Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan

Sabtu, 13 September 2014

CUCU


Jiran saya tersenyum sampai ke telinga apabila isteri anak tunggalnya akhirnya dianugerahkan seorang bayi perempuan setelah menunggu beberapa tahun . Setiap petang beliau dilihat mendukung cucu kesayangannya di sekitar kawasan perumahan kami. 

Sungguhpun ada yang mengatakan bahawa sayang kepada cucu melebihi sayang kepada anak sendiri, umumnya dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa kedudukkan cucu dalam apa keadaan sekalipun adalah dalam kalangan ahli keluarga yang paling disayangi. Kasih dan sayang tersebut lebih terserlah apabila datuk dan nenek duduk serumah dengan keluarga anak sendiri di rumah pusaka di kampung-kampung tradisional. 

 Dalam masyarakat konservatif Melayu terdahulu, ' kekuasaan ' seorang datuk atau nenek kepada cucu-cucu mereka adalah setara dengan kekuasaan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut. Ini membawa maksud bahawa datuk dan nenek bebas melakukan apa sahaja kepada cucu-cucu mereka - memberi kasih sayang, menyuruh dan menghukum dengan cara sekehendak hati.

Mungkin melalui kuasa mandatori dan asuhan seorang datuk dan nenek sedemikian rupa telah menyebabkan tertanamnya perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam di pihak cucu kepada datuk dan nenek mereka. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila cucu-cucu kepada datuk dan nenek generasi terdahulu masih mengingati dan mendoakan arwah datuk dan nenek mereka hingga ke hari ini.

Masih adakah lagi ' kekuasaan ' itu kepada golongan datuk dan nenek hari ini? Soalan ini ditimbulkan kerana adanya dakwaan bahawa lesen ' kekuasaan' seorang datuk atau nenek kepada cucu-cucu mereka telah 'dilucutkan'. 

Salah satu di antara sebabnya (terlucutnya ' kekuasaan ') ialah kerana kuasa anak atau menantu yang lebih dominan sehingga mereka takut-takut untuk menumpahkan kasih sayang sekehendak hati atau menegur kesalahan cucu sebebas-bebasnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa berlakunya ' kerenggangan ' perhubungan datuk/nenek - cucu hari ini sehingga datuk/nenek moden hilang ' kekuasaan ' dan perhubungan dengan cucu juga tidak ada ' chemistry ' sepertimana generasi terdahulu sememangnya tidak dapat dielakkan. Persekitaran kehidupan, status dan anjakan sosio masyarakat hari ini sangat jauh berbeza dengan generasi terdahulu. 
  
Namun demikian, sehebat mana pun anjakan cara hidup, struktur hubungan kekeluargaan termasuk mengingati dan mendoakan ahli keluarga yang telah meninggal dunia tidak akan diabaikan oleh keturunan yang masih hidup selagi ahli sesebuah keluarga itu mendapat didikan agama yang baik.

Selasa, 28 Januari 2014

INSAN MULIA

Saya mengasak minda, " Pernahkah saya menyantuni seseorang dengan menjadi penunjuk jalan lebih satu kilometer di bandar yang dikatakan penduduknya tidak ambil peduli hal orang lain?" 

Saya keletihan mencari sebuah dewan di Kelana Jaya, Selangor di mana berlangsungnya majlis perkahwinan anak kepada sepupu arwah ibu saya.  Akhirnya saya bertanya kepada seorang pekerja stesen minyak PETRONAS. Dia juga tidak tahu.

Secara kebetulan, pertanyaan saya didengar oleh seorang lelaki Melayu, 40-an, yang sedang mengisi minyak motorsikalnya. Dia memberitahu bahawa dia juga tidak pasti dewan yang saya maksudkan tetapi berat hatinya menyatakan bahawa dewan yang diketahuinya mungkin dewan yang dicari. Dia menawarkan saya pertolongan.

Saya mengikutnya dan akhirnya sampai ke lokasi yang dimaksudkan. Betul, itulah dewannya.

Seingat saya, belum pernah lagi saya menunjuk arah jalan kepada seseorang sebegitu bersungguh-sungguh @ sedaya upaya. Terima kasih banyak kepada Insan Mulia yang saya tidak sempat bertanya nama beliau. Terima kasih. Terima Kasih. Terima kasih.   

Khamis, 23 Januari 2014

MENSYUKURI NIKMAT

En. Xxxxxx, staf Gred 44, ialah salah seorang sahabat minum pagi saya. Beliau celik IT. Beliau juga seorang qari. Anak-anak beliau  telah berkahwin. Isterinya berkerjaya. Dengan kedudukkan sedemikian tentulah kedudukkan ekonomi beliau kukuh.

Beliau seorang yang boleh dibuat kawan. Beliau tidak kedekut belanja kawan-kawan. Beliau juga tidak kedekut ilmu. Beliau yang aktif di dalam kerja-kerja sukarela juga tiada masalah membantu orang lain.

