Hamba Allah ini telah tiada lagi (mati) pada 11.05.2014.
Suatu pagi ketika hujan renyai
kamu memberanikan diri
melintas jeriji pagar rumah ku
berbekal sesusuk rongga kurus berkudis
dan muka kasihan
merayu diberikan sedikit makanan
sejak itu
kamu tidak mahu pulang
ke tempat asal yang entah di mana
sebaliknya, membina rumah baharu
di hadapan pintu rumah ku
aku benarkan sekalipun sangat mengganggu
sekalipun layanan ku seadanya sahaja
sekalipun tiada ucapan terima kasih
datanglah jiran-jiran memuji
akulah Si Pencinta haiwan sejati
berlaku kasihan kepada haiwan kesayangan Nabi
di suatu pagi ketika hujan renyai
kamu mengajak aku berbincang
tentang budi yang perlu dibalas
di luar jangka
akulah yang telah termakan budi mu
kamu katakan
tentang sedikit bunga amal ku
kini mula galak berbuah pahala
datang bersama tetamu tidak diundang
yang masih belum mahu pulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."