Jujurnya, ada hari-harinya kita tidak ke masjid kerana alasan tertentu atau kelemahan diri sendiri.
Acapkali juga kita langsung tidak ke masjid untuk solat subuh seperti kebiasaannya kerana terlewat bangun tidur. Kita sekadar menunaikan solat subuh di rumah.
Di dalam situasi sedemikian kalau kita lakukannya (tidak pergi masjid) pada hari cuti yang mana masjid kita mengadakan kuliah subuh, kita sebenarnya rugi 2 kali.
Pertama, tidak dapat solat subuh berjumaah. Kedua, terlepas kuliah subuh.
Untuk mengelakkan rugi 2 kali, prinsip kawan saya mungkin boleh digunakan dalam keadaan terdesak. Beliau mengamalkan prinsip, " Biar lambat tetapi datang " dan " Lebih baik rugi sekali daripada rugi dua kali atau berkali-kali ".
Beliau, hujung 60-an, telah lama bersara dan kini menjadi pemandu teksi.
Sebagai pemandu teksi yang kerjanya tidak tentu masa, acapkali dia 'dilekakan oleh dunia'. Beliau selalu lambat datang ke masjid. Ada di antaranya, sebaik sahaja beliau duduk bersila, kuliah subuh pun tamat.
Bukan sekali dua berlaku teksi merah putihnya menentang arus. Kenderaan jumaah berpusu-pusu hendak keluar dari kawasan masjid, dia pula terhegeh-hegeh hendak memasuki pintu pagar masjid.
Namun, beliau tidak pernah serik.
Beliau tetap datang ke masjid sedaya upaya. Kalau tidak sempat solat subuh berjumaah, beliau ' target' kuliah subuh.
Terpulanglah kepada pembaca menilai strategi kawan saya itu.
Namun, saya selalu juga menggunakan kaedahnya. Kalau sudah terlambat jangan lemah semangat. Tebalkan muka ketika melangkah masuk ke dalam dewan solat masjid, cari tempat duduk strategik supaya kurang disedari kehadiran kita, niat iktikaf dan ikuti kuliah subuh bersama jumaah yang telah berada di masjid seawal azan subuh dikumandangkan. Lagi satu, menyesal datang lambat dan berazam akan datang awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."