Bagaimanapun, beliau ada sedikit ' kekurangan'. Beliau terlalu 'loyal' kepada telefon bimbit model lama Nokia yang ketinggalan zaman dari segi teknologinya. Beliau yang celik IT sepatutnya telah lama memiliki sebuah telefon bimbit model terkini bersesuaian dengan kemampuan kewangan dan minatnya yang sangat mendalam dalam dunia IT. Beliau masih membiarkan dirinya dikongkong oleh 'desktop' dan 'laptop' dalam meraikan dunia tanpa sempadan atau dunia di hujung jari.

Inilah yang menghairankan saya.

Saya selalu mengusik beliau dengan ungkapan 'tidak mensyukuri nikmat'. Secara bergurau juga saya menyamakan beliau dengan Kerajaan Negeri Selangor. Walaupun Negeri Selangor kaya raya dan mempunyai simpanan wang/aset yang banyak tetapi 'kedekut' berbelanja. Di dalam kedudukkan negeri kaya raya, jalan-jalan di seluruh Negeri Selangor banyak yang berlubang-lubang.

Beliau sangat asyik dan sayang dengan telefon bimbit Nokia lamanya. Beliau mendakwa telefon bimbit antik miliknya itu walaupun tiada kemudahan kamera, email/gmail, WhatsApp dan capaian internet, tetapi masih berfungsi dengan baik.

Dan, apabila Kerajaan Negeri Selangor mula menurap semua jalan-jalan di seluruh negeri, saya bergurau, " Pimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang 'kedekut' pun sudah insaf dan mula mensyukuri nikmat, tuan pula bila lagi?"

Dia tersengeh. Tidak ada tanda-tanda beliau akan menukar telefon bimbit baharu. Namun, beliau kelihatan bahagia , tiada masalah dan tidak ada rasa rendah diri memiliki sebuah telefon bimbit yang tidak digunakan lagi oleh warga kota.

Namun, andainya suatu hari hati beliau terbuka hati untuk memiliki sebuah telefon pintar, saya percaya beliau akan menyesal yang amat sangat. Beliau yang berasal dari Negeri Sembilan mungkin akan berkata, " Apo lah bodohnyo Den selamo ini." . Kes beliau boleh disamakan dengan pengantin baharu bujang terlajak yang tidak habis-habis menyesali diri kerana lambat berkahwin apabila mengalami betapa seronoknya alam perkahwinan itu.   

Selasa, 31 Disember 2013

MINTA SEDEKAH SALAH, BERSEDEKAH PUN SALAH

" SAYA PUN HENDAK MASUK SYURGA "
Malam minggu lepas setelah usai solat Maghrib saya membeli satay di pasar malam berhampiran kawasan perumahan saya. Ada beberapa orang peminta sedekah yang pada takwilan saya bukan di kalangan warga Malaysia 'menunggu pelanggan' di beberapa lokasi strategik di sekitar pasar malam itu. Mereka; lelaki, perempuan dan tua-muda, mungkin orang Rohingya (Myanmar Islam).

Al-kisah, berhampiran tempat penjual satay berniaga ada seorang peminta sedekah remaja bertongkat. Dia seperti rakan-rakan yang sama profession dengannya tentulah mengharapkan belas kasihan dari pengunjung pasar malam.   

Saya dengan jujurnya mengaku bahawa tidak terlintas langsung hendak menghulurkan sedekah RM1 atau RM2 kepada peminta sedekah itu. Saya mungkin di antara sebilangan ahli masyarakt yang sangat taksub dengan tanggapan-tanggapan negatif seperti mereka (peminta sedekah) bukan peminta sedekah ' genuine', mereka adalah ahli sindiket, mereka pemalas, mereka penipu dan berbagai-bagai prasangka lagi.

Tiba-tiba kawasan sekitar didatangi oleh dua orang yang mengaku dari pertubuhan NGO membawa tabung untuk kutipan bantuan kepada saudara seagama kita di Palestin. Sekonyong-konyong peminta sedekah itu mengambil semua wang di dalam mangkuk cari makannya yang isinya tidak lebih dari RM3 dan memasukkan kesemuanya ke dalam tabung bantuan Palestin. Saya tidak sempat mengambil gambar momen luar biasa itu. Saya cuma merakamkan gambar peminta sedekah itu selepas beberapa ketika. 

Ini berita. Seorang peminta sedekah, bersedekah semua wang yang dia ada kepada saudara seagamanya di Palestin! Sanggupkah kita bersedekah semua yang kita ada? 

Saya memberi peminta sedekah itu RM3. Saya mengganti jumlah wang yang disedekahkannya. Dia sempat berkata dengan ceria, " Pak Cik ambil gambar saya ya."

