Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kehidupan. Papar semua catatan

Selasa, 6 Januari 2015

PENJAJA TEPI JALAN

Dalam perjalanan ke pejabat emosi saya sedikit terganggu.

Seorang ibu muda berketurunan India bersama dua orang budak lelaki di usia bawah 6 tahun (mungkin anak-anaknya) berniaga kuih muih dan makanan untuk sarapan pagi di tepi jalan besar. Inilah kali pertama saya melihat mereka mula berniaga di situ.

Barangan yang dijual adalah secara ala kadar sahaja - tidak banyak. Mereka juga tidak menggunakan payung seperti yang selalu digunakan oleh kebanyakkan peniaga tepi jalan/kaki lima. Barangan jualan diletakkan di atas meja kayu usang tanpa alas plastik. 

Memek air muka tiga orang hamba Allah itu tidak ceria. Mereka seperti sangat-sangat mengharapkan simpati orang lalu-lalang.
 
Mereka tentu mempunyai alasan yang sangat kukuh sehingga sanggup ' berkamikazi' sedemikian rupa.

Berdasarkan penampilan si ibu yang  tidak memakai tudung, saya mengagak tiga beranak yang baru mula belajar berniaga ( saya tidak pernah melihat mereka berniaga di situ sebelum ini) itu bukan beragama Islam.

Penilaian spontan saya meramalkan bahawa usaha mencuba nasib secara berniaga kecil-kecilan untuk kelangsungan hidup keluarga itu tidak akan mampu bertahan. Kawasan persekitaran adalah majoriti penduduknya berketurunan Melayu. Secara umumnya, orang Melayu sangat ' religious' dalam memilih makanan. Dengan itu, peluang untuk menarik pelanggan Melayu sangat tipis.

Selain itu, elemen penampilan diri, persembahan barangan yang disediakan dan lokasi perniagaan adalah sangat-sangat tidak kondusif. Naif.

Sekalipun mungkin mereka bukan beragama Islam, di atas kelemahan diri yang mudah dialahkan oleh emosi, saya kasihan  melihat tiga beranak dengan air muka kasihan itu mencuba nasib berjualan di tepi jalan dalam keadaan serba kekurangan dan tidak mempunyai persediaan yang sepatutnya.

Sesungguhnya liku kehidupan ini sangat keras bagi sesetengah orang.

Ahad, 16 November 2014

PAYA JARAS


Semalam, Sabtu, 15/11/14, saya sekeluaga menziarah cucu perempuan (cucu pertama) di rumah keluarga isteri anak lelaki di Subang Bistari, Shah Alam. Inilah jadual kami sekeluarga, Ampang - Subang Bistari,  setiap minggu selepas kelahiran cucu yang dinantikan selama ini.

Saya masih tidak faham mengapa kawasan perumahan itu diletakkan di bawah kawasan Shah Alam kerana tidak jauh dari situ terletaknya pusat pentadbiran Petaling. Kawasan perumahan itu juga sangat dekat dengan tapak Pasar Malam Paya Jaras melalui jalan pintas yang saya masih belum mahir selok beloknya.

Anak lelaki sulung saya semula jadinya sukakan anak-anak. Dia tidak kekok melayan anak-anak sepupu atau sesiapa sahaja ketika masih bujang. Justeru itu, gelagatnya berlebih-lebihan lagilah ketika dianugerahkan anak sendiri.

Bagaimanapun, seperti kebanyakkan anak lelaki lain khususnya anak lelaki dalam masyarakat tradisi Negeri Sembilan, dia tidak berapa didedahkan dengan kerja-kerja rumah. Secara tidak adil, banyak kerja-kerja rumah dibebankan kepada anak perempuan dalam sesebuah keluarga. Saya sendiri pernah 'dikenakan' oleh anak perempuan apabila tidak mahir dengan kaedah menyalai ikan keli ketika balik kampung Saya ditegur oleh anak perempuan kerana meletakkan ikan keli yang hendak dipanggang terus ke atas besi pemanggang. Kaedah yang betul seperti yang diajar oleh arwah ibu saya kepadanya ialah dengan meletakkan ikan di atas alas pelepah daun pisang supaya ikan yang salai/panggang tidak melekat dengan besi pemanggang. Betullah kata ungkapan berbunyi, " No man has a good enough memory to be a successful liar ".

Sekalipun demikian, sifat sayangnya kepada kanak-kanak dan anjakan kehidupan moden terutamanya di bandar tidak membenarkan dia mewarisi tabiat tradisi lelaki Negeri Sembilan (khususnya) itu. Setelah mempunyai keluarga sendiri, dia sangat mengambil berat dan bertungkus lumus dalam menguruskan isterinya yang baharu bersalin dan juga zuriat pertamanya. Dia dilihat mahir dan menghayati satu lagi fasa dalam hidupnya.

Saya pernah memberitahunya ( dan anak-anak yang lain) bahawa banyak perkara yang tidak dihadam semasa belum berkeluarga/ada anak akan dimamah dan dihadam dengan sendirinya apabila mempunyai keluarga. 

Putera sulung saya dan isterinya menamakan puteri mereka dengan tiga ungkapan nama yang cukup untuk menghasilkan satu bait puisi. Ianya adalah gabungan nama moden dan Melayu klasik. Setelah mendengar alasannya yang disokong oleh makna setiap nama-nama itu, saya sebagai seorang yang meminati kata-kata puitis, pada dasarnya bersetuju dengan nama yang diberikan kepada anak pasangan itu. Semoga anak kecil itu akan menjadi seorang yang secantik namanya dalam segala segi.

Ketika berdua menatap bayi yang sedang lena tidur, anak saya dengan bangga ' berbual ' dengan anaknya, " Keturunan antara bangsa - Melayu/Cina/India/Baba Melaka." Isteri anak saya mempunyai darah keturunan Melayu/India/Cina/Cina Peranakan di sebelah ibu dan bapanya.

Saya sekeluarga dan anak sulung sempat juga meluangkan masa mengunjungi Pasar Malam Paya Jaras di sebelah petangnya dalam keadaan hujan renyai-renyai kerana diuar-uarkan dengan berbagai jualan hasil kampung. Memang ada benarnya - ikan sungai, berbagai sayur dan ulaman yang sukar didapati di tempat lain boleh diperolehi di sini.

Saya sangat bahagia apabila mendapati ulam eksotik ' Kerdas ' yang pokoknya telah pupus di banyak tempat ada di jual di Pasar Malam Paya Jaras. Saya membelinya dengan harga RM3.00 selonggok yang mengandungi 33 ulas.

Oh kerdas, saya tidak menemui kamu di Chengkau atau Rembau, Negeri Sembilan, saya bahagia kerana akhirnya menemui kamu di Paya Jaras, Selangor!     
    
