Seorang pengunjung blog saya pada 4 November 2014 yang menamakan diri beliau MAZLAN melontarkan pendapat mengenai kebarangkalian Bahasa Asli Minangkabau itu menyerupai loghat Negeri Sembilan. Sila ikuti:
TEORI BAHASA ASLI MINANGKABAU OLEH PELAWAT BLOG BERNAMA ENCIK
MAZLAN (4/11/14)
Saya berterima kasih atas respon
Sdr Catra terhadap pendapat saya berkenaan teori bahasa asli Minangkabau.
Beliau juga tidak menafikan bahawa terdapatnya “ pergeseran dari darek ke
pasisia” yang menyebabkan “ baso pun alah dapek pengaruh pasisia”. Pasisia
(pesisir) yang beliau maksudkan adalah Pariaman, Padang dll.
Darek (darat) yang beliau
maksudkan ialah Payakumbuh, Bukit Tinggi dan Tanah Datar (Luhak Nan Tigo).
Berdasarkan kenyataan ini,
beberepa perkara boleh dirumus:
1)Baso di darek adalah berlainan dari segi
penyebutannya berbanding di pasisia. ( Contoh: penyebutan O-A, GH-R)
2)Asal baso Minangkabau itu ialah (sepatutnya) di
darek.
3)Asal Orang Minangkabau Negeri Sembilan adalah
dari Darek.
4)Baso pasisia (Padang) adalah baso yang telah
menerima perubahan akibat ‘ pergeseran’ tersebut.
5)Pasisia terletak di sepanjang pantai barat Sumatera
terdedah dengan pengaruh (mungkin) pedagang-pedagang dari Jawa, Arab dan India
menyebabkan pengaruh bahasa juga terkena tempiasnya.
Selain daripada factor-faktor di
atas, saya juga ada pengalaman peribadi yang boleh membawa kepada kuatnya hujah
ini. Pada tahun 1993 ketika masih remaja, saya berpeluang mengikut pakcik saya
buat pertama kalinya ke Sumbar telah pergi ke sebuah perkampungan di Daerah
Solok, pedalaman Sumbar. Kampungnya saya tidak ingat apa namanya. Tapi seingat
saya ia terletak berdekatan Pekan Muaro Labuh di Kecamatan Sungai Pagu.
Bermalam di situ 3 hari 3 malam
di sebuah perkampungan di tengah-tengah sawah yang luas. Tahukah saudara ku
Ujang, orang-orang tua di situ termasuk seorang amak (nenek) yang menurut
perhitungan ku umurnya lebih seratus tahun bertanyaku: “ Daghi mano anak ko?” Ughang jaualah tibo” dan lain-lain yang
penyebutunnya tiada langsung berbunyi R yang tebal.
Timbul pertanyaan: Sekiranya
dengan usia Amak (nenek) tersebut dengan penyebutan tersebut dan beliau juga
orang asal di situ, adakah seratus tahun dahulu, penyebutan ‘ GH ’ itu merupakan bahasa asal
Minangkabau?
Oleh itu, pendapat saya: “ Berat
kemungkinan bahawa bahasa asal Minangkabau itu menyerupai loghat Negeri
Sembilan ada asasnya. Semoga dapat kita fikirkan bersama.
Saya meminta maaf kerana paparan ‘
entry ‘ kali ini ada di antaranya mungkin kurang disenangi
oleh sesetengah pembaca kerana bersifat agak peribadi. Pembaca boleh mengabaikannya atau jika ingin turut
serta mengongsi bacaan sila teruskan menjenguk.
MAJLIS PERKAHWINAN ' KENDURI SEKAMPUNG DI NEGERI SEMBILAN
Beberapa keping gambar yang saya ‘upload’
adalah intisari sentuhan melalui kamera telefon bimbit yang sangat terhad
kekuasaannya ketika saya sekeluarga balik ke kampong di Negeri Sembilan pada
akhir bulan Disember 2014 kerana menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan saudara.
Saya katakan bahawa sedaya upaya saya
akan berusaha untuk menghadiri jemputan majlis perkahwinan khususnya masyarakat
kampong di Negeri Sembilan. Selain dari tuntutan syarak kerana melunaskan
jemputan, saya sangat-sangat teruja (suka sangat) dengan masakan lauk pauk
daging kerbau/lembu yang disediakan secara gotong royong oleh masyarakat kampong
semasa majlis perkahwinan.
Daging kerbau/lembu
dimasak dalam dua jenis masakan – daging masak kuning (cili api) dan daging masak
rempah (kari). Mungkin ini adalah di antara factor yang membuatkan anak-anak perantau
Negeri Sembilan rela memandu beratus kilometer untuk turut serta meraikan
majlis perkahwinan saudara mara di kampong.
Tetamu boleh makan seberapa
banyak kerana tiada sesiapa yang memantau. Kebiasaannya tuan rumah menyembelih
sekurang-kurang seekor kerbau/lembu. Justeru itu, saya dapati ramai tetamu yang
mengambil lauk terlalu banyak. Ada di antaranya objek nasi tidak kelihatan
kerana ditutup oleh timbunan lauk daging kerbau/lembu. Tiada syak lagi,
perbuatan tersebut tidak baik – hodoh!
Saya telah agak lama tidak balik
ke kampong, iaitu selama hampir 3 bulan.
Ketika balik kampong saya dan keluarga seperti biasa bermalam di
rumah pusaka peninggalan arwah ibu yang kini diwarisi oleh adek perempuan
(saudara kandung tunggal) dan keluarganya.
Sepertimana yang saya pernah
paparkan pada entry yang lalu bahawa bahagian belakang kawasan rumah keluarga
di kampong ditanam dengan berbagai jenis sayuran.
Malah, mereka (keluarga di kampong) telah menjadi juara dalam pertandingan menanam sayur di kawasan
rumah ( Poghark) Daerah Rembau.
Bagaimanapun, perkara yang
menjadi perhatian saya ketika balik kampong pada kali ini ialah wujudnya seni hias landskap baharu di halaman rumah keluarga
di kampong. Saya dapati halaman rumah kini
dihiasi pula dengan tanaman bunga-bungaan jenis renek berbagai warna yang
subur dan cantik.