Pengkisahan ini saya kisahkan kepada sebilangan kawan-kawan ketika sarapan pagi di warung belakang pejabat. Tiada seorang pun yang terkasima dengan gelagat peminta sedekah remaja yang 'baik hati' itu. Sebaliknya, mereka memandang serong dengan berbagai tuduhan. Malah ada seorang yang berpendapat bahawa tujuan peminta sedekah itu bersedekah adalah kerana hendak 'memancing' orang lain agar bersedekah kepadanya. Congak jahatnya, " Dia bersedekah cuma RM3, kalau ada 10 orang yang melihatnya memberi dia RM1 setiap seorang dia akan dapat RM10, untung RM7." 

Mungkin saya berkisah di tempat dan makhluk yang salah. Minta sedekah salah, bersedekah pun salah! 

Jumaat, 20 Disember 2013

WARUNG DI TEPI JALAN

Walaupun ada kemudahan kantin yang luas, hiasan dalaman yang cantik, bersih, moden dan dilengkapkan dengan alat penghawa dingin, makanan sedap pada harga berpatutan, masih ramai di kalangan staf di tempat saya bertugas ( termasuk saya) mengunjungi warung-warung usang, kotor dan berdebu di belakang pejabat.

Warung-warung tepi jalan di belakang pejabat itu juga menjadi pilihan kakitangan pejabat-pejabat sekitar dan juga pelanggan yang tidak diketahui asal usul mereka.

“Apakah yang pelanggan mahukan sebenarnya”?

Tiada alasan yang spesifik mengenai amalan lebih selesa bersantai di warung-warung tepi jalan berbanding di kantin-kantin yang cantik dan bersih. Situasi ini adalah di antara persoalan yang tiada jawapan yang seragam. 

Jumaat, 11 Oktober 2013

PENJUAL UBAT

Selain dari pegawai dan kakitangan agensi tempat saya bertugas, ada seorang 'orang luar' yang turut datang ' bertugas' pada setiap hari bekerja. Pada hari Khamis dia seperti pegawai yang lain akan memakai baju batik.

Dia adalah bekas pegawai di agensi tempat saya bertugas. Dia telah bersara lebih kurang sepuluh tahun yang lalu. Ini bermaana, dia yang berasal dari negeri paling utara, Perlis, berusia di lingkungan 65 tahun.

Sekalipun di usia 65 tahun, dia tidak kelihatan seperti kebanyakkan orang di usia itu. Dia kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenarnya. Dia sehat dan tidak ada penyakit kronik, sentiasa berpakaian kemas, tenang, peramah, merendah diri, ceria.....Dia disenangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya dan pernah berkomunikasi dengannya.

Dia adalah penjual ubat tradisional . Ubat-ubat yang dipesan oleh pelanggan tetapnya dan juga lain-lain ubat yang hendak dijual dimuatkan dalam beg sandang yang tidak pernah berpisah dengannya.

Dia berniaga ala koboi - ambil ubat dahulu dan bayar kemudian. Kalau tidak bayar pun dia tidak akan menghambat. Dia pernah memberitahu saya bahawa apalah yang hendak dihairankan kerana sedangkan Kamal (India Muslim) yang menjual kitab agama di merata pejabat pun ada yang tidak bayar hutang, inikan pula penjual ubat sepertinya.
 
Saya pernah bertanya mengenai amalan seharian dan kaedah pemakanan yang membuatkan dia sentiasa bertenaga. Dia berlawak, " Penjual ubat tentulah sehat. Kalau jalan pun menggunakan tongkat siapa yang hendak beli ubat kita."

Dia banyak 'beriadah' secara berjalan kaki. Dia menggunakan perkhidmatan awam ketika datang ke ' mantan pejabatnya' @ pejabat kami. Dia juga mengamalkan makan buah tamar pada setiap hari. Dia tidak minum teh tarik atau nescafe ketika sama-sama lepak dengan kakitangan lain di warung-warung belakang pejabat pada waktu petang selepas waktu pejabat. Dia sangat menjaga dan teliti dalam memilih makanan. " Itulah rahsianya," dia memberitahu.

Tiada sesiapa pun di kalangan kami mengesyakki dia menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa menjual ubat. Dia adalah mantan pengarah di salah sebuah jabatan di bawah agensi tempat saya bertugas. Semua anak-anaknya ' menjadi orang '.Dia boleh hidup selesa tanpa menjaja ubat.

' Beliaulah' penjual ubat yang kasihnya kepada tempat dia membina kerjaya dan kehidupan suatu ketika dahulu tidak pernah padam. Benar, dia insan unik!

 



Isnin, 15 Julai 2013

SI RAMADHAN PART TWO : SUATU RENUNGAN

Si Ramadhan (ujang kutik: SI RAMADHAN) dimandikan. Si Ramadhan agak kurus, unsur tulang dirasakan melebihi unsur daging apabila tubuh Si Ramadhan disabunkan. Kebanyakkan kucing akan terkinja-kinja apabila dimandikan walaupun dengan air suam. Sebaliknya, dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, Si Ramadhan tidak menunjukkan sebarang reaksi. Si Ramadhan membenarkan dirinya diperlakukan apa sahaja - bulunya digosok-gosok, bahagian empat kakinya dibersihkan, kelopak matanya yang bertahi dilap dan ruangan bahagian dalam kedua-dua telinganya juga dibersihkan. 

