Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agama. Papar semua catatan

Khamis, 13 Oktober 2022

Wirid 700 (Pautan dari Blog Ahmad Rifai Al Ahmadi Idrisi)

ENTRY INI SAYA ' COPY AND PASTE ' DARI BLOG "Ahmad Rifai Al Ahmadi Idrisi".

 

Ertinya: "Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah, pada setiap kerlipan mata dan denyutan nafas sebanyak bilangan keluasan ilmu Allah"


INI AURAD PAGI PETANG BAGI IKHWAN TARIKAT AHMADIAH BUKIT ABAL

Wirid 700:

بسم الله الرحمن الرحيم
إين ورد يغ دباج اكندي
فاكي دان فتغ يغد هيمفون اكندي اوليه
الراجي إلى ربه الحاج داود إبن
حاج عر اللبدي الكلنتاني

1. أعوذ بالله مِنَ الشيطانِ الرجيم ، بسم الله الرحمن الرحيم
اللهُمَّ صَلِّ وَسَلّم وَبَارِكْ عَلىَ مَوْلانَا مُحَمَّد وَ عَلىَ آلِهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله، اللهم إني أقدِّمُ إِليك بَيْنَ يَدَي كُلِّ نَفْسٍ وَلَمْحَةٍ وَطَرْفَةٍ يَطْرِفُ بِهَا أَهْلُ السَمَاوَاتِ وَأهلُ الأرضِ وَكلِّ شَيءٍ هو فِي عِلْمِكَ كَائِنٌ أوْ قَدْ كَان، أُقَدِمُ إِلَيْكَ بَيْنَ يدي ذلك كله.

2. أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه ( 3 كالي)

3. سبحان الله ( 100 كالي )

4. الحمدالله ( 100 كالي )

5. لا إله الا الله ( 100 كالي )

6. الله أكبر ( 100 كالي )

7. سبحان الله العظيم وبحمده ( 100 كالي )

8. اللهم صل وسلم وبارك على مولانا محمد وعلى آله فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله ( 100 كالي )

9. لا إله إلا الله محمد رسول الله في كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسً عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ الله.
( 100 كالي )

10. اللهُم إِنّيْ أسْئَلُكَ بِنُوْرِ وَجْهِ الله العظيم، الذِي مَلأ أَرْكَانُ عرش الله العظيم، وقامت به عوالم الله العظيم. أَنْ تُصَلِّى عَلىَ مَولانا محمد ذِي القَدْرِ العَظِيم، وَعَلىَ آلِ نَبِيِ اللهِ العَظِيم. بِقَدْرِ عَظَمَةِ ذَاتِ الله العظيم، في كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا فِي عِلْمِ الله العظيم. صَلاةً دَائِمَةً بِدَوَامِ الله العَظيم، تَعْظِيمًا لِحَقِّكَ يا مولانا محمد يا ذَالخَلْقِ العظيم. وَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَعَلى آله مِثْلُ ذلك. وَاجْمَع بين وبينه كَمَا جَمَعْتَ بَيْنَ الروح و النفس ظاهرا وَبَاطِنًا يَقَظَةً وَمَنَامًا وَجْعَلْهُ يَا رَبِّ رُوْحًا لِذَاتِي مِنْ جَمِيْعِ الوُجُوهِ فِي الدنيا قَبْلَ الآخرة يا عظيم.
( 3 كالي )

11. أستغفرُالله العظيم الذِي لا إله إلا هُوَ الحي القيوم ، غَفَّارُ الذِّنُوبِ ذَالجَلالِ والإكرام. وَأَتُوْبُ إِلَيه مِنْ جَمِيْعِ المَعَاصِى كُلِّهَا وَالذُّنُوبِ وَالآثَام. وَمِنْ كُلِّ ذَنْبِ أَذْنَبَتْهُ عَمَدًا وَخَطَأً ظَاهِرًا وباطنا قولا وفعلا. في جَمِيْعِ حَرَكَاتِي وَسَكَنَاتِي وَخَطَرَاتِي وَأَنْفَاسِي كُلِّهَا دَائِمًا أَبَدًا سَرْمَدًا، مِنَ الذَنْبِ الذِي أَعْلَمُ وَمِنْ الذَنْبِ الذي لا أَعْلَمُ عَدَدَمَا أَحَاطَ بِهِ العِلْمُ وَأَحْصَاهُ الكِتَابُ وَخَطَّهُ القَلَمُ وعَدَدَمَا أَوْجَدَتْهُ القدرة وَخَصَّصَهُ الإِرَادَةِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِ الله. كَمَا يَنْبَغِي لِجَلالِ وَجْهِ ربنا وكماله، وكما يحب ربنا ويرضى .
( 3 كالي )

12. سُبْحَانَكَ اللهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْك، عَمِلْتُ سوأً ، وَظَلَمْتُ نَفْسِي وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْلِي فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلا أَنْتَ
( تيك كالي )

سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبُّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَسَلامٌ عَلىَ المُرْسَلِينَ و الحَمْدُ اللهِ رَبِّ العالمين.
(سكالي)

000---000

1.Ertinya: Aku minta berlindung dengan Allah daripada syaitan yang kena rejam. Dengan nama Allah Tuhan Yang Amat Pemurah.

Hai Tuhanku, beri rahmat oleh-Mu dan beri selamat oleh-Mu dan berkat oleh-Mu atas tuan kami Nabi Muhammad dan atas ahlinya pada tiap-tiap pandangan mata dan nafas sebilang-bilang barang yang meliputi akandia oleh ilmu Allah.

Hai Tuhanku, bahawasanya aku mendahului kepada Engkau antara hadapan tiap-tiap nafas dan pandangan mata dan kerlipan mata yang berkelip dengan dia oleh ahli segala langit dan ahli bumi dan tiap-tiap suatu di dalam ilmu Engkau itu sungguhnya sudah ada ia aku mendahului kepada Engkau.

2.Ertinya: Aku minta ampun akan Allah Tuhan Yang Maha Besar yang Tiada Tuhan melainkan ia Tuhan Yang Hidup lagi Amat Mendiri akan tiap-tiap suatu.
Baca akan dia 3x itu iaitu diampun akan dosa jikalau ada ia seumpama buih air laut sekalipun (hadis sahih) dan dibaca akandia 3x ketika hendak tidur iaitu diampun akan dosa jikalau ada ia seumpama buih air laut atau sebilang-bilang daun kayu atau sebilang-bilang pasir dialaj atau sebilang-bilang segala hari dunia (hadis Hassan).

3.Subhanallah (100X)
Ertinya: Maha Suci Allah.

4.Alhamdulillah (100X)
Ertinya: Kepujian itu bagi Allah.

5.Laa ila hai lallah (100X)
Ertinya: Tiada Tuhan melainkan Allah.

6.Allahu akbar (100X)
Ertinya: Allah Maha Besar.

7.Subhanallahil 'azhiimi wabihamdih (100X)
Ertinya: Maha Suci Allah Yang Maha Besar dan dengan Kepujiannya.