Secara perbandingan, saya malu
dengan kerajinan ahli keluarga di kampong. Malu kerana kawasan rumah teres sendiri
yang sekangkang kera di bandar tidak teruruskan kerana (mungkin) ‘ sibuk ’.
PERSEMBAHAN DIKIR NEGERI SEMBILAN PADA MAJLIS PERKAHWINAN ANAK LELAKI SDR OMAR (ATAN) BIN UJANG DI TAMAN KOPERASI CEUPACS, KAJANG. SAUDARA OMAR (ATAN) BERASAL DARI CHENGKAU, KOTA, N.SEMBILAN.
HAMPIR SEMUA AHLI KUMPULAN DIKIR INI ADALAH GOLONGAN BERUSIA. KEADAAN INI MENGGAMBARKAN BETAPA BAHAYANYA ' SURVIVAL' KUMPULAN DIKIR TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN KERANA KETIADAAN GOLONGAN PELAPIS.
Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang, YAB Datuk Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-7 adalah anak jati Negeri Sembilan yang diketahui sangat pekat loghat Negeri Sembilannya. Beliau yang telah berada dipuncak kerjaya semacam selesa dengan 'pengiktirafan' sedemikian.
Sehubungan ini, sekalipun saya telah berpuluh-puluh tahun merantau di Ibu Kota juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan beliau dari segi mengekalkan ' loghat Negeri Sembilan' dalam kehidupan seharian. Sesiapa sahaja akan tahu bahawa saya adalah Orang Negeri Sembilan kerana ' loghat negeri ' saya yang pekat masih terus kukuh melekat dan bergayut di lidah saya ketika bercakap.
Seperti anak-anak Negeri Sembilan lain yang naïf pada ketika generasi saya meningkat remaja, saya juga pernah cuba menyurukkan identiti 'keNegerian' diri melalui percakapan ketika mula datang tercengang-cengang di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun 70-an kerana mula bekerja makan gaji. Ketika itu saya bersusah payah belajar bercakap bahasa standard yang dituturkan oleh orang Kuala Lumpur .
Justeru itu, ada rakan-rakan sekampung yang berlagak telah menjadi ' orang Kuala Lumpur ' tiruan dengan cara sengaja bercakap ' loghat orang Kuala Lumpur ' semasa balik bercuti di kampung. Tentulah rakan-rakan yang masih menetap di kampung ' geli geleman ' dan mual.
Dalam tempoh yang panjang saya berkomunikasi loghat orang Kuala Lumpur ketika bercakap dengan rakan-rakan sekerja tanpa menafikan ' slank negeri ' membayangi patah-patah intonasinya.
Masa berlalu.
Kini, saya hampir menggunakan loghat Negeri Sembilan sepenuhnya ( hampir 80%) ketika berkomunikasi dengan semua golongan kecuali dalam situasi tertentu.
Namun, saya tidak perasan bilakah bermulanya evolusi saya tidak menggunakan bahasa standard orang Kuala Lumpur lagi.
Sungguh pun demikian, apabila berbual dengan rakan-rakan dan orang kampung di kampung asal, saya menyedari ' lenggok' atau kaedah pertuturan loghat Negeri Sembilan saya tidak lagi asli seratus peratus. Ini termasuklah beberapa ungkapan klasik loghat Negeri Sembilan tidak lagi menghias bait-bait percakapan saya. Di antara perkataan yang telah agak lama saya tidak gunakan semasa
berbual ialah; ' Toboh' (tempat), ' Sanun ' (sana), ' Bega (degil), '
Lapun' (pukul) dan banyak lagi. .
Sebenarnya saya agak sukar hendak menerangkan ' perbezaan lenggok atau kaedah pertuturan loghat Negeri Sembilan' supaya mudah difahami. Secara rengkasnya bolehlah dikatakan bahawa walaupun Loghat Negeri Sembilan digunakan secara meluas, kaedah menuturkan loghat itu di sesuatu tempat atau kampung ada identiti dan ' trade mark' masing-masing. Juteru itu, penduduk kampung asal saya ada identiti atau 'trade mark' nya sendiri'.
Saya berpendapat kebanyakkan anak Negeri Sembilan yang merantau mengalami anjakan yang sama. Cuma mungkin mereka tidak menyedarinya atau buat-buat tidak mengaku kerana semangat keNegerian yang membuak-buak. " Akuilah, dialek Negeri Sembilan yang anda tuturkan telah mengalami sebanyak-sedikit perbezaan dengan yang asal - 'alignment nya' telah lari di sana sini."
Sesungguhnya, sayang saya kepada negeri dan budaya asal usul akan berterusan selagi hayat dikandung badan. Namun, kasih kepada bumi dipijak juga tidak ada kurangnya. Saya sayangkan Negeri Sembilan. Saya juga sayangkan Negeri Selangor, negeri tempat saya berpijak dan menumpang teduh.
Sehubungan ini, tegarnya saya dengan dialek asal-usul ( walaupun ada sedikit kekurangan) dan kecintaan yang mendalam dengan segala sesuatu yang berkaitan dengannya walaupun telah lama tidak lagi berada dalam arus perdana persekitaran asal-usul itu adalah sesuatu yang berlaku secara semula jadi yang tidak dapat dihindarkan. Ianya umpama ' birth mark ' yang tidak akan hilang.
Sejak kampung saya dibelah dua secara muktamad oleh laluan kembar Keretapi Tanah Melayu (KTM) berelektrik (elektrik belum dipasang lagi) dan berpagar K.Lumpur - Johor Bharu, sebahagian besar penduduk kampung ' dihalang ' ke masjid kalau tidak kuat iman!
Ini berlaku apabila sebahagian rumah penduduk kampung dipisahkan dengan masjid oleh laluan KTM berelektrik. Sedemikian, penduduk kampung terlibat tidak boleh lagi melintas laluan KTM untuk ke masjid atau ke rumah jiran di seberang laluan keretapi di jajaran kawasan masjid melainkan melalui jambatan bertingkat yang disediakan.