Kotornya tubuh Si Ramadhan menyebabkan air sabun yang puteh bersih bertukar kepada warna kehitam-hitaman.  

Mengikut hukum akal, segala permasalahan Si Ramadhan sebelum ini, antaranya; Hidup 'melata' ke hulu ke hilir sebatang karah tanpa tujuan dan dalam keadaan lapar dan dahaga serta berhujan dan berpanas telah berakhir. Insya Allah.

Pada umumnya, latar kehidupan makhluk yang bernyawa adalah sejagat - lapar, dahaga, sakit, senang, susah. Haiwan-haiwan yang amat dekat dengan manusia seperti kucing, anjing, arnab juga tidak terkecuali dari mengalami 'hukum tabii' tersebut.

Maka, lebih-lebih lagilah makhluk yang bernama manusia.

Di luar kerling kehidupan segolongan kita yang bernasib baik, ada segolongan manusia lagi yang rutin kehidupan mereka adalah seperti yang telah dialami oleh Si Ramadhan - lapar, dahaga, sakit tanpa rawatan sepatutnya, hidup gelandangan. 

Lebih dari itu, kesukaran hidup manusia lebih kompleks sifatnya; Ada golongan yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, tidak mempunyai tempat kediaman yang sewajarnya, tidak mampu mendapat pendidikkan kerana miskin, pelarian politik yang tidak bernegara. Kehidupan mereka susah. Malah, ada yang sangat-sangat susah.

Namun, acapkali golongan itu diabaikan samada terlepas pandang, golongan yang bernasib baik tidak ambil peduli, tanggapan negatif terhadap sesuatu ras masyarakat Islam dan juga sebab-sebab lain.
 
Pengabaian golongan itu juga disebabkan masyarakat Islam hari ini dilanda sindrom ' confused ' yang kronik. Banyak manusia yang baik dan berkemampuan untuk berbuat baik sangat susah hendak berbuat baik kerana ' confused ' dalam menyaring golongan masyarakat yang betul-betul memerlukan bantuan dengan golongan ' putar alam' @ Si Penipu.

Sekali sekala perhatikanlah gelagat manusia membeli barang keperluan di kedai-kedai biasa yang tidak ada 'class' terutamanya ketika musim buka sesi persekolahan atau perayaan. Kita akan mendapati saudara-saudara kita yang hidup susah begitu berhati-hati memilih sesuatu keperluan. Jika memilih pakaian untuk Hari Raya kepada anak-anak, mereka akan memilih pakaian yang paling murah dan tidak dipandang langsung oleh anak-anak segolongan di kalangan kita yang hidup senang.

Sesungguhnya, janganlah benarkan diri kita 'dialahkan' oleh sindrom ' confused ' atau lain-lain sebab yang menghalang kita dari membantu golongan masyarakat Islam yang memerlukan bantuan. Banyak caranya kita boleh menyantuni mereka. Kasihanilah dan bantulah mereka!    

  

 


Ahad, 7 Julai 2013

Bukan ' Big Deal '

Mungkin di antara perkara yang menyeronokkan adalah mendapat 'barang percuma' dan ' barang terpijak '.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan melihat pegawai tinggi sesebuah agensi beratur dan berasak-asak dengan kakitangan bawahan cuma untuk mengambil bayaran (insentif) yang tidak seberapa kerana menghadiri mesyuarat koperasi pegawai/kakitangan.

Seorang pegawai tinggi agensi sanggup bertegang leher dengan urusetia pesta sukan jabatan kerana beliau tidak diberikan cenderahati kedatangan seperti yang diberi kepada semua staf lain di atas alasan berlaku kesilapan teknikal atau terlepas pandang. Barangan yang di'ributkan' itu mungkin cuma sebuah ' mug ' kecil sahaja.

Jumaah dari latar belakang status yang berbeza sanggup beratur-panjang (kalaupun tidak berebut) cuma untuk mendapatkan secawan teh tarik dan sepiring meehon goreng selepas selesai solat tarawikh di masjid.

ULASAN:

Gelagat yang tidak sepadan dengan kedudukkan seseorang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ianya adalah naluri semula jadi, bukannya kerana di atas unsur-unsur lain seperti tamak atau pentingkan diri.

Apabila ianya diadun dengan persekitaran yang mengujakan (seperti kemeriahan selepas selesai solat di surau/masjid atau hiruk pikuk dan gurau senda ketika beratur menunggu giliran), keterujaan 'mendapat barang percuma' atau 'mendapat barang terpijak' boleh memberikan keseronokkan yang teramat yang tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata.

Ianya bukan suatu kesalahan atau perkara yang mengaibkan seseorang! Ianya juga bukan satu ' Big Deal ' tetapi begitulah selalunya..............