    

Sabtu, 4 Oktober 2014

APAKAH SALAH SAYA?

Lebih kurang 4 bulan yang lalu anak gadis saya menjumpai seekor anak kucing berwarna putih berbintik oren dan hitam dalam keadaan ' berjalan rebah ' ketika dalam perjalanan balik dari kedai berhampiran ke rumah kami. Dia membawa anak kucing itu balik ke rumah.

Dia memberi anak kucing itu makan. Anak kucing yang di dalam keadaan sangat lemah itu makan dengan gelojoh. Jelas, anak kucing itu hampir mati kerana kebuluran dan bukannya sebab-sebab lain. Anak kucing itu diberi nama ' KUTIP '.

Anak kucing yang diselamatkan itu ditempatkan di dalam rumah kucing 10' x 6' bersama-sama beberapa ekor kucing yang lain. Sekalipun dikurung, anak kucing itu lebih selamat dan selesa di dalam ruang yang agak luas itu berbanding hidup terabai di luar.

Walaupun anak gadis saya yang membawa balik anak kucing itu ke rumah, sayalah yang berpenat lelah menguruskan makan-minum dan mengemaskan rumah anak kucing itu bersama dengan kucing-kucing yang lain pada awal pagi dan petang di setiap hari .

Justeru itu, sepatutnya semua kucing yang dibela lebih rapat dengan saya berbanding dengan ahli keluarga yang lain kerana saya yang paling kerap berinteraksi.

Inilah yang menghairankan. Kutip sahaja yang tidak boleh ' berbaik' dengan saya. Walaupun saya yang memberi Kutip makan dan minum pada setiap hari, Kutip masih ' menyembur' dan mengeluarkan taring apabila saya menghampirinya.

Sebaliknya, Kutip sangat sopan dan mesra dengan isteri dan anak gadis saya.  

Seingat saya, saya tidak pernah bertindak kasar kepada Kutip sehingga anak kucing itu phobia dengan  saya. Apakah salah saya?

Ahad, 21 September 2014

PENJUAL APAM BALIK


Sementara menunggu apam balik yang dipesan siap saya mengambil peluang berbual dengan peniaga apam balik yang pada jangkaan saya di usia hujung 50-an atau awal 60-an.  

Dia pernah bekerja sebagai pemandu lori di salah sebuah syarikat yang membangunkan Projek Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Selepas projek tersebut siap, dia kehilangan pekerjaan.

Selepas itu dia mencari rezeki umpama burung yang keluar pada awal pagi dan petangnya kembali semula ke sarang. Dia tiada pekerjaan tetap.

Dia pernah menjadi kuli kontrak. Dia berhenti kerja kerana mendakwa majikan lamanya itu tidak memberi dia peluang menambahkan kemahiran. Dia cuma ditugaskan mengangkut batu-bata atau semen sahaja. Dia tidak didedahkan kepada kerja-kerja yang memerlukan kemahiran seperti menyimen atau kerja-kerja memasang  kemasan lantai.    

Dia telah membuat beberapa jenis pekerjaan dan pernah menganggur beberapa ketika dalam tempoh tersebut.

Pekerjaan terakhirnya menjadi kuli orang dan makan gaji ialah sebagai pembantu kepada seorang penjual apam balik di sekitar Chow Kit Road, Kuala Lumpur.  Di situlah dia belajar membuat apam balik secara informal.

Yang dimaksudkan informal ialah majikannya penjaja apam balik itu tidak mahu menurunkan ilmu membuat apam balik kepadanya walaupun dia pernah merayu.

Dia belajar membuat apam balik secara ' indirect' melalui pemerhatian sepanjang tempoh membantu penjaja itu berniaga apam balik. Dia baharu sahaja berniaga apam balik dengan menggunakan motorsikal roda tiga sejak 6 bulan yang lalu.

Mungkin kerana ilmu membuat apam balik yang diperolehinya adalah secara informal dan ' learn by mistake ', apam balik yang dihasilkannya masih perlu sedikit tambah baik supaya boleh bersaing dengan yakin.

Ungkapan yang berbunyi, ' Orang berniaga kedekut ilmu ' mungkin ada benarnya.

Bekas majikannya, penjual apam balik di Jalan Chow Kitt, Kuala Lumpur di tempat dia pernah bekerja itu tidak rugi apa-apa jika bermurah hati mengajar pekerjanya ilmu membuat apam balik. Sekurang-kurangnya dia (majikan lama) dapatlah juga membantu bekas ' kulinya' sendiri membina kehidupan yang lebih baik.

Saya masih terngiang-ngiang kata-kata kecewa penjual apam balik yang baru saya kenali itu betapa kedekut dan ' busuknya' hati majikan lamanya yang tidak mahu menurunkan ilmu membuat apam balik kepadanya. Keluhnya, " Mana kedapatnya, orang berniaga kedekut ilmu."

Orang berniaga kecil-kecilan kedekut ilmu atau orang berniaga kecil-kecilan dengki orang lain lebih senang atau lebih kaya?
 



Sabtu, 20 September 2014

HUJAN

Hari ini ada Pasar Malam berhampiran kawasan perumahan saya di Ampang, Selangor. Hujan sedang turun dengan lebatnya.

Walaupun peniaga Pasar Malam telah terbiasa dengan cabaran ini, mereka pasti terkesan. Perniagaan tidak dapat dijalankan. Barang-barang jualan tentunya sudah ditutup dengan kanvas. 

Mungkin ada di antara peniaga mencari perlindungan dari basah dan kesejukkan dengan berlindung di rumah kedai berhampiran. Beberapa orang peminta sedekah pendatang asing juga sudah tentu 'bertengkot-tengkot' meninggalkan lokasi pasar malam untuk berlindung dari hujan.

Hujan dan cabarannya - Basah kuyup, kesejukkan, tidak dapat berniaga, tidak dapat meminta sedekah......

Sebilangan penduduk di kawasan perumahan berhampiran Pasar Malam yang tidak terkesan langsung dengan hujan selebat mana pun mungkin sedang bersantai bersama keluarga di rumah. Mungkin ada yang sedang mengetatkan selimut supaya tidur lebih nyenyak, nikmat dan selesa. Jimat letrik tanpa perlu menggunakan penghawa dingin!

Inilah kehidupan.

  

Ahad, 17 Ogos 2014

RICH DAD PART TWO


Semalam , 20 Syawal, saya dan keluarga menghadiri rumah terbuka kawan isteri di Sri Hartamas. Susur galur pendakian hidup kawan isteri sehingga beliau dapat mendudukki rumah mewah di kawasan elit itu telah saya kisahkan dalam catatan ' Rich Dad, Poor Dad ' sebelum ini.