DI ANTARA RUMAH PENDUDUK KAMPUNG
DI ANTARA RUMAH PENDUDUK KAMPUNG (2)
Bagaimanapun, laluan jambatan itu bukan sahaja curam tetapi juga menambahkan lagi jarak perjalanan kerana reka bentuk zig-zagnya. Laluan yang khusus untuk pejalan kaki, penunggang motorsikal dan basikal itu tidak boleh dilalui oleh kereta. Tentunya laluan sebegini tidak mesra golongan berusia.
LALUAN BERTINGKAT ADA PRO & KONTRA
Sesungguhnya, pembinaan projek laluan KTM berelektrik yang merentas Kuala Lumpur - Johor Bharu dari satu sudut menimbulkan cabaran sosial baharu kepada penduduk yang mendiami kawasan di sepanjang laluan itu. Penduduk kampung yang telah berusia tidak gagah lagi mendaki jambatan bertingkat yang curam kerana sangat memenatkan.
KAMPUNG TERBELAH DUA (BERPAGAR DAN ELEKTRIK)
Pada mulanya ketika balik ke kampung saya memaksa diri merentas laluan KTM dengan cara berjalan kaki ke masjid yang jaraknya tidaklah jauh sangat. Bagaimanapun, baru-baru ini saya mencuba solat berjumaah di Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu kerana jalan ke surau itu tidak perlu melintas laluan KTM bertingkat.
Surau yang dinamakan ' Surau Ahmadiah ' itu dibina oleh seorang penduduk kampung secara persendirian. Jarak surau itu lebih kurang 4 minit perjalanan dengan kereta dari rumah keluarga saya di kampung. Surau itu sebenarnya tidak aktif beberapa lama di atas sebab yang tidak saya ketahui.
Kampung Baru Chengkau Ulu juga adalah sebahagian dari kampung saya. Ketika zaman anak-anak saya, penduduk kampung itu dikenali sebagai Penduduk Tanah Lesen kerana tanah di situ bukan tanah adat, Penduduknya terdiri dari kalangan penduduk asal kampung saya dan juga orang luar yang berhijrah ke situ. Seingat saya penduduk asal/awal kampung itu ialah keluarga Pak Cik Yusuf Campam, Keluarga Pak Cik Pilus, Kaeluarga Pak Cik Mat Peheng, Keluarga Pak Cik Dolah TJ, Keluarga Pak Cik Adam, Keluarga Pak Cik Saleh Muar (berasal dari Tangkak, Johor) dan Keluarga Pak Cik Manaf .
Arwah ibu saya mempunyai sekeping tanah kebun di kampung itu. Semasa berbual dengan jumaah surau, ada di antaranya yang mengusik supaya saya membina rumah di kampung mereka.
Di Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu juga saya dipertemukan dengan seorang saudara yang tidak saya kenali sebelum itu. Beliau yang berasal dari kampung lain baru membina rumah di kampung itu selepas membeli sekeping tanah dari penduduk asal memperkenalkan diri kepada saya. Beliau adalah saudara dua pupu dengan arwah datuk saya. (Apabila saya memberitahu kepada adek perempuan dia menyatakan bahawa dia telah lama tahu perkara itu).
Ketika zaman remaja saya, Kampung Baru Chengkau Ulu adalah sebuah kampung yang agak terkebelakang dalam segala segi berbanding ' Mother Land ' nya iaitu kampung saya. Namun demikian, persepsi itu tidak boleh lagi dipakai pada hari ini. Kampung tersebut telah membangun dan dapat dilihat melalui pembinaan rumah-rumah penduduk yang cantik, bilangan penduduk yang ramai dan juga status pendidikkan /ekonomi mereka.
Surau Ahmadiah Kampung Baru Chengkau Ulu adalah sebuah surau kecil yang diperbuat dari kayu. Saya dimaklumkan bahawa beberapa struktur surau itu termasuk tiang-tiangnya adalah dari struktur rumah lama dari kampung lain yang dibawa oleh salah seorang penduduk kampung ( berasal dari kampung berhampiran) untuk diwakafkan. Saya ditakdirkan dapat berbual dengan penduduk kampung yang berusia 75 tahun dan juga seorang pesara KTM itu. Beliau memaklumkan bahawa tiang-tiang surau tersebut dihasilkan dari sebatang pokok yang diusahakan oleh keluargnya sendiri di kampung asalnya. Bagaimanapun, inisiatif serta kos pembinaan surau itu diusahakan dan ditanggung oleh seorang penduduk kampung yang lain.
Langkah saya ke surau itu mulai solat maghrib pada 31 Ogos 2014 adalah ' langkah kanan '.
Malam itu ada kuliah maghrib yang dipimpin oleh seorang ustaz muda. Di antara pati kuliah yang masih saya ingat ialah perlunya kita meneruskan sinambung rajin beramal ibadat dalam bulan Ramadhan kepada bulan-bulan lain selepas Ramadhan dan sifat tawakal Nabi Musa apabila dikejar oleh Firaun sehingga laut terbelah.
Malam itu juga ada jamuan selepas selesai kuliah maghrib dan solat Isyak yang pada saya sangat mengujakan. Saya katakan mengujakan kerana lauk pauk yang dibawa sendiri oleh penduduk kampung secara ' Pot Luck ' adalah masakan asli ' air tangan ' orang kampung di daerah saya .
Semua lauk-pauknya adalah masak ' lomak ' cili api dengan kuah santan yang pekat. Saya menjangka semua lauk pauk yang dihidangkan adalah lauk pauk idaman anak-anak Negeri Sembilan terutamanya yang merantau dan cuma sekali-sekala menjenguk kampung halaman. Lauk pauknya adalah; Ikan sembilan (keli) salai, daging salai, gulai tempoyak daun, telur itik, gulai (kuning) ayam kampung, rendang (hitam) dan ikan tenggiri rencah kulit buah rambai.
