi pada waktu makan.

Andainya tersilap rumah, alamatnya kita sekeluarga akan terpaksa singgah di restoran Mamak yang terletak di kejiranan rumah mereka sebelum memulakan perjalanan balik ke rumah kita! Kita mungkin serik pada hari itu. Namun, ikatan persaudaraan tidak akan membuatkan kita serik mengunjungi rumah mereka selepas itu.  

Tiada keraguan lagi, bahawa kita akan memberi lima bintang kepada keluarga terdekat, yang rumahnya kita kunjungi pada waktu makan tanpa memaklumkannya terlebih dahulu. Sekalipun demikian, dia tetap melayan kita seadanya, sekalipun dengan hidangan 'ad hoc' goreng ikan sepat masin, telor dadar dan ikan sardin mentah yang diramu dengan bawang besar, cili api dan perahan limau kasturi. 

Dia tidak sekadar menyediakan teh 'O' dan goreng keropok pada waktu makan! Dia tahu 'protokol' menyambut kedatangan kita, saudara terdekatnya.

Rabu, 23 November 2011

bahasa Melayu

PPSMI. Mungkin masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak dapat menjelaskan perkataan yang membangunkan 5 huruf rumawi tersebut. Malah, saya juga percaya, masih ramai lagi yang tidak memperdulikan langsung polemik yang dicetuskan sebaik sahaja salah satu Dasar Pendidikan Malaysia itu mula dilaksanakan pada tahun 2003.

Realitinya, PPSMI mempunyai penyokong dan penentangnya yang setara. Saya tidak akan mengetengahkan pola golongan yang menyokong dan yang menentang.

Apakah itu PPSMI? PPSMI ialah singkatan kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi salah satu Dasar Pendidikan Malaysia yang menetapkan Bahasa Inggeris menggantikan Bahasa Kebangsaan/Ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dam Matematik di semua peringkat pendidikan.

Secara dasarnya PPSMI telah dimansuhkan dan digantikan oleh dasar ‘Memartabatkan Bahasa Melayu,Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)’. Bagaimanapun, MBMMBI juga hangat diperdebatkan dan mempunyai penyokong dan penentangnya.

Saya tidak bercadang mengupas persoalan dan polemik ini kerana keterbatasan ilmu dan kepakaran. Bagaimanapun, saya perturunkan di antara petikan dari artikal seorang penulis berketurunan Cina, Teo Kok Seong, yang juga Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM dalam ruangannya sendiri ‘ Teo Kok Seong’ di sebuah akhbar arus perdana untuk direnungi oleh mereka-mereka yang mengaku Orang Melayu . Di antara lain beliau menulis;

“ Orang Melayu yang menyokong PPSMI diteruskan, sepatutnya menginsafi anugerah ini pada bahasa Melayu, yang ikut disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak penubuhannya pada 1956. Sebagai penutur jati, mereka tidak sepatutnya mempersoal kemampuan bahasa Melayu, apatah lagi bersekongkol dengan pelbagai pihak yang ingin melihat bahasa Melayu dipinggirkan di tanah watannya sendiri.

Sesungguhnya penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa ilmu, boleh dilihat sebagai satu dimensi kekuasaan kaum Melayu selaku kaum dominan di negara ini……”      

Selasa, 22 November 2011

upek (babak dua)