Majlis rumah terbuka di kawasan perumahan di puncak bukit itu juga dihadiri oleh ramai bekas rakan sekerja isteri saya dan kawannya itu. Dalam majlis yang agak besar di mana didirikan tiga buah kemah dan menunya juga hebat yang termasuk kambing panggang golek saya sempat bersembang dengan suami kepada salah seorang  kawan isteri ( kawan isteri yang lain yang menjadi tetamu) yang turut hadir . Seperti kami, saya juga percaya kedatangan mereka sekeluarga juga bertujuan ingin menjenguk ' istana ' baharu rakan yang bertuah itu .

Sembang kami berterusan ketika isteri masing-masing 'membuat lawatan' ke bahagian dalam rumah. Suami kepada rakan isteri (tetamu) yang bernama Abdul Ghani (bukan nama sebenar) berasal dari Ladang, Kuala Terengganu. Ketika saya berada di Kuala Terengganu setahun yang lalu saya sempat menyaksikan kampungnya yang terletak di tengah Bandar Kuala Terengganu telah menjadi padang jarak padang tekukur. Seluruh kampung Abdul Ghani telah diambil alih oleh kerajaan untuk dibangunkan.

Abdul Ghani memaklumkan bahawa ibu bapanya telah mendapat pampasan sebanyak RM4.3 juta di atas pengambilan tanah mereka oleh kerajaan.

Saya mengusik Abdul Ghani bahawa tentunya beliau juga mendapat limpahan durian runtuh yang didapati oleh ibu bapanya. Abdul Ghani menyatakan bahawa ibu bapanya masih hidup lagi dan biarlah mereka merasa hidup senang. Abdul Ghani seolah-olah memberi mesej bahawa dia dan adek beradiknya masih belum mendapat seperti yang saya sangkakan.

Abdul Ghani menyatakan bahawa gaya hidup orang kaya Melayu di Pantai Timur berbeza dengan di Pantai Barat seperti Kuala Lumpur. Beliau mendakwa orang kaya Melayu Pantai Timur tidak berapa mempamirkan kekayaan mereka walaupun memiliki aset tunai yang banyak. Katanya lagi, jutawan baru ibu bapanya masih menjalani gaya hidup orang biasa. Bapanya masih menggunakan motorsikal kapcai lama dan tidak kekok memakai baju singlet lusuh ke kedai kopi.

Kami meninggalkan majlis setelah isteri masing-masing usai melakukan ' lawatan ' ke ruang dalam rumah baharu kawan mereka.

Secara kebetulan tempat letak kereta kami adalah di tempat yang sama. Saya sedikit terpaku menyaksikan Abdul Ghani, suami kepada kawan isteri yang telah bersara setahun lepas itu nampak hebat dengan kereta mewah baharu pacuan empat roda. Saya mecongak spontan - mungkin dari ganjaran persaraan atau mungkin juga hadiah dari ibu bapanya yang menerima habuan durian runtuh dalam jumlah yang banyak. 

Saya teringat lawak nakal anak sulung berbunyi, " Ayah tidak ada lot tanah di Kuala Lumpur kah?" dalam catatan blog yang lalu. Dalam catatan itu saya menjawab dengan jawapan defensif. Sewajarnya saya menjawab, " Ayah telah menghadiahkan kepada semua anak-anak ayah dengan ' ibu ' kekayaan iaitu pelajaran, gunakanlahnya untuk kebaikan dunia dan akhirat."  


Ahad, 1 Jun 2014

rich dad, poor dad

Malam tadi (31/5/14) anak saya dan isterinya datang ke rumah dan bermalam. Itulah jadual 'routine' mereka suami isteri pada hujung minggu jika tiada urusan yang lebih penting. Kebiasaannya mereka datang pada hari Jumaat malam Sabtu atau Sabtu malam Ahad. Alhamdulillah setakat ini kami sekeluarga tidak terasa sangat ' kehilangannya' selepas berkahwin. 

Kami makan di luar - di sekitar Setiawangsa. Usai makan isteri saya meminta anaknya menunjukkan lokasi kawasan perumahan sahabatnya yang akan mengadakan majlis perkahwinan anak lelaki pada 8 Jun 2014. Sahabatnya itu dan suaminya telah menghantar sendri kad jemputan ke rumah kami pada minggu lepas. 

Anak saya tahu serba sedikit mengenai kawasan itu kerana rakan sebiliknya semasa menuntut telah membuka sebuah restoran di kawasan segi-tiga- emas itu. Kawasan itu kawasan elit.

Kawan anak saya itu yang selalu juga tidur di rumah kami ketika masih menuntut tidak makan gaji selepas tamat belajar. Dia buat busines. Bidang businesnya berbagai dan silih berganti. Terkini dia buat busines restoran ala Starbuck secara franchise di kawasan elit itu - Sri Hartamas. Dia membuat pinjaman bank yang menjangkau RM500 ribu! Bagaimanapun, saya tidak mengetahui samada kawan anak saya itu telah menjadi seorang business man muda yang berjaya atau masih di dalam proses pembelajaran sepak terajang perniagaan.

Isteri saya faham sangat bahawa kami pasti akan menghadapi kesukaran mencari kawasan perumahan sahabatnya itu kerana dunia saya cuma berkisar di sekitar kawasan Ampang sahaja. Malah di sekitar Ampang pun saya masih belum khatam.

Pencarian lokasi rumah kawan iseri itu tidaklah sesukar yang saya bayangkan. Setelah melalui estet perumahan yang kebanyakannya kondominium dan melepasi benteng-benteng pondok pengawal keselamatan yang dikawal oleh bukan penduduk tempatan, kami akhirnya sampai di pondok pengawal kawasan perumahan yang dicari, iaitu Kiara View, Desa Sri Hartamas.

Mengikut pendapat anak saya yang bekerja di sektor pembinaan, rumah-rumah di kawasan itu harganya tidak kurang dari RM1.5 juta 

Isteri saya buat hal. Nawaitu asal yang cuma hendak mencari jalan supaya mudah sampai pada hari majlis perkahwinan tiba-tiba bertukar hendak menziarah sahabatnya pula pada waktu selewat jam 10.15 malam. Dia terus menghubungi kawannya itu melalui panggilan telefon. Saya, anak saya dan isterinya tidak bersetuju dengan niat isteri kerana suasana dan waktunya kurang sesuai. Walaupun saya mengenali pasangan kawan isteri itu, yang lebih saya risaukan ialah adanya sedikit rasa ngeri datang ke rumah orang yang berkedudukkan sebegitu pada waktu yang tidak sesuai.

Alhamdulillah, kegusaran kami bertiga (saya, anak lelaki dan menantu) tidak berpanjangan. Isteri saya memberitahu bahawa sahabatnya tiada di rumah kerana menghantar anak nikah ke rumah pihak perempuan di Grik, Perak.  

