Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label masyarakat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masyarakat. Papar semua catatan

Selasa, 22 Oktober 2013

JIRAN (Bab 2)


UPDATE 2

Semalam, dari Hospital Ampang di sekitar jam 7.00 malam saya singgah di masjid kariah kawasan perumahan saya untuk menunaikan Solat Maghrib. Saya berniat menunggu waktu Isyak.

Petangnya saya membayar RM2100.00 melalui deraf bank kepada panel hospital untuk bayaran kos peralatan rawatan. Kos itu saya perlu dahulukan kerana tidak termasuk dalam terma yang ditetapkan dalam ' Guarantee Letter ' jabatan. Bagaimanapun, pihak Jabatan akan membayar balik kepada saya setelah saya melengkapkan dokumen yang ditetapkan.

Kebetulan ' Jiran ' mengetahui perkara itu . Ketika mencari ' ketenangan' di suatu sudut di dalam masjid ' Jiran ' menghampiri saya. Dia menepuk bahu saya dan meminta saya bersabar.

Dia berkata, " Kita berjiran berpuluh tahun, kita telah seperti adek beradek. Kalau kamu memerlukan dua tiga ribu saya boleh beri. "

Saya sebak. Allah anugerahkan saya jiran sebaik dan seprihatin beliau.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas niat beliau. Saya katakan bahawa saya ada sedikit simpanan dan masih boleh bertahan.       
...........................................................................................................
UPDATE
 
Maka ketahuilah saya bahawa seperti sebahagian penyakit dapat disembuhkan apabila pesakit diziarahi. Begitulah juga keluarga pesakit sangat berbesar hati apabila keluarganya yang sakit itu diziarahi. Terima kasih.
---------------------------------------------------------------------------------
Malang tidak berbau. Isteri saya terpaksa duduk di wad hospital kerana mendapat kecederaan yang agak teruk setelah terjatuh ke lantai semasa ' mop' lantai di rumah kami. Sedemikian, seluruh keluarga kami terpaksa berkampung di hospital.

Ada satu urusan penting yang sepatutnya diselesaikan tidak dapat kami lunaskan.

Tanpa diminta, jiran di sebelah rumah datang menawarkan kesanggupan, " Urusan itu serahkan kepada saya. Kamu sekeluarga tumpukan kepada urusan di hospital." 

Jiran sebelah rumah ku, "Syukur saya mempunyai jiran seperti kamu."

Isnin, 27 Mei 2013

DIA TIDAK 'GENTLEMAN' (Musim Baru dan Pelakun Baru)

Gambar Hiasan 
Saya tidak suka menulis catatan sebegini. Namun demikian, mungkin ada baiknya untuk direnungkan.

Kali pertama kawan-kawan mengalukan. Kali kedua dijadikan kawan bualan. Kali ketiga kawan-kawan perasan. Kali keempat kawan-kawan meradang.

Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang baik budi
Yang indah bahasa

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa

Seorang ini, yang sangat 'opportunist'. Dia sentiasa mengintai-ngintai peluang untuk menyelit di dalam kumpulan rakan-rakan yang sedang sarapan. 
  
Dia seorang kaki bual yang hebat. Ideanya semakin semarak tatkala Mamak mengira harga makanan. Dia akan bercakap dan berhujah dengan penuh semangat selagi tiada mangsa yang terpaksa membayar harga makanannya.

Dia tidak pernah membayar langsung! 'Makan free' dan 'mengenakan kawan' seumpama kerja komersialnya atau 'rezekinya'.

Dalam pergaulan seharian, kita mungkin menemui individu seperti yang digambarkan. Dia tidak 'gentleman'!

Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau ada silap dan salah
Jangan disimpan di dalam hati   

 

Ahad, 12 Mei 2013

SINONIMNYA ORANG UTARA DENGAN UNGKAPAN 'ORANG KATA'

Catatan ini tidak bertujuan untuk mempersendakan mana-mana anak negeri, khususnya anak-anak negeri di sebelah utara - Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Catatan ini cuma ingin menyatakan kepelbagaian penduduk di negara ini yang boleh menunjukkan wilayah asal usul mereka apabila mereka bercakap. Saya juga yakin bahawa kebanyakkan orang mengetahui atau menyedarinya. Kelainan itu menunjukkan ' trade mark' penduduk di satu-satu wilayah.    

Jujurnya saya akui, bahawa saya tidak dapat membezakan dengan yakin samada seseorang itu berasal dari Perlis, Kedah , Pulau Pinang, dan daerah-daerah di sebelah utara Perak seperti Taiping apabila seseorang dari negeri tersebut bercakap dialek utara. Pada saya dialek percakapan mereka tidak ada perbezaan. Bagaimanapun, mengikut penerangan seorang kawan, ada perberbezaan antara satu dengan yang lain.

Namun demikian, ada satu ungkapan di mana penduduk di negeri-negeri sebelah utara 'bersepakat'. Ungkapan itu ialah ' Orang Kata'. Orang utara suka menggunakan ungkapan ' Orang Kata' apabila bercakap. 

Ungkapan 'Orang Kata' bukan sahaja digunakan dalam percakapan seharian tetapi juga samada tersasul atau disengajakan dalam majlis atau persekitaran yang formal. Saya pernah mendengar juruhebah radio dan pengacara television acapkali menggunakan ungkapan tersebut semasa bertugas.

Salahkah 'latah' menggunakan ungkapan ' Orang Kata' yang tidak membantu pembangunan ayat dalam majlis atau persekitaran rasmi? 

Saya mungkin keterlaluan jika mengatakan bahawa hampirnya ungkapan tersebut di bibir orang utara adalah 'satu penyakit'. Dalam banyak keadaan, penggunaan ungkapan ' Orang Kata' tidak sesuai dengan maksud ayat. Iannya terhasil melalui kebiasaan 'semula jadi' kerana asuhan latar belakang. Ianya sukar atau  tidak dapat diabaikan ketika bercakap.  

Penggunaan ungkapan 'Orang Kata' yang tidak membantu pembangunan ayat tetapi digunakan kerana kebiasaan oleh satu juzuk masyarakat dalam situasi formal seperti di majlis-majlis rasmi, di radio dan television sepatutnya tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya. Saya tambah, kecuali di negeri-negeri utara kerana ungkapan itu milik mereka. Ada ketikanya sesuatu peraturan atau budaya itu cuma sesuai di satu tempat tetapi tidak sesuai di tempat lain. 

Saya tidak mengatakan bahawa orang lain seperti orang Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu atau Kelantan tidak menggunakan ungkapan itu. Ada juga sebilangan yang menggunakannya tetapi bilangannya tidak banyak. 

Saya tidak melarang orang utara menggunakan ungkapan ' Orang Kata'. Silakan. Itu kebiasaan saudara.

Yang saya maksudkan ialah kesesuaianya di majlis atau persekitaran rasmi (contohnya, radio dan television). Boleh digunakan tetapi jangan sampai 'memudaratkan' pembangunan ayat dan kelancaran ucapan. Sama juga maksudnya tidak sesuai menggunakan bahasa pasar atau Bahasa Inggeris rojak di majlis-majlis rasmi,  radio, television dan sebagainya. Kerana, majlis rasmi dan media rasmi ada etikanya. 









Selasa, 23 April 2013

JIRAN


Semua jiran saya di sebuah taman perumahan di pinggir Ibu Kota adalah baik-baik belaka. Mereka; Melayu, Cina, India dan termasuk satu keluarga keturunan Filipina.

Namun demikian, jiran di sebelah kanan rumah, adalah jiran paling istimewa. Saya yakin jiran-jiran yang lain pun sependapat dengan saya. Jiran yang seorang ini adalah seorang Melayu. Beliau seorang yang peramah, dikenali bukan sahaja oleh jiran keturunan Melayu tetapi juga oleh lain-lain kaum. Beliau yang juga bendahari masjid adalah seorang yang ringan tulang dan suka membantu.

Saya sekeluarga mempunyai lebih akses mengenai kelebihan jiran ini kerana rumahnya di sebelah kanan rumah kami. Beliau jiran terdekat saya.

Saya mengenali jiran yang berketurunan Jawa dari Batu Pahat, Johor ini sejak tahun 1979, iaitu ketika kami mula bertugas di Jabatan yang saya bertugas sekarang.  Dia yang lebih tua beberapa tahun dari saya telah bersara beberapa tahun yang lalu.