Rabu, 3 Julai 2013

EGOISTE @ BENCIL @ MAKASARILI @ HUNANOL @ SJALVISK

1. Kereta di hadapan lambat sedikit bergerak setelah lampu hijau mula menyala. DIA membunyikan hon keretanya dengan kuat sambil mendengus, " Lembap!!!"

2. Pemandu beberapa buah kenderaan lain sabar menunggu giliran untuk memasuki simpang jalan, tanpa rasa bersalah DIA memotong 'Q' kenderaan-kenderaan tersebut.

3. Seorang pemandu wanita tua dari sisi jalan hendak memasuki jalan besar, DIA tidak memberi laluan walaupun berpeluang berbuat demikian.

4. DIA mengambil jalan mudah dengan meletakkan keretanya di belakang kereta lain tanpa memikirkan pemandu kenderaan tersebut akan menghadapi masalah besar apabila hendak keluar. 


Rabu, 19 Disember 2012

DARI JAM 7.00 HINGGA 10.00 MALAM (19/12/12)

Sebenarnya tidak ada perkara besar yang saya lakukan pada hari ini dari jam 7.00 hingga 10.00 malam. Kalau ada pun hanya perkara-perkara kecil yang mungkin remeh-temeh pada pendapat sesetengah orang:
 
Perkara Satu - Patutkah Saya Menolong?
 
Ketika mengikuti kuliah maghrib di masjid saya sengaja duduk di luar dewan solat kerana badan kurang selesa. Saya ternampak seekor kelkatu sedang meronta-ronta di atas lantai kerana digigit oleh 4 ekor semut kecil. Saya menolong kelkatu itu melepaskan diri dari menjadi habuan makanan sang semut. Kelkatu itu bernasib baik dan terbang bebas.
 
Renungan : Perlukah saya menolong kelkatu itu kerana dalam masa yang sama menafikan usaha dan kerja keras sang semut untuk mendapatkan makanan?  
 
Perkara Ke-2 - Ada Duit Tetapi Tidak Dapat Bersedekah 
 
Saya pergi ke masjid membawa satu keping wang RM50. Biasanya saya cuma membawa dua tiga keping wang RM1.00 sahaja untuk tabung masjid. Ketika tabung diedarkan saya tidak dapat memberi sumbangan kerana wang saya besar sangat.
 
 Kebetulan ketika solat sunat ba'diah Isyak, saya solat berhampiran peti besi masjid. Ketika berdoa saya terlihat seorang jumaah memasukkan sekeping nota RM50 ke dalam peti besi masjid. Saya mengagak dia orang kaya dan berkereta mewah ke masjid. 
 
Ketika bertembung di tempat letak kereta saya dapati keretanya diletakkan di sebelah kereta saya. Keretanya biasa-biasa sahaja.
 
Renungan : Lebih (banyak) wang tidak semestinya kita boleh bersedekah lebih dari orang yang kekurangan wang.
 
Perkara Ke-3 - Cina Singapura (dan etnik Cina Malaysia) Tidak Pandai Bermain Bolasepak Lagi?
 
Sesampai di rumah saya sempat menyaksikan perlawanan bolasepak merebut Piala AFF Suzuki 2012 di antara Singapura-Thailand di saluran Astro. Saya dapati tidak ada seorang pun pemain pasukan bolasepak Singapura dari etnik Cina. (Pasukan bolasepak Harimau Malaya pun tiada pemain dari kalangan etnik Cina).

Nota : Quah Kim Song ialah pemain Singapura yg digeruni/segani suatu ketika dahulu. Di Malaysia juga ramai termasuk menjadi 'The Legend' - antaranya; Chow Chee Keong, James Wong dan Datuk Soh Chin Aun.
 
Renungan : Orang etnik Cina samada di Singapura atau Malaysia tidak lagi minat bermain bolasepak?
  
  
 
 
 
 

Khamis, 31 Mei 2012

jangan!

Dalam disiplin mendidik anak-anak, pasangan moden dan liberal mengelak menggunakan kalimah ini, 'JANGAN'. Pakar motivasi pula menasabkan kalimah 'JANGAN' sebagai parasit. Dipiawaikan, sesiapa yang menjadikanya sebagai mantra dalam kehidupan seharian, biasanya dia atau mereka tidak boleh 'pergi jauh' dalam hidup. 

Namun demikian, sisi lain kalimah 'JANGAN ' juga boleh dijadikan pemangkin dan panduan untuk mencapai tahap kesempurnaan dalam apa sahaja urusan yang dilakukan. Sama-samalah kita peramati kata-kata bijak pandai mengenai kalimah 'JANGAN' seperti berikut :

Jangan berfikir ketika harus bertindak,
Jangan bertindak apabila kita perlu
mencari fakta terlebih dahulu,
Jangan membuat pilihan ketika kita perlu menganalisis,
Jangan menganalisis ketika kita perlu mengeluarkan pendapat,
Jangan 'melompat' ke hadapan ketika kita berfikir
dan membuat pertimbangan,
Jangan ragu-ragu ketika kita perlu 'melompat'.