Mungkin kerana asyik sangat menikmati masakan kampung yang enak, saya tidak teringat merakamkan suasana ' happening ' itu ketika jumaah sedang makan. Saya cuma sempat merakamkan foto Surau Ahmadiah apabila semua jumaah telah beredar pulang ke rumah masing-masing.
Saya masih belum berkesempatan untuk bertanya kenapa surau ini dinamakan ' Surau Ahmadiah'. Adakah ianya ada kaitan dengan amalan Tariqat Ahmadiah yang suatu ketika dahulu diamalkan oleh ramai penduduk Negeri Sembilan atau cuma sekadar nama sahaja? Selain dari zikir tahlil Ahmadiah (Lailahaillallah Muhammadurrasulullah Fikollilamhatin Wanafasin'adadamawasi'ahu'ilmullah) sebanyak tiga kali (yang masih dibaca di masjid/surau di Negeri Sembilan) yang dibaca oleh Tuan Imam ketika memimpin wirid selepas selesai solat fardhu, saya tidak mendapati adanya pengaruh amalan tariqat itu yang lain di surau itu.
Saya dimaklumkan bahawa sebuah surau baharu dengan kos pembinaan RM250,000.00 akan dibina untuk menggantikan surau bangunan kayu sedia ada dalam tempoh terdekat. Alhamdulillah.
Saya meninggalkan Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu dengan tenang dan Insya Allah akan datang lagi.
Seorang kenalan yang mengetahui saya berasal dari Negeri Sembilan bertanya samada saya balik ' Mantai ' ke kampung di Negeri Sembilan atau tidak. Saya menjawab, " Tidak." Begitulah hebatnya amalan tradisi ' Mantai ' sehinggakan ada di kalangan yang bukan berasal dari negeri Adat Perpatih itu pun mengetahui auranya.
' Mantai ' adalah amalan tradisi masyarakat Negeri Sembilan menyembelih kerbau ( kini lembu kerana kerbau sukar didapati) pada hari ' Mogang ' ( hari sehari sebelum 01 Ramadhan) yang dilakukan secara gotong royong. Daging kerbau/lembu dibahagi sama rata di kalangan penduduk kampung yang berkongsi membeli seekor atau lebih kerbau/lembu.
Masyarakat tradisional Negeri Sembilan juga membuat lemang pada hari ' Mogang '.
Selain pada hari raya khususnya Hari Raya Idilfitri, anak-anak Negeri Sembilan yang merantau akan berusaha balik ke kampung untuk turut bersama dengan keluarga pada hari Mogang/Mantai ketika menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Sesungguhnya, perantau balik ke kampung pada hari ' Mantai' (sehari sebelum bermulanya puasa dalam bulan Ramadhan) adalah amalan tradisi yang menjadi salah satu ' trade mark ' masyarakat Negeri Sembilan. .
Begitulah lebih kurang senario masyarakat tradisional Negeri Sembilan menyambut kedatangan bulan Ramadhan khususnya ketika menyambut kedatangan 01 Ramadhan.
Bagaimanapun, amalan ' Mantai' mengikut konsep asal tidak lagi diamalkan.oleh generasi Negeri Sembilan hari ini . Generasi hari ini membeli daging lembu di pondok-pondok menjual daging yang diusahakan oleh peniaga daging ketika menyambut kedatangan 01 Ramadhan.
Generasi Negeri Sembilan hari ini juga tidak ramai lagi yang membuat lemang ketika menyambut 01 Ramadhan. Selain dari faktor peredaran masa, saya percaya kurangnya kemahiran dalam kerja-kerja membuat lemang di kalangan generasi Negeri Sembilan hari ini menyebabkan amalan membuat lemang di kalangan penduduk semakin dilupakan.
Kerja-kerja mencari buluh di dalam hutan, memproses beras (pulut), santan kelapa, daun pisang dan menjaga api dalam urusan membuat lemang yang sempurna bukan lagi satu kerja mudah bagi generasi Negeri Sembilan pada hari ini. Sedemikian, kalau hendak juga makan lemang, mereka mengambil jalan mudah dengan cara membeli daripada peniaga lemang bermusim.
Amalan tradisi balik ke kampung halaman di kalangan anak-anak Negeri Sembilan yang merantau khususnya yang masih mempunyai ibu bapa ketika menyambut 01 Ramadhan masih lagi diamalkan walaupun tidak setaat generasi terdahulu. Walaupun mereka tidak lagi serasi dengan ungkapan ' Balik Mogang ' (balik kampung sehari sebelum 01 Ramadhan), mereka pada dasarnya masih meneruskan atau sekurang-kurangnya menghormati ' roh ' tradisi balik kampung ketika menyambut 01 Ramadhan.
' Mantai', ' Mogang ' dan ' Membuat Lemang ' adalah amalan tradisi yang sedang ' sakit tenat ' di ' stage' ke-4. Namun demikian, roh amalan tradisi itu masih bertapak kukuh di dasar hati anak-anak Negeri Sembilan yang kini berusia di sekitar 45 tahun ke atas walaupun sejauh mana mereka berada dari kampung halaman atau sehebat mana pun status mereka hari ini.
Sebaliknya ' Mantai', ' Mogang' dan ' Membuat Lemang ' adalah satu cerita seribu satu malam di kalangan generasi Negeri Sembilan hari ini ( Generasi Y ). Generasi hari ini mungkin ada mendengar ungkapan-ungkapan tersebut diucapkan berulang kali oleh ibu bapa masing-masing. Bagaimanapun, mereka tidak tahu apa-apa. Samalah seperti mereka tidak pernah menyaksikan hamparan sawah padi yang pernah wujud di kampung masing-masing di ketika ibu bapa mereka di usia anak-anak atau remaja seperti mereka.
Saya meminta maaf kepada pembaca tetap dan penjenguk blog ini kerana kebelakangan ini saya agak kerap memaparkan mengenai Negeri Sembilan.
Saya 'menderita' kerana pencarian mengenai transformasi dialek Negeri Sembilan yang ' lari ' dari dialek asas penutur dari Tanah Minangkabau (dialek Minang) atau penduduk asal Negeri Sembilan (dialek Orang Asal) masih belum menemui jawapan yang jelas.