Isterinya yang berketurunan Rawa (pecahan etnik Minangkabau) berasal dari Jerantut, Pahang. Pasangan ini mempunyai 4 orang anak perempuan. Kesemua anaknya mendapat pendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang baik. Kecuali puteri bongsunya seorang graduan UKM, tiga anak beliau yang lain telah berumah tangga.

Dalam banyak hal, saya dan keluarga ‘seperti bergantung’ dengan kelebihan beliau. Katakan sahaja masalah-masalah khususnya masalah teknikal; Paip air bocor, plug tidak berfungsi, talian letrik, kereta rosak, masalah alat penghawa dingin (kereta dan rumah), beliau siapa siaga untuk membantu, samada membaikinya sendiri dengan tulus hati atau mengesyorkan kaedah untuk mengatasinya.

Salah satu buah tangan beliau yang saya jaja dengan bangganya ke hulu ke hilir ialah kebolehannya membuat sambungan binaan 20’ x 10’ secara sendirian atau ‘one man show’. Saya menganggap kebolehan beliau sebagai ‘keajaipan’. Bayangkanlah betapa beliau seorang pesara kerajaan yang tidak pernah terlibat dalam kerja-kerja binaan mampu membina ‘porch’, tembok bersimen, lantai dengan kemasan jubin yang kemas, kukuh dan cantik secara sendirian.

Saya tidak dapat gambarkan di mana beliau belajar untuk membuat dua batang tiang konkrit dengan ketinggian lebih 10 kaki yang tetulang besinya ‘dianyam’ seperti yang dapat dilihat di tapak-tapak binaan. Saya tidak dapat bayangkan kudrat seorang di usia emas mampu mengangkat palang-palang kayu yang berat untuk membuat atap (genting) bangunan. Saya juga tidak pernah mengetahui bahawa dia mempunyai kemahiran membuat lantai dengan kemasan jubin yang begitu kemas.

Suatu ketika dahulu suri rumah begitu teruja membuat ‘plaster ceiling’ di rumah masing-masing dan  termasuklah isteri saya. Jiran saya ini ada datang sekali dua menjenguk pekerja-pekerja membuat kerja ‘ plaster ceiling’ di rumah saya. Tidak lama selepas kerja-kerja membuat ‘plaster ceiling’ di rumah saya siap, jiran saya membuat sendiri ‘plaster ceiling’ di rumahnya. Buatannya kemas dan cantik. Saya diberitahu bahawa kos yang beliau keluarkan jauh lebih rendah dari kos yang terpaksa saya bayar kepada pekerja Indon.

Sebenarnya banyak lagi kebolehan jiran saya ini yang saya ‘megahkan’. Antaranya, beliau juga mahir memasak sehingga boleh di bawa ke tengah seperti kenduri kendara, membuat roti canai/roti Arab segera secara komersial. Beliau juga pernah menghadiahkan saya bekas makanan kucing yang sesuai dan praktikal digunakan semasa saya balik ke kampung sehari dua.        

Di kalangan ahli keluarga saya, kami mengangkat jiran ini sebagai ‘ The Genius’. Seorang yang disenangi dan juga seorang yang tahu dalam ‘semua  (banyak) perkara’.

Setelah berpuluh-puluh tahun berjiran, perhubungan kami berjalan dengan baik, harmoni, saling hormat-menghormati dan juga saling percaya-mempercayai. Sejambak kunci rumah saya ada dalam simpanan jiran ini dan begitulah juga sebaliknya, iaitu sejambak kunci rumah beliau ada dalam simpanan saya.

Bijak pandai mengungkapkan, “ Tetangga yang baik adalah lebih baik dari kawan yang baik.” Saya sangat-sangat bersetuju dengan ungkapan ini!

Sabtu, 20 April 2013

ADAT ORANG JAWA?



Saya pernah meluahkan secara bagi pihak perasaan tersinggung isteri dan kakaknya yang menghadiri satu majlis perkahwinan anak lelaki kepada saudara 
terdekat mereka  di Tanjung Karang, Selangor dalam bukan salah orang jawa blog saya lebih dua tahun ( 31/12/2010) yang lalu. Saudara terdekat isteri saya itu Orang Melaka yang berkahwin dengan wanita keturunan Jawa Tanjung Karang, Selangor.

Al-kisahnya, isteri dan kakak ipar saya mendakwa kononnya isteri kepada saudara mereka itu tidak memberikan layanan yang sesuai kepada ahli keluarga yang datang dari jauh (Ampang dan Melaka). Mereka bukannya tersinggung kerana tidak dibekalkan makanan ketika balik. Mereka tersinggung kerana isteri saudara mereka itu langsung tidak datang menjenguk saudara terdekat sebelah suaminya di khemah makan tetamu. Waktu kami datang pula bukannya waktu puncak. Tempat kami duduk juga dilihat oleh isterinya yang berada di beranda rumah melayan tetamu lain.

Baru-baru ini selepas solat fardhu Asar di surau pejabat, seorang kawan keturunan Jawa yang dengannya saya selalu bergurau khususnya jika masing-masing telah agak lama tidak ‘menjejak tangga surau’ pejabat dan beliau juga sekali sekali mengunjungi blog saya menghampiri saya.

Beliau cuba membetulkan persepsi saya, isteri dan kakak ipar terhadap isteri kepada saudara terdekat isteri saya ketika menghadiri majlis perkahwinan saudara di Tanjung Karang, Selangor lebih setahun yang lalu. Katanya, “ Tidak boleh kecil hati kepada Si Isterinya kerana itu adat Orang Jawa melayan tetamu dalam majlis perkahwinan. Si Suami akan melayan tetamu di khemah makan dan Si Isteri pula melayan tetamu di dalam rumah.”

Saya tidak menyanggah penjelasan kawan itu. Bagaimanapun, jauh di sudut hati saya berkata-kata, “ Sikap tiada kaitan dengan sesuatu keturunan tetapi adalah milik individu.”

Selasa, 12 Februari 2013

meminang


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kangar, Perlis pada 9 Februari 2013 bukan sahaja memenatkan tetapi juga mendera. Bayangkan, perjalanan selepas tol Jalan Duta ke Tapah sahaja yang biasanya mengambil masa tidak melebihi 1 jam 45 minit, memakan masa lebih 4 jam! Saya dan keluarga bertolak dari Kuala Lumpur jam 8.00 pagi dan cuma sampai di Kangar 12 jam selepas itu, yaani pukul 8.00 malam. Ini tidak dapat dielakkan kerana berkebetulan cuti panjang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Saya sekeluarga yang paling lewat sampai. Enam buah lagi kereta ahli keluarga yang terlibat dengan misi meminang telah sampai lebih awal kerana mereka bertolak se awal jam 12.00 malam dan 4.00 pagi.

Di Kangar, sebahagian dari ahli keluarga misi meminang menginap di homestay rumah teres dua tingkat di Taman Teratai. Homestay itu berhampiran dengan Masjid Syahirin yang dikatakan dibina oleh beberapa orang dermawan termasuk Dato’ Dr. Harun Din.  Ahli ‘rombongan’ yang lebih berkemampuan dan inginkan ‘privacy’ menginap di hotel ternama di sekitar Kangar. Rombongan meminang menginap 2 malam di Kangar.    

Majlis pertunangan berjalan lancar. Tiada sesi duduk di pelamin prop. Tiada sesi bergambar untuk pasangan yang bertunang. Makanan nasi yang disediakan sedap dan menyelerakan. Laksa, makanan 'trade mark' Perlis pun ada.

Tidak ada yang menampakkan bahawa pihak perempuan memaksa diri memperlihatkan sesuatu yang di luar kebiasaan cara hidup mereka. Seadanya. Tidak ada seorang pun di pihak perempuan yang mengambil gambar hantaran atau ketika ibu pihak lelaki menyarungkan cincin pertunangan ke jari bakal anak menantunya. Sebaliknya, yang ketara 'menyibuk' ialah di kalangan pihak lelaki.

Tiga perkara yang perlu diambil perhatian dalam sesuatu majlis ialah alat siar raya atau alat komunikasi, penyambut tetamu dan makan minum.