              

Rabu, 30 Mei 2012

tua

Saya dan isteri hari ini menunaikan solat asar di sebuah masjid dalam kawasan perumahan di Shah Alam. Sebelum sampai ke kawasan masjid, kami terpaksa melalui beberapa sekatan pengawal keselamatan. Ini adalah fenomena di kawasan perumahan sekitar Lembah Klang sejak 2-3 tahun kebelakangan ini. Kawasan-kawasan perumahan di sekitar Lembah Klang tidak lagi selamat walaupun di siang hari.
Ketika di dalam masjid saya membuat ‘bancian’ terhadap jumaah lelaki yang hadir menunaikan solat Asar secara berjumaah - bilangan dan pola usia jumaah. Bilangan yang hadir berjumlah 22 orang. Usia: 17 orang berusia 45 tahun ke atas. Selebihnya ialah orang muda.
Bagaimanapun, ketika menulis catatan ini (di sebuah restoran Mamak), saya baru teringat bahawa seorang jumaah dewasa (orang tua) tidak saya kira. Apabila dikira semula, jumaah dewasa sepatutnya 18 orang dan orang muda, 5 orang. Ini menjadikan yang hadir menunaikan solat Asar di masjid itu sebanyak 23 orang.  
Jumaah dewasa (orang tua) yang tertinggal @ terlupa saya kira tersebut ialah saya, ujang kutik.
Benarlah, kebanyakkan di antara kita (khususnya saya), kadang-kadang terlupa diri sudah tua! Begitu juga tentang kematian; sebilangan kita (khususnya saya) saban hari mendengar kematian tetapi lupa bahawa kematian itu amat dekat dengan sesiapa sahaja, khususnya orang tua.  