Kami menyusur turun dari kawasan perumahan yang dari situ jelas kelihatan kelibat menara kembar Petronas . Setelah melalui kawasan perumahan, kami disajikan dengan pemandangan premis perniagaan yang hebat dan moden. Kami juga dapat melihat gelagat penghuni di kawasan itu memanja diri di restoran-restoran dan 'port' 'penghidupan malam'.

Kami balik ke Ampang dengan melalui laluan DUKE. Di dalam kereta isteri saya bercerita mengenai perjalanan hidup sahabatnya ' orang kaya ' itu. Katanya, sahabatnya yang mempunyai tujuh orang adek beradek itu berasal dari Kg. Bharu, Kuala Lumpur bernasib baik kerana ayah mereka memiliki beberapa bidang tanah di kawasan strategik. Setelah ayahnya meninggal dunia, tanah-tanah itu dibangunkan oleh pemaju perumahan. Mereka, tujuh orang adek beradek diberi sebuah rumah dan sejumlah wang tunai setiap seorang. 7 x RM1.5 juta ++++ = ? 

Anak saya secara bergurau bertanya samada saya ada memiliki sebidang tanah di Kuala Lumpur atau tidak. Saya menjawab, " Di Kuala Lumpur tiada, di Selangor mungkin ada - tanah kubur." 

Rich dad, poor dad!


        

Ahad, 20 April 2014

SAUDARA KANDUNG



Seorang kawan memberitahu saya bahawa dia membayar RM30.00 kepada adik kandungnya sebagai upah kerana membawa seekor anak ikan arwana dari Bukit Merah, Perak. ke Kuala Lumpur. Adiknya yang menetap di Kuala Lumpur balik ke kampung mereka di Gunung Semanggul bersama keluarganya. Kampung dua orang adik beradik kandung itu tidak berapa jauh dari kolam ikan arwana di Bukit Merah. 

Kata kawan itu, dia membayar RM150.00 untuk harga seekor anak ikan arwana dan ditambah RM30.00 lagi sebagai upah kerana membawa anak ikan itu dari Bukit Merah ke Kuala Lumpur. 

Saya bertanya, " Adik beradik kandung pun upah-mengupah? Lagi pun kolam ikan itu lokasinya di sekitar kampung kamu. " 

"Saya beri RM30.00 kerana budi bahasa dan inilah yang saya lakukan kepada orang lain atau kawan-kawan . Dia (adik kandung) pula menerimanya tanpa rasa bersalah walaupun saya abang kandungnya."

Saya yang cuma mempunyai seorang saudara kandung beranggapan sikap adik kawan itu agak keterlaluan. Namun, mungkin penilaian sedemikian tidak boleh 'digeneralisekan' kepada mereka yang mempunyai ramai adik beradik dan berbeza latar belakang.


Rabu, 29 Januari 2014

KAWAN LAMA



Ketika menunggu giliran isteri mendapatkan rawatan di hospital awal pagi tadi, saya menerima panggilan telefon dari seorang kawan lama yang pernah tinggal serumah ketika bujang. Dia ingin meminjam sejumlah wang. Saya yang juga golongan tidak berapa senang dengan spontan menjawab , “ Tidak ada wang.” Saya meminta maaf. Isteri saya tidak mengetahui perkara itu.

Seketika selepas itu saya didatangi oleh rasa bersalah. Seorang ‘ AKU ’ yang mendapat penghormatan sedemikian rupa sebenarnya adalah seorang yang tidak ada nilai satu kupang pun. Masakan tidak, Si Pemanggil, KAWAN LAMA, yang berhadapan dengan masalah kelangsungan hidup tentunya telah menyaring sebegitu ramai calon sebelum memilih ‘ AKU’.       

Saya menghantar SMS. “ Saya ada RMxxx.00. Tolong SMS nombor akaun bank CIMB.”

Dia membalas SMS dan menyertakan nombor akaun BSN.

Dalam perjalanan balik ke rumah saya singgah di Bank Simpanan Nasional. Saya memaklumkan bahawa saya telah ‘bank in’ ke dalam akaunnya. Saya lega. Walaupun tidak dapat membantu sepenuhnya, saya telah mencuba meringankan masalah kawan itu sedaya upaya.

Dia membalas dan berjanji akan membayar balik . Terima kasih.

Minggu lepas saya telah disantuni seperti VIP oleh seorang yang tidak dikenali dengan menjadi penunjuk arah ke dewan perkahwinan anak kepada sepupu arwah ibu saya. Saya tidak sempat mengucapkan terima kasih kerana dia meninggalkan saya di lokasi yang dicari dengan pantas sambil mengangkat tangan dengan ibu jari ke atas. Saya membalas dengan membunyikan hon kereta. Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih sebanyak tiga kali kepada hamba Allah yang berhati mulia itu melalui sebuah catatan di dalam blog ini. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.

Selasa, 21 Januari 2014

SAYA SUKA HARI JUMAAT....

Saya suka hari Jumaat.  Ianya Penghulu segala hari. Ianya hari bekerja terakhir dalam sesuatu minggu. Hari Jumaat adalah hari yang dinanti-nanti. Hari Jumaat semua orang ceria dan berseri-seri.

Hari Jumaat adalah satu-satunya hari dalam seminggu orang berduyun-duyun datang ke masjid. Seculas-culas orang melakukan solat lima waktu, atau tidak solat langsung, akan dapat dilihat batang hidung mereka di masjid pada hari Jumaat. Tiada apa yang hendak dihairankan melihat mereka menunaikan solat sunat tidak henti-henti di masjid kerana masjid adalah tempat paling mengujakan untuk beramal ibadat. 

Saya juga suka dua hari selepas hari Jumaat - Sabtu dan Ahad. Cutiiiiii! 

Pada pagi Sabtu dan Ahad saya boleh hadir ke kuliah agama di masjid. Sahabat saya ahli Jumaah Tabligh terlebih-lebih sukanya pada hari Sabtu. Hari Sabtu beliau mewakafkan masanya beriktikaf di Masjid Jumaah Tabligh, Seri Petaling, Kuala Lumpur. Usai solat sunat dhuha pada keesokkan harinya (Ahad) baru dia balik ke rumah. 

Hari Sabtu dan Ahad saya boleh bersama keluarga 24 jam.Hari Sabtu dan Ahad saya ada masa sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam bersama seisi keluarga di rumah atau di medan selera. 

Hari Sabtu dan Ahad saya ada banyak masa bersama kucing-kucing kesayangan; Membersihkan rumah kucing, memandikan, merawat dan bermain-main dengan kucing-kucing. 

Hari Sabtu dan Ahad saya boleh menjenguk kolam ikan; Membersihkan 'filter' air, menukar air kolam, menambah 'anti chlorine' , memberi ikan makan, bermain dengan ikan...... Walaupun keadaan kolam seadanya kerana DIY, kolam ikan juga namanya. Walaupun ikan peliharaan bukan spesis elit koi Jepun, ikan peliharaan juga namanya. 