Rombongan pihak lelaki meninggalkan rumah pihak perempuan dengan rasa puas hati – majlis pertunangan mudah dan berjalanan lancar, layanan memuaskan dari pihak perempuan, makan –minum tiada cacat celanya.

Ujian pertama oleh ibu lelaki terhadap sahsiah dan baik-budi di pihak bakal menantu, Orang Perlis, lulus dengan cemerlang!

Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang baik budi
Yang indah bahasa

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa

Rabu, 14 November 2012

DI BAWAH KETIAK KEUARGA


Seorang pemuda Cina, memperuntukkan masa malamnya memberi makan anjing-anjing terbiar di sekitar kota. Apabila ditanya dia memberi alasan, “ Saya meneruskan sesuatu yang pernah dilakukan oleh mendiang ibu saya ketika hidupnya.”

Seorang peserta peraduan memancing tegar, sanggup meninggalkan anak dan isteri saban malam minggu kerana tarikan di kolam memancing. Dia masih belum memenangi sebarang pertandingan lagi. Hatta, hadiah sagu hati pun tidak pernah dapat. Dia ada alasannya berbuat demikian.

Begitulah juga seorang peminat karaoke pro/separuh masa yang akan melayan minatnya itu pada setiap kesempatan yang ada. Dia ada alasan.

Termasuk juga seorang peminat tegar perlawanan bolasepak samada domestik atau luar negara. Dia ada alasan sehingga sanggup bersengkang mata yang ada kalanya sampai ke pagi.

Termasuk juga seorang kaki nombor ekor/judi. Dia ada alasan.

Berikutnya, ialah golongan yang agak besar khalayaknya. Mereka bukan orang yang suka berkaraoke, bukan kaki judi, bukan peminat bolasepak tegar atau bukan kaki peraduan memancing. Mereka ‘orang baik-baik’. Cumanya mereka ini saban masa berada di bawah ‘ketiak keluarga’. Mereka tidak pernah ambil tahu hal yang tiada kaitan dengan keluarga masing-masing. Ada di antara golongan ini yang rajin ke surau. Ada juga yang jarang-jarang menjenguk tangga surau/masjid.

Di sebalik contoh-contoh yang dinayatakan di atas, ada segolongan manusia yang memperuntukkan kehidupannya kepada kerja-kerja agama. Diantaranya ialah:

Ada orang yang hidupnya diisi dengan membantu orang miskin dan anak-anak yatim. Dia yakin dengan alasan yang tentunya bersandarkan kehendak agama. Berhabis dia!

Juga, seorang yang memperuntukkan hidup dan matinya ke arah jalan dakwah. Dia ada alasan dan keyakinan kukuh yang tidak dapat dicapai oleh orang lain. Bersungguh-sungguh dia!

Semua orang ada sebab yang meyakinkan diri masing-masing untuk melakukan sesuatu yang mungkin dianggap tidak mendatangkan berfaedah atau tidak sanggup dilakukan oleh orang lain.  

Apa masalahnya?  

Jangan bertanya secara sebarangan mengenai ketagihan seseorang melayan ‘hobi’ masing-masing. Misalnya, jangan bertanya mengenai Jumaah Tabligh kepada kaki karaoke tegar. Dia akan menjawab kumpulan itu dari planet lain yang tidak perlu didekati. Bahaya.

Sehubungan ini, jika ingin bertanya atau hendak memberi nasihat, lakukanlah dengan cerdik! Khususnya kepada kawan-kawan kita di para 2,3,4 dan 5 itu, kita mungkin ada sedikit kelebihan untuk menolong atau ' mencerahkan ' mereka.

Juga, cubalah dekati kawan kita di para 1 dengan berhemah. Mana tahu, dia akhirnya akan dalam saf yang sama dengan kita. Besar ganjarannya.
Bagaimanapun, kalau asyik di bawah 'ketiak keluarga' sahaja, kita tidak akan berbuat apa-apa!

Rabu, 7 November 2012

LEPAS DIA, DIA JUGA

Kenapa?
lepas dia, dia
lepas ini, dia
dia juga lepas dia.

Kenapa?
lepas dia bukan kita
atau dia, dia, kita.
atau dia, dia, dia, kita
hak kita, hak dia pula
lepas dia, dia juga.

Kenapa?
kita tidak seperti dia
hak dia hak dia
bukan hak kita
kita tidak ingin jadi dia.

Kenapa?
spesis dia sahaja
bersiri cerita
bergilir berita
melahap laba
di selindung kuasa.




Ahad, 14 Oktober 2012

JANGAN HEBAHKAN AIB DIRI

Jangan masuk semula ke dalam pejabat kecuali anda mengetuk daun pintu yang telah tertutup dan 'berdehem' terlebih dahulu! Kerana, sebaik sahaja daun pintu tertutup, rakan-rakan akan membicarakan aib anda.
 
Ungkapan di atas menggambarkan betapa kuatnya gejala prasangka yang melanda manusia dalam sesuatu kelompok atau komuniti. Ungkapan itu meletakkan sesama rakan saling tidak percaya-mempercayai.
 
Mungkin inilah maksud yang tersirat yang dapat saya 'khadam' semasa membaca secara 'window shopping' (membaca tetapi masih belum membeli) petikan mutiara kata sebuah buku yang berbunyi:
 
" Jangan bicarakan hal diri anda kepada orang lain, kerana ini akan dilakukan
apabila anda sudah pergi." (Wilson Mizner).
 
 

Rabu, 10 Oktober 2012

SANG HALIMUNAN: JUJUR, CEKAP, MENEPATI MASA, SANGAT RIGID


SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, saya dibebani oleh dua pakej wifi dari syarikat internet yang sama. Ini berlaku kerana sikap sambil lewa dan ‘minda di bawah pohon ketapang’ yang ‘menyindrom’ (bolehkah saya gunakan perkataan ini?) saya.
Kalau ada pakar bahasa yang secara tidak sengaja terbaca blog ini, saya minta maaf. Di ketika zaman saya membesar dan menjadi dewasa, sindrom merosakkan bahasa belum lagi berputik. Kini, kita secara umumnya tidak lagi ambil peduli mengenai untung nasib bahasa ibunda. Ungkapan-ungkapan seperti  “ I, You, So, We all, Kitorang dan berpuluh-puluh ungkapan perosak lagi dengan sewenang-wenangnya diucapkan oleh anak-anak bangsa di majlis-majlis rasmi dan termasuk juga oleh juruhebah di setesyen radio/tv kerajaan dan swasta. Tiada pihak yang memantau dan ‘marah’.   
Sebenarnya, saya telah ada wifi sendiri sebelum anak saya menambah satu lagi yang digunakannya ketika menuntut di Shah Alam. Sepatutnya kami memulangkan semula salah satu daripada wifi itu dengan segera kerana tidak digunakan sepenuhnya.
 
 
Kerana  ‘tidak tahan’ dengan bebanan dua bil , saya terpaksa menggagahkan diri menghubungi syarikat internet untuk menamatkan salah satu perkhidmatan. Pada mulanya agak merimaskan kerana dipaksa mematuhi arahan demi arahan oleh Sang Halimunan, ‘Mesin Bercakap’. Ketika Sang Halimunan berehat pula, lebih lima puluh peratus masa keseluruhan ‘diperkosa’ oleh iklan-iklan yang tidak diperlukan. Seiring itu, bil telefon terus dijana dengan lajunya….
Namun demikian, urusan juga dibantu oleh kudrat manusia yang sangat minima. Saya dijanjikan bahawa permohonan akan diproses dan seterusnya diselesaikan dalam tempoh tertentu.
Selain itu, saya berurusan dengan Sang Halimunan samada yang boleh bercakap atau bisu– arahan yang diformat, sms, e-mail.
Seterusnya saya diarahkan oleh Sang Halimunan untuk menyerahkan kembali apa (alatan) yang patut diserahkan semula kepada agen di Ampang Park, Kuala Lumpur. Walaupun ada sedikit ‘songeh’ oleh manusia yang dilantik sebagai agen syarikat itu, urusan dapat diselesaikan dengan jayanya.
Anggapan awal saya bahawa syarikat internet itu mungkin akan melambat-lambatkan atau menyukarkan urusan pembatalan langganan sangat jauh meleset. Urusan dilakukan secara professional. Tiada sesiapa yang dianiaya atau ditipu.  
Hakikatnya, hampir setiap denyut kehidupan kita hari ini disua dengan Sang Halimunan. Sang Halimunan bukan sahaja sangat berkuasa di sekitaran lembah, gurun, gunung-ganang, angkasa dan lautan maya tetapi juga sangat berintegriti; Jujur, cekap, menepati masa dan sangat rigid. Sang Halimunan, termasuk yang tidak dinyatakan dalam catatan ini, sangat membantu. Manusia seperti tidak boleh bergerak tanpa mereka! 

