| GAMBAR HIASAN (GAMBAR LAMA) |
Seorang kawan seusia anak sulung saya dan telah berkahwin berjanji akan membawa buah tangan kicap ' Char Koey Teow Bukit Mertajam (BM)' yang terkenal itu apabila beliau balik semula bertugas selepas bercuti Hari Raya bersama keluarganya di Bayan Baru, Pulau Pinang. Beliau yang mendakwa sebagai peminat tegar 'Char Koey Teow' menganggap tiada mana-mana Char Koey Teow