Naluri wanita Orang Asal itu memuktamadkan sesuatu, " Memang dia."
“Campam,” tiba-tiba satu alunan perkataan yang tidak terdapat dalam kamus diucapkan oleh wanita Orang Asal itu.
Yusuf yang asyik melengkapkan borang berwarna hijau terkejut. Dia telah lama tidak mendengar perkataan itu. Kesan ke atas perkataan yang diucapkan dengan nada perlahan itu seperti suatu kejutan litar pintas.  Yusuf lantas mengalihkan pandangannya tepat ke wajah wanita Orang Asal itu. Dia menatap wajah wanita itu sepuas-puasnya. 
Wanita Orang Asal itu juga tidak mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia terus merenung tajam wajah Orang Melayu itu. Ada serlahan nuansa marah dan dendam. Namun demikian, dia merasa lega yang amat sangat. Dia seperti telah melunaskan sesuatu yang telah lama tertangguh.
Suasana hening. Tiada sepatah pun perkataan diucapkan oleh Orang Melayu dan wanita Orang Asal itu. Dua pasang indera lihat bertembung.
Wanita Orang Asal itu perlahan-lahan mengalihkan kain yang menutup kepala dan sebahagian mukanya ke bahu. Di sebalik wajah tipikal Orang Asal dari Suku Jakun, hujung 40-an, tersisa pesona yang sukar hendak diungkapkan dengan kalimah yang tepat. 
Yusuf mengesahkan sesuatu. "Upekkk," sebutan nama wanita itu dalam nada separuh menjerit terkeluar dari mulutnya .
Yusuf sedar dia berada di alam nyata. Dia tidak bermimpi. Upek yang berada di sisinya ketika itu ialah Upek yang pernah dikenalinya hampir empat dekad lalu di kampung asalnya, Kampung Lubuk Petai.
Mereka sekampung. Ayah Upek, Batin Gunung ialah ketua masyarakat Orang Asal dari Suku Jakun yang mendiami kawasan di sebelah hulu Kampung Lubuk Petai.
Kedua-dua golongan yang berbeza budaya, latar belakang dan kepercayaan itu menjalin hubungan yang baik dan saling hormat menghormati. Malah perhubungan di antara anak-anak mereka lebih rapat. Mereka bermain  bersama dan bersekolah di sekolah yang sama.      
Begitulah juga perhubungan di antara Campam dengan anak-anak Orang Asal yang lain termasuk Upek dan abangnya, Rimba . Campam ialah nama gelaran Yusuf di Kampung Lubuk Petai. Di Kampung Lubuk Petai, Yusuf lebih dikenali dengan nama gelaran Campam.
Berbanding dengan anak-anak Orang Asal yang lain, Yusuf lebih rapat dengan Upek dan keluarganya. Secara kebetulan mereka juga kawan sama kelas di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Lada.
Malah, Yusuf selalu juga menemani bapa Upek, Batin Gunung memburu ayam hutan, mencari damar, mencari petai atau  mengumpul  air nira untuk dibuat gula kabung dalam hutan di sekitar kampung mereka ketika cuti sekolah atau di hujung minggu. Keluarga Batin Gunung juga sayang dengan Yusuf dan menyenangi budi pekerti anak Orang Melayu itu.
Pada hari bersekolah, kadang-kadang Batin Gunung akan mengasingkan sedikit air nira untuk Yusuf. Dia faham sangat bahawa Yusuf, anak Orang Melayu itu suka minum air nira.
Yusuf tersedar dari lamunan masa lampau. Wanita Orang Asal  itu tanpa diduga mengalunkan pantun empat kerat. Nada alunan pantun itu memang tidak asing dengan Yusuf hampir empat dekad yang lalu. Dia juga pernah suka dengan pantun yang sememangnya ditujukan kepada mereka berdua, dia dan Upek.

Alunan pantun itu ada elemen klasik. Ada elemen mistik yang meremangkan bulu romanya. Alunan pantun itu juga ada sesuatu yang amat mengesankan. 
"Ulang alik ulang alik,
hari sudah siang,
Upek cantik Upek cantik,
Campamlah sayang." 

Jumaat, 18 November 2011

anak-anak Terengganu pandai-pandai.......


Saya berasal dari Negeri Sembilan. Di dalam kebanyakkan perkara saya amat berbangga dengan apa jua kehebatan dan kelebihan yang dicapai oleh Negeri Sembilan. 

Sudah tentu saya amat berbangga dengan kejayaan pasukan bolasepak Negeri Sembilan menjadi Juara Piala Malaysia 2011. Selain dari itu, pasukan bolasepak Negeri Sembilan juga telah ke pertandingan akhir Piala Malaysia sebanyak tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2009. Dari tiga penampilan tersebut, Negeri Sembilan telah berjaya membawa balik Piala Malaysia ke Seremban sebanyak dua kali - 2009 dan 2011. Pada saingan tahun ini (2011), secara kebetulan pasukan Negeri Sembilan telah menumpaskan pasukan Negeri Terengganu.