8.Ertinya: Hai Tuhanku, beri rahmat oleh-Mu dan beri selamat oleh-Mu dan beri berkat oleh-Mu atas tuan kami Nabi Muhammad S.A.W dan atas ahlinya pada tiap-tiap pandang mata dan nafas sebilang-bilang barang yang meliputi akandia oleh imu Allah.
(Selawat Sidi Ahmad Bin Idris R.A)
Sayugia dibaca akan dia kerana banyak bilangannya iaitu tiap-tiap pandang mata dan tiap-tiap nafas dan sebilang-bilang barang yang dihendaki oleh Allah Taa’la dan dengan sependek-pendeknya itu mengandungi ia akan minta selawat dan selamat dan berkat atas Nabi Muhammad S.A.W.
9.Tahlil Khusus:

"Laailaaha illallaahu Muhammadur Rosuulullaah, Fii kulli lamhatin wanafasin 'adada maa wasi'ahuu 'ilmullaah"

Ertinya: "Tiada Tuhan melainkan Allah Muhammad Rasulullah, pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan keluasan ilmu Allah"

10.Selawat Azimiah (3x)

Ertinya: "Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepada Engkau dengan cahaya Dzat Allah Yang Maha Agung, yang memenuhi tiang-tiang 'arasy Allah Yang Maha Agung, dan berdiri dengannya alam-alam Allah Yang Maha Agung, agar Engkau berselawat atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, yang mempunyai kadar yang agung dan (berselawat juga) atas keluarga Nabi Allah Yang Maha Agung, dengan kadar keagungan Dzat Allah Yang Maha Agung, pada setiap kelipan dan penafasan sebilangan apa yang ada pada ilmu Allah Yang Maha Agung, selawat yang sentiasa berkekalan dengan kekalnya Allah Yang Maha Agung, kerana mengagungkan hakmu wahai penghulu kami, wahai (Nabi) Muhammad, wahai yang mempunyai akhlak yang agung dan salamlah keatasnya dan keatas ahli keluarganya seperti semua itu juga dan himpunkanlah antaraku dan antaranya (Rasulullah) sebagaimana Engkau himpunkan antara roh dan diri (jasad) pada zahirnya dan pada batinnya, dalam keadaan sedar mahupun di dalam keadaan tidur, dan jadikanlah dia (Rasulullah) ya Tuhanku sebagai roh bagi dzatku daripada segala segi di dunia, sebelum hari akhirat, ya Allah Yang Maha Agung"

11.Istiqfar Kabir (3x)

Ertinya: "Aku memohon keampunan Allah yang Maha Agung, yang tiada tuhan yang disembah melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Berdiri Dengan SendiriNya, Dia adalah Tuhan Yang Maha Pengampun segala dosa, Yang mempunyai Ketinggian dan Kemuliaan, dan aku bertaubat kepadaNya dari semua kemaksiatan, semuanya sekali, dan dari segala dosa dan kesalahan, dan daripada segala dosa yang aku lakukannya sama ada sengaja ataupun tidak sengaja, yang zahir dan yang batin, dalam bentuk percakapan dan dalam bentuk perbuatan, dalam setiap pergerakanku dan dalam setiap diamku dan dalam setiap lintasan hatiku dan dalam setiap penafasanku, semuanya sekali, selalu, selama-lamanya dengan tiada akhirnya, daripada dosa yang aku ketahui dan daripada dosa yang tidakku ketahui, sebanyak bilangan apapun yang meliputi ilmu (Allah), dan apapun yang dihitung oleh kitab (Allah), dan apapun yang ditulis oleh kalam (Allah), dan sebilangan apapun yang dijadikan oleh kudrat (Allah), dan apa yang dikhususkan oleh kehendak (Allah), dan sebilangan kalimat-kalimat Allah, sebagaimana yang sepatutnya, mengikut Kemuliaan dan Ketinggian Dzat Tuhan kami, dan Kecantikkannya, dan Kesempurnaannya, dan sebagaimana yang disukai oleh Tuhan kami dan yang diredhai olehNya."

12.Kaffaratul Majlis (3x) - rujuk halaman 13

Ertinya: Maha Suci Engkau Hai Tuhanku dan dengan kepujian Engkau aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Engkau aku minta ampun akan diKau dan aku taubat kepada Engkau telah aku mengerjakan kejahatan dan aku buat nyaya akan diriku dan mengaku aku dengan dosa aku maka ampun oleh-Mu bagiku bahawasanya tiada dapat mengampuni akan segala dosa melainkan Engkau.
Dibaca akandia 1x atau 3x ketika hendak bangun daripada majlis kerana diampun akan kejahatan yang diperbuat di dalam majlis itu dan dipaterikan kebajikan yang diperbuat di dalamnya itu pada tempat simpanannya wallahu a’lam.

Mikyalul awfai (1x)
Ertinya: Maha Suci Tuhan Engkau Tuhan yang mempunyai kekuatan daripada barang yang mesifat oleh mereka itu dan selamat atas segala Rasul dan kepujian itu bagi Allah Tuhan sekalian alam.
Dibaca akandia ketika hendak bangun daripada majlis atau pada akhir kalam di dalam majlis itu. Adalah pahala kebajikan yang diperbuat di dalam majlis itu diberi akandia dengan sempurna pada hari kiamat sebagaimana janjinya.

Baca zikir subhanallah itu 100x pagi dan 100x petang pahala seperti 100x haji.

Baca alhamdulillah 100x pagi dan 100x petang itu pahala seperti perang sabil berkuda 100x.

Baca laa ilaha illallah 100x pagi dan 100x petang itu pahala seperti memerdekakan 100 orang hamba sahaya. Sayugia ditambah dengan tahlil khusus ahmadiah, supaya bertambah-tambah kelebihan dari yang sedemikian itu ganda berganda.

Baca allahu akbar 100x pagi dan 100x petang itu tiada seorang terlebih banyak pahala pada hari itu melainkan orang yang membaca seumpama itu atau atasnya (hadis hasan).

Baca subhanallahil 'azhiimi wabihamdih 100x pagi dan 100x petang itu dihapuskan akan segala dosa jikalau ada ia seperti buih air laut sekalipun (hadis shahih)

Pagi itu kata Rodad (ulama): Daripada fajar hingga waktu dhuha dan baki waktu dhuha itu pada hukum pagi juga dan petang itu kemudian daripada sembahyang asar hingga lalu sepertiga malam atau separuhnya.

Kata Ibn Hajar: Pagi itu beberapa masa oleh siang dan petang itu beberapa masa oleh malam.

(Harus diketahui waktu pagi itu adalah selepas subuh hingga jam 12 tengahari dan waktu petang itu selepas asar sehingga jam 12 malam)

(Sumber: Risalah AL Aqa’id Wal Fawaid / Kitab Hijau, Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar al-Libadi al-Kelantani).

Sabtu, 28 Februari 2015

SEBUAH MASJID DI SERI PETALING

JALAN KECIL MEMASUKI KAWASAN MASJID

Tarikh    : 21 Februari 2015 ( Sabtu Malam Ahad)
Lokasi    : Masjid Jemaah Tabligh, Seri Petaling
Waktu    : 5.45 petang hingga 9.40 malam

Ini adalah kali pertama saya ke Masjid Jemaah Tabligh, Seri Petaling pada tahun ini ( 2015 ). Tahun-tahun sebelumnya saya pernah ke masjid yang letaknya lebih kurang 7 kilometer dari rumah tetapi tidaklah selalu.

Saya pernah menulis satu atau dua catatan mengenai pengalaman berada di masjid ini. Semoga catatan kali ini tidak memaparkan cerita-cerita yang sama.

Masjid Seri Petaling yang terletak di tengah-tengah pusat komersial yang tentunya milik (pusat komersial) bukan Islam khususnya etnik Cina dan tidak jauh dari Stadium Nasional Bukit Jalil adalah masjid yang dikaitkan dengan Jemaah Tabligh Malaysia. Itulah ' statement ' umum yang difahami oleh masyarakat Lembah Kelang.



Masjid Seri Petaling @ Jemaah Tabligh ini menjadi tumpuan ahli Jemaah itu khususnya pada hari Sabtu malam Ahad.

Masjid ini sebenarnya hidup 24 jam. Ianya diimarahkan samada sebagai pusat transit oleh kumpulan-kumpulan Jemaah Tabligh yang hendak keluar berdakwah dan juga balik dari berdakwah, pelajar-pelajar tahfiz yang berpusat di masjid ini,  golongan pengembara dan individu tempatan yang hendak mendekatkan diri dengan Allah secara sendirian.