Dialek Negeri Sembilan tidak sama dengan dialek Minang. Dialek Negeri Sembilan juga tidak sama dengan dialek yang digunakan oleh penduduk Orang Asal.
Seimbas dengar seolah-olah dialek Negeri Sembilan itu adalah dialek Minang. Namun, tidak sama. Hakikatnya, Orang Negeri Sembilan tidak boleh bercakap dalam dialek Minang dan bahkan tidak memahami kebanyakan maana perkataannya.
Dalam keadaan biasa, mana-mana dialek yang dominan iaitu samada dialek Minang atau dialek penduduk asal akan ' menelan ' dialek yang lemah. Sungguh pun dialek Minang dilihat lebih kuat dari dialek penduduk asal, didapati dialek itu (Minang) tidak cukup kuat menewaskan lawannya (dialek penduduk asal) secara total.
Dalam kata lain, jika pengaruh dialek Minang cukup kuat sudah tentu penduduk Negeri Sembilan sehingga ke hari ini bercakap dialek Minang Asli sama seperti yang diucapkan oleh masyarakat di perkampungan orang-orang Minang di Beranang, Gombak dan di Tanah Minangkabau, Indonesia.
Inilah yang saya katakan bahawa dialek Negeri Sembilan adalah : 'Hendak dikatakan dialek Minang, tidak dialek Minang, hendak dikatakan dialek penduduk asal, tidak dialek penduduk asal'. Sedemikian, wujudnya dialek Negeri Sembilan adalah satu misteri.
Sila peramati lagu-lagu dialek Negeri Sembilan dan Minang seperti di bawah serta fokus kepada perbezaannya:
LAGU RAKYAT N.SEMBILAN: BONGAI
LAGU DIALEK N.SEMBILAN (MODEN): GADIS JOLOBU
LAGU MINANG : NASIB KABAU PADATI
Jujurnya, sekalipun ada perbezaan yang agak ketara (antara dialek Negeri Sembilan dengan dialek Minang), pada saya ada tautan susur galur keturunan yang tidak akan terputus selagi ada bulan dan bintang antara penutur dialek Negeri Sembilan dengan penutur dialek Minang di mana sahaja di atas muka bumi ini.
Sekalipun dialek asal Minangkabau yang pernah dituturkan oleh nenek moyang Orang Negeri Sembilan dari Tanah Minangkabau lebih 5 abad yang lalu telah lebur, namun masih ada sisa-sisanya lagi pada setiap keturunan mereka di Negeri Sembilan sehingga ke hari ini.
Sesungguhnya, misteri kewujudan dialek Negeri Sembilan, 'Hendak dikatakan dialek Minang, tidak
dialek Minang, hendak dikatakan dialek penduduk asal, tidak dialek
penduduk asal' mungkin tidak akan terungkai sehingga bila-bila. Tentunya situasi ini jauh lebih dahsyat dari misteri kehilangan MH370.
Baranang ...boghonang, putush....putuih, ko mano.....kama....
Pendapat salah seorang penjenguk blog ini, MUNGKAL DELI , untuk renungan. Di antara petikan ulasan beliau ialah;
(1) GELOMBANG PERTAMA
"Kita bersetuju bahawa nama-nama suku di N9 terbit dari nama-nama tempat di Sumatera Barat, kampung asal para pendatang (mohon jangan disalah-tafsir perkataan ini, ia tidak bermaksud “deragotory”). Mereka hadir di Tanah Melayu pada kurun ke-15."
(2) GELOMBANG KEDUA
"Berlalu 300 tahun, menjengah tahun 17-1900an; berlaku lagi perpindahan gelombang kedua. Alam Minangkabau di Sematera semakin jelas budaya dan tata-cara hidup mereka sebegitu pula alam Minangkabau di Rembau yang ketika itu “hampir sempurna” dikenali sebagai Negeri Sembilan."
" Mereka yang tiba ini bermukim lalu bermustautin di Kapar, Klang mahupun Beranang berinteraksi menggunakan “susuk bentuk budaya baru” bahasa rasmi/baku iaitu Bahasa Padang, bahasa persisir (pantai) dan tidak bahasa darat (pendalaman/bukit). Maka di sinilah bermulanya perselisihan pengertian orang Negeri Sembilan dan orang Minangkabau. "
=================================
Baru-baru ini saya menonton sebuah rancangan masakan di TV yang dihoskan oleh seorang cef selebriti terkenal yang bergelar Dato’. Rancangan itu dirakamkan di sebuah perkampungan orang Negeri Sembilan di Negeri Johor.
Untuk makluman, berlaku penghijrahan sekumpulan orang Negeri Sembilan ke Negeri Johor lebih satu abad yang lalu. Ironisnya, mereka masih mengamalkan adat istiadat Negeri Sembilan dan masih bercakap dialek Negeri Sembilan yang sama seperti yang diucapkan oleh saudara mereka di Negeri Sembilan sehingga ke hari ini. Mereka bangga mengaku orang Negeri Sembilan.
Apabila Cef selebriti itu mensabitkan penduduk kampong itu sebagai ‘Orang Minangkabau’, peserta dari kalangan penduduk kampong yang terlibat dalam rancangan masakan itu kelihatan tercengang dan tidak menunjukkan tindak balas mengiakannya.
Kenapa insiden tersebut berlaku?
Orang Negeri Sembilan di mana sahaja di atas muka bumi ini pada umumnya tidak menganggap kelompok mereka sebagai kelompok Orang Minangkabau. “ Orang Negeri Sembilan bukan Orang Minangkabau,” itulah kepercayaan Orang Negeri Sembilan.
Keturunan Orang Jawa dari Pulau Jawa samada di Tangjung Karang, Batu Pahat atau di mana sahaja tiada masalah untuk mengaku 'keJawaan' mereka. Begitu juga keturunan Orang Mandailing, Kerinci, Jambi, Rawa atau Banjar. Bagaimanapun, tidak kepada keturunan Orang Minangkabau yang kini gah dikenali sebagai Orang Negeri Sembilan. Mereka tidak mengaku ' orang Minangkabau'.