Bagaimanapun, sekalipun pencapaian Negeri Sembilan dalam sukan bolasepak tanah air amat membanggakan , saya lebih berbangga dengan pencapaian anak-anak Negeri Terengganu  dalam bidang pendidikan , khususnya di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) termasuk yang baru diumumkan semalam (17 November 2011). Sehubungan itu, kebanyakkan akhbar hari ini (18 November 2011) memaparkan 'Terengganu Kekal Terbaik 11 Tahun' di peringkat kebangsaan. Tahniah! Syabas!

Jumlah penduduk Negeri Terengganu berdasarkan bancian 2010 ialah 1,168,259 orang.  Penduduk etnik Melayu merupakan kelompok majoriti iaitu 90% dari keseluruhan jumlah penduduk. Tidak syak lagi bahawa majoriti anak-anak yang berjaya dengan cemerlang selama 11 tahun berturut-turut tersebut ialah anak-anak Melayu. Mereka, anak-anak Terengganu telah membuktikan bahawa 'Melayu Boleh, Terengganu Boleh.'  

Sekali lagi saya ucapkan syabas kepada anak-anak pintar Negeri Terengganu. Anda hebat. Kalaulah ada soalan di dalam peperiksaan UPSR berbunyi, " Anak-anak negeri mana yang paling pandai?: Jawapannya pasti, "Anak-anak Negeri Terengganu!"

orang asal


Kita mungkin matang dari segi usia. Namun demikian, banyak perkara yang terhijab dari pengetahuan kita walaupun sebenarnya perkara-perkara itu berlaku di seberang kejiranan kehidupan kita. Alangkah ruginya kita kerana masih diselimut kepompong katak di bawah tempurung pada era yang siang- malam orang menyebut dunia tanpa sempadan ini.
Mungkin itulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan betapa naifnya persepsi saya terhadap sisi sebenar kehidupan saudara kita Orang Asal. Mungkin juga persepsi yang bertapak kukuh di dasar hati saya itu juga berlaku kepada anda.
Saya masih menggambarkan bahawa semua Orang Asal masih dibelenggu amalan hidup yang tidak memperdulikan arus kepesatan kemajuan di luar ruang lingkup wilayah kehidupan mereka.
Saya menggambarkan masyarakat Orang Asal secara pukal menduduki rumah atau pondok usang, kusam dan kotor. Saya juga menggambarkan mereka phobia kepada orang luar, tidak pandai berkomunikasi, berpakaian selekeh, buta huruf, anak-anak tidak dihantar ke sekolah, merendah diri yang melampau dan melangsungkan survival hidup dengan punca-punca tradisional; memburu,mencari petai,mencari rotan atau sumber hutan yang lain.
Tidak dinafikan bahawa kadang-kadang saya ada juga menjeling-jeling baca ruangan mengenai Orang Asal di dalam akhbar dan majalah atau menonton secara sambil lewa dalam rancangan yang melibatkan Orang Asal di television. Bagaimanapun, saya tidak fokus. Sehubungan itu, hasilnya ialah seperti yang saya nyatakan di perenggan awal catatan ini.
Bagaimanapun, setelah mengunjungi  sebuah perkampungan Orang Asal di Slim River, Perak baru-baru ini, persepsi saya berputar 360 darjah. Selepas ini saya akan katakan bahawa tidak semua Orang Asal di dalam keadaan yang saya gambarkan.
Saya rumuskan di dalam satu perenggan pendek mengenai Orang Asal di kampung yang saya kunjungi seperti berikut:- Mereka fasih berbahasa Melayu,berpakaian seperti kita Orang Melayu, anak-anak mereka dihantar ke sekolah,kawasan kampung dan halaman rumah mereka bersih dan cantik, komuniti mereka bersatu padu dan sekecil-kecil keputusan dibuat setelah bermesyuarah,kedudukkan ekonomi yang baik -  mereka memiliki kebun getah dan kelapa sawit. Segolongan kecil telah menganut agama Islam.
Bagaimanapun, ada satu perkara yang merungsingkan saya. Mereka menjalani hidup seharian seperti Orang Melayu - bercakap, berpakaian,meminati lagu-lagu Melayu terutamanya lagu-lagu 60-an. Malangnya cuma segolongan yang amat kecil sahaja telah memeluk agama Islam. Saya amat khuatir saudara Orang Asal kita ini nama mereka akan menjadi John Hujan, Mary Dusun atau Felix Rimbun pada suatu hari nanti. Hakikatnya, perkara yang ditakuti ini telah pun mula berlaku di perkampungan-perkampungan Orang Asal terpencil.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Dan, bagaimanakah cara membawa cahaya iman kepada saudara Orang Asal kita ini ?   