Sepanjang saya mengunjungi masjid ini, saya tidak pernah melihat tokoh-tokoh atau ulamak besar tanah air dijemput menyampaikan ceramah di sini.

Pihak Jemaah Tabligh mungkin tidak memerlukan tokoh atau tenaga pengajar dari luar kerana mereka ada  kekuatan sendiri. Mereka mempunyai alim ulamak atau tenaga pengajar sendiri yang kebanyakkannya diimpot dari India.


Tokoh-tokoh Jemaah Tabligh dari luar khususnya dari India menyampaikan tazkirah dalam Bahasa Urdu/Hindi/Tamil diterjemahkan ke Bahasa Melayu dengan lancarnya oleh anak Melayu.

Saya meminta maaf kepada Jemaah Tabligh kerana menggunakan istilah tazkirah disebabkan  saya tidak mengetahui terma khusus yang digunakan oleh mereka. Saya ada juga mendengar istilah seperti ' Bayan 'yang kalau tidak silap saya adalah sesi tazkirah.

Saya memahami bahawa kuliah agama adalah sesi yang bersifat akademik dengan merujuk kepada kitab-kitab tertentu. Tazkirah pula adalah sesi yang agak ringan yang menjurus kepada peringatan, fadilat amalan dan tauladan dalam usaha seseorang hamba Allah mengabdikan dan mendekatkan diri kepada Allah. Saya meminta maaf jika kaedah pemahaman istilah saya kurang tepat.

Hampir 95 peratus ahli Jemaah Tabligh dianggotai oleh anak-anak muda Melayu dan India Muslim. Golongan berusia tidak banyak menyertai kumpulan itu.

Ahli Jemaah Tabligh memakai pakaian jenis kurta berwarna putih, iaitu pakaian yang biasa dipakai oleh saudara India Muslim kita. Cuma seorang dua sahaja yang memakai kain pelikat dan baju Melayu. Mereka mungkin orang awam yang hendak mengalami suasana beribadat di kalangan ahli Jemaah Tabligh. Saya melihat pakaian sedemikian ( baju Melayu) agak janggal sedikit dan tidak ' match ' dengan suasana.

Di tengah-tengah gelombang manusia yang hendak mendekatkan diri dengan Allah itu saya terlihat beberapa orang anak muda muda Melayu yang agak berani dan yakin menggayakan pakaian ala-ala tokoh pengembara Islam  silam seperti Ibn Battuta yang pernah kita lihat dalam buku-buku lama tokoh-tokoh agama.

Mereka memakai pakaian kurta kusam dengan kaki seluar yang singkat ( bawah sedikit dari lutut), memakai serban cara Jemaah Tabligh dan menyandang beg sandang.


Mengikut pengamatan zahir, ahli Jemaah Tabligh sangat susah mengucapkan salam di kalangan sesama mereka dan lebih-lebih lagi jemaah yang bukan dari kalangan golongan itu. Sebagai generasi berusia saya mengalami sikap sedemikian.

Mereka juga tidak bersalaman dengan jemaah lain apabila selesai menunaikan solat secara berjumaah. Amalan ini agak janggal dengan budaya masyarakat Islam di negara ini.

Atau, adakah budaya bersalaman sesama jemaah masjid adalah budaya masyarakat Melayu Malaysia sahaja dan bukannya amalan masyarakat Islam di tempat lain?

Secara kebetulan, salah seorang jemaah di masjid saya ialah ahli senior Jemaah Tabligh. Suatu ketika dahulu saya selalu juga melihat dia mengepalai kumpulannya berkumpul sesama semdiri selepas selesai solat di masjid.  Bagaimanapun, aktiviti itu tidak lagi dilakukannya.


Saya tidak pernah melihat dia tersenyum dan bersalaman dengan jemaah di kiri dan kanannya  setelah usai solat berjumaah. Usai solat dia terus membawa diri untuk menyendiri.

Melalui pemerhatian pada hari-hari sebelum ini, saya melihat ahli Jemaah Tabligh keturunan India lebih terkehadapan  dalam melaksanakan pengisian beribadat di rumah Allah. Mereka lebih menonjol melakukan solat sunat, berzikir, membaca Quran dan mendirikan malam berbanding ahli Jemaah Tabligh di kalangan orang Melayu.

Agak malang,  ada segelintir ahli Jemaah Tabligh yang sanggup bersusah payah menghadiri perjumpaan mingguan di masjid ini tetapi seolah-olah datang untuk tidur, bersenang-senangan dan bermalas-malasan di masjid ini.

Bagaimanapun, kita jangan terlalu emosi dan terlalu mencari-cari kelemahan individu yang menyertai kumpulan Jemaah Tabligh dengan isu-isu remeh seperti yang dinyatakan. Majoriti mereka yang bersama dengan Jemaah Tabligh ialah anak-anak muda. Sekalipun ada segelintir yang banyak tidur dari beribadat apabila datang ke sini, mereka jauh lebih baik dari anak-anak muda yang terkinja-kinja menyaksikan konsert atau perlawanan bolasepak di Stadium Nasional Bukit Jalil yang terletak di kejiranan Masjid Jemaah Tabligh ini.

Sebagai bukan ahli Jemaah Tabligh, saya tidak mendapat jawapan yang jelas mengapa masjid ini menjadi tumpuan ribuan ahli Jemaah Tabligh dan juga di kalangan orang awam pada hujung minggu.

Penceramah yang menyampaikan ceramah/tazkirah mungkin mereka yang sangat alim. Bagaimanapun, ilmu yang disampaikan perlu diterjemahkan terlebih dahulu ke Bahasa Melayu oleh orang lain untuk difahami oleh Jemaah tempatan. Keadaan ini tentulah sebanyak sedikit mengganggu penerimaan hadirin dan menjadi kurang menarik.

Tentu ada lain-lain factor atau Faktor X yang kita orang luar tidak ketahui mengapa masjid ini dibanjiri oleh kumpulan itu dan orang luar.

Saya catatkan pengalaman saya sepanjang berada di tengah lautan ahli Jemaah Tabligh pada 21/2/15 dari jam 5.45 petang hingga 9.40 malam di Masjid Jemaah Tabligh, Seri Petaling:

5.45 Petang :

Ahli Jemaah Tabligh belum banyak lagi kelihatan di luar masjid. Saya singgah di salah sebuah warung makanan dan makan nasi kari kambing - Nasi Kari Kambing + Minuman = RM7.00. Selesai makan saya ' window shopping ' di kedai/gerai yang banyak di sekitar kawasan masjid.

6.00 Petang :

Saya masuk ke dalam bangunan masjid dua tingkat. Di tingkat sebelah bawah  terdapat tiga buah dewan solat. Dua buah dewan solat dijadikan tempat ahli Jemaah Tabligh menempatkan beg dan juga tempat untuk bermalam. Dewan solat utama yang terletak di bahagian tengah antara dua dewan tersebut dijadikan dewan solat dan perhimpunan.

Ketika saya memasuki dewan solat utama saya mendapati majlis tazkirah sedang berlangsung. Majlis itu berakhir ketika masuk waktu solat maghrib.

Waktu Solat Maghrib ( 7.45 malam - 8.15 malam)

Solat fardhu maghrib ditunaikan lebih kurang jam 7.45 malam. Solat diimamkan oleh seorang imam muda keturunan Melayu. Imam mengusaikan tugasnya sebagai imam untuk solat fardhu Maghrib  dengan memimpin wirid dan doa ringkas.

Usai solat jemaah bersurai sebentar.