Selasa, 29 Mei 2012

anak tangga cinta

Ikhsan Daripada Google
WALAUPUN manusia spesis ini tidak ramai, dia tetap ada di kalangan kita; dia mungkin di kalangan saudara mara, rakan sekerja,ketua pejabat, jiran atau sesiapa sahaja.
Natijahnya, orang di sekeliling tidak aman, tidak selesa dan merasa tidak selamat. Orang di sekeliling juga tidak mendapat sedikit pun manfaat daripada manusia spesis ini. 
Manusia ‘gila’ spesis ini dibenci. Kata-katanya kasar dan kesat, sentiasa mengintai-ngintai aib dan kelemahan orang lain untuk dihebahkan, bercakap besar, bangga diri, dengki,pendendam, memperlekehkan orang lain, menggunakan kuasa yang ada secara melampau dan berlebihan, opportunis, mementingkan diri sendiri, bakhil, terlalu sensitif, ego, kaki gaduh, kuat mengumpat, tidak bertimbang rasa…….
Lebih menyakitkan hati lagi manusia spesis ini tidak menghiraukan reaksi orang sekeliling. Tidak terkesan dengan nasihat atau teguran orang lain.
Secara tabiinya, manusia normal ingin dicintai,disayangi,disukai… Sebaliknya, manusia spesis ini cenderung kepada ajakan luar tabii.
“Saya tidak kisah orang tidak sukakan saya. Seorang tidak suka berjuta lagi orang di dalam dunia ini suka kepada saya. Saya lagi suka orang benci kepada saya. ”
Congaklah, masih adakah manusia normal menyukai manusia spesis ini? Di mana sahaja dia berada dia akan menambah koleksi musuh atau orang yang membencinya – di pejabat, di kawasan perumahan, di kalangan sanak saudara. Tanyalah kepada bekas-bekas teman di pejabat lamanya.Tanyalah kepada jiran-jiran di rumah lamanya dan juga rumah sekarang. Tanyalah kepada saudara maranya- malah, adik beradiknya.
Sesunggguhnya, senario terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan individu kronik seperti ini, termasuk juga melalui pengalaman yang diceritakan oleh orang lain, minda saya menjadi porak-poranda setelah membaca kisah benar cinta agung satu pasangan suami isteri di negara Cina yang ditulis oleh penulis yang berasal dari Jambi, Indonesia, Parlindungan Marpaung. Tulisan beliau bertajuk ‘Anak Tangga Cinta’, iaitu salah satu tajuk menarik dalam buku beliau,  ‘Hidup Ini Pilihan’.   
Parlindungan Marpaung mengesahkan kisah benar cinta agung seorang lelaki, Liu Goajing, dengan seorang janda miskin, Xu Chaoqin. Janda itu mempunyai beberapa orang anak. Bertambah kompleksnya denai cinta mereka apabila keluarga lelaki itu dan masyarakat sekeliling tidak merestui perhubungan tersebut.
Sehubungan ini, pasangan kekasih bersama-sama anak-anak janda itu pindah ke tempat lain. Pasangan itu berkahwin di luar kampung halaman mereka. Ketika itu, Liu Goajiang, 19 tahun, 10 tahun lebih muda dari usia isterinya, Xu Chaoqin.
Mereka akhirnya memilih sebuah gua yang terletak di tanah tinggi sebagai penempatan baru. Kehidupan di tempat baru yang begitu asing menyukarkan kehidupan keluarga itu. Mereka sekeluarga terpaksa menuruni tanah curam dan mendaki semula dalam melangsungkan kehidupan seharian. Namun demikian, mereka hidup bahagia.
Kecintaan Liu Goajing kepada isterinya tiada bandingannya. Menginsafi bahawa isterinya jauh lebih tua darinya, Liu Goajing membina anak tangga secara memahat batu-batan secara berperingkat di sepanjang laluan ke rumah mereka di dalam gua untuk memudahkan isterinya mendaki dan menuruni laluan yang curam.
Dalam tempoh lebih kurang 50 tahun, yaani ketika Liu Goajing berusia 72 tahun beliau telah berjaya membina sebanyak 6000 ‘anak tangga cinta’ untuk isterinya . Ironisnya, beliau jatuh sakit. Ketika memangku suaminya yang sedang tenat , Xu Chaoqin berkata, “Awak berjanji menjaga saya sehingga saya meninggal dunia. Bagaimana saya boleh hidup tanpa awak?”
Liu Goajing hanya tersenyum. Pada wajahnya tergambar perasaan cinta dan pengorbanan. Liu Goajing,72, meninggal dunia di pangkuan isteri yang amat disayanginya, Xu Chaoqin, 82. Di usia 72 dan 82 tahun, ghairah cinta pasangan itu tidak sedikit pun berkurangan!
Di penghujung tulisannya, Parlindungan Marpaung mengutarakan soalan dan renungan;
Soalan;
Ketika meninggalkan tempat kerja kita kerana bersara ataupun memulakan kerjaya di tempat lain, apakah ada ‘anak tangga cinta’ yang ditinggalkan yang dapat dijadikan tauladan? Ataupun, ketika kita berpindah rumah, apakah kita sempat mendirikan ‘anak tangga cinta’ di kalangan jiran-jiran yang kita tinggalkan?  
Renungan;
Parlindungan Marpaung memetik pendapat John C.Maxwell dalam mengupas perkataan “TRUST” bagi mewujudkan kepercayaan dalam mendirikan ‘anak tangga cinta’:
T          - Time (Masa): Beri masa yang berkualiti kepada orang lain.
R          - Respect (Hormat): Hormati orang lain walaupun kita mempunyai latar belakang yang berbeza.
U         - Unconditional Positive Regard (Rasa Hormat Positif Tanpa Syarat): Menghormati semua orang  yang kita temui kerana kita sedar, pada pandangan Tuhan semua orang itu tidak ada bezanya (ujang kutik - kecuali keimanan).
S          - Sensitivity (Kepekaan): Peka kepada keperluan orang lain. Keperluan juga bermakna lebih banyak mendengar kata-kata orang daripada bercakap dengan orang.
T          - Touch (Sentuhan): Memberi sokongan, berjabat tangan, memberi pelukan dan ciuman kepada orang lain.
Semoga pembaca mendapat manfaat daripada catatan ini. Khususnya, harumilah ghairah semerbak cinta yang tidak berkesudahan kepada pasangan anda, sekurang-kurangnya dan juga sekira-kira anda tidak menyesal kerana mengabaikannya, andainya pasangan anda meninggalkan anda dan dunia ini terlebih dahulu.   

Ahad, 27 Mei 2012

masalahnya, kita tidak berhati kering

Ketika membersihkan rumah kucing awal pagi tadi, seekor anak lipan sekecil lidi penyapu keluar dari celahan lantai. Pada awalnya, saya tidak menghiraukan anak lipan itu.
Biarlah anak lipan itu terus hidup. Selama ini pun tidak pernah lagi berlaku ahli keluarga saya atau jiran-jiran di taman perumahan saya disengat lipan.
Namun demikian, tiba-tiba fikiran bawah sedar saya dihasut. “Anak lipan itu akan menyengat kucing-kucing kesayangan kamu jika dibiarkan hidup dan membesar.”
Disebabkan sayang kepada kucing-kucing kesayangan melebihi kasihan saya kepada anak lipan malang itu, saya membunuh anak lipan itu.
Inilah realiti hidup. Kadang-kadang ada pihak yang tidak terlalu bersalah menjadi mangsa keadaan.
Hakikatnya, nuansa sayang dan kasihan kadang-kadang membuatkan kita membuat keputusan yang tidak adil. Kecualilah kita ‘berhati kering’ seperti negarawan Singapura yang telah berjaya membawa negara Singapura seperti yang kita lihat hari ini, Lee Kwan Yew. Lee Kwan Yew tidak pernah merasa bersalah mengamalkan ‘doktrin diktatornya’, “We decide what is right, never mind what the people think” yang terkenal itu.

Sebaliknya, kita yang tidak berhati kering acapkali menyesal melakukan sesuatu tindakan yang mungkin baik kepada kita tetapi memudaratkan pihak lain.              