Slim River,Perak
16 November 2011

Ahad, 13 November 2011

Sukan SEA 2011: skuad bolasepak malaysia kalahkan kemboja

Tahniah! Skuad Malaysia tewaskan Kemboja 4-1 dan menghampiri laluan ke perlawanan separuh akhir bolasepak Sukan SEA 2011.

Sebenarnya, Malaysia telah menang seawal kedua-dua pasukan berdiri tegak menyanyikan lagu kebangsaan masing-masing. Mereka kelihatan begitu segak dan bergaya terutamanya melalui penampilan gaya fesyen rambut masing-masing.

Secara keseluruhannya, pemain-pemain Malaysia obses dengan penampilan fesyen rambut yang menarik - disisir rapi dan seolah-olah baru keluar dari salon . Sebaliknya, rambut pemain-pemain Kemboja pula kelihatan begitu naif  persis rambut buruh kontrak balik  dari kerja . Kasihan, mungkin mereka tidak mampu mengikuti perkembangan fesyen rambut terkini .

Semoga skuad Malaysia akan berjaya dalam perlawanan seterusnya.Semoga pemain kita bukan sahaja mampu mempamirkan pesona gaya rambut , tetapi yang lebih penting ialah 'pandai bola'.   


Sabtu, 12 November 2011

prasangka


"Sesiapa yang yang tidak pernah keluar dari negerinya, banyak prasangkanya."


(cario goldoni-dari buku 7000 mutiara kata jeniri amir)

Jumaat, 11 November 2011

kita yang terpaksa mengalah


KATA bijak pandai,"Pelajarilah jagat raya ini, jangan kecewa kalau dunia tidak mengenal anda, tetapi kecewalah apabila anda tidak mengenal dunia."

Samada kita suka atau buat-buat tidak kisah, hati kecil kita sebenarnya tidak dapat mengabaikan keresahan yang seperti tidak ada kesudahannya - gejala sosial  dan bahana yang dilakukan oleh pendatang ekonomi dari luar yang datang ke negara kita.  

Negara sekecil Malaysia menjadi destinasi idaman kepada berbagai bangsa daripada berbagai pelusuk dunia. Malah,  ada di antaranya dari belahan dunia yang tidak pernah kita jangkakan sebelum ini. Pendatang ekonomi dari Afrika, Iran, Latin Amerika, Arab, Cina,Vietnam atau Uzbekistan adalah sejumlah contoh pendatang yang dimaksudkan itu.

Selain dari 'lubuk rezeki', adakah sebab-sebab lain yang mendorong mereka datang berbondong-bondong ke negara kita secara sah atau secara tanpa izin?

Kenapa mereka tidak berbondong-bondong ke negara yang lebih kaya seperti Brunei atau Singapura ? Adakah disebabkan keadaan landskap negara kita menyebabkan pihak berkuasa sukar menyekat kemasukkan makhluk pengganggu yang kita tidak izinkan? Atau adakah  pihak berkuasa tidak efisyen menangani pendatang? Persoalan tersebut adalah luahan yang biasa kita dengar di mana-mana tanpa disandarkan kepada kajian ilmiah dan berautoriti. 

Walau apa pun alasannya, golongan yang berhadapan secara fizikal dan menjadi mangsa ialah masyarakat bawahan. Realitinya,  ekosistem kehidupan selesa,aman dan selamat yang dinikmati sebelum ini telah dirosakkan landskapnya . Bak kata ungkapan yang selalu digunakan sekarang, " Inilah harga sebuah pembangunan." Kita, warga negara di bumi tercinta ini cuma mampu melihat, menerima risiko dan memendam rasa. 

