Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label am. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label am. Papar semua catatan

Jumaat, 20 September 2013

JERUK BINJAI

JERUK BUAH BINJAI
Ketika hendak balik ke Ampang, Selangor setelah selesai urusan pengkebumian jenazah arwah Kakak isteri dan majlis bacaan tahlil pada malam berikutnya, seorang saudara membekalkan kami jeruk buah binjai. Saya dengan besar hati menerima pemberian yang sangat bernilai itu.

Saya dapati ada beberapa pokok binjai hidup subur di sekitar kawasan Masjid Tanah, Melaka. Sedemikian, kalau bernasib baik kita boleh membeli buah binjai mentah yang dijual oleh penjaja di pondok jualan tepi jalan.

Saya ada memori yang sukar hendak diterjemahkan berkaitan buah hutan ini. Walaupun sangat sukar mendapatkan jeruk buah binjai sekarang, ianya adalah salah satu di antara makanan yang paling saya sukai.

Pokok binjai adalah pokok hutan yang batangnya besar dan tinggi. Ketika saya masih anak-anak, terdapat banyak pokok binjai di kampung saya. Saya masih ingat bahawa keluarga saya ketika itu ada simpanan satu tempayan bersaiz sederhana jeruk binjai pada setiap masa.  

Saya sendiri tidak mendapat jawapannya mengapa buah binjai tidak boleh didapati lagi di kampung saya sekarang. Adakah pokok binjai telah pupus? Atau generasi sekarang tidak ambil indah akan buah hutan yang sangat sedap pada sesetengah penggemar tersebut.

Saya seorang sahaja yang makan jeruk binjai di rumah saya. Walaupun isteri saya juga berasal dari kampung, dia tidak suka jeruk binjai. Anak-anak saya menjeling pun tidak mahu.  

Sehubungan ini, saya dapat menikmati keenakkan jeruk buah binjai seorang diri tanpa adanya saingan dari ahli keluarga yang lain.  Ada juga baiknya ahli keliuarga yang lain tidak suka kepada makanan yang kita gemari. Alhamdulillah. 

Jumaat, 5 Julai 2013

simpati

Saya bukan 'blogger' dalam definasi yang sebenarnya tetapi adalah seorang pencatat yang suka mencatat segala perkara dan peristiwa yang dilihat dan alami atau yang bermain-main di emosi. Sehubungan ini mungkin ada catatan-catatan tersebut yang agak keterlaluan dan boleh menyinggung perasaan beberapa individu/pihak. Jika ada, saya memohon maaf. 

Kisah 1:

Satu petang ketika singgah di Restoran RNK Avenue Ampang, Ampang, Selangor saya melihat seorang wanita Melayu awal 40-an yang kehilangan penglihatan dipimpin oleh seorang wanita muda mendatangani pelanggan restoran dari meja ke meja untuk meminta simpati (sedekah). 

Saya melihat wanita hilang penglihatan itu mendapati apa yang dihajatnya apabila mendatangangani semua meja ( seorang sahaja yang memberikan wang) yang didudukki oleh pengunjung restoran dari kalangan etnik India (Hindu).

Dia tidak mendapat apa-apa di meja pelanggan etnik Cina.

Dia cuma mendapat simpati dari dua buah meja dari beberapa buah meja yang pelanggannya adalah etnik Melayu.

 Kisah 2:

Saya melihat seorang wanita etnik India yang bertanda di dahinya berusia lebih kurang 35 tahun memberikan sumbangan kepada seorang peminta sedekah beragama Islam yang memakai serban berhampiran Bank CIMB Ampang Point, Ampang, Selangor.


ULASAN :

Sesungghnya, dua sampel yang saya lihat sendiri tidak membolehkan saya membuat satu rumusan yang adil dan berwibawa. Bagaimanapun,  satu sampel di sebuah restoran di mana 'seorang wakil' daripada kesemua meja pelanggan etnik India telah memberikan sumbangan kepada seorang peminta sedekah Orang Melayu yang hilang penglihatan boleh menghasilkan satu rumusan emosi yang agak menakjubkan.

  

Khamis, 4 April 2013

char kway teow


Insya Allah, jika saudara mara, tetamu atau anda datang bertamu ke rumah kami, isteri saya akan menghidangkan ‘ Char Kway Teow’. Makanan yang asal usulnya berasal dari etnik Cina Hokkiean ini juga digemari oleh Orang Melayu.

Char Kway Teow 1
Di kalangan Orang Melayu, Char Kway Teow dikatakan pada mulanya dipelupuri oleh peniaga-peniaga gerai di Pulau Pinang. Mungkin inilah sebabnya ramai peniaga Char Kway Teow menamakan gerai Char Kway Teow mereka, ‘ Char Kway Teow Penang’.

Hampir semua negeri di Semenanjung ada gerai ‘ Char Kway Teow ’. Namun, pada pengamatan saya, kecuali beberapa tempat di Negeri Pahang, makanan ini masih belum mendapat tempat lagi di hati penduduk di negeri-negeri pantai timur.

Dalam perniagaan makanan bukannya senang untuk mendapatkan resepi dari peniaga makanan walaupun kawan baik. Malah, boleh dikatakan peluang mendapatkan ‘secret recepie’ hampir pada tahap sifar! Ini adalah ‘mitos’ yang sebenarnya kenyataan di kalangan peniaga.

Char Kway Teow 2
Isteri saya yang berminat dalam masakan agak bernasib baik kerana mendapat ‘secret recepie’ Char Kway Teow ini dari seorang peniaga Char Kway Teow, Abang Ismail, yang membuka gerai di Bangi, Selangor kira-kira 10 tahun yang lalu. Kami selalu singgah di warungnya.  

‘Abang Ismail ’, peniaga di usia hujung 50-an (ketika itu) dari Pulau Pinang terbuka hatinya untuk ‘ menurunkan’ kemahirannya membuat Char Kway Teow kepada isteri saya apabila beliau hendak menutup businesnya di Bangi dan balik berniaga di kampung halamannya. Beliau mendapat resepi membuat Char Kway Teow dari isterinya yang pernah menjadi pembantu peniaga Char Kway Teow keturunan Cina sebelum mereka berkahwin.    

Maka, ‘malam terakhir’ Abang Ismail berniaga di Bangi, saya dan isteri telah pergi ke gerainya untuk mendapatkan resepi yang dijanjikannya. Isteri saya menulis ‘resepi rahsia’ tersebut dan memerhatikan dia membuat Char Kway Teow yang dipesan oleh pelanggannya. 

Bagaimanapun, beliau ‘berpesan’, “ Resepi rahsia itu tidak boleh diperturunkan kepada orang lain.”

Char Kway Teow 3
Pada hari berikutnya isteri saya membeli barang-barang keperluan membuat sos dan kichap Char Kway Teow dan menyediakan sekali sos dan kicapnya. Pada sebelah malamnya kami pergi ke gerainya untuk menunjukkan sampel sos dan kicap yang telah disediakan.

Malangnya, beliau tidak ada. Malah segala peralatan berniaganya juga tidak ada lagi. Beliau telah balik ke Pulau Pinang!   

Isteri saya tidak khatam ilmu menyediakan sos dan kicap Char Kway Teow dengan Tuan Gurunya. Bagaimanapun, menu Char Kway Teow yang disediakannya disukai oleh mereka yang pernah merasanya. 

Sungguh pun tidak khatam, dia begitu berpegang kepada pesan gurunya, “ Resepi rahsia ini tidak boleh diperturunkan kepada orang lain.” Pembaca mungkin ada tanggapan berbeza dengan bab ini!


NOTA: DUA DARIPADA FOTO CHAR KWAY TEOW DI ATAS DIAMBIL DARI GERAI CHAR KWAY TEOW TERKENAL DI AMPANG DAN KUALA KUBU BHARU. SATU DI ANTARA TIGA FOTO TERSEBUT ADALAH CHAR KWAY TEOW YANG DISEDIAKAN OLEH ISTERI SAYA. 'OVERKAH CATATAN INI? (MEMINJAM UNGKAPAN KATA KAWAN BLOGGER).SAYA CUMA PART TIME BLOGGER YANG SUKA MENCATATKAN SEGALA SESUATU TANPA KOMPROMI.  

Selasa, 10 April 2012

alangkah indahnya hidup

 
Dalam satu forum, salah seorang ahli panel telah ditanya mengenai rakyat Singapura yang begitu berdisiplin di  negara mereka tetapi ‘hampeh’ apabila datang ke negara kita. Jawab ahli panel itu, “ Pada asasnya naluri tata kelakuan manusia sama. Yang membezakan ialah keberkesanan peraturan atau undang-undang .”

Pendapat ahli panel itu mungkin boleh dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh anggota-anggota polis pencegah maksiat Acheh seperti yang tersiar dalam akhbar harian KOSMO pada hari ini, Selasa, 10/04/2012.

Satu pasangan kekasih yang sedang asyik memadu asmara di tepi pantai pada siang hari telah ditahan oleh anggota-anggota polis pencegah maksiat Acheh.

Perlu diingat bahawa pasangan itu bukannya bermukah di atas ranjang dalam sebuah bilik yang berkunci. Mereka, bukan muhrim, berbual-bual di tepi pantai di siang hari dalam situasi masih belum ada ikatan perkahwinan. Gamaknya, di luar wilayah autonomi Acheh, perbuatan pasangan itu tidak dipedulikan oleh sesiapa pun.

Anggota Polis Pencegah Maksiat Aceh : “Adakah kamu sudah berkahwin?”
Pasangan kekasih: (Menggelengkan kepala).
Anggota Polis Pencegah Maksiat Aceh : “ Perbuatan ini tidak dapat diterima di Aceh. Kita mempunyai undang-undang syariah di sini. Pergi pulang sekarang.”

Alangkah indahnya hidup ummah apabila penguasa menyantuni kehidupan beragama rakyatnya sedemikian rupa…. 

Jumaat, 28 Oktober 2011

dia tidak tahu, tetapi cerdik


Saya tersenyum mendengar dialog di antara cucu saudara, Amirul, dengan anak sulung saya. Cucu saudara memanggil anak sulung saya Pak Long. Ibu dan bapa Amirul ialah professional di sebuah syarikat GLC. Di usia 4 tahun, Amirul yang petah bercakap telah dihantar ke tadika. Namun pembelajarannya kadang-kadang terganggu kerana Amirul akan dihantar ke kampung apabila ibu bapanya bertugas di luar pejabat.  

Anak Sulung : Pak Long nak dengar Amirul kira satu sampai sepuluh.

Amirul          : 1,2,3,4,5,6,7,8,9,10 (lancar)

Anak Sulung : Pak Long nak dengar Amirul sebut A,B,C sampai habis.

Amirul          : A,B,C,.........Z (lancar dan berlagu).

Anak Sulung : Ini huruf apa? (menunjukkan huruf P).

Amirul          : Mukanya berkerut (dia tidak kenal huruf P).... Tiba-tiba terkeluar perkataan 'cover line '
                      dari mulutnya, " Kenapa Pak Long tanya banyak sangat? Pak Long bukannya cikgu."

Ulasan          : Confirm, apabila besar Amirul tidak akan mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya - 
                      jurutera. Besar kemungkinan dia akan jadi 'lawyer' kerana kecil-kecil sudah 'loyar buruk'.
                      Di usia 4 tahun tiada keperluan yang mendesak untuknya mengenal semua abjad. Namun 
                      di usia itu dia telah boleh berhujah untuk melindungi kelemahannya. Dia cerdik.  

Selasa, 18 Oktober 2011

kenalan di cukai, kemaman

Mulai Ahad, 16 Oktober 2011, saya dan dua orang lagi rakan sekerja berada di Bandar Cukai, Kemaman, Terengganu.Kami dijangka akan berada selama 5 hari di bandar yang jaraknya hampir 100 kilometer ke selatan  Kuala Terengganu dan kira-kira 40 kilometer dari telaga minyak Negeri Terengganu, Kerteh.

Sungguh pun kebanyakkan bangunan di bandar ini terdiri daripada bangunan lama,  pesona pemandangan bandar di kuala sungai ini agak menarik. Bandar ini sibuk dan meriah dari awal pagi hingga ke malam. 
Kebanyakkan warung-warung makanan yang dibuka dari awal pagi hingga larut malam dipenuhi oleh pengunjung. Bandar ini juga menjadi tumpuan kaki pancing. Kaki-kaki pancing dari sejauh Kerteh 'melampiaskan' hobi mereka di sepanjang tepi kuala di sekitar kawasan Persiaran Cukai dari awal petang hingga ke pagi esoknya.

Saya berkesempatan berkenalan dengan seorang pemancing tegar, pesara Petronas dari Kerteh, 40 kilometer ke utara Bandar Cukai. Di dalam seminggu dia akan datang memancing di Cukai sekurang-kurangnya empat kali.Aduhh...............

Dia memaklumkan bahawa peralatan memancingnya mencecah nilai RM25,000.00. Aduhhh........Tali pancing joran 15 kaki ( saya mula memahami istilah pemancing) yang dibawanya bernilai RM300.00 .Aduhh....... Belum lagi joran 'hanabax' atau mesin yang saya lupa jenamanya. Aduhh..........

Saya juga diperkenalkan kepada istilah-istilah 'jackpot' dan beberapa istilah lagi yang saya terlupa.

Pun demikian, saya yang 'menemaninya' di tepi kuala Pesiaran Cukai itu selama hampir dua jam akhirnya meminta diri untuk balik ke bilik hotel. Selama hampir dua jam, tiada seekor anak ikan pun yang naik. Aduhh.........   Pun demikian, beliau tidak serik. Pasti, beliau  akan datang lagi pada esok hari.

Kini, saya mula menyedari bahawa kaki pancing ialah golongan yang sabar dan tidak mudah berputus asa. Ya, mereka pejuang!  
 


Sabtu, 8 Oktober 2011

catatan seorang penulis

08 Oktober 2001 @ 10 Zulkaedah 1432
(Sabtu)

Awal pagi ini saya membaca catatan seorang penulis yang memuatkan pengalamannya ketika melawat ke satu destinasi menarik dan bersejarah di Indonesia di sebuah akhbar .  

Saya sedikit kurang selesa kerana penulis tidak mengindahkan naluri pembaca seperti saya. Dia tidak berusaha menolong pembaca menghayati tulisannya dengan membuat 'conversion' nilai rupiah Indonesia kepada Ringgit Malaysia ketika menceritakan perberbelanjaan yang dibayarnya semasa di Indonesia :-
  • Menaiki bas dari Jakarta - ke destinasi sebanyak RP68,000
  • Menginap di hotel RP150,000
  • Menaiki bas mini RP10,000
Alangkah 'professionalnya' beliau jika membuat sedikit kerja yang  boleh membantu dan menambahkan lagi aura tulisannya dengan menukar nilai RP kepada RM. Sekurang-kurangnya pembaca dapat mengetahui harga tambang bas/bas mini  di Indonesia berbanding di Malaysia.  

Rabu, 5 Oktober 2011

dia tidak gentleman

Memang benar kita pun ada kelemahan. Namun demikian, kita lebih nampak kelemahan orang lain.

Di dalam pergaulan, ada di antara kawan-kawan kita yang terlalu berkira. Kalau sembang-sembang 4 - 5 orang di restoran mamak, dia tidak pernah membayar. Dia asyik memangkah sahaja. Semakin sibuk sang Mamak mengira bil, semakin nyaring pula nada percakapannya. 

Kalau dia merasakan dia memesan makanan agak berat, dia cuma membayar harga makanannya sahaja. Kawan-kawan yang diajaknya berborak, yang mungkin cuma meneguk secawan teh tarik dibiarkan membayar harga minuman masing-masing. 

Dia bukan terdesak atau kesempitan wang. Dia cuma amat berkira dan tidak 'gentleman'.  

Isnin, 13 Jun 2011

yunus romeo

Raut wajah Yunus Romeo, 57 , pembantu tadbir gred N17 otai, sedikit gusar. Telah hampir 10 minit dia berdiri di kaki lima premis rumah kedai di tepi jalan besar yang sibuk itu. Dua biji mata tuanya memerhati persekitaran luar-dalam premis.

Akhirnya, Yunus Romeo pasti bahawa premis tersebut selamat untuk dimasuki, ‘Line Clear’. Dia mula melangkah ke destinasi. Kendatipun mukanya ditundukkan, dua biji matanya aktif bergerak ke kiri dan kanan ruang premis 15’ x 15’ itu, umpama pergerakkan viper kereta Proton BLM yang baru dibelinya kerana dia yakin dengan bidalan ‘ malang tidak berbau ’.

Dia sampai ke destinasi, sebuah kaunter panjang setinggi dada yang diuruskan oleh gadis manis berketurunan Tionghua setelah membuat tujuh langkahan dari pintu besar premis.

Yunus Romeo tersenyum kepada gadis tersebut. “Uncle OK?,” tanya gadis yang telah lama dikenalinya. “OK,” dia membalas sambil menyerahkan sehelai kertas yang mengandungi lima catatan kombinasi angka empat digit.

Kombinasi angka empat digit tersebut diperolehinya melalui kaedah ‘capia’ rajah tiga segi tepat yang dipelajarinya. Ramuan yang ‘dicapia’ ialah segala maklumat yang ada kaitan dengan kematian perempuan kenamaan,86,yang tersiar di dalam akhbar baru-baru ini.

Hasilnya: setiap nombor empat digit yang akan dibeli hendaklah berakhir dengan angka ‘86’ (xx86); dan dua angka awal hendaklah dari gabungan tarikh, bulan dan tahun kematian hamba Allah tersebut. Dia yakin kali ini nasib akan menyebelahinya.

Sambil menunggu gadis di kaunter menyelesaikan hajatnya, sempat juga dia mencuri pandang kepada gelagat manusia sealiran di kaunter sebelah kanannya. “ Dia lagi tua daripada aku,” bisik hatinya.

Urusannya dengan gadis tersebut usai setelah menerima lima keping kertas kecil. Dia mengamati catatan kombinasi angka empat digit di dalam kertas tersebut satu per satu. Setelah berpuas hati, dia melipat, mencium dan terus menyimpan kertas-kertas tersebut ke dalam dompet duitnya. Hatinya teramat lega.

Sebenarnya, agak lama juga dia tidak menjejakkan kaki ke premis tersebut kerana selama itu hajatnya diuruskan oleh kawan sepejabat yang beragama Hindu, Si Arumugam. Dengan cuma bermodalkan RM2 sebagai upah, yang sebenarnya tidak diminta pun oleh Arumugam kerana dia juga mempunyai urusan yang sama di premis itu, hajatnya dilunaskan.

Bagaimanapun, untuk ‘draw’ kali ini dia terpaksa membeli sendiri kerana Si Arumugam bercuti. Kata Arumugam, “Urusan sembahyang di Sungai Petani.”

Sebenarnya dia tidaklah malu sangat memasuki premis yang cuma 200 meter dari pejabatnya itu. Semua rakan sepejabatnya tahu dia mempunyai habit yang hodoh itu. Apa yang ditakutinya sangat ialah jika ditangkap oleh pihak yang berkuasa kerana Orang Islam tidak dibenarkan ‘berurusniaga’ di premis tersebut.

Kalau ditangkap kerana membeli kertas tersebut, dan pada waktu pejabat pula, ‘masak’ dia. Dia tahu risiko tersebut. Lainlah Si Arumugam, kalau kena pun cuma disabitkan kerana menyalahgunakan waktu pejabat sahaja. Itu pun susah juga, mana ada organisasi kerajaan yang memantau kakitangan organisasi sehingga ke pintu masuk premis seperti itu.

Sebelum keluar, Yunus Romeo sekali lagi menggunakan kaedah yang sama seperti sebelum memasuki premis. Laser mata tuanya sekali lagi diaktifkan. Malah, tahap keaktifan dilipatgandakan sehingga menjangkau ke sudut sukar. “Manalah tahu, mungkin pihak yang berkuasa sedang menunggu mangsa di luar premis,” kata hatinya.

Dia mengenakan cermin mata hitam jenama tiruan terkenal yang dibelinya dengan harga RM10 di Wakaf Che Yeh, Kelantan. Seperti sebelumnya, dia menundukkan muka dan memulakan langkahan dengan cepat. Genap 10 langkah, dia telah berada di zon selamat, di luar premis.

Di usia 57 tahun, sosok tubuh dan wajah Yunus Romeo jauh lebih muda dari usianya. Dia kelihatan awet muda dan agak kacak. Rambut lurusnya masih hitam dan tidak sehelai pun beruban. Giginya juga masih tersusun penuh dan belum ada yang tertanggal. Sekilas pandang, wajah Yunus Romeo mirip suami kepada seorang artis pupular tanah air. Kalau ada pun kekurangan, cuma perutnya ‘boroi’.

Secara umum, hubungan Yunus Romeo dengan kawan se pejabat tidak banyak masalah. Malah, kelebihannya ialah mudah memaafkan orang lain, penyabar dan tidak ambil hati atau berdendam. Reaksinya paling maksimum ketika diasak dengan kata-kata yang kurang menyenangkan atau dikutuk oleh kawan sepejabat, antaranya jauh lebih muda darinya ialah, “itu aku punya sukalah, badan aku, bukan badan kau.”

Hakikatnya, Yunus Romeo, 57, ‘pekak’, setelah deria dengarnya kepada hukum hakam(syariat) tidak lagi berfungsi kerana telah dinyahlumpuhkan oleh kehendaknya sendiri.

Kecuali berlaku keajaiban, seajaib kemenangan Terengganu pada final Piala FA 2011, di usia 57 tahun, Yunus Romeo seperti tidak akan dapat diselamatkan kerana leka dan asyik mengatasi segal-galanya. Kegilaan kepada judi empat digit cuma satu juzuk sahaja di antara juzuk-juzuk songsang yang telah menjadi ‘darah dagingnya’ sejak zaman remaja lagi.

Kawan-kawan sepejabatnya, termasuk Bidin Subari, ahli Jumaah Tabligh yang selalu keluar berdakwah ke merata tempat, belum pernah lagi berdakwah kepadanya. Rusli Lebai, yang saban hari mengikuti kuliah zuhur di surau pejabat juga tidak pernah mengajak dia ke surau. Dan ramai lagi kawan-kawan sepejabat yang tidak berfungsi seadanya, termasuk Hj. Shukur yang nampak baik tetapi selalu juga menggunakan waktu pejabat untuk urusan persendirian.

Sehingga di penghujung usia, 57 , Yunus Romeo berseorangan dan masih keliru mengenai tujuan sebenar dia dilahirkan di dunia ini. Saudara mara dan kawan-kawan juga tidak menolongnya.

Akan insafkah Yunus Romeo jika diuji dengan kehilangan sesuatu yang disayangi; anak, isteri, harta atau sebahagian anggota tubuhnya ? Hakikatnya, jikalau ada ujian sedasyat itu, itu adalah baik untuknya kerana dia tidak pernah berusaha untuk memilih cara lain. Namun, ujian tersebut menyakitkan.