Hari Sabtu dan Ahad juga saya boleh menengok ' garden'; Menukar tanah baharu, menabur baja, memotong daun-daun yang layu/mati, memangkas, menanam pokok baharu.....Walaupun landskap 'garden' saya tidak sehebat 'garden' milik taukeh di hujung jalan kerana kurang dana dan tidak diselenggara dengan baik , ' garden ' juga namanaya .....ada air terjun, ada pagola..ada bunga-bungaan, ada kehijauan..semuanya DIY.....'garden' juga namanya.

Hari Sabtu dan Ahad saya boleh balik kampung; Ziarah adek dan keluarganya. Ziarah kubur arwah ahli keluarga yang telah pergi dahulu. Berjumpa kawan lama. Beli surat khabar di Pekan Kota dan singgah 'mengetea' di kedai kopi pekan lama itu- seronok walaupun tiada bau mamak dan tiada TV skrin lebar.Solat berjumaah di masjid lama. 

Hari Sabtu dan Ahad juga anak lelaki dan menantu selalu datang berziarah. Seronok menerima ahli keluarga yang baharu.

Hari Sabtu dan Ahad anak bongsu balik dari kolej. Banyak kerja rumah yang diupahseraya kepadanya.

Hari Sabtu dan Ahad saya tidak boleh tidak mesti bawa isteri jalan-jalan dan makan-makan. Semua orang sayangkan isteri. Hari Sabtu dan Ahad kami jalan-jalan sejauh Kuala Selangor...Tanjung Karang.....lihat sungai....lihat sawah....beli ikan di Pasar Pasir Penambang dan Pasar Nelayan Sungai Yu.......singgah makan-makan di Warung Cendol Bakar (Bukan cendol yang dibakar tetapi taukeh cendol bernama Bakar).
  
Ini bukan bermaana saya tidak suka hari-hari selepas Jumaat, Sabtu dan Ahad. Saya juga suka hari-hari Isnin hingga Khamis; Hari Isnin saya memulakan tugas dengan tenaga baharu setelah seronok bercuti. Hari Isnin dan Khamis saya boleh berpuasa sunat.

Hari Selasa, Rabu dan Khamis saya berada dalam 'form' terbaik memacu momentum tugasan yang dipertanggungjawabkan. Beres dan efisyen.

Hidup akan seronok apabila hari-harinya ditertib dan segala sesuatu berjalan seperti yang dimahukan. Namun, ada kalanya sesuatu yang dirancang-mahukan tidak berlaku seperti apa yang dimahukan kerana bernama hamba itu sendiri ada kala tidak mentertibnya .

Setiap hari adalah anugerah Allah yang perlu disyukuri. Tidak ada satu hari pun bagi yang bernama hamba layak mengabaikan atau tidak menyukainya. 

Isnin, 13 Januari 2014

" CROSS THE BRIDGE.........


Sebelum ini saya cuma melihat dengan penuh hormat dan kagum seseorang menolak kerusi roda membawa ahli keluarga terdekat yang kurang upaya atau sakit. Dia itu mungkin seorang anak yang berbakti kepada ibu atau bapanya. Mungkin juga dia seorang suami atau isteri kepada pasangannya.

Ketika mendapatkan rawatan di klinik, saya selalu melihat anak muda terutamanya di kalangan keturunan etnik Cina ‘mengusung’ ibu atau bapa mereka dengan kerusi roda dengan sabar dan penuh tanggungjawab. Terdetik juga perasaan cemburu di lubuk hati kerana tidak dapat lagi berbuat seperti itu  kerana ibu bapa telah meninggal dunia.   

Ditakdirkan isteri yang disayang mendapat kemalangan kerana tergelincir semasa mengemas rumah. Setelah lebih dua bulan beliau masih belum sembuh sepenuhnya. Beliau masih tidak boleh berjalan atau bergerak sendirian dalam tempoh lebih dari 15 minit kerana akan merasa sakit atau penat.

Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan. Beliau perlu berulang alik ke hospital mengikut jadual yang ditetapkan. Adalah tidak adil membiarkannya terperap di rumah sepanjang masa. Sesekali saya perlu membawa beliau bersiar-siar atau beraktiviti di luar rumah - makan di luar, ke ‘shopping complexs’, ziarah keluarga, memanja minda di taman rekreasi dan sebagainya.

Saya mendapati riak muka isteri akan lebih ceria apabila diziarahi oleh saudara mara, jiran-jiran dan kawan-kawannya. Saya juga mendapat manfaat dengan kedatangan tetamu terutamanya di kalangan sanak saudara kerana beliau (isteri) kelihatan lebih ceria dan urusan melayan keperluan beliau biasanya dilakukan oleh adek beradek dan anak-anak saudaranya sendiri.

Setelah lebih dua bulan, isteri saya masih diziarahi oleh saudara mara, jiran dan kawan-kawannya. Namun, ada juga di kalangan saudara terdekat yang tidak bertanya khabar dan jauh sekali datang menjenguk.

Orang sakit lebih mudah terusik emosinya. Saya teringat luahan seorang kawan di Tanah Merah, Kelantan yang menguruskan isteri diserang penyakit stroke yang tidak dipedulikan oleh adek beradeknya sendiri. Bagaimanapun, untung nasib seperti ini adalah lumrah yang tidak perlu diberi perhatian sangat atau terasa hati. Situasi ini berstatus ‘global’ atau internasional.

Hatta, adalah sesuatu yang tidak menghairankan melihat kubur si mati cuma diziarahi oleh ahli keluarga sebulan dua selepas kematiannya sahaja. Selepas itu kubur ditumbuhi lalang dan semak samun kerana tidak lagi diziarahi oleh waris terdekat.   

Siapa lagi hendak memuji isteri kalau bukan suami dan keluarga sendiri. Isteri saya suka memasak. Semasa sehatnya beliau memastikan tetamu yang datang ke rumah diraikan dengan sewajarnya.

Beliau juga sanggup bersusah payah menyediakan buah tangan yang berupa masakan atau lauk pauk yang agak istimewa apabila mengziarah saudara terdekat atau jiran rapat samada yang mendapat rawatan di hospital atau terlantar di rumah.  

Hidup perlu diteruskan. Saya tidak pernah merasa malu atau rendah diri membawa isteri berkerusi roda ke hulu ke hilir. Sebaliknya, saya merasa bangga kerana mampu menangani dengan sedaya upaya suatu musibah atau dugaan hidup yang tidak pernah terfikir akan berlaku kepada ahli keluarga sendiri.

Ada kalanya saya bergurau dengan isteri ketika menolak kerusi roda yang dinaikinya, “ Semua orang sedang asyik menyaksikan seorang tua menyantuni isterinya yang sakit dan tidak berdaya.”