Saban hari kita dapat saksikan betapa pendatang asing tidak menghiraukan lampu isyarat jalan raya. Orang kita yang minat berniaga juga terpaksa bersaing dan berebut tempat berniaga dengan mereka samada di pasar-pasar malam, warung-warung atau lokasi perniagaan di tepi-tepi jalan. Biasanya orang kita mengalah kerana mereka lebih licik,lasak dan ganas.

Orang Melayu dan India yang kebanyakkannya terlibat dengan bidang kerja kurang kemahiran seperti buruh, operator pengeluaran,peniaga kecil-kecilan atau pembantu kedai terpaksa menerima hakikat bahawa saingan mereka datangnya daripada pendatang asing.

Suatu ketika dahulu Chow Kit Road adalah tempat tumpuan penduduk tempatan pada hujung minggu. Bagaimanapun, kini Chow Kit Road adalah tempat yang menakutkan untuk dikunjungi kerana dikuasai dan dipenuhi oleh pendatang asing dari berbagai negara.  Begitulah juga tempat-tempat tumpuan lain seperti KLCC, Pusat Bandar atau Kompleks-Kompleks Perniagaan.

Lebih dahsyat lagi, orang-orang tempatan sentiasa di dalam ketakutan dan rasa tidak selamat dari kejadian kacau ganggu, rompakan, pecah rumah, pembunuhan atau rogol yang dilakukan oleh sebilangan pendatang asing. Tiap-tiap hari pasti berlaku jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing.

Tidak dinafikan bahawa orang tempatan juga melakukan jenayah. Bagaimanapun, kita akan merasa lebih sakit hati apabila segolongan pendatang asing yang pada awalnya datang ke negara kita untuk mencari rezeki halal tetapi akhirnya terlibat dengan jalan mudah melangsungkan survival hidup - kacau ganggu, menipu, merompak,merogol, malah membunuh. 

Inilah realiti kehidupan yang kita hadapi. Realiti ialah sesuatu yang wujud samada kita akui atau sengaja mengabaikan kewujudannya.    








Rabu, 9 November 2011

pekan ku Kota,negeri sembilan



Pekan Kota, sebuah pekan kecil yang terletak 10 kilometer ke selatan Pekan Rembau, Negeri Sembilan ini tidak banyak berubah sejak berdekad yang lalu. Dua deret rumah kedai usang di kiri-kanan jalan besar Tampin-Seremban masih setia melansungkan kewujudan pekan ini.

Kalau ada pun sedikit perubahan ialah sederet bangunan rumah kedai yang dibina sekitar 5-6 tahun yang lalu. Selain itu, pekan ini ada sebuah balai polis, bangunan pejabat pos dan sebuah stesen minyak Petronas. Itu sahaja. 


Senario masa kini Pekan Kota seperti tidak sepadan dengan gah dan gemilang tempat ini lima abad yang lalu. Sesiapa yang menekuni sejarah awal peradaban dan perkembangan Adat Perpatih akan turut mengakui bahawa di bumi Kota inilah terbinanya asas perkembangan adat tersebut di Daerah Rembau.  

Blog ‘Nagari Nan Tuo’, mencatatkan bahawa nama purba ‘Kota’, ialah ‘GOMBIGHO’(Gembira ) di dalam catatan beliau, ‘Sejarah Ringkas Rembau’. Dikatakan bahawa kampung ini telah dibuka oleh penduduk asal, Batin Pak Nilu di sekitar tahun 1502.  

Bagaimanapun, nama Kampung Gombigho telah ditukar kepada Kampung Kotor (sekarang dinamakan Kota) oleh Datuk Bungkal binti Batin Sekudai. Datuk Bungkal, dari keturunan Orang Asal Suku Jakun, ialah anak angkat kepada Datuk Leteh, yang berasal dari Tanah Minangkabau.

Rentetan sejarah mengenai penempatan awal di Kampung/Pekan Kota agak panjang. Dipendekkan cerita, Datuk Bungkal binti Batin Sekudai telah berkahwin dengan pembesar dari Tanah Minangkabau, Datuk Lela Balang di Kampung Kotor (Kampung Kota Lama).