Sabtu, 21 April 2012

sepinggan nasi dagang, seulas 'lado' api

Di kalangan bukan orang Negeri Terengganu, saya mungkin di antara penggemar tegar Nasi Dagang Terengganu . Saya tidak akan melepaskan peluang menikmati keenakan makanan tradisi ini sepanjang berada di Terengganu.

Mengikut kata kawan-kawan di kalangan anak Terengganu, bukan semua anak Negeri Terengganu mampu menyediakan nasi dagang mengikut piawaian yang sepatutnya - 'Nasi Dagang Asli Terengganu'. 

Secara asasnya, berdasarkan apa yang diberitahu dan rendah diri sebagai seorang lelaki yang tidak berapa suka ke dapur, rencah menyediakan Nasi Dagang Terengganu ialah; Beras khusus nasi dagang, adunan rempah ratus khusus, ikan tongkol, herba khusus dan santan kelapa. Kaedahnya; beras nasi dagang yang disebatikan dengan santan perlu dikukus beberapa kali. Ikan tongkol pula dimasak seperti biasa.  

Walaupun tidak seenak Nasi Dagang Asli Terengganu, isteri saya yang berasal dari Melaka tahu menyediakan nasi dagang. Di antara elemen yang membezakan nasi dagang beliau dengan Nasi Dagang Asli Terengganu ialah 'Tiadanya Nuansa Rasa Manis' kepada kuah ikan tongkolnya. 

Pada saya, 'Nuansa Rasa Manis' yang ada pada Nasi Dagang Asli Terengganu tidak boleh dikompromikan. Walaupun saya Orang Negeri Sembilan, kalau namanya nasi dagang, mesti ada 'Nuansa Rasa Manis'. Sehubungan ini, kita dapati pada setiap hidangan Nasi Dagang Asli Terengganu disediakan seulas cili api yang tidak dibuang tangkainya. Sesiapa yang kuat berpedas akan menjadikan cili api itu sebagai ulam semasa menikmati Nasi Dagang Asli Terengganu. 

Kepada bukan anak Terengganu, inilah rahsia kehadiran cili api dalam hidangan Nasi Dagang Asli Terengganu. Kehadiran cili api bukan sekadar aksesori untuk satu persembahan masakan seperti yang dilakukan oleh cef selebriti. Ianya lebih dari itu. 

Jumaat, 13 April 2012

kita orang Malaysia

Baru-baru ini dalam perjalanan pulang selepas menghantar kakak ipar yang hendak menunaikan umrah di KLIA, saya isteri dan dua orang anak bujang kami singgah di warung ‘Det Station’ yang terletak di pinggir kawasan perumahan kami. Ketika itu hampir pukul 12.30 malam.
Warung biasa yang popular di tempat saya ini dibuka dari jam 4.00 petang hingga 2.00 pagi. Warung ini Cuma menyediakan tiga jenis menu sahaja – nasi lemak ayam goreng,burger dan char kway teow. Dengan keadaan warung yang seadanya dan tanpa television layar lebar LCD/LED, warung ini dipenuhi pelanggan dari mula di buka hingga waktu tutup pada awal pagi.
Kami bernasib baik kerana terdapat satu-satunya meja kosong ketika memasuki warung itu.Suasana warung ketika itu meriah dengan hiruk pikuk pelanggan yang sedang makan sambil berbual. Selain itu, selewat 12.30 pagi, masih ramai pelanggan yang berbaris membeli makanan untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Agaknya, inilah landskap gaya hidup orang Kuala Lumpur.            
Pelanggan warung ini terdiri dari kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk – Melayu, Cina dan India. Majoriti pelanggan ialah orang-orang muda. Ya, sesuai dikatakan bahawa warung ini ‘port’ anak-anak muda.
Tiga meja di keliling meja kami diduduki oleh anak-anak muda yang rancak berbual sambil menikmati makanan masing-masing – satu meja anak-anak muda Melayu, satu meja anak-anak muda Cina dan satu meja anak-anak muda India.Jelas, integrasi antara kaum tidak terlihat di dalam warung ini.  
Benar, selepas lebih 50 tahun merdeka, kita masih belum berjaya lagi memupuk perhubungan antara kaum yang jitu. Bagaimanapun, saya melihat suasana di warung ini dari sisi wujudnya nilai-nilai harmoni dan tolak ansur antara kaum.
Bayangkan, sebuah warung milik orang Melayu bukan sahaja dikunjungi oleh orang Melayu tetapi juga kaum Cina dan India. Lebih dari itu, masing-masing kaum boleh bercakap dengan kuat dalam bahasa ibunda masing-masing tanpa merasa bersalah kerana mengganggu antara satu sama lain. Pendek kata, tidak ada samseng kampung yang menunggu untuk memukul kaum lain di pinggir-pinggir jalan seperti yang selalu kita tonton dalam filem-filem Melayu lama.
Tidak dinafikan, di sebalik keharmonian fizikal yang terserlah, ada tersirat rasa tidak puas hati di kalangan kaum. Keadaan ini tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, kalaulah suasana di warung ‘Det Station’ ini menggambarkan keadaan masyarakat Malaysia keseluruhannya, sesungguhnya tidak syak lagi bahawa masyarakat majmuk di negara ini hidup harmoni, hormat menghormati dan saling bertolak ansur.
Adakah yang kita inginkan lagi dan masih bermain dengan istilah-istilah retorik untuk mendapatkan lebih dari itu atau terus bernostalgia dengan sesuatu yang telah kita lepaskan?              
Kata orang kita tidak akan ke mana dengan beretorik dan bernostalgia. Kita juga berkeinginan bersantai di Starbucks, restoran mewah di Menara Kembar Petronas atau di Palace of The Golden Horses.Kata orang pengunjung di tempat-tempat tersebut ‘tidak majmuk’. Kalau ada pun orang-orang kita ialah di kalangan ahli-ahli politik atau sekurang-kurangnya para ekskutif tertinggi GLC. Betulkah? Seumur hidup saya belum pernah lagi ke tempat-tempat itu.    

Sabtu, 4 Februari 2012

kadir, i missed you

01 Februari 2012, ketika kami bertugas di Batu Pahat, rakan sekerja ,Kadir , 46, telah pergi meninggalkan kami.  

Kadir bukannya meninggal dunia. Kadir cuma dengan rasminya bertukar ke Jabatan lain. Saya sempat bersama Kadir di Jabatan sekarang selama hampir lima tahun.

Saya, Kadir dan dua orang rakan sekerja lagi dalam kumpulan yang sama ketika bertugas di luar ibu pejabat. Sedemikian, masa kualiti dua puluh empat jam  bersama dalam sehari ketika bertugas di luar Ibu Pejabat merapatkan perhubungan kami.Kami akrab.

Justeru itu, kehilangan Kadir di kalangan kami amat dirasakan.

Kadir, anak kelahiran Pulau Pinang berdarah ‘DKK’ ini paling muda di antara  kami berempat. Di kalangan kami juga, Kadir ialah ‘anchor’. Kadir bukan sahaja komited dengan tugas rasminya, malah Kadir juga amat berkebolehan dalam ‘ko-kurikulum’. Kadir boleh membuat kerja-kerja binaan yang asas seperti menyimen, bertukang, kerja-kerja paip air (plumbing), kerja-kerja letrik yang asas, membaiki kenderaan dan banyak lagi.

Kadir juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Dia AJK persatuan kakitangan. Dia juga AJK surau di kawasan perumahannya.

Kadir juga bijak berhujah dan seolah-olah serba tahu. Ada di kalangan kawan-kawan yang menggelarkan Kadir,‘The Professor’. 