Insya Allah, semua orang yang waras boleh melakukan segala sesuatu apabila ‘terkena pada batang hidung sendiri'. “ Cross the bridge when we come to it!”


Sabtu, 30 November 2013

KISAH SEORANG KAWAN

Al-kisah, ketika bertugas luar pejabat di Tanah Merah, Kelantan lebih kurang setahun yang lalu seorang kawan di pejabat cawangan menceritakan takdir yang telah menimpa keluarganya. Isterinya, hujung 30-an, seorang guru secara tiba-tiba diserang penyakit angin ahmar (stroke). 

Setelah puas berusaha, dia terpaksa menerima hakikat bahawa isterinya tidak dapat dipulihkan kembali seperti sediakala. Isterinya menjadi OKU (lumpuh) sepanjang hayatnya. 

Maka, bermulalah satu episod baharu dalam rutin hidupnya. Dia yang mempunyai tiga orang anak terpaksa melakukan semua urusan keluarga yang mana sebelum itu dikongsi bersama isteri yang disayang - menguruskan isteri dan anak-anak dari A - Z. 

Adek beradek, saudara mara, jiran-jiran dan rakan taulan berduyun-duyun datang membantu dan menziarah pada fasa awal isterinya diserang angin ahmar.

Arakian, selepas beberapa ketika, rakan taulan, jiran-jiran,saudara mara dan bahkan adek beradik sendiri mula 'letih' dan akhirnya menjauhkan diri. Sedemikian, akhirnya dia sendirian mengharungi badai musibah yang menimpa keluarganya.

Kisah ' derita ku tanggung sendiri' adalah kisah biasa dan telah diterima sebagai 'hukum hidup' yang sifatnya sejagat. Benarlah, kawan ketawa ramai, kawan menangis susah hendak dicari. Sesungguhnya dalam sebarang perkara, di atas batu jembala diri sendirilah letaknya tanggungjawab menangani segala sesuatu.

Sedemikian, sesiapa pon yang ditimpa ujian seperti ini tidak perlu berkecil hati atau terlalu kritis terhadap orang lain terutamanya di kalangan kaum kerabat. Mungkin diri sendiri juga melakukan perkara yang sama ke atas orang lain semasa mereka ditimpa musibah atau masalah. Justeru itu, hadapilah marathon musibah,ujian atau kepayahan hidup dengan sabar.

Sekalipun demikian, orang Islam yang baik tidak akan pernah jemu ambil peduli dan akan terus membantu orang lain dengan sedaya upaya. Wallahua'lam.  



Selasa, 26 November 2013

OH ALONG!

Anak saya yang baharu berkahwin buat Master di UITM Shah Alam. Dia terus ke Shah Alam dari pejabatnya di Ampang selepas waktu pejabat sebanyak 3 hari dalam seminggu. 

Perjalanan dari Ampang ke Shah Alam sejauh 90 kilometer (pergi dan balik). Pada hari kuliah dia cuma sampai di rumah di sekitar jam 12.00 tengah malam. Namun, walaupun masanya bersama keluarga agak terhad, dia masih ada bersama-sama kami . 

Selepas berkahwin dan menetap di Shah Alam dia tidak perlu lagi balik ke Ampang samada selepas waktu kerja atau selepas kuliah. Dia telah ada isteri dan tentulah balik untuk bersama isteri dan keluarga baharunya. 

Kini ibunya tidak perlu lagi ' berleter ' dengan biliknya yang umpama ' tongkang pecah '. Biliknya kini kemas kerana dia tidak menggunakannya lagi.  

Walaupun saya mengetahui dia tidak ada klas hari ini, saya berpura-pura bertanya samada dia ada klas pada hari ini atau tidak dengan harapan jika tiada klas dia akan singgah sebentar di rumah kami yang jaraknya cuma 7 kilometer dari pejabat dia bekerja. Dia yang mungkin sudah dapat meneka tujuan saya, meminta maaf tidak dapat singgah kerana petang dan malam ini dia ada urusan di Shah Alam.

Hakikatnya, sebaik sahaja seseorang itu menjadi suami atau isteri orang, banyak 'milik' sesebuah sekeluarga yang telah diinstitusikan dari seseorang itu dilahirkan sehingga berkahwin terpaksa dilepaskan. Kami juga tidak terkecuali.  Kini kami terpaksa menerima hakikat bahawa kami 'kehilangan' anak sulung kami.

Sesungguhnya ini adalah kitaran hidup yang dilalui oleh sesiapa sahaja. Datuk saya menitiskan air mata ketika saya bersiap-siap hendak berangkat ke rumah isteri. Dia terpaksa menerima hakikat bahawa 'institusi' hidup bersama cucu perlu diselaraskan semula apabila cucunya berkahwin.

Namun, seperti orang lain, fasa merasakan 'kehilangan' ini akan berakhir dan keadaan kembali ' normal '. Insya Allah.
   

Selasa, 19 November 2013

CUCU

Datuk dan nenek menjaga cucu bukanlah satu amalan baharu. Kerja ini telah lama dilakukan oleh beberapa lapis generasi sebelum generasi sekarang. Profession ini juga telah lama mencapai tahap fenomena dan tempohnya tidak kelihatan hujung-akhirnya lagi. 

 Anak sulung saya pernah dijaga oleh ibu dan bapa mertua di kampung isteri di Masjid Tanah, Melaka. Kami yang menjenguknya pada setiap hujung minggu cuma mengambilnya tinggal bersama di Kuala Lumpur apabila dia berumur 3 tahun. 

Selepas itu anak sulung kami dijaga oleh seorang jiran berhampiran rumah sewa kami di Ulu Klang, Selangor pada waktu bekerja – pagi hantar, petang ambil. 

Apabila kami pindah ke rumah sendiri di taman perumahan lain di sekitar Ampang dan keluarga juga bertambah, kami dibantu oleh pembantu rumah. 

Tidaklah saya menduga bahawa anak perempuan jiran yang menjaga anak sulung kami di rumah (sewa ) lama di usia lebih kurang 12 tahun ketika itu yang tiap-tiap hari mendukung anak kami kini adalah seorang artis popular. Kebetulan kami bertemu artis itu yang telah ‘ berhijrah ‘ baru-baru ini ketika kami ziarah ibunya di Ulu Klang lebih kurang dua tiga tahun yang lalu. Sayangnya, beliau ‘ tidak berapa ingat ’ akan momen-momen silam yang cuba kami imbau. 

Tugas menjaga anak sendiri bersifat ‘ flexi’, yaani boleh dilakukan oleh ibu bapa anak-anak itu sendiri (termasuk menghantar ke pusat asuhan anak-anak/menggunakan pembantu rumah) atau mengambil jalan ‘ short cut ‘ dengan cara menghantar anak-anak untuk dijaga oleh ibu bapa sendiri atau ibu bapa mertua. 