Anak lelaki pasangan itu (Datuk Bungkal binti Batin Sekudai dan Datuk Lela Balang), Datuk Sri Rama bin Datuk Lela Balang, telah di’kerjankan’ sebagai Penghulu Rembau (sekarang dipanggil Undang Luak Rembau) yang pertama di Kampong Kota di sekitar tahun 1540.

Dari keturunan anak perempuan pasangan Datuk Bungkal binti Batin Sekudai dan Datuk Lela Balang juga lahirnya keturunan elit Suku Biduanda Lela Maharaja. Dalam sistem Adat Perpatih di Rembau, anak lelaki dari Suku Biduanda Lela Maharaja sahaja yang layak menyandang jawatan Undang Luak Rembau dan juga jawatan-jawatan penting yang lain secara bergilir dengan keturunan dari Suku Biduanda Sedia Raja. Keistimewaan tersebut kekal hingga ke hari ini.

Catatan ini tidak mengharapkan agar Pekan Kota dibangunkan seperti pendekatan membangunkan pekan/bandar yang lain – sekadar membina bangunan rumah kedai yang cantik tetapi semua peluang perniagaan dibolot oleh pihak luar yang lebih mahir berniaga. Kalaulah sedemikian, biarlah keadaan pekan ini seperti seadanya. Untuk rekod, penglibatan orang Melayu/Islam di pekan ini cuma melalui sebuah kedai runcit (India Muslim), sebuah kedai gunting rambut dan dua buah kedai makan yang di dalam keadaan ‘hidup segan mati tidak mahu.’  

Saya mempunyai banyak memori indah dengan pekan ini. Sekurang-kurangnya masih ada nostalgia yang mengingatkan saya dengan pekan ini. Pekan ku, Kota.  

      
“Poi pokan naik basika
Tongah haghi tongah paneh
Apo dayo motong gotah
Apo nak dikato
Kalau boleh nak jadi cikgu sekolah
Kek Kolo Pilah.”

Selasa, 8 November 2011

lain orang lain ragamnya

DUA tiga hari lepas saya terbaca mengenai seorang pelakon Hindustan keturunan 'Khan' yang amat prihatin tentang nasib anjing-anjing terbiar.Beliau sanggup menghabiskan masa kualitinya bersama sekumpulan anjing-anjing terbiar - melihat gelagat , menyantuni dan memberi makan anjing-anjing malang tersebut.

Secara kebetulan, hari ini saya singgah sebentar untuk solat Asar, lebih kurang jam 5.30 petang,  di salah sebuah masjid kecil dan struktur bangunannya yang serba kekurangan di Shah Alam, Selangor. Sebelum solat saya ke tandas untuk membuang air besar. Saya mendapat ilmu dan petua yang amat berguna di dalam salah satu tandas di masjid ini.  Ingatan saya, "Sebelum buang air besar/kecil, pastikan paip air berfungsi terlebih dahulu, bukannya setelah buang air besar/kecil baru hendak buka paip air." Tolong jangan bayangkan bagaimanakah saya berpindah ke tandas sebelah !  

Setelah usai solat saya berehat sambil bersandar di salah satu tiang di masjid itu.Di dalam keadaan mata di antara lelap dengan tidak, deria dengar saya diganggu oleh bunyi anak kucing.Memang benar , ada seekor anak kucing yang mungkin dibuang oleh mantan tuannya di masjid itu. Seperti anak-anak kucing jalanan - kurus, berkurap,murung dan kelaparan.

Keadaan sedemikian mengingatkan saya kepada seorang gadis Tionghwa yang menyediakan makanan kucing dan anjing di dalam bonet kereta beliau. Beliau akan memberi makan anjing/kucing terbiar yang ditemui di dalam perjalanannya. Saya juga teringat kepada pelakun filem Hindustan dari keluarga Khan yang nyatakan di atas.  

Sepatutnya, di dalam bonet kereta saya juga ada bekas makanan yang diisi penuh dengan makanan anjing dan kucing. Makanan untuk manusia yang memerlukan , saya boleh beli di kedai makan @ restoran!