Orang Minangkabau di Malaysia juga bersikap begitu. Mereka (Orang Minangkabau) tidak sama dengan Orang Negeri Sembilan.
Orang Negeri Sembilan mendefinasikan Orang Minangkabau selain dari kelompok mereka yang dikandung dalam sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan sebagai ‘ Orang Minangkabau Asli (Orang Minangkabau ‘Pure’). Orang Minangkabau Asli (Minangkabau pure) tidak termasuk dalam sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan. Masyarakat Negeri Sembilan generasi terdahulu di kampung-kampung tradisional agak tertutup minda mereka dan selektif dalam memilih bakal menantu khususnya menantu lelaki. Secara umumnya mereka tidak berapa bersedia bermenantukan lelaki ' Bukan Melayu'. Lelaki 'Bukan Melayu' yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah lelaki berketurunan Indonesia termasuk keturunan Minangkabau Asli. Pernah berlaku di kampung saya ibu bapa seorang gadis menolak pinangan pihak lelaki dari satu-satunya keluarga keturunan Minangkabau Asli di kampung kami di atas faktor keluarga itu bukan keturunan ' Melayu'.
Catatan ini tidak menafikan sejarah asal usul keturunan Orang Negeri Sembilan. Catatan ini adalah mengenai realiti yang berlaku di kalangan masyarakat Negeri Sembilan dalam menanggap ‘susuk’ mereka.
Namun, perlu difahami bahawa keturunan Orang Negeri Sembilan tidak boleh ditakrifkan dengan mudah yaani ‘ sebiji ’ (100%) dari keturunan Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia. Mereka adalah dari keturunan campuran pendatang Minangkabau dan penduduk asal. Disebabkan larangan berkahwin sesama suku,kecerakinan keturunan antara dua golongan itu merebak di kalangan masyarakat Negeri Sembilan.
Begitulah juga dengan sistem Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan. Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan bukan ‘foto copy’ sistem Adat Perpatih Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia.
Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan wujud di atas ‘peleburan’ Sistem Adat Perpatih Minangkabau, Sistem Adat Benar (penduduk tempatan) dan Adat Siak. Sistem Adat Perpatih Minangkabau ada persamaan dengan Adat Benar penduduk asal Negeri Sembilan dari segi menasabkan keturunan melalui nasab ibu. Ketiga-tiga elemen adat tersebut lebur dan menghasilkan Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan.
Justeru itu, mungkin di atas ‘nas-nas’ yang dinyatakan seperti di atas dan perjalanan masa yang telah melebih 5 abad dari tempoh kedatangan awal orang Minangkabau ke Negeri Sembilan, masyarakat Negeri Sembilan sejak dekad-dekad kebelakangan tidak selesa ‘dikulluhumkan ' sebagai Orang Minangkabau secara sebarangan. Dalam kata lain, orang Negeri Sembilan sangat sukar mengaku bahawa mereka adalah Orang Minangkabau atau berketurunan Minangkabau.
Sehubungan ini, ‘kejahilan’ Cef Selebriti terkenal itu mengenai 'keMinangkabauan' Orang Negeri Sembilan bukanlah kes terpencil.
Berdekad-dekad sebelum ini, penonton filem klasik Melayu ' Tunang Pak Dukun ' mungkin ada yang tertipu dengan sisi sebenar Orang Negeri Sembilan yang disamakan dengan Orang Minangkabau seperti yang dipertontonkan melalui lagu 'Pulang Merantau' dalam filem tersebut. Paparan yang mengiringi dendangan lagu itu menunjukkan muda-mudi balik ke kampung mereka di Negeri Sembilan dengan menaiki bas.
Sangat jelas bahawa lontaran senikata lagu ' Pulang Merantau' dalam filem Tunang Pak Dukun adalah bukan dalam dialek Negeri Sembilan. Tiada satu tempat pun dalam Negeri Sembilan di mana penduduknya menggunakan dialek seperti dalam lagu tersebut.
Sesungguhnya, kejahilan mengenai sisi ‘Minangkabaunya’ masyarakat Negeri Sembilan telah lama berlaku dan berakar umbi. Hatta, ianya berlaku sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan. Senario ini mungkin berlaku kerana uniknya sejarah Negeri Sembilan itu dan sukar dihadam susur galur jalan ceritanya.
Hakikatnya, orang Negeri Sembilan selesa dengan status 'Orang Negeri Sembilan' mereka. Mereka seperti tidak perlu bergantung kepada 'keMinangkabauan' nenek moyang.
Setahu saya, Orang Minangkabau Asli di Malaysia juga tidak menganggap Orang Negeri Sembilan sebagai Orang Minangkabau.
Kebenaran 'keMinangkabauan' orang Negeri Sembilan cuma berlegar di kalangan mereka yang bergelumang dalam sistem adat, golongan terpelajar dan yang rajin membaca sahaja. Pada umumnya, kebanyakkan masyarakat biasa tidak menyedari atau tidak perasan sisi 'keMinangkabauan' mereka.
Namun, tiada sesiapa yang dapat memadamkan sejarah dan kebenaran.
APO NAK DI KATO - lagu evergreen, patah-patah sebutan dalam dialek asli Negeri Sembilan. Penyanyi (Ito) bukan anak jati Negeri Sembilan. Beliau anak Melaka (Alor Gajah) yang bersempadan dengan Negeri Sembilan yang penduduknya bertutur dalam dialek Negeri Sembilan.
JUMPO KAWAN LAMO
NYOMONDO (penyanyi hebat berbakat ini tidak diketahui nama beliau)
Sebelum terjerumus dan diaibkan sehingga terjerumus ke Liga Perdana bolasepak Malaysia, Negeri Sembilan adalah kuasa bolasepak tanah air. Jang perlu bangkit jangan tidur lama sangat!!
YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad bin Hassan - contoh pengucap dialek Negeri Sembilan sebenar yang tiada tolok bandingnya. Sekalipun beliau berucap secara rasmi dalam Bahasa Malaysia standard, '
telur ' dialek Negeri Sembilan masih melekat pada patah-patah sebutan
yang diucapkan.