Tulisan ini akan dianggap memuji Kadir secara berlebihan jika saya tidak memaparkan ‘keburukkan’ Kadir. Walaupun aktif di surau, Kadir juga ‘boleh ke tepi ke tengah’. Dia ialah orang kuat dalam penganjuran pertandingan nyanyian karaoke di tempat kerja kami. Kadir kuat berkaraoke! Malah, Kadir ialah naib juara pertandingan karaoke di tempat kerja kami dua tahun berturut-turut. 

Tiada manusia biasa yang sempurna. Namun, Kadir memiliki banyak kelebihan. Kudrat empat keratnya sentiasa bersedia untuk menolong atau membantu orang lain samada yang melibatkan kerja pejabat atau hal-hal peribadi.  Saya sendiri banyak belajar dari Kadir tentang pengendalian komputer.

Saya dan Kadir bergilir-gilir membawa kenderaan apabila bertugas di luar Ibu Pejabat . Kami juga bermalam di bilik yang sama ketika menginap di hotel-hotel seluruh Malaya (Sila baca Semenanjung Tanah Melayu). Daya tahan perhubungan seperti ini menagih persefahaman dan tolak ansur yang tinggi.

Satu peraturan yang tidak bertulis di kalangan kami ialah rakan-rakan yang membawa kenderaan umpama ‘pemandu’ kepada rakan-rakan yang lain . Ketika bertugas di Butterworth, rakan yang membawa kenderaan terpaksa membawa kami ke Kulim yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer cuma untuk melunaskan hajat rakan lain yang hendak makan ‘Mee Goreng Mamak Kulim’ .

Selain itu, rakan yang membawa kenderaan hendaklah menghantar rakan lain (kecuali rakan lain parkir kereta di ibu pejabat)  ke rumah-rumah masing selepas balik dari bertugas di luar ibu pejabat. Secara kebetulan, kawasan perumahan saya cuma sekitar 7 kilometer sahaja dari ibu pejabat. Ini memudahkan Kadir menghantar saya ke rumah. Dan begitulah juga ‘peraturannya’ ketika saya membawa kenderaan.Belum pernah lagi kami meninggalkan rakan-rakan di tengah jalan atau perhentian bas.

Selain dari kenangan-kenangan bersama Kadir yang dinyatakan di atas, ada  satu ungkapan yang tidak akan kedengaran lagi dan juga satu hajat saya yang tidak kesampaian sempena ‘perginya’ Kadir.

Biasanya selepas penat memerap di dalam bilik hotel, yaani di sekitar pukul 10.00-10.30 malam, Kadir akan mengajak rakan-rakan ‘mengetea’ di kedai mamak dengan panggilan ‘tag linenya’, “ Night Still Young”. Selepas ini, ‘tag line’ Kadir itu tidak akan kedengaran lagi.

Sebenarnya, Kadir yang tidak menjangka pertukarannya telah menyediakan cadangan bertugas di Batu Pahat, Johor bersama saya dan dua orang rakan yang lain. Kali in agak istimewa sedikit kerana saya akan menaiki kereta baru Kadir, Proton Inspira yang baru sebulan dibelinya. Ketika di Batu Pahat dapatlah kami berempat menaiki kereta baru  Kadir  ke Restoran Nasi Berani Md Shah dan warung-warung asam pedas  yang terkenal di bandar itu. Namun, hajat itu tidak kesampaian. Kadir telah 'pergi' terlebih dahulu.

Apabila balik semula bertugas selepas  bercuti panjang, saya telah menyediakan ungkapan klise ketika berjumpa Kadir di majlis perpisahan yang tertangguh nanti. Saya akan memeluk Kadir dan membisikkan, “I missed you”.    
 

Ahad, 8 Januari 2012

ini real kehidupan

Hari ini, Ahad, 08 Januari 2012 @ 14 Safar 1433H. Saya agak sibuk berbanding dengan  hari-hari cuti hujung minggu sebelumnya. Seawal pagi selepas sarapan , saya membersihkan longkang di belakang rumah. Setelah usai , saya ke kedai membeli dua naskah surat khabar. 

Selepas membeli surat khabar, GPS mengarahkan saya terus balik ke rumah. Saya ingkar.  GPS menjerit-jerit 're-calculation'. Saya tidak endahkan. Saya menuju ke premis selang satu pintu dari kedai menjual surat khabar.  Saya singgah di situ , sebuah restoran mamak . Misi saya cuma untuk membaca dua naskah surat khabar sambil bertemankan satu gelas teh tarik dan satu set roti bakar.

Saya mengulangi melakukan salah satu di antara banyak kelemahan diri. Saya sudah terbiasa dan selesa  membaca surat khabar di restoran mamak. Namun demikian, saya masih bernasib baik kerana tidak merokok. Kalau merokok mungkin kelihatan lagi 'hodoh'.

Sedang asyik membaca surat khabar pertama, tiba-tiba saya teringat kepada jadual ke-2 yang perlu dibereskan iaitu mengemaskan bahagian belakang rumah. Di antara tugas yang telah dirancang ialah melupuskan (membuang) mesin basuh yang telah lama rosak yang diletakkan di belakang rumah dan  membuang barang-barang yang tidak diperlukan. 

Saya ke kaunter bayaran di mana juru wangnya sentiasa berada di situ. Inilah  di antara perbezaan pengurusan restoran mamak dengan restoran Melayu. Kalau di restoran Melayu, juruwangnya akan membuat pelbagai kerja. Ini menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu atau menjerit memanggil cashier ketika hendak membuat bayaran.

Juru wang @ staf kanan restoran itu sempat bergurau dengan bertanya kenapa saya cepat sangat beredar. Saya jawab, " Ada kerja." Bagaimanapun, dialah juga yang memecahkan tembelang saya yang kerap datang ke restorannya ketika saya dan keluarga makan roti nan tidak beberapa lama dahulu. Ketika mengambil pesanan dari isteri dan anak-anak dia bertanya jenis minuman yang hendak dipesan. Sebaliknya, ketika sampai giliran saya di berkata, "Abang, macam 'biasa' ya." 

 Saya balik ke rumah. Sesampai di rumah saya terus memakai sarung tangan yang baru dibeli di kedai hardware yang letaknya tidak jauh dari kedai surat khabar dan restoran mamak yang saya sebutkan tadi. Isteri taukeh (sila baca pasangan itu berbangsa Cina)  itu berusia awal 40-an berasal dari Tanjung Karang, Selangor . Isterinya mendakwa fasih bercakap dialek Jawa. Isterinya juga menyatakan bahawa hampir semua orang Cina di kampungnya fasih bercakap dialek Jawa.

Selepas itu saya memulakan operasi. Saya mengasingkan barang-barang yang ada nilai komersial dengan bahan-bahan sampah sarap. Bahan-bahan kategori sampah sarap saya bungkus dalam beberapa bungkusan plastik hitam dan diletakkan di dalam tong sampah di hadapan rumah.

Barang-barang seperti mesin basuh rosak, besi buruk dan bahan-bahan plastik saya susun dengan hati-hati di dalam 'bonet' dan tempat duduk bahagian belakang kereta . Saya bercadang hendak menjual bahan-bahan tersebut di kedai besi buruk kepunyaan orang India. Kedai itu terletak kira-kira dua kilometer dari rumah saya. Bukan sahaja di kedai itu, malahan kaum India menguasai perniagaan besi buruk di mana-mana sahaja.


Kali ini adalah urusniaga besi buruk saya yang ke-3. Saya ada masalah ketika kali pertama - malu. Berkali-kali saya pusing di sekitar kawasan kedai besi buruk itu sebelum memberanikan diri menjual barangan yang dibawa. Ketika urusan menimbang barulah beberapa orang pelanggan amatur di kalangan orang tempatan datang dengan kereta membawa  barangan masing-masing . 

Mengikut pengalaman dan pemerhatian saya, lebih 90% yang mencari rezeki dengan cara mencari dan menjual besi buruk secara sepenuh masa ialah di kalangan pendatang asing terutamanya etnik Rohingya dan Bangladesh serta sebilangan kecil orang  Indonesia.

Selepas solat zuhur, iaitu lebih kurang pukul 2.30 petang,  saya membawa barang-barang  yang dikumpulkan ke destinasi - kedai besi buruk.  Di sepanjang jalan saya melewati beberapa buah basikal roda tiga dan juga motorsikal roda tiga  dengan muatan besi buruk, barangan plastik dan kertas menuju ke destinasi yang sama.  Ada yang mengayuh dan ramai juga yang menolak basikal roda tiga masing-masing.