Tiada datuk atau nenek yang tidak sayangkan cucu-cucu mereka. Mereka tidak akan sanggup menolak ‘ kerja’ menjaga cucu jika tiada keuzuran yang sangat ketara. 

Salah seorang sepupu saya yang telah bersara dan isterinya kini ' bekerja ' menjaga 5 orang cucu dari 3 orang anaknya meluahkan isi hatinya secara berseloroh; Semasa dia masih bekerja sudah memadai seorang pegawai atasan sahaja yang meluluskan cutinya. Bagaimanapun, apabila bersara dan mendapat 'kerja baharu' menjaga cucu-cucu, cutinya perlu mendapat kelulusan daripada 6 orang ‘ tuan ‘ ( anak dan menantu). 

Sesungguhnya, fenomena datuk/nenek menjaga cucu akan kekal dalam keadaan ‘status quo’ kerana jalan ceritanya sangat kompleks sehingga seperti tidak dapat dirungkai. Ada pro dan kontra. Situasi ini boleh berada di dalam kehidupan sesiapa sahaja samada secara sengaja atau terpaksa . 

Jumaat, 25 Oktober 2013

HOSPITAL AMPANG

JARAK rumah saya dengan Hospital Ampang cuma lebih kurang 3 kilometer sahaja. Bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk saya tidak mengagumi katangkasan perkhidmatan Unit Ambulan hospital ini. 

Ambulan Hospital  Ampang telah berada di hadapan rumah saya tidak sampai 10 minit setelah saya membuat panggilan kecemasan untuk membawa isteri ke hospital. 

Keefisyenan perkhidmatan hospital ini juga melibatkan jabatan-jabatan lain. Sebagai pesakit yang dikategorikan Zon Kuning, isteri saya terus diberi rawatan sesampai sahaja di hospital. Urusan pendaftaran dilakukan dalam tempoh tidak sampai 5 minit selepas itu. 

Pada mulanya isteri saya ditempatkan di dalam ward yang lebih rendah dari kelayakkan yang sepatutnya. Sedemikian saya membuat permohonan di pejabat pendaftaran yang terletak di ruangan lobi. 

Saya terpaksa bertanya kepada jururawat bertugas di mana isteri saya ditempatkan kerana apabila balik semula ke ward asal, isteri saya telah tiada di situ. Isteri saya dialihkan ke tempat baharu (mengikut kelayakkan) sebaik sahaja saya masih berurusan di pejabat pendaftaran di lobi hospital.

Selain itu, semua staf yang saya berurusan dan berkomunikasi telah melayan saya dengan sebaiknya.

Wau.....bermimpikah saya?  Ini adalah perkhidmatan hospital setaraf negara-negara maju seperti yang saya lihat di television.

Walaupun ada sungutan di kalangan ahli keluarga yang datang berziarah mengenai layanan kasar seorang jururawat di hospital ini, saya menganggap (jika benar) itu adalah kes terpencil yang tidak mencarikkan kehebatan perkhidmatan hospital ini.

Kalaulah pengalaman saya yang pernah berurusan dengan Klinik Kesihatan Cheras Baharu (Jalan Kuari) dan Hospital Ampang menggambarkan tahap prestasi perkhidmatan di kebanyakkan hospital negara ini, saya adalah salah seorang rakyat yang merasa bangga dengan anjakan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dalam melestarikan tahap perkhidmatan kepada golongan sasar, iaitu rakyat negara ini.

Selasa, 16 Julai 2013

KEHIDUPAN : BANYAK YANG KITA ABAIKAN

" HIDUP YANG 'MENGHIDUPKAN' ORANG LAIN ADALAH HIDUP YANG BERHARGA" (ALBERT EINSTEN)

Dalam melatari kehidupan di dunia ini, terlalu banyak simpang-siur kiri-kanan yang mungkin kita abaikan. 

Kita dengan mudahnya boleh terkesan apabila melihat seekor anjing 'menyalak' kesakitan di tengah jalan kerana dilanggar oleh sebuah kenderaan yang meninggalkan mangsanya itu begitu sahaja. Tiada apa yang kita lakukan selain menzahirkan memek muka simpati. Walaupun kejam bunyinya, kita mungkin mengharapkan anjing itu dilanggar buat kali kedua supaya mati segera. Kononnya, biarlah anjing itu mati dengan cepat dari menderita berpanjangan.

Mungkin juga ada di kalangan kita yang sangat kasihan kepada anjing atau kucing jalanan. Saban masa kita boleh melihat kucing-kucing terbiar itu mengiau kerana lapar dan begitu juga anjing-anjing tidak bertuan yang juga kelaparan dan dahaga sehingga terjelir lidah. Walaupun ada rasa simpati, kita masih tidak bersedia membuka tingkap kereta dan mencampakkan secebis dua roti gardenia ber 'cream' atau seekor dua ikan kembung yang baru dibeli kepada haiwan-haiwan malang itu.

Kita juga agak terganggu ketika memandu 'angkara' saudara seIslam Rohingya bersama anaknya menolak basikal roda tiga yang penuh dengan muatan barangan terbuang umpama kura-kura di jalan yang kita lalui. Kita tidak peduli melihat kepenatan mereka sehingga menyebabkan baju buruk dan kusam yang dipakai dibasahi peluh kerana hawa di luar cermin kenderaan kita terlalu panas.

Namun, sebagai seorang manusia yang dikira baik juga, kita juga kasihan kepada si anak yang sepatutnya ketika itu berada di dalam bilik darjah dan bukannya membanting tulang di tengah panas. Walaupun kasihan, kita masih tidak sanggup menyerahkan satu tin 100 Plus yang berbaki di dalam kenderaan kita kepada orang tidak bernegara itu.

Ketika menginap di bilik hotel, kita mungkin meletakkan sejumlah wang syiling di atas meja dan akan mengutip semula apabila hendak ' check out '. Kita akan memberi sedikit kegembiraan kepada pekerja pengemas bilik hotel dengan tidak mengambil ketulan wang syiling yang jumlahnya tidak seberapa itu (dan kalau boleh tambahkan lagi dengan sehelai dua RM1) apabila hendak meninggalkan bilik hotel. Bagaimanapun, selalunya kita terlepas pandang perkara remeh ini. 

Hakikatnya, banyak lagi simpang-siur dalam laluan kehidupan yang kita abaikan. Kita mungkin terlepas pandang. Atau, kita langsung tidak ambil peduli kerana terpasung di dalam 'Dunia Kesendirian' yang kita memandai-mandai bina sendiri. Robohkanlah tembok ' Dunia Kesendirian' itu. Kita ada tanggungjawab yang selama ini diabaikan. 