Saya secara sengaja tidak menyelitkan lagu popular Apo Kono E Jang yang dikaitkan sebagai lagu dialek Negeri Sembilan kerana saya berpendapat bahawa patah-patah lontaran sebutan lirik melalui lagu tersebut tidak menepati sebutan dialek Negeri Sembilan sebenar.
Saya berpendapat bahawa sebutan lirik dalam lagu Apo Kono E Jang dipengaruhi oleh elemen dialek Minang atau Rawa. Perlu diketahui bahawa secara halusnya dialek Negeri Sembilan tidak sama dengan dialek Minang atau lain-lain etnik yang berasal di Sumatera Barat. Dialek Negeri Sembilan adalah asimilasi dialek Minang dengan dialek penduduk tempatan Negeri Sembilan. Dialek Negeri Sembilan terhasil apabila Dialek Minang dan Dialek Tempatan lebur dalam adunan yang tidak dapat diasingkan identiti asal-usul .
Negeri Sembilan memiliki sumber unik yang menjadikan negeri ini ada kelainan - Institusi Yang Di-pertuan (Sultan/Raja), Institusi Adat Perpatih yang termasuk Institusi Undang Luak, Suku dan sebagainya, Institusi Dialek Negeri Sembilan, Kelainan Masakan ( masak lomak cili api), Institusi Seni, Amalan 'Mogang' yang semakin dilupakan dan sikap kenegerian orang Negeri Sembilan yang kadang-kadang merimaskan orang negeri lain.
Antara Ketua Adat (dari kiri - YM Dato' Ungkai Majid, YM Dato' Paduka Maharaja Hj.Mahat Md.Noh, tidak diketahui nama, Professor Norhalim bin Hj.Ibrahim (Allahyarham) -Lokasi: Kg.Chengkau Ulu,N.Sembilan
Walaupun sistem Adat Perpatih menyediakan sedikit ruang kepada anak adat (keturunan) suku tertentu berkahwin sesama suku, pada prinsipnya sistem adat yang dianuti oleh masyarakat Negeri Sembilan itu tidak membenarkan perkahwinan di kalangan sesama anak suku - “Sama Suku Tidak Boleh Berkahwin”. Contoh, lelaki dari Suku Tiga Nenek tidak boleh berkahwin dengan wanita dari Suku Tiga Nenek.
Perkahwinan yang dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih adalah di kalangan pasangan yang berlainan suku atau lain suku.
Masyarakat Adat Perpatih menganggap mereka di kalangan suku yang sama umpama adik-beradik. Ini adalah kerana anggota sesuatu suku itu berasal daripada seorang nenek moyang (nasab dalam adat perpatih mengikut nasab ibu) yang mulanya membentuk keluarga, kemudian rumpun, perut dan apabila keturunan berkembang melalui perjalanan masa mewujudkan suku.
Masyarakat Adat Perpatih mempunyai rasional mereka sendiri mengenai larangan berkahwin sesama suku. Antaranya; Larangan berkahwin sesama suku memperkasa institusi kekeluargaan kerana setiap anggotanya yang mengetahui ikatan kekeluargaan tentunya mengambil tahu dan menjadi pelindung kepada masyarakat sukunya.
Sementara itu, golongan lelaki pada setiap masa memandang dan mengganggap anggota perempuan yang sesuku dengan mereka samada sebagai ibu, kakak, adik atau anak yang wajib dihormati, dijaga, dilindungi dan disayangi.
Mungkin di atas faktor inilah menyebabkan tiadanya kejadian sumbang di kalangan jiran sekampung dalam masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Catatan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan pembaca mengenai hukuman yang ditetapkan Adat Perpatih terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku.
Perkahwinan sesama suku terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama diklasifikasikan sebagai perkahwinan ’Sumbang Sewaris’. Yang kedua, ‘Sumbang Sekadim’.
Hukuman yang dikenakan terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku dinamakan ‘ Hukum Kahar ‘.
Masyarakat Adat Perpatih memandang pelaku kahwin sesama suku ibarat haiwan dan tidak layak wujud dalam masyarakat. Pelaku dan pasangan akan dipulaukan dan disisihkan daripada segenap sudut kehidupan seharian masyarakat.
(a)Sumbang Sewaris
Definasi:
Sumbang sewaris adalah berkahwin sesama suku.
Hukuman:
Pasangan dihalau oleh ahli-ahli sukunya, tidak dibenarkan duduk di dalam sukunya dan juga tidak diterima oleh suku-suku lain di wilayah atau luak (daerah) berkenaan. Digambarkan bahawa betapa jijiknya pasangan itu di mata masyarakat adat sehingga bekas tempat duduk mereka akan dibasuh.
Lelaki yang melakukan kesalahan hilang hak memegang jawatan ( menjunjung saka) yang terdapat dalam sistem Adat Perpatih. Seandainya pelaku itu memegang jawatan semasa melakukan kesalahan, jawatannya akan dilucutkan dengan serta merta.
Pelaku kesalahan perempuan akan kehilangan hak ke atas segala harta pusaka suku.
Pasangan terlibat diperbilangkan sebagai, “Laksana buah beluluk, Tercampak ke laut tidak dimakan ikan, Tercampak ke darat tidak dimakan ayam.
Cantiknya sistem Adat Perpatih adalah kerana walaupun tegas tetapi masih ada jalan pulang kepada pesalah adat yang ‘ingin pulang ke pangkuan adat’. Bagaimanapun, pelaku kesalahan adat perlu melalui dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan terlebih dahulu. Dikatakan bahawa syarat asas pengampunan pesalah adat tidak seragam antara luak (daerah).
Ada luak yang mensyaratkan pesalah adat yang kematian pasangan atau bercerai sahaja boleh diampunkan. Sebaliknya, ada juga daerah yang tidak mensyaratkan peraturan sedemikian berat.