Jumaat, 4 November 2011

sidang

PETANG itu, semua ahli JKKK hadir di balai raya Kampung Lubuk Petai. Sidang kali ini akan membincangkan agenda tunggal yang  memerlukan tindakan segera. Mereka akan membincangkan cara yang sesuai untuk mengatasi masalah  gangguan oleh sekumpulan kera di kampung itu.

Kampung Lubuk Petai tidak lagi seaman dahulu. Masalah penagih masih tidak dapat diselesaikan, timbul pula masalah baru, gangguan oleh gerombolan sang kera.Telah banyak tanaman dimusnahkan. Ada juga penduduk kampung dicederakan oleh haiwan itu. 

Bakar Lani, pesara tentera, mencadangkan supaya kera-kera perosak tersebut ditembak sahaja. Bagaimanapun, cadangan itu tidak mendapat sokongan sebulat suara. Cadangan itu memerlukan kepakaran menembak dan kosnya juga tinggi.

Baha Ani, pesara Telekom Malaysia, pula mencadangkan supaya kawasan berpagar tanaman direntang dengan jaring menangkap ikan. Katanya, "Jaring menangkap ikan yang rosak dan tidak digunakan boleh didapati dengan mudah dan murah di perkampungan nelayan di Sungai Baru, Melaka."  Cadangan Baha Ani juga tidak diterima oleh sebilangan besar ahli mesyuarat. Cara itu  tidak akan dapat mengusir gerombolan kera  dari kampung mereka sepenuhnya.

Akhirnya, mesyuarat ditangguhkan tanpa keputusan yang konkrit.

Sebaliknya, satu sidang lain di hulu Kampung Lubuk Petai masih berjalan dengan rancaknya. Sidang itu mengumpulkan semua ketua kabilah  kera di bekas hutan rimba sekitar Kampung Lubuk Petai. Selain itu, kumpulan minoriti kabilah ungka, siamang, cikah dan beruk juga menghantar wakil masing-masing. Agenda yang dibincangkan ialah mengenai tindakan sesuai di atas kerakusan manusia  yang telah memusnahkan kawasan penempatan mereka. 

Kawasan penempatan dan tempat 'cari makan' mereka telah diceroboh oleh manusia untuk ditanam dengan  tanaman kelapa sawit dan pokok getah.

Ketua Kera Lembah Panchor yang amat dihormati dan disegani oleh kalangan masyarakat kera di sekitar Kampung Lubuk Petai telah mencadangkan dua kaedah. Pertama, meneruskan tindakan kacau-ganggu ke atas penduduk Kampung Lubuk Petai dengan cara merosakkan , memakan hasil tanaman dan kalau perlu mencederakan  penduduk Kampung Lubuk Petai.

Tindakan kedua ialah mengemukakan tuntutan ganti rugi atau pampasan kepada penduduk Kampung Lubuk Petai .  Semua ahli mesyuarat sebulat suara menerima cadangan Ketua Kera Lembah Panchor itu.

Mesyuarat yang berlangsung sehingga senja itu memutuskan supaya penduduk Kampung Lubuk Petai membayar ganti rugi atau pampasan dengan menyediakan ladang tanaman pokok pisang dan jagung untuk dimanfaatkan oleh kumpulan kera yang suatu ketika dahulu ialah pemilik asal kawasan itu. Keluasan kawasan tanaman akan ditentukan setelah kajian ke atas kerosakan harta benda dan kehilangan digniti kumpulan kera dijalankan.

Kumpulan kera akan mengemukakan tuntutan pampasan kepada 'penceroboh @ penakluk ' yang angkuh dan mementingkan diri sendiri itu secepat mungkin. 

Tidak syak lagi, manusia, penduduk Kampung Lubuk Petai akan 'terkejut beruk' apabila menerima tuntutan pampasan tersebut di dalam tempoh terdekat!

Selasa, 1 November 2011

tiada lagi yang tercicir dan tersisa


Kata mantan KM 
mengulang cerita;
lima abad dahulu,
selat melaka 
kitalah penjaganya,
pedagang global
kitalah sidangnya.

Lalu aku singgahi bumi Tuah ini,
Mencari gemilang kabilah, 
yang tercicir dan tersisa.

Tiada!

 
melaka
01 November 2011