Jumaat, 5 Julai 2013

simpati

Saya bukan 'blogger' dalam definasi yang sebenarnya tetapi adalah seorang pencatat yang suka mencatat segala perkara dan peristiwa yang dilihat dan alami atau yang bermain-main di emosi. Sehubungan ini mungkin ada catatan-catatan tersebut yang agak keterlaluan dan boleh menyinggung perasaan beberapa individu/pihak. Jika ada, saya memohon maaf. 

Kisah 1:

Satu petang ketika singgah di Restoran RNK Avenue Ampang, Ampang, Selangor saya melihat seorang wanita Melayu awal 40-an yang kehilangan penglihatan dipimpin oleh seorang wanita muda mendatangani pelanggan restoran dari meja ke meja untuk meminta simpati (sedekah). 

Saya melihat wanita hilang penglihatan itu mendapati apa yang dihajatnya apabila mendatangangani semua meja ( seorang sahaja yang memberikan wang) yang didudukki oleh pengunjung restoran dari kalangan etnik India (Hindu).

Dia tidak mendapat apa-apa di meja pelanggan etnik Cina.

Dia cuma mendapat simpati dari dua buah meja dari beberapa buah meja yang pelanggannya adalah etnik Melayu.

 Kisah 2:

Saya melihat seorang wanita etnik India yang bertanda di dahinya berusia lebih kurang 35 tahun memberikan sumbangan kepada seorang peminta sedekah beragama Islam yang memakai serban berhampiran Bank CIMB Ampang Point, Ampang, Selangor.


ULASAN :

Sesungghnya, dua sampel yang saya lihat sendiri tidak membolehkan saya membuat satu rumusan yang adil dan berwibawa. Bagaimanapun,  satu sampel di sebuah restoran di mana 'seorang wakil' daripada kesemua meja pelanggan etnik India telah memberikan sumbangan kepada seorang peminta sedekah Orang Melayu yang hilang penglihatan boleh menghasilkan satu rumusan emosi yang agak menakjubkan.

  

Khamis, 13 Jun 2013

TERKENANG-KENANG HARAP SELALU.....(PART 2)

ujang kutik: TERKENANG-KENANG HARAP SELALU.....

Tarikh: 12 June 2013 (Rabu)
Lokasi : Surau Pejabat

Ketika bersalaman selepas usai solat Asar berjumaah di surau Pejabat, Ramli (bukan nama sebenar), seorang sahabat baik dan pernah bertugas di Bahagian yang sama beberapa tahun dahulu, bertanya mengenai ketiadaan kelibat saya di surau minggu lepas. Saya menjawab, " 'Out station' di Perak."

Saya menambah kata dalam bahasa kiasan secara bergurau, " Sungguh pun tuan jauh di mata, namun dekat di hati saya."  

Dia tidak memahami maksud kata-kata saya. Seorang sahabat lain, Hj. Muhammad yang memahami maksud percakapan saya tersenyum.

Saudara Ramli (bukan nama sebenar) yang sememangnya peramah dan mudah mesra menambah kata dalam dialek utara yang tidak dapat dihindarkannya, " Saya seperti biasa, " Mencari Pelangi." Maksudnya, beliau juga seperti biasa telah balik ke Alor Star, Kedah pada cuti hujung minggu menemui isteri dan anak-anak. Beliau bertugas di Ibu Kota tetapi keluarganya menetap di Alor Star, Kedah.  

Ulasan:

Sdr Ramli (bukan nama sebenar) tidak mengetahui bahawa saya telah memaparkan satu sisi kehidupannya yang terpaksa berjauhan dengan anak-anak dan isteri tersayang dalam salah satu 'entry' blog saya. Saya tidak memberitahunya. 

Saya juga tidak merasa bersalah kerana identiti sebenar beliau tidak saya gambarkan dengan jelas. Lagi pun, catatan itu terhasil melalui pengamatan jujur saya sepanjang bersahabat dan mengenalinya. Beliau adalah seorang suami dan bapa yang baik. Beliau juga seorang rakan yang boleh dijadikan sahabat. 

Sabtu, 8 Jun 2013

TERKENANG-KENANG HARAP SELALU.....

Berenang-renang ikan ke hulu
Buah pauh termasuk pukat
Terkenang-kenang harap selalu
Setiap detik teringat-ingat

Kawan saya, Ramli (bukan nama sebenar), ditukarkan dari daerah asalnya, Alor Setar, Kedah ke Ibu Pejabat, Kuala Lumpur sejak lebih 10 tahun yang lalu. Dia datang ke Kuala Lumpur sendirian. Isteri dan 3 orang anaknya masih terus menetap di Alor Setar. Dia balik ke Alor Star ' menemui pelangi ' (dia suka menyebut ungkapan ini) pada tiap-tiap cuti hujung minggu dengan menggunakan pengangkutan bas.

Segalanya berjalan lancar, samada keluarga di Alor Setar atau di tempat kerja. Tiga orang anaknya berjaya dalam pelajaran - yang tua (perempuan) telah tamat membuat ijazah pertama dan bekerja, kedua (perempuan) di IPTA dan ketiga (lelaki) di sekolah berasrama penuh.

Dia juga sangat berjaya dalam kerjaya. Dia dinaikkan pangkat ke tahap tertinggi dalam hiraki skim perkhidmatan jawatannya.

Senario sebegini mungkin agak asing bagi 'kita' yang dimanjakan  kerana tiada desakan atau 'keterpaksaan'. Di luar kepompong dunia kita, ramai yang 'kurang bernasib baik' kerana demi kepentingan kerjaya dan punca rezeki, mereka berjauhan dengan keluarga.

Suami kepada anak saudara saya yang ditempatkan bertugas di Sudan menghabiskan cuti sebulannya hari ini (8/6/13) dan 'terpaksa' berangkat semula ke Sudan malam ini. Dia meluahkan betapa begitu sekejapnya cuti selama satu bulan yang diperolehinya. 

Mengepalai golongan ' MALBAT ' (ungkapan popular golongan yang terpaksa tinggal berjauhan dengan keluarga) ini adalah; Anggota tentera laut, pekerja kapal, wartawan, pekerja syarikat petroleum, pekerja firma juruukur, pekerja pembalakan, pendakwah dan banyak lagi termasuk kes-kes terpencil di kalangan guru yang ditukarkan ke daerah pedalaman Sabah dan Sarawak.

Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. ' Kesian '. Kita cuma memandang, mereka mengalaminya - berjauhan dengan isteri dan anak-anak terutamanya yang masih kecil.

Banyak cabaran, dugaan dan godaan samada di pihak suami, isteri dan anak-anak ketika menyantuni hidup berkeluarga dalam situasi berjauhan sesama sendiri. Sesungguhnya, inilah kehidupan. Kadang-kadang kita tidak berdaya membuat pilihan.