Penerimaan sistem adat/masyarakat terhadap pelaku kesalahan adat yang ingin kembali ke pangkuan adat bergantung kepada keizinan anggota kelompok kekerabatan dan direstui oleh Ketua-Ketua adat. Setelah ada persetujuan yang terhasil dari majlis berkampung dan bermuafakat, pelaku kesalahan adat perlu melakukan syarat-syarat yang ditetapkan dalam majlis yang diawasi oleh Datuk Lembaga (Ketua Suku) suku berkenaan. Syarat-syarat yang perlu dilaksanakan ialah:
Menyediakan 50 gantang beras, wang tunai RM14.00 dan mengadakan seekor kerbau atau lembu untuk majlis kenduri.
Menjemput Ketua-Ketua Adat dengan penuh istiadat ke majlis kenduri.
Pelaku kesalahan adat (berkahwin sesama suku) mengisytiharkan kesalahan yang telah dilakukan dan membayangkan keinginan untuk kembali ke pangkuan suku serta bergabung semula dalam ikatan keluarga seperti mana dahulu.
Selepas mengakui kesalahan dan meminta maaf kepada orang ramai, pelaku kesalahan adat ‘ menyembah’ semua anggota suku yang hadir untuk meminta maaf. Majlis kenduri tersebut adalah gelanggang bagi menghebahkan kepada masyarakat sesuku dan seluak bahawa pasangan pelaku kesalahan adat telah kembali ke pangkal jalan ( surut ke pangkal jalan), serta mengakui di samping menebus kesalahan (nya/mereka). Majlis itu adalah satu cara memohon maaf secara terbuka.
Pelaku kesalahan adat yang telah ‘diampunkan’, dibenarkan balik ke tempat asal dan diberi kedudukkan seperti sebelum berlakunya kesilapan setelah istiadat dilakukan dengan jayanya.
(b)Sumbang Sekadim
Definasi:
Sumbang Sekadim adalah melakukan perkahwinan di kalangan sama suku dengan ‘ahli seperut ‘. Ahli seperut bermaksud lebih kurang, “Ikatan kekeluargaan di kalangan ahli suku yang sama pada kedudukkan selepas keluarga kandung.”Dalam masyarakat Negeri Sembilan, ahli seperut kebiasaannya ialah jiran di sebelah rumah danlokasi tanah/dusun/sawah pusaka di kalangan ahli seperut kebiasaannya bersebelahan atau berhampiran.
Sama sesuku di kalangan masyarakat adat boleh berlaku kepada masyarakat adat yang berlainan kampong. Bagaimanapun, sama ' seperut' cuma berlaku di kalangan masyarakat adat sekampung sahaja..
Hukuman Kerana Sumbang Sekadim:
Kesalahan kerana berkahwin sesuku di bawah kategori 'Sumbang Sekadim' adalah kesalahan besar dalam sistem Adat Perpatih. Ini boleh difahami dengan mudah kerana ikatan kekeluargaan mengikut struktur Adat Perpatih seperti yang diterangkan pada perenggan di atas. Hukumannya ialah:
Segala harta benda pasangan dirampas.
Diceritakan bahawa pernah berlaku di zaman dahulu mengenai satu pasangan yang melakukan kesalahan kategori ini dikenakan hukuman bunuh. Mereka ditangkap, dimasukkan ke dalam bakul dan dibenamkan ke dalam sungai. Kubur mereka dikenali sebagai Jerat Sumbang.
Ungkapan di kalangan masyarakat Adat Perpatih kepada mereka yang melakukan Sumbang Sekadim ialah: Hidup tidak terpelihara, Mati Tak Ditanam, Harta Diambil, Tuan dibunuh.
Terdapat juga perbilangan yang berbunyi, “ Ke laut tumpah karam, Ke darat sial terbakar”.
ULASAN:
Kejadian berkahwin sama sesuku jarang berlaku. Sepanjang hidup saya yang kini melebihi 50 tahun, belum ada lagi berlaku perkahwinan sama suku di kampong saya di Rembau, Negeri Sembilan. (Perkahwinan sama suku tetapi berlainan sub-suku di kalangan Suku Biduanda Lela Maharaja dengan Suku Biduanda Sedia Raja seperti yang saya kisahkan dalam catatan terdahulu ‘Kahwin Sama Suku ‘dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih).
Secara umumnya, masyarakat adat di Rembau adalah masyarakat yang masih kuat berpegang kepada Adat Perpatih berbanding masyarakat adat di daerah (luak) lain. Namun demikian, ada amalan dan anjuran dalam sistem Adat Perpatih telah diabaikan kerana sikap ketidakpedulian dan kejahilan pengikutnya. Sebagai contoh, ikatan kekeluargaan ‘ahli seperut’ hampir menemui ‘jalan mati’. Kebanyakkan generasi hari ini dan termasuk juga generasi saya (50-an) tidak lagi mengenali dan ambil-peduli ‘ahli seperut’ sendiri walaupun sekampung.
Ironinya, dalam keresahan institusi Adat Perpatih kerana terhakisnya sesetengah amalan-amalan yang menunjangi kelangsungan adat tersebut, masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan masih akur kepada larangan berkahwin sesuku. Hakikatnya, hampir tidak berlaku perkahwinan sesama suku di kalangan masyarakat Adat Perpatih Negeri Sembilan sehingga ke hari ini.
Kes sepasang pelaku kesalahan ‘Sumbang Sekadim’ dihukum bunuh dengan cara memasukkan pasangan malang itu ke dalam bakul dan membenamkan mereka di dalam air sehingga mati tidak boleh diterima oleh masyarakat hari ini. Bagaimanapun, perbuatan kejam zaman itu bolehlah dikiaskan dengan kesetiaan membabi buta Hang Tuah sehingga sanggup membunuh sahabatnya Hang Jebat yang ingin membela ketiadak-adilan Sultan. Kalaulah hukuman adat tersebut masih wujud lagi sehingga ke hari ini, sudah pasti pelaksanaanya tidak dibenarkan oleh undang-undang negara.
SUMBER : “ Kahwin sesuku dan berkadim dalam Adat Perpatih oleh NORHALIM HJ. IBRAHIM ” dan sumber-sumber lain.