Tazkirah Ke-2 ( 8.15 malam - 9.40 malam):

Jemaah Tabligh berhimpun semula untuk mendengar tazkirah seterusnya. Tazkirah disampaikan oleh tokoh Jemaah Tabligh keturunan India dalam Bahasa Hindi atau Urdu ( saya tidak pasti) dan diterjemahkan oleh seorang anak muda berketurunan Melayu.

Tazkirah berakhir pada jam lebih kurang 9. 30 malam. Ianya disusul dengan acara wajib seterusnya mendaftarkan ahli-ahli Jemaah Tabligh yang secara sukarela hendak keluar berdakwah dalam tempoh-tempoh tertentu.

Sambutan sangat menggalakkan dengan cara mengangkat tangan dan memberi nama masing-masing.

9.40 malam :

Menunaikan solat fardhu Isyak. Bacaan wirid dan doa selepas solat juga pendek (rengkas).

Pihak yang bertanggungjawab memaklumkan bahawa ada lagi satu sesi selepas selesai solat fardhu Isyak. Bagaimanapun, saya tidak dapat mengikutinya. Saya tidak bermalam di masjid Jemaah Tabligh, Seri Petaling pada kali ini kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ulasan :

Mungkin pada pendapat golongan yang bukan ahli Jemaah Tabligh, tiada yang istimewanya perhimpunan mingguan di Masjid Jemaah Tabligh itu. Penceramahnya adalah penceramah yang tidak terkenal. Justeru itu, pesona ceramah tentulah tidak dapat diserap sepenuhnya kerana halangan bahasa yang perlu diterjemahkan.

Begitulah juga tajuk ceramah atau mungkin lebih tepat saya ungkapkan ' tazkirah ' adalah berkisar pada tajuk-tajuk biasa yang diulang-ulang.

Kita ' orang luar ' mungkin berbangga dengan sambutan hadirin melalui majlis-majlis keagamaan berkala seperti Ya Nana Nana atau majlis dihoskan oleh Ustaz Selebriti di masjid atau lapangan terbuka yang dihadiri oleh ribuan penonton. Namun, sayangnya selepas majlis selesai masjid dan surau kita kembali seperti biasa. Lengang.

Sebaliknya, gelombang hamba Allah yang mengunjungi Masjid Jemaah Tabligh tidak pernah reda.

Apakah faktor X yang tidak didedahkan sehingga tidak diketahui oleh orang luar membuatkan kumpulan Jemaah Tabligh begitu ampuh bertapak, berkembang dan istiqamah? Apakah faktor X itu yang berjaya menarik ribuan manusia mengimarahkan Masjid Jemaah Tabligh, Seri Petaling saban masa dan minggu ? Apakah faktor X yang tidak terkejar oleh pencaci kumpulan Jemaah Tabligh itu?

Ahad, 15 Februari 2015

pagi ahad

Sebaik sahaja saya membuka pintu pagar untuk membeli surat khabar dan sarapan pagi hari minggu, pemungut barangan terbuang Myanmar Rohingya yang saban hari mencari rezeki di sekitar kawasan perumahan menghampiri saya dan memberi salam.

Dia menampilkan karenah yang tidak pernah dibuatnya. Dia meminta wang dengan alasan untuk membeli makanan.

Ketika membaca surat khabar sambil menunggu pesanan untuk sarapan pagi disediakan di sebuah restoran, saya dihampiri oleh seorang lelaki setua usia saya. Firasat saya mengatakan dia adalah lelaki pendatang dari benua India.

Lelaki tua itu berselindung di sebalik dakwaan sakit tua dan menjual tasbih dengan tujuan meminta wang aka minta sedekah.

Hakikatnya, saya adalah di antara golongan yang sangat berhati-hati dan penuh syak wasangka terhadap golongan yang meminta-minta yang tidak diketahui latar belakang mereka terutamanya golongan pendatang.

Saya jarang cair dengan ' presentation ' mereka yang bukan kepalang. Juteru itu, ahli keluarga saya sendiri tidak menyenangi pendekatan ' keras hati' itu.

Namun, sifat yang kononnya dimiliki oleh yang bernama hamba Allah, ada kalanya boleh lebur dalam sekelip mata di atas sebab-sebab yang tidak diketahuinya dengan jelas.

Benarlah, pada setiap kerlipan mata dan denyutan nafas adalah di dalam ilmu Allah.

Sabtu, 17 Januari 2015

apalah dosa tariqat tasawuf



GAMBAR HIASAN (SALAH SEBUAH MASJID LAMA DI MELAKA)

Saya memendam perasaan kurang selesa semasa seorang berstatus ustaz mengajuk dan mempersendakan apa yang didakwanya adalah cara pengamal tariqat tasawuf berzikir ketika menyampaikan kuliah zuhur di surau pejabat. Memek muka dan gelagatnya yang memaling muka ke arah kanan dan kiri ala-ala orang mabuk, mengundang hilaian ketawa terkekeh-kekeh di kalangan beberapa orang jemaah muda.  Beliau mendakwa pengamal tariqat tasawuf berzikir dengan laju kerana hendak mendapatkan jumlah zikir yang banyak (jumlah zikir ribu-ribu) sehingga sebutan zikir tidak betul.

Selain itu, banyaklah sisi-sisi tidak enak didengar yang didedahkan oleh ustaz itu mengenai amalan tariqat tasawuf.
Sepanjang masa saya menghormati dan mengagumi ustaz yang juga pesara jabatan kerajaan itu. Beliau adalah seorang ustaz yang agak popular di Lembah Klang dan juga pernah muncul beberapa kali di kaca TV.

Beliau  sangat memusuhi ajaran tariqat tasawuf.

Saya bukanlah seorang pengamal tarikat tasawuf . Bagaimanapun, saya berminat mengikuti kisah-kisah pengalaman rohani tokoh-tokoh sufi. Berdasarkan penjelasan perjalanan tariqat tasawuf oleh  seorang ustaz pengamal tariqat tasawuf yang juga  salah seorang ustaz jemputan di surau pejabat kami dan  melalui pembacaan, saya mendapat gambaran bahawa amalan tariqat tasawuf tidaklah seperti yang diajukkan oleh ustaz itu.

Bodohlah bagi seseorang yang hendak mendekatkan diri dengan Allah ' menipu ' Allah dengan amalan yang tidak sesuai atau tidak mengikut syariat.

Saya seperti tidak percaya ustaz yang tinggi ilmu agama dan berketrampilan Islamik yang sejuk mata memandang ( sentiasa memakai jubah dan mempunyai janggut panjang yang disisip rapi ) itu tergamak menyamakan pengamal tariqat tasawuf dengn pengikut kumpulan ajaran salah secara sewenang-wenangnya.

Saya masih ingat kata-kata seorang ustaz lain yang menempelak golongan melekehkan amalan bertarikat.  Katanya, " Mereka melekehkan amalan tariqat tasawuf dan tokoh-tokoh tariqat tasawuf tetapi menggunakan ilmu tokoh-tokoh tarikat tasawuf tersebut tanpa segan silu. 

Diperakui bahawa banyak tokoh-tokoh tariqat tasauf telah diiktiraf sebagai ulama besar yang terkenal dan hasil karya mereka terus dijadikan bahan rujukkan walaupun mereka telah meninggal dunia."