Ketika melalui kawasan yang tinggi sedikit saya mendapati sebuah basikal roda tiga yang penuh muatan sedang ditolak oleh pemiliknya seorang yang tempang. Jelas kelihatan kecacatannya menyebabkan dia agak susah menolak basikal roda tiga yang penuh dengan muatan itu. Saya biasa melihat hamba Allah keturunan Rohingya itu kerana  dia sering melalui kawasan rumah saya untuk mencari besi buruk, plastik dan sebagainya. 

Walaupun tersentuh dengan keadaan itu dan juga rasa bersalah kerana menjual sendiri barang-barang yang menjadi punca rezeki hamba Allah itu dan yang senasib dengannya, saya meneruskan perjalanan ke kedai besi buruk. Bagaimanapun, saya berniat kalau berjumpa hamba Allah itu di kedai besi buruk,saya akan memberi sedikit sumbangan kepadanya. 

Saya sampai di kedai besi buruk lebih kurang jam 2.45 petang. Mesin basuh rosak dibeli secara harga pukal dengan harga RM20.00. Besi buruk seberat 10 kilogram dibayar dengan  harga RM1.00/kilogram - RM10.00. Sementara itu barang-barang plastik  pula dibayar RM0.75. Jadi, jumlah jualan saya berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Puluh dan Sen Tujuh Puluh Lima Sahaja - RM30.75. Semua maklumat lengkap pembelian disertakan dengan resit rasmi. Ada satu lagi perkara yang pembaca perlu tahu iaitu jualan besi buruk yang berkaitan dengan kemudahan awam seperti besi penutup longkang perlu mengemukakan kad pengenalan. Ya, kedai besi buruk ini dilengkapan dengan komputer, alat penimbang yang canggih , bersikap professional dan berintegriti.

Sehingga urusan saya selesai di kedai besi buruk itu, hamba Allah yang tempang itu masih belum sampai lagi ke situ. Beginilah kehidupan sebenar yang terpaksa dihadapi. Setiap orang dengan ketentuan nasib masing-masing. Ada ungkapan pemikir yang berbunyi, "Hidup yang tidak pernah mendapat tentangan, adalah hidup yang tidak berharga." Dapatkah hamba Allah ini membenarkan kata-kata pemikir itu? Sesungguhnya, kesakitan di dalam real kehidupan tidak sama dengan kesakitan dalam susunan kata-kata seorang pujangga atau pemikir.

Isnin, 26 Disember 2011

anak-anak : generasi alaf ini

SEBAIK memasuki ruang tamu rumah anak saudara yang baru berpindah ke rumah sendiri  di Bangi , pandangan saya tertumpu kepada dua orang  cucu saudara, Si Abang - 4 tahun dan adeknya, perempuan - 2 tahun. Mereka sedang asyik melayari rancangan kartun di internet melalui lap top.  

Tiba-tiba Si Adek menangis kerana abangnya tidak memenuhi permintaannya untuk memaut semula kepada cerita yang sudah selesai. Sebaliknya, abangnya 'click' pula pada cerita lain. Adeknya terus menangis sekuat hati. Dia cuba memberi tekanan saikologi kepada abangnya.

Si Abang tidak sedikit pun terpengaruh dengan helah adeknya. Dia terus larut dengan  cerita  kartun yang digemarinya.

Sebaliknya, ayah mereka pula yang terpaksa mengalah. Mungkin Si Ayah, 29 tahun, terlalu sayangkan anak perempuannya yang comel dan baru pandai bercakap sepatah dua itu. Atau, mungkin juga dia tidak mahu suasana hiruk pikuk tersebut berpanjangan.  Si Ayah mengambil satu lagi lap top dan membuat  carian yang diminta oleh Si Adek. Si Adek tersenyum. Dia menang. Dia merapatkan mukanya ke skrin komputer dan menonton di satu sudut lain di dalam rumah baru yang belum selesai disusun-atur itu.

Suasana dalam rumah yang terletak tidak jauh dari UKM tersebut persis sebuah pusat siber. Pelakunya cuma anak-anak kecil yang baru berusia empat dan dua tahun.

Saya percaya suasana sedemikian terutamanya di kalangan golongan pasangan ekskutif muda terpelajar dan golongan pertengahan adalah suatu keadaan biasa. Golongan tersebut mempunyai kemampuan  fizikal dan pendekatan intelek dalam memenuhi kehendak anak-anak dan dalam masa yang sama mendedahkan mereka kepada dunia IT di peringkat awal usia. Bayangkan apa yang bakal dikuasai oleh anak-anak ini ketika mereka mencapai usia seawal 6 - 7 tahun.

Bagaimanapun, elemen positif melalui pendedahan awal dunia IT boleh 'dirosakkan' oleh kesan sampingan yang amat besar impaknya kepada masa hadapan anak-anak jika perkembangan fasa-fasa kehidupan mereka tidak ditangani dengan betul. Elemen inilah yang perlu diuruskan dengan betul.

Keakraban anak-anak dengan 'sahabat' paling rapat mereka, yaani komputer akan membuatkan mereka leka. Ketagihan ini boleh  menyebabkan mereka mengabaikan tuntutan sebagai anak-anak dan juga tuntutan sosial. Mereka dengan mudahnya boleh terdedah kepada unsur-unsur negatif dan tidak sesuai.

Kendatipun demikian, menguasai IT adalah sesuatu yang 'wajib' pada alaf ini. Kita tidak boleh mengabaikannya. IT juga adalah dari spesis yang sama dengan spesis bekas Presiden Amerika Syarikat,  George Bush . Mereka sama-sama  gagah, bongkak dan menganut fahaman, "With Us, Or Without Us" yang terkenal merosakkan itu. 

Sedemikian, kita perlu ekstra cerdik menanganinya.

Ahad, 25 Disember 2011

restoran : surau untuk pelanggan

Alhamdulillah, kebanyakkan restoran atau tempat makan terutamanya yang popular ada menyediakan ruang untuk pelanggan menunaikan solat. Ini adalah satu anjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa ada segolongan pelanggan tidak memanfaatkan usaha baik tuan punya restoran tersebut. Selalunya hanya sebilangan kecil sahaja yang dilihat menunaikan solat ketika makan-makan di restoran, khususnya ketika waktu maghrib yang waktunya singkat.

Usaha tuan punya restoran menyediakan surau kecil di restoran mereka sewajarnya dipuji. Bagaimanapun, adalah lebih sempurna jika kerja baik tersebut bukan sahaja kerana tujuan komersial, yaani sebagai pakej untuk menarik pelanggan semata-mata kepada amalan berbentuk ibadah - amalan ikhlas kerana Allah.

Keadaan ini dapat kita saksikan di beberapa buah surau di restoran-restoran/tempat makan  popular yang  ramai pengunjung. Ada di antara surau yang disediakan secara ala kadar atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.  Misalnya, tempat mengambil wuduk yang kotor dan tidak selesa. Ruang tempat solat yang  terlalu sempit, tidak ada kipas dan tidak diselia. Sejadahnya pula usang, berbau hapak dan tiada kualiti. Mungkin tuan punya restoran pun tidak menggunakan sejadah jenis itu ketika solat di rumahnya.
Bagaimanapun, yang pelanggan 'kecil hati' sedikit ialah sikap sesetengah tuan punya restoran/tempat  makan popular yang ramai pengunjung. Mereka (tuan punya restoran/tempat makan) tidak berkira dalam  mengindahkan dan melengkapkan restoran/tempat makan masing-masing. Ini berlaku kerana mereka mampu - perniagaan maju. Sebaliknya, dalam hal menyediakan surau/tempat solat yang kondusif mereka terlalu berkira. 

Atau, untuk berlaku adil, mungkin mereka terlepas pandang.   