Rabu, 23 Mei 2012

manusia-manusia

“Andainya saya salah, ingatkan saya. Andainya saya tidak layak lagi memimpin, pilihlah seorang yang lebih baik. Saya akan bersama-sama di saf belakang memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin yang mengambilalih tempat saya.”
Mungkin kebanyakkan pemimpin pada mulanya memegang prinsip sedemikian. Prinsip tersebut adalah fitrah semula jadi ‘kemanusiaan’ manusia.
Kita juga secara semborono tidak boleh beranggapan bahawa binatang tidak mempunyai prinsip seperti itu kerana kita tidak mengalami kehidupan sebenar ‘kebinatangan’ binatang. Mungkin dalam kehidupan dunia binatang, ‘kemanusiaan’ adalah menjijikkan,membuat kerosakkan kepada seluruh warga alam, tidak bertimbang rasa dan kejam.
Banyak haiwan pupus kerana manusia. Gunung-ganang, bukit bukau,tasik, sungai,pohon-pohon dirosakkan oleh tangan-tangan manusia.
Namun demikian, manusia telah piawaikan bahawa tatalaku manusia lebih baik dari tatalaku haiwan. Maka, kita terimalah.
Sedemikian juga, kita tidak mengetahui ‘pe-el’ haiwan apabila dilucutkan jawatan,kalah dalam pemilihan kepimpinan atau dipecat.
Kita mengetahui gelagat manusia apabila dilucutkan jawatan, dikalahkan dalam pemilihan kepimpinan atau dipecat.
Sekonyong-konyong mereka akan berkawan dengan orang yang ‘bukan-bukan’.Sekonyong-konyong mereka akan membongkar segala kelemahan dan kesalahan bekas rakan-rakan ‘serumah’. Sekonyong-konyong mereka jadi manusia pembengis dan pendendam.
Mungkinkah ini ‘pe-el’ manusia yang tidak ada pada haiwan itu?       

Isnin, 7 Mei 2012

bahagia ada di mana-mana


bahagia ada di mana-mana

Gambar di atas saya  pindahkan dari blog rakan blogger saya, THEOLRASCAL (http://theolrascal.wordpress.com/)yang baru-baru ini melakukan ekspedisi bersama keluarga beliau di pedalaman Taman Negara Kuala Tahan. Saya sangat tersentuh dengan anak kecil ini yang hidup dalam persekitaran serba kekurangan.

Namun demikian, si kecil bersosok tubuh tegap dari keturunan Orang Asal di pedalaman Taman Negara Kuala Tahan ini kelihatan begitu yakin dengan kehidupannya. Tidak syak lagi, beliau juga sebahagia anak-anak yang lain.

Harapan saya, semoga cahaya iman akan sampai kepada beliau suatu hari nanti.


Sabtu, 5 Mei 2012

sindrom seni rengek

Asalnya, anak tunggal atau anak bongsu, khususnya anak-anak perempuan, amat mahir mengamalkan ilmu ini. Mintalah apa sahaja, kecuali bulan atau bintang, permintaan mereka akan ditunaikan.Ilmu tersebut ialah ilmu seni rengek yang 'mencairkan' hati ibu bapa.

Kini, ilmu itu bukan sahaja dimiliki oleh anak tunggal atau anak bongsu tetapi juga dimiliki dan dipraktikkan oleh kebanyakkan anak-anak kita khususnya yang tinggal di bandar. Kalau kita berasal dari kampung dan kini menetap di bandar, mereka ialah generasi kedua, iaitu di kalangan anak-anak kita.   

Antara ibu atau bapa, gender manakah yang mudah ditundukkan oleh anak-anak? Sebenarnya, perkara ini tidak dapat diklasifikasikan secara khusus. Ianya bergantung kepada seni rengek anak-anak dan daya tahan ibu atau bapa yang akan dimangsakan.

Ibu atau bapa yang mudah dimangsakan ialah mereka-mereka yang tidak dapat bertahan dengan asakan atau 'physcho' anak-anak. Hakikatnya, anak-anak lebih mengetahui kelemahan dan kekuatan ibu bapa masing-masing.

Sehubungan ini, di kalangan kita yang membesar dengan persekitaran lasak dan susah di kampung, mungkin akan bersetuju jika saya katakan bahawa anak-anak kita, yaani generasi kedua yang hidup di bandar sangat lemah jati diri mereka. Mereka mungkin pandai atau terpelajar tetapi mandiri mereka tidak kuat - lemah, lembik. Mereka lebih banyak merengek dari berusaha sendiri.

Kita akan membasuh kereta sendirian pada hujung minggu tanpa dibantu oleh anak-anak. Kebarangkalian anak-anak mengumpulkan rumput yang telah kita sabit dan meletakkan di tong sampah hadapan rumah juga tipis.

Pendeknya, kalau kita sorokkan diploma atau ijazah mereka, dan lalu kita lepaskan mereka ke dunia yang luas ini dengan berbekalkan kudrat fizikal semata-mata, belum tentu lagi mereka boleh hidup walaupun sehari.