Di antara ulamak tersohor Tanah Melayu yang memilikki aura luar biasa dan ada di antaranya dianugerah makam karamah yang mengamalkan amalan tariqat tasawuf ialah Tuan Tabal (al-Ahmadiah), Syeikh Mohd Said Linggi (al-Ahmadiah), Tok Pulai Condong (as-Syaziliah), Mufti Hj. Wan Musa (al-Ahmadiah), Syeikh Abdul Malik Tok Pulau Manis (as-Syaziliah), Tokku Paloh (al-Naqsyabandiah), Tok Kenali  (al-Ahmadiah), Tuan Guru Hj. Daud Bukit Abal (al-Ahmadiah), Tuan Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (al-Ahmadiah), Mantan Mufti Negeri Sembilan Dato' Syeikh Murtadha Hj. Ahmad (al-Ahmadiah) Dr. Hj. Jahid Sidek (al-Naqsyabandiah), Syeikh Dato' Muhamad Fuad Kamaludin al-Maliki (al-Ahmadiah)

Justeru itu, siapalah kita dan khususnya ustaz-ustaz ' kerdil ' yang begitu benci kepada amalan tariqat tasawuf . Lebih dahsyat lagi sehingga ada yang sanggup menuduh golongan itu sesat.

Sekalipun kita sedih dengan sebilangan orang yang hendak mendekatkan dengan Allah tetapi tersilap langkah sehingga terjebak ke dalam perangkap ajaran sesat, janganlah samakan amalan tariqat tasawuf dengan ajaran sesat secara sewenang-wenangnya.


Ahad, 21 Disember 2014

ANJUNG MASJID

MASJID UBUDIAH

Saya telah menulis dalam whatsApp Ahlli Jemaah Masjid mengenai seorang lelaki tua yang menjadikan anjung masjid kami tempat bermalam. Jika pembaca sudi mengetahui senarionya silalah baca 'entry' ini.

=======================================================================

SUFFAH : (أهل الصفة ) Iaitu sekumpulan lelaki dari kalangan Sahabat Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam yang tinggal di suatu sudut di dalam Masjid Madinah.

Apabila ditanya kepada Ibnu Taimiyyah tentang siapakah Ahli Suffah, maka Ibnu Taimiyyah menjawab:  

" Adapun Ahli Suffah itu dinisbahkan kepada sekumpulan sahabat Rasulullah sollallaahu alaihi sallam yang tinggal di hujung Masjid Madinah. 

Mereka adalah orang-orang miskin yang tidak mempunyai keluarga dan tempat tinggal. Pada peringkat awalnya mereka semua dari kalangan yang berhijrah dari Mekah.  Mereka itu berjumlah lebih dari 400 orang. 

Mereka hanya bekerja untuk menampung kehidupan. Kadang-kadang mereka diberi bantuan dari harta baitulmal dan kadang-kala dari kalangan orang-orang soleh.

Mereka itu tidak terlalu dikenali oleh orang ramai dan tidak mengganggu orang lain, bahkan mereka sering disangka sebagai orang yang kaya raya kerana tidak bekerja dan tidak pula mereka itu meminta-minta walaupun kelaparan."

Ini kisah benar di masjid kita, Masjid Ubudiah:

Saya mengagak mungkin ada di antara saudara telah mengetahui/menyedari mengenai seorang Ahli Jemaah Masjid Ubudiah yang menjalani kehidupan ala-ala Ahli Suffah.

Saya tidak terlalu pasti samada lelaki tua itu sememangnya bermalam di masjid. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman melihat dia membentang tikar dan memegang sebiji bantal apabila kebanyakkan jumaah telah meninggalkan masjid selepas solat Isyak, berat hati saya mengatakan bahawa lelaki tua itu (mungkin berketurunan India atau Rohingya atau Bangla) menjadikan anjung Masjid Ubudiah sebagai tempatnya bermalam.

Lelaki tua itu sentiasa berpakaian kemas, mengamalkan solat berjumaah, air mukanya tenang dan jernih, tidak meminta-minta, pembersih dan berdisiplin.

Justeru itu, kehadirannya di anjung Masjid Ubudiah tidak disedari oleh kebanyakkan jumaah lain kerana tidak ada kesan.

Saya sendiri tidak mengetahui latar belakang lelaki tua itu. Adakah dia menetap di kawasan perumahan sekitar MU dan cuma bermalam di anjung MU untuk memudahkannya menunaikan solat berjumaah?

Atau, dia tidak mempunyai keluarga dan tempat tinggal?

Siapa pun lelaki tua itu, semoga tidak ada sesiapa yang akan menganiayanya kerana  menggunakan anjung masjid pada sebelah malam sebagai tempat berteduh, bermalam dan beribadat.

======================================================================
MAKLUMBALAS/ULASAN JEMAAH MASJID:

(1)Maklumbalas dari Sdr ahli jemaah masjid:

Salam,utk pengetahuan hj, orng yg. hj maksudkan dia orng rohingya duduk sekitar masjid, memang dia bermalam dimasjid kerana setahu saya keluarganya tidak ambil peduli halnya.

( 2) [21/12 11:30 AM]

Sdr chemantoi@mkasim,
Waalaikomsalam. Terima kasih.

(3) Ulasan dari ahli jumaah lain.[21/12 11:33 AM] ‪‬:

Alhamdulillah.. orang yg bercirikan mcm tu, biarkan dia bermalam di Masjid.. dia pandai jaga dirinya dan tidak mengganggu orang lain.. semoga Allah merahmatinya.. Jika jemaah ada cadangan apa2 utk kebaikan bagi membantu beliau..elok dibincangkan..






Nota:
1. Artikal mengenai Ahli Suffah saya perolehi dari carian dalam blog rakan blogger. Malangnya saya tetlupa nama blog itu untuk dinyatakan dalam catatan ini.

2. Selainnya adalah catatan dan pengalaman saya.




Khamis, 11 Disember 2014

WhatsApp

Fenomena ini telah lama berlaku - " Fenomena WhatsApp ".
Fenomena ini buta usia. Semua golongan terlibat - anak-anak remaja, suri rumah, warga emas, ahli surau/masjid.
Di surau/masjid wujud kumpulan yang diberi nama kumpulan  ' Ahli Jemaah Surau/Masjid xxxxx'. Keahliannya adalah terbuka - tua, muda, kerani, CEO, pesara.....
Kegilaan @ fenomena ini banyak manfaatnya jika diuruskan dengan baik. Contoh, seseorang boleh menyakat rakannya yang tidak kelihatan di surau/masjid dengan spontan.  
Asalkan jangan leka berWhatApp semasa ceramah..... 

Isnin, 8 Disember 2014

LAMUNAN




FOTO HIASAN DARI LAMAN WEB PERKIM

Saya tidak mengetahui gambaran sebenar kehidupan/aktiviti harian seorang pesara. Secara luaran saya perhatikan rakan-rakan pesara biasa-biasa sahaja. Tidak ada sesuatu yang drastik dan radikal berlaku kepada mereka apabila bersara.

Pesara yang biasa ke surau/masjid sebelum bersara melakukan perkara yang sama. Pesara yang tidak berapa tertarik kepada surau/masjid sebelum bersara juga seperti keadaan sebelum bersara.

Itulah gambaran luaran secara umumnya tanpa menafikan ada juga segelintir yang tidak berapa nampak di surau/masjid sebelum bersara sebaliknya menjadi kaki surau/masjid tegar apabila bersara.

Saya yang akan bersara tidak beberapa lama lagi mula membayangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan apabila memasukki alam persaraan (jika dipanjangkan umur).    

Saya sangat cintakan alam dan boleh jadi asyik dengan kepelbagaian cara hidup manusia.

Di atas nama cintakan alam saya mungkin akan bermusafir dalam suatu tempoh secara sendirian di wilayah yang masih ‘ suci ‘.

Saya akan bermusafir di desa-desa pedalaman yang berhampiran dengan sungai, sawah padi tradisional dan desa-desa yang terletak jauh di dalam rimba belantara.

Penduduk, budaya dan persekitaran desa-desa tersebut sudah tentu jauh berbeza dengan kampong halaman saya. Saya ingin jauh dari segala gangguan kemodenan dan kebisingan.