Jumaat, 18 November 2011

orang asal


Kita mungkin matang dari segi usia. Namun demikian, banyak perkara yang terhijab dari pengetahuan kita walaupun sebenarnya perkara-perkara itu berlaku di seberang kejiranan kehidupan kita. Alangkah ruginya kita kerana masih diselimut kepompong katak di bawah tempurung pada era yang siang- malam orang menyebut dunia tanpa sempadan ini.
Mungkin itulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan betapa naifnya persepsi saya terhadap sisi sebenar kehidupan saudara kita Orang Asal. Mungkin juga persepsi yang bertapak kukuh di dasar hati saya itu juga berlaku kepada anda.
Saya masih menggambarkan bahawa semua Orang Asal masih dibelenggu amalan hidup yang tidak memperdulikan arus kepesatan kemajuan di luar ruang lingkup wilayah kehidupan mereka.
Saya menggambarkan masyarakat Orang Asal secara pukal menduduki rumah atau pondok usang, kusam dan kotor. Saya juga menggambarkan mereka phobia kepada orang luar, tidak pandai berkomunikasi, berpakaian selekeh, buta huruf, anak-anak tidak dihantar ke sekolah, merendah diri yang melampau dan melangsungkan survival hidup dengan punca-punca tradisional; memburu,mencari petai,mencari rotan atau sumber hutan yang lain.
Tidak dinafikan bahawa kadang-kadang saya ada juga menjeling-jeling baca ruangan mengenai Orang Asal di dalam akhbar dan majalah atau menonton secara sambil lewa dalam rancangan yang melibatkan Orang Asal di television. Bagaimanapun, saya tidak fokus. Sehubungan itu, hasilnya ialah seperti yang saya nyatakan di perenggan awal catatan ini.
Bagaimanapun, setelah mengunjungi  sebuah perkampungan Orang Asal di Slim River, Perak baru-baru ini, persepsi saya berputar 360 darjah. Selepas ini saya akan katakan bahawa tidak semua Orang Asal di dalam keadaan yang saya gambarkan.
Saya rumuskan di dalam satu perenggan pendek mengenai Orang Asal di kampung yang saya kunjungi seperti berikut:- Mereka fasih berbahasa Melayu,berpakaian seperti kita Orang Melayu, anak-anak mereka dihantar ke sekolah,kawasan kampung dan halaman rumah mereka bersih dan cantik, komuniti mereka bersatu padu dan sekecil-kecil keputusan dibuat setelah bermesyuarah,kedudukkan ekonomi yang baik -  mereka memiliki kebun getah dan kelapa sawit. Segolongan kecil telah menganut agama Islam.
Bagaimanapun, ada satu perkara yang merungsingkan saya. Mereka menjalani hidup seharian seperti Orang Melayu - bercakap, berpakaian,meminati lagu-lagu Melayu terutamanya lagu-lagu 60-an. Malangnya cuma segolongan yang amat kecil sahaja telah memeluk agama Islam. Saya amat khuatir saudara Orang Asal kita ini nama mereka akan menjadi John Hujan, Mary Dusun atau Felix Rimbun pada suatu hari nanti. Hakikatnya, perkara yang ditakuti ini telah pun mula berlaku di perkampungan-perkampungan Orang Asal terpencil.

Siapakah yang harus dipersalahkan? Dan, bagaimanakah cara membawa cahaya iman kepada saudara Orang Asal kita ini ?   



Slim River,Perak
16 November 2011

Jumaat, 11 November 2011

kita yang terpaksa mengalah


KATA bijak pandai,"Pelajarilah jagat raya ini, jangan kecewa kalau dunia tidak mengenal anda, tetapi kecewalah apabila anda tidak mengenal dunia."

Samada kita suka atau buat-buat tidak kisah, hati kecil kita sebenarnya tidak dapat mengabaikan keresahan yang seperti tidak ada kesudahannya - gejala sosial  dan bahana yang dilakukan oleh pendatang ekonomi dari luar yang datang ke negara kita.  

Negara sekecil Malaysia menjadi destinasi idaman kepada berbagai bangsa daripada berbagai pelusuk dunia. Malah,  ada di antaranya dari belahan dunia yang tidak pernah kita jangkakan sebelum ini. Pendatang ekonomi dari Afrika, Iran, Latin Amerika, Arab, Cina,Vietnam atau Uzbekistan adalah sejumlah contoh pendatang yang dimaksudkan itu.

Selain dari 'lubuk rezeki', adakah sebab-sebab lain yang mendorong mereka datang berbondong-bondong ke negara kita secara sah atau secara tanpa izin?

Kenapa mereka tidak berbondong-bondong ke negara yang lebih kaya seperti Brunei atau Singapura ? Adakah disebabkan keadaan landskap negara kita menyebabkan pihak berkuasa sukar menyekat kemasukkan makhluk pengganggu yang kita tidak izinkan? Atau adakah  pihak berkuasa tidak efisyen menangani pendatang? Persoalan tersebut adalah luahan yang biasa kita dengar di mana-mana tanpa disandarkan kepada kajian ilmiah dan berautoriti. 

Walau apa pun alasannya, golongan yang berhadapan secara fizikal dan menjadi mangsa ialah masyarakat bawahan. Realitinya,  ekosistem kehidupan selesa,aman dan selamat yang dinikmati sebelum ini telah dirosakkan landskapnya . Bak kata ungkapan yang selalu digunakan sekarang, " Inilah harga sebuah pembangunan." Kita, warga negara di bumi tercinta ini cuma mampu melihat, menerima risiko dan memendam rasa. 

Saban hari kita dapat saksikan betapa pendatang asing tidak menghiraukan lampu isyarat jalan raya. Orang kita yang minat berniaga juga terpaksa bersaing dan berebut tempat berniaga dengan mereka samada di pasar-pasar malam, warung-warung atau lokasi perniagaan di tepi-tepi jalan. Biasanya orang kita mengalah kerana mereka lebih licik,lasak dan ganas.

Orang Melayu dan India yang kebanyakkannya terlibat dengan bidang kerja kurang kemahiran seperti buruh, operator pengeluaran,peniaga kecil-kecilan atau pembantu kedai terpaksa menerima hakikat bahawa saingan mereka datangnya daripada pendatang asing.

Suatu ketika dahulu Chow Kit Road adalah tempat tumpuan penduduk tempatan pada hujung minggu. Bagaimanapun, kini Chow Kit Road adalah tempat yang menakutkan untuk dikunjungi kerana dikuasai dan dipenuhi oleh pendatang asing dari berbagai negara.  Begitulah juga tempat-tempat tumpuan lain seperti KLCC, Pusat Bandar atau Kompleks-Kompleks Perniagaan.

Lebih dahsyat lagi, orang-orang tempatan sentiasa di dalam ketakutan dan rasa tidak selamat dari kejadian kacau ganggu, rompakan, pecah rumah, pembunuhan atau rogol yang dilakukan oleh sebilangan pendatang asing. Tiap-tiap hari pasti berlaku jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing.

Tidak dinafikan bahawa orang tempatan juga melakukan jenayah. Bagaimanapun, kita akan merasa lebih sakit hati apabila segolongan pendatang asing yang pada awalnya datang ke negara kita untuk mencari rezeki halal tetapi akhirnya terlibat dengan jalan mudah melangsungkan survival hidup - kacau ganggu, menipu, merompak,merogol, malah membunuh. 

Inilah realiti kehidupan yang kita hadapi. Realiti ialah sesuatu yang wujud samada kita akui atau sengaja mengabaikan kewujudannya.    








Jumaat, 28 Oktober 2011

toleransi ada di Cukai,Terengganu


Bijak pandai berkata, "Toleransi adalah satu-satunya alat penguji yang sejati bagi peradaban."

Realitinya, toleransi boleh dipertahankan pada satu fasa, tetapi selalunya tidak dapat dipertahankan pada fasa-fasa berikutnya. Keadaan ini mungkin berlaku kerana toleransi oleh satu pihak tidak dihargai oleh pihak yang satu lagi. 

Bagaimanapun, jika kedua-dua pihak menghormati amalan bertoleransi, segala-segalanya akan berjalan dengan harmoni dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Mungkin  teori  inilah yang diamalkan oleh masyarakat majmuk di bandar kecil Cukai, Kemaman. 


Saya percaya anda akan bersetuju dengan catatan ini jika anda berpeluang mengunjungi  bandar Cukai dan bermalam di sini. Untuk makluman , di tengah-tengah bandar Cukai terdapat sebuah masjid jamek lama. Di tengah-tengah bandar ini juga ada sebuah penempatan orang Melayu Terengganu. Saya menceritakan perkara ini supaya anda lebih mudah memahami senario kemungkinan sebab musabab wujudnya toleransi yang hebat di bandar kecil ini. 