Saya akan solat berjumaah dengan penduduk desa-desa itu dan bersembang dengan mereka.

Saya akan bersama mereka berkubang di sawah padi, memancing ikan di sungai atau lubuk dan menghadiri majlis-majlis yang diadakan oleh penduduk kampong.

Saya juga akan menggabungkan diri dengan kumpulan dakwah. Saya akan bersama mereka menyampaikan dakwah di kampong-kampung Orang Asli dan penduduk pedalaman di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Bagaimanakah agaknya mengambil wudhu pada pagi yang dingin dan gelap di telaga atau anak sungai?

Saya juga akan mengikuti kumpulan dakwah bermusafir ke luar negara – India, Pakistan, Indonesia. Disamping berdakwah saya dapat menyelami kehidupan seharian saudara seagama di luar negara.

Apabila mengaitkan dakwah, jiwa emosi saya ditanya, “ Bermusafir kerana dakwah atau ingin melihat tempat orang?”

Saya masih belum mencari jawapannya atau kaedah pencerahan supaya ‘ berdakwah dapat ‘ dan ‘ tengok negeri orang ’ pun dapat.

Saya tidak perlu tergesa-gesa memikirkannya kerana belum waktunya lagi. 

Laman-laman yang dilakar pada kanvas minda itu masih berada di selindung lamunan yang kelihatan menarik dan mengasyikkan.  

Sabtu, 6 Disember 2014

TARIQAT : Jangan Celupar Menuduh

Secara umumnya masyarakat termasuk sebilangan ustaz memandang serong dan  bersikap celupar dalam menanggap amalan bertariqat.
Kononnya ia jalan pintas menjadi sesat.
Sedemikian, amalan bertariqat menjadi sesuatu yang asing dan perlu  dijauhi.
 
Ketahuilah bahawa beberapa kumpulan tariqat diluluskan pendaftarannya dan dibenarkan untuk diamalkan oleh pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan ( Jabatan Mufti) di bawah satu enakmen ( Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005).
Salah sebuah tariqat tersebut ialah Tariqat Al-Ahmadiah Al-Idrisiah Al-Rashidiah Al-Dandarawiah  yang berpengkalan di Rasah, Seremban. Tariqat ini biasa disebut Tariqat Ahmadiah.
Urusan meluluskan pendaftaran dan amalan tariqat di Negeri Sembilan dilakukan oleh sekumpulan ahli agama  yg berotoriti dinamakan ' ANGGOTA JILSAH AL TURUQ AL SUFIYYAH N.SEMBILAN. Senarai anggota (2010-2013) mengikut rekod yang diperolehi ialah:

1. Dato Hj Mohd Yusof b Hj. Ahmad (Mufti N.Sembilan) - Pengerusi
2. Dato' Hj. Mohd Murtadza b. Hj.Ahmad (Mantan Mufti N.S)
3.Dr Muhammad Uthman el-Muhammady (Allahyarham)
4.Dr Hj. Jahid b Hj.Sidek
5.Dr Sulaiman b Ibrahim
6.Dr Abdul Manam b Mohammad
7. Dato' Hj Borhan b Hashim.
Sedemikian, seeloknya ambillah  sikap berlapang dada dan elakkan  menuduh secara semborono atau bujur lalu melintang patah apabila memperkatakan tariqat.



Sumber: Web rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.



Selasa, 2 Disember 2014

Terima Kasih Allah

Terima kasih Allah,
Engkaulah Tuhan,
akulah hamba.

Jumaat, 21 November 2014

Habib Ali Zaenal Abidin Di Masjid Kg.Melayu, Ampang

Jumaah solat Jumaat Masjid Kg. Melayu Ampang, Selangor bertuah dan mungkin ada juga yang terkejut kerana mendapat ' durian runtuh' apabila pendakwah terkenal dan juga yang memimpin Darul Murtadza, Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al Hamid, 40 tahun, menyampaikan tazkirah sebelum solat Jumaat, menjadi khatib dan mengimami solat Jumaat hari ini.

Secara peribadi saya mengagumi ulamak yang berasal dari Bondowoso, Jawa Timur dan kini menetap di Lembah Kelang ini. Saya yang tidak minat langsung dengan sebarang jenis lawak tertarik dengan pendekatan beliau berceramah. Beliau telah cukup kuat dan tidak memerlukan kaedah berlawak untuk menarik perhatian pendengar seperti yang menjadi ' trend ' di kalangan peceramah agama sekarang. Maaf cakap, ada kalanya ceramah agama seperti persembahan lawak jenaka. Hodoh.

Saya juga cair dengan lantunan zahir akhlak serta adab beliau yang disenangi dan mulia.  

Ceramah-ceramah hebat Habib Ali Zaenal Abidin juga boleh ditonton di you tube. Melalui carian di internet saya mendapati kuliah pengajian berkala beliau boleh diikuti di Masjid Muadz Ibn Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Saya paparkan foto-foto yang sempat dirakamkan setelah usai solat Jumaat (21/11/14) di Masjid Kg. Melayu Ampang, Ampang, Selangor.  

Habib Zaenal Abidin Ali (di layar ) menunaikan solat sunat setelah usai mengimamkan solat Jumaat





Rombongan Habib Ali Zaenal Abidin meninggalkan kawasan masjid



Khamis, 13 November 2014

APAKAH YANG DIRENGEKKAN?


masjid kg. melayu ampang - 12/11/14
Apakah yang direngek-rengekkan?
Dalam sujud yang sangat lama
Di sidang bermanja
Dengan Pencipta.




Selasa, 11 November 2014

JANGAN RUGI DUA KALI



Jujurnya, ada hari-harinya kita tidak ke masjid kerana alasan tertentu atau kelemahan diri sendiri.

Acapkali juga kita langsung tidak ke masjid untuk solat subuh seperti kebiasaannya kerana terlewat bangun tidur. Kita  sekadar menunaikan solat subuh di rumah.

Di dalam situasi sedemikian kalau kita lakukannya (tidak pergi masjid) pada hari cuti yang mana masjid kita mengadakan kuliah subuh, kita sebenarnya rugi 2 kali.

 Pertama, tidak dapat solat subuh berjumaah. Kedua, terlepas kuliah subuh. 

Untuk mengelakkan rugi 2 kali, prinsip kawan saya mungkin boleh digunakan dalam keadaan terdesak. Beliau mengamalkan prinsip, " Biar lambat tetapi datang " dan " Lebih baik rugi sekali daripada rugi dua kali atau berkali-kali ".

Beliau, hujung 60-an, telah lama bersara dan kini menjadi pemandu teksi.

Sebagai pemandu teksi yang kerjanya tidak tentu masa, acapkali dia 'dilekakan oleh dunia'. Beliau selalu lambat datang ke masjid. Ada di antaranya, sebaik sahaja beliau duduk bersila, kuliah subuh pun tamat.

Bukan sekali dua berlaku teksi merah putihnya menentang arus. Kenderaan jumaah berpusu-pusu hendak keluar dari kawasan masjid, dia pula terhegeh-hegeh hendak memasuki pintu pagar masjid.

Namun, beliau tidak pernah serik.

Beliau tetap datang ke masjid sedaya upaya. Kalau tidak sempat solat subuh berjumaah, beliau ' target' kuliah subuh.

Terpulanglah kepada pembaca menilai strategi kawan saya itu. 

Namun, saya selalu juga menggunakan kaedahnya.  Kalau sudah terlambat jangan lemah semangat. Tebalkan muka ketika melangkah masuk ke dalam dewan solat masjid, cari tempat duduk strategik supaya kurang disedari kehadiran kita, niat iktikaf dan ikuti kuliah subuh bersama jumaah yang telah berada di masjid seawal azan subuh dikumandangkan. Lagi satu, menyesal datang lambat dan berazam akan datang awal.

Jumaat, 31 Oktober 2014

harga terima kasih dan minta maaf

" Saya ialah Ustaz yang tidak pernah mengucapkan terima kasih dan meminta maaf kepada anak-anak murid/jumaah tempat saya mengajar ".


Nada kata-katanya, seorang Ustaz bergelar Dato', berbaur sangat angkuh dan sombong.

Namun, beliau ada alasan yang diyakininya berasas kerana telah bergelumang berpuluh-puluh tahun dalam dunia dakwah - sebagai pegawai agama bergaji atau penceramah bebas.
 
" Perlukah saya meminta maaf kerana menyampaikan isi kitab ini? " Beliau mengangkat kitab yang menjadi bahan rujukannya.
 
Perlukah saya mengucapkan terima kasih kerana pengurusan masjid bermurah hati menjemput saya mengajar agama? Sayalah yang sepatutnya diucapkan terima kasih kerana menumpahkan ilmu dengan ikhlas kepada tuan-tuan."
 
"Kita patut bersyukur menjadi rakyat negara ini. Mana ada negara di dunia ini yang mengambut Maal Hijrah?"

Beliau juga menyentuh perkara-perkara lain dan mempamirkan keyakinannya (politik) yang mungkin tidak sealiran dengan sebilangan jumaah yang hadir pada kuliah maghrib malam itu.
 
Struktur tubuh Ustaz berusia 73 tahun bergelar Dato' itu kelihatan telah dimamah usia.  Namun, lanjut usia tidak mampu menggugat iltizam beliau memanjangkan ilmu dengan yakin, berani, lantang, tegas dan berotoriti.

Penganut politik kepartian samada yang tegar atau biasa-biasa sahaja dengan mudah boleh menghidu arah kiblat politik Ustaz ini. Di sesetengah masjid/surau penganut politik kepartian tegar yang tidak sealiran dengan Ustaz tua itu mungkin memendam rasa tidak puas hati atau menampakkan tentangan secara fizikal. Bagaimanapun, gejala ini tidak dinampakkan di masjid kariah saya.

Inilah 'cantiknya' masjid kariah saya. Inilah cantiknya anak kariah masjid saya. ' Gentleman ' . Mereka boleh berbagai ideologi kepartian. Sekalipun demikian, mereka sangat harmoni di bawah bumbung masjid yang sama.

Prinsip ' tidak mahu meminta maaf dan tidak mahu berterima kasih' yang dijunjung oleh Ustaz bergelar Dato' itu sekali imbas menelanjangkan sikap sombong dan angkuh. Bagaimanapun, apabila dikaji alasan-alasan yang dihujahnya, agak munasabah juga.  Atau, ' bolehlah ' diterima.

Sunggguh pun demikian, kerangka prinsip yang diamalkan oleh Ustaz bergelar Dato' ini tidak terkejar oleh budaya masyarakat kita. Uniknya, sikap ' sombong' dan 'angkuh' beliau boleh diterima dengan seadanya oleh anak-anak murid/jumaah yang berbeza latar belakang kehidupan dan fahaman politik.


Selasa, 28 Oktober 2014

belakang parang kalau diasah....



Jangan tuduh saya masuk bakul angkat sendiri. Atau jauh sekali riak.

Banyak juga catatan saya mengenai saranan agar berbuat baik kepada makhluk Allah - manusia,haiwan, tumbuh-tumbuhan.

Rentetan dari catatan tersebut, saya mendapat sedikit ' berkat '. Saya yang pada asalnya cuma sekadar menulis akhirnya  terbawa-bawa mengapplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Saya mengajak pembaca blog saya bersedekah melalui sajak " Jika Ke Musalla Sediakan Duitl Kecil " . Saya ingin sampaikan bahawa mungkin ada di antara kita terlalu berkira dalam bersedekah. Saya nyatakan " Antara suar dunia dan ghaibnya pahala, kita selalu alah dengan yang nyata".

Seorang kawan pernah menyarankan supaya saya menginstitusikan amalan bersedekah @ berderma pada tiap-tiap hari.  Beliau melakukannya. Setiap hari beliau menginfakkan RM10.00 untuk tabung masjid.

Saya secara bertatih cuba mengikut langkah beliau. Saya menginstitusikan menderma atau bersedekah pada kadar seringgit-dua. Tidak banyak.

Dijadikan cerita, tulisan saya terkena pada batang hidung sendiri. Saya ' terkena ' apabila hendak bersedekah seringgit dua setelah usai solat zuhur di masjid tengah hari tadi.

Saya menyeluk kocek baju dengan yakin adanya seringgit dua untuk dimasukkan ke dalam peti besi masjid. Tiada. Dalam dompet juga tiada duit kecil seringgit dua. 

Namun, ' duit besar'  ada sekeping dua. 

Saya teringat akan tulisan saya mengusik orang yang membawa banyak wang (wang besar) ketika datang ke masjid tidak dapat  menderma atau bersedekah kerana tiada wang kecil - ' " Antara suar dunia dan ghaibnya pahala, kita selalu alah dengan yang nyata "..

Sehubungan ini, gerak hati, pengaruh tulisan yang pernah saya hasilkan mengenai berbuat baik dan yang paling utama, izin Allah, mengizinkan saya bersedekah pada kadar di luar tipikal diri saya! Jumlahnya tidaklah sebesar mana tetapi melebihi ' seringgit dua', sesuatu yang jarang-jarang saya lakukan jika ada duit kecil.

Moral cerita, berusahalah sedaya upaya untuk bersedekah atau menderma mengikut kemampuan. Sedikit halangan, seperti tiada seringgit dua dalam keadaan kita ada lebihan wang sepatutnya tidak menghalang kita beramal dengan ikhlas.  

Jangan tuduh saya masuk bakul angkat sendiri.........atau jauh sekali riak......atau ujub.

Isnin, 27 Oktober 2014

saya menjejakkan kaki di Masjid Negara lagi

Saya berada lebih kurang satu jam di Masjid Negara dan kawasan sekitarnya kerana ada urusan peribadi pada pagi Sabtu lebih kurang dua minggu lepas. Saya tidak ingat bilakah kali terakhir saya mengunjungi Masjid Negara yang dirasmikan pada 27 Ogos 1965 itu. Masjid Negara pernah dinobatkan sebagai masjid tercantik di Asia Tenggara  sebelum takhtanya diambil alih oleh Masjid Negeri Selangor, Shah Alam. 

Bagaimanapun, tempohnya (tidak datang ke Masjid Negara) pasti sangat lama. Lama sebelum Padang Lumba Kuda di persimpangan Jalan Yap Kwan Seng - Kuala Lumpur - Ampang dirobohkan untuk pembinaan Menara Kembar Petronas/KLCC. Mungkin juga pada era Kompleks Ampang Park dan Kompleks Belibelah Campbell belum ada pesaing setara. Mungkin juga tahun-tahun di sekitar Kompleks Belibelah Campbell terbakar.

Kerana tempohnya telah begitu lama, saya juga keliru samada kali terakhir saya ke Masjid Negara adalalah pada  hujung era Restoran Bilal di Malacca Street menjadi bualan kerana keenakan nasi berianinya yang bagaikan tiada tandingan.

Begitu juga era sop ayam mamak di Jalan Chow Kit ( Chow Kit - Datuk Keramat) masih menjadi venue ' wajib singgah ' di kalangan warga kota khususnya orang dari Datuk Keramat.

Di dalam Pasar Datuk Keramat ada sebuah kedai makan nasi ayam. Kedai makan nasi ayam itu tidak ada nama. Bagaimanapun, penduduk sekitar menamakannya Nasi Ayam Datuk Keramat. Kedai Makan Nasi Ayam Datuk Keramat tidak salah jika saya isytiharkan sendiri sebagai Kedai Nasi Ayam bertaraf 'legend'. Ketika zaman kegemilangannya di sekitar hujung tahun 70-an hingga 80-an, itulah kedai makan nasi ayam Nombor 1 (Satu) di sekitar Keramat/Ampang/Ulu Klang/Kuala Lumpur. Kedai makan nasi ayam ' The Legend' itu masih beroperasi hingga sekarang walaupun pada penilaian saya ' hebatnya' tidak lagi seperti zaman gemilangnya. Saya pasti, kali terakhir saya ke Masjid Negara adalah pada era Nasi Ayam Datuk Keramat berada dipuncak hebatnya. 

Yang pasti, lama sebelum LRT dan Monorel diperkenalkan kepada warga kota. Juga, lama sebelum PATI atau Pendatang Dengan Izin (PDI?) ' dari seluruh pelusuk muka bumi datang dan ada di antaranya mengacau-ganggu' mental dan fizikal penduduk tempatan. 

Masjid Negara meninggalkan nostalgia yang sangat mengesankan kepada warga kota. Pada zamannya, jumaah sejauh Ampang, Ulu Klang, Datuk Keramat dan lain-lain lagi seperti Klang bersusah payah datang ke Masjid Negara untuk menunaikan solat fardhu Jumaat. 

Masjid Negara, Kuala Lumpur - Rekabentuknya adalah kolobrasi 3 orang arkitek
(Dato' Baharuddin Kassim, Howard Ashley dan Hisham Albakri) 

Kedudukkan Masjid Negara yang dibina dengan kos RM10 juta dari sisi hadapan. Bangunan
Masjid Negara yang telah dibina sejak hampir 50 tahun yang boleh menampung 15,000
jumaah masih kekal dengan yang asal (stutus quo).

Masjid Negara masih menjadi tarikan ' wajib lawat' di kalangan pelawat termasuk
bukan Islam dari dalam dan luar negara. Pelawat wanita bukan Islam disyaratkan
memakai jubah yang disediakan

Majlis ilmu khas untuk kaum wanita pada hujung minggu/hari cuti

Pasangan pelawat dari negara Eropah yang begitu minat mendengar
penerangan mengenai Islam oleh seorang sukarelawan

Di antara struktur reka bentuk dalaman yang dihasilkan oleh 3 orang arkitek

Carilah sahabat untuk ke syurga. Dua orang sahabat yang sangat berbeza usia
 beriktiqaf dan membacaAl-Quran secara bertalaqi (betul-membetul).

Pelawat bukan Islam diberi penerangan mengenai hebatnya Islam oleh seorang
sukarelawan (berbaju putih) berusia awal 60-an

Di dalam Kompleks Masjid Negara ditempatkan sebuah pejabat Islamic Outreach ABIM.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa di dalam 'keteperasanan' kita telah
menjadi orang baik dan 'alim' kerana rajin berulang-alik ke surau/masjid dan menderma
seringgit-dua, ada segolongan orang menginfakkan diri masing-masing yang
melibatkan wang ringgit (harta), masa dan malahan nyawa untuk agama.   

Poster menarik yang sempat saya abadikan dalam blog ini


INI YANG DEN TAK BORAPO GOMA (Ini yang saya tidak berapa suka)
Sungguh pun salah satu tandas yang kemasannya (jubin) antik dan hampir
tidak terdapat lagi di kebanyakkan masjid di sekitar Ibu Kota/Selangor
dalam keadaan BERSIH,
didapati " dinding aluminium tandas itu kelihatan telah berkarat dan reput."
Dirasakan pihak pengurusan Masjid Negara tidak ada masalah mengatsi 
keadaan yang boleh memalukan kita ini khususnya dari pandangan
pelawat bukan Islam dari dalam dan luar negara. Ini MASJID NEGARA. Islam itu indah.

Saya meninggalkan Masjid Negara pada jam 10.30 pagi ke tempat letak kereta di Medan Selera Tanglin. Di Medan Selera Tanglin tentunya saya tidak melepaskan peluang menikmati Nasi Lemak Tanglin yang terkenal itu.

Saya tidak pasti bilakah agaknya saya akan menjejakkan kaki lagi di masjid yang membenam banyak kenangan masa lalu itu?.

Selasa, 7 Oktober 2014

JANGAN LARI DARI MASJID....

Penceramah jemputan untuk kuliah subuh di masjid kariah saya yang terletak di pinggir Kota Kuala Lumpur awal pagi , 6/10/14, ialah seorang ustaz muda dari Shah Alam, Selangor. Beliau yang di dalam  lingkungan usia bawah 30 tahun kelihatan lebih muda kerana memiliki air muka yang bersih, tidak bermisai dan juga tidak ada janggut.

Dia menyampaikan ceramah dengan yakin di hadapan jumaah yang kebanyakkannya jauh lebih berusia darinya. Ceramahnya diselangselikan dengan kaedah penyampaian secara berlagu. Intonasi suaranya yang turun naik - ada kalanya tinggi dan ada kalanya rendah, persis penyampaian penceramah bebas (wanita) yang kerap muncul di TV dan juga trend penyampaian ustaz moden/imam muda/pencetus ummah dalam program realiti TV.  

Tiada cacat celanya cara dia memimpin kuliah.

Namun, bukan sedikit jumaah yang mengikuti kuliah beliau setelah selesai solat subuh itu merasa gelisah. Hendak meninggalkan majlis ilmu, segan kerana duduk di saf hadapan. Namun, ada juga beberapa orang yang berjaya melolos keluar.  Melalui firasat saya, mereka yang berjaya meloloskan diri itu tidak kemana - saya yang mengenali mereka kuat mengatakan bahawa mereka akan ' settle down ' di restoran mamak yang letaknya tidak jauh dari masjid. 

Sepertimana yang saya nyatakan, tiada cacat celanya cara ustaz muda itu memimpin kuliah. Cuma, mungkin beliau masih belum menguasai ' Faktor X ' dan juga masih belum hadam ' masuk kandang kambing membebek '. Ustaz muda itu juga tanpa disedarinya telah melayan jumaah berusia seperti mengajar anak-anak di sekolah. Dia suka tidak menyempurnakan sebutan sesuatu perkataan dengan harapan jumaah (tua) akan menyambungnya. Contoh, beliau cuma menyebut AKI.......dengan tujuan jumaah akan menyambung ' DAH ' (AKIDAH).

Cara beliau berceramah dengan intonasi suara berformat turun-naik yang boleh dijangka, menyanyi (nasyid) di awal pagi dan mungkin juga turut dibantu oleh eleman usia 'breakdown' dengan pendengar, mungkin adalah factor utama mengapa ceramah beliau kurang ' roh' atau tidak menarik.

Mungkin juga jumaah 'tua' telah selesa dengan aura uztaz lama yang mengamalkan kaedah konvensional - serius, tiada gelak-gelak, tiada nyanyian.....

Seorang AJK masjid yang juga jiran saya secara bergurau ada terniat di hatinya hendak menutup corong suara yang dihalakan keluar masjid kerana kurang setuju dengan cara ustaz itu yang suka sangat mengalunkan nyanyian di awal pagi. Dia mengaku pernah berbuat kerja 'nakal' itu ke atas penceramah tertentu yang pada pendapatnya telah melanggar etika.

Bagaimanapun, duduk di dalam masjid lebih baik dari merayau tidak tentu hala. ' Lari ' meninggalkan masjid adalah satu perbuatan yang tidak senonoh. Bukankah berita-berita mengenai jumaah meninggal dunia di dalam masjid/surau dan lebih-lebih lagi ketika sedang solat adalah satu berita besar yang dibanggakan?