Ahad, 16 Oktober 2011, saya dan dua orang rakan sekerja bertolak jam 2.00 petang dari Kuala Lumpur. Kami sampai di Cukai jam 6.00 petang setelah berhenti solat Asar di R&R Temerloh. Sebaik sahaja keluar dari pintu kereta dan berjalan ke hotel, saya dan rakan mengalami sedikit kelainan kerana mendapati hampir seluruh bandar ini seperti berada di dalam sebuah masjid. 

Kedatangan kami diraikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang amat lantang..Masjid tempat datangnya bacaan tersebut seperti begitu hampir dengan kami.  Saya cuba mencari pandang lokasi masjid. 

Sesampai di kaunter hotel, saya dimaklumkan oleh kakitangan hotel bahawa kedudukkan masjid tidak beberapa jauh dari tempat kami menginap - tidak sampai 100 meter. Bunyi bacaan ayat-ayat suci dari masjid semakin jelas semasa saya memasuki bilik hotel. Saya rasa bunyinya lebih jelas berbanding dengan bunyi di dalam masjid di tempat saya.

Tidak beberapa lama selepas memasuki bilik hotel, azan maghrib pun berkumandang. Getarnya lebih kuat dan bilik hotel seperti bergegar. Ini juga bermakna penghuni di rumah kedai di sekitar bandar ini yang majoritinya bukan Melayu pun berpeluang mendengar alunan azan yang syahdu. Tidak mustahil, mereka juga telah hafal dengan kalimah-kalimah  azan dan mungkin juga mampu menyampaikannya. 


Dengan keadaan sedemikian, amatlah tidak patut jika kami tidak solat berjumaah di masjid. Kami bertiga menunaikan solat Maghrib di masjid dan menjamakkannya dengan solat  Isyak- Jamak Takdim. Kami musafir. Setelah usai, kami balik ke bilik masing-masing .Kami  tidak mengikuti kuliah Maghrib. Kononnya, penat kerana perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur - hampir 400 kilometer.


Bagaimanapun, seperti yang telah saya utarakan, kuliah di masjid dapat didengar hampir ke setiap penjuru bandar ini. Setiap patah dan buah butir yang disampaikan didengar dengan jelas dari bilik hotel.

Begitulah seterusnya. Kemeriahan bandar  kecil ini seperti terhenti dan  sunyi setelah para jumaah di masjid menyelesaikan wirid selepas solat Isyak dan mengaminkan doa yang dipimpin oleh imam. Bacaan wirid dan doa juga dibaca dengan kuat dan lantang.   

Keadaan yang sama akan berulang lagi seawal jam 5.00 pagi, sebelum solat subuh pada pagi esoknya. Kalimah-kalimah tahmid akan diperdengarkan dengan kuatnya sebelum azan solat subuh berkumandang. Kemeriahan suasana di masjid akan berhenti seketika lebih kurang jam 7.00 pagi, iaitu selepas segelintir jumaah selesai mengikuti kuliah tajwid.   

Saya ada terdengar rakan sekerja membincangkan perkara ini. Bagaimanapun, isu yang mereka bincangkan 'mati' dengan sendirinya kerana menyedari mereka tidak mempunyai asas  agama yang kuat. Biarlah mantan mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mengulas perkara ini!
     
Bagi saya, keadaan 'status quo' di bandar kecil Cukai ini tidak perlu diganggu atau dirisaukan. Bagi anda yang berpendapat bahawa amalan bertoleransi ini cuma berlaku di pihak penghuni rumah kedai bukan Melayu di bandar Cukai, khususnya di sekitar Masjid Jamek Cukai, hendaklah mengambilkira toleransi yang lebih klasik oleh penduduk awal Cukai, Orang Melayu, sebelum  peniaga bukan Melayu datang dan seterusnya mendirikan rumah kedai di kawasan mereka.

Bukankah SN Usman Awang pernah meluahkan di dalam puisi beliau, Melayu, "Malangnya Melayu itu kuat bersorak, terlalu ghairah pesta temasya, sedangkan kampung telah tergadai, sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual,meski telah memiliki telaga." Dan, "Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan,segala yang ada sanggup diberikan,sehingga tercipta sebuah kiasan, "Dagang lalu nasi ditanakkan, suami pulang lapar tak makan, anak di pangkuan mati kebuluran."?    
     
Mungkin inilah rahsia yang tidak terlihat mengapa generasi terkemudian penghuni rumah kedai , bukan Melayu, di Bandar Cukai, Kemaman, Terengganu dilihat begitu bertoleransi.  Mereka melangsungkan sinambung toleransi yang telah asaskan oleh generasi terdahulu dan bukan kerana mereka golongan minoriti.  Semoga amalan bertoleransi terus dipupuk dan dipertahankan untuk mewujudkan negara bangsa yang kita idam-idamkan.

Justeru, andainya akan timbul masalah pada masa akan datang, masyarakat Islam yang lebih dominan perlulah menanganinya dengan berhemah. Orang Islam tidak akan menyakiti jirannya. 

Sabtu, 8 Oktober 2011

ziarah dan masakan minang

06 Oktober 2011(Khamis): 

Bab Satu - Ziarah:
Saya mengambil cuti kecemasan hari ini kerana isteri kepada sepupu arwah ibu saya meninggal dunia di Taman Melati, Gombak. Allahyarhamah berusia 54 tahun dan semasa hayatnya bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan hamba Allah yang dirahmati.   

Bab Ke-2 - Masakan Minang:

Di dalam perjalanan balik ke rumah di Ampang, lebih kurang pukul 2.00 petang, saya dan isteri bercadang singgah makan di Taman Melewati. Awal-awal lagi orang rumah telah mengingatkan bahawa dia tidak mahu makan di restoran masakan Padang kegemaran saya, Restoran Minang Saiyo.  Dia tidak suka masakan Padang. Sebaliknya, saya obses masakan itu.

Seorang tukang kasut keturunan Minangkabau yang beroperasi berhampiran restoran itu pernah memberitahu saya bahawa maana 'Saiyo' ialah Seiya Sekata.  Melaluinya saya mendapat tahu bahawa kebanyakkan tukang kasut di kaki lima kedai ialah pendatang berketurunan Minangkabau.

Disebabkan sebelum ini dia (isteri saya) secara 'terpaksa' mengikut saya makan di restoran Minang tersebut, kali ini saya mengalah. Tidak mengapa, ini langkah undur seorang pendekar. Saya mengikut sahaja dia mencari kedai makan 'Melayu' yang menjadi pilihannya. Akhirnya, kami singgah di sebuah gerai yang terlertak di dalam kompleks medan selera tidak beberapa jauh dari restoran itu.

Selain dari menyediakan berbagai jenis masakan 'Melayu', kami tertarik di atas kebersihan  kedai makan yang menggunakan peralatan 'stainless steel' ini. Yang paling menarik perhatian ialah keterampilan tuan punyai kedai makan ini, seorang lelaki berusia lebih kurang 70 tahun. Dia berniaga bersama isterinya dan seorang pembantu.

Mengikut standard Malaysia, cara dia berpakaian persis pakaian seorang pegawai di pejabat. Seluar dan bajunya digosok rapi. Saya sempat bergurau dengan  isteri, " Side baju dan seluarnya kalau terkena tangan boleh luka." Dia juga memakai kasut yang berkilat. Sudah pasti dia juga memakai stokin. Peniaga yang mengenakan ketayap putih bersih ini kelihatan amat kemas.

Ketika membayar harga makanan, saya telah bertanya kepada peniaga itu maana 'GANTINO' yang dipaparkan pada papan tanda ' Kedai Makan Gantino' di kedainya. Dia memberitahu bahawa 'GANTINO' ialah perkataan Minangkabau yang membawa maksud, 'Barang Hilang Ganti'.

'Moral of the story', kedua-dua kedai makan itu diusahakan oleh orang Minang.   Cuma bezanya:Restoran Minang Saiyo ada masakan Padang, Kedai Makan Gantino pula menyediakan masakan Minang.

Mungkin, isteri saya Orang Masjid Tanah, tidak suka masakan Padang sahaja. Sebaliknya, dia suka masakan Minang. Bagaimanapun, pada saya sama sahaja, tiada bezanya. Apa pun, hajat saya hendak makan masakan Minang/Padang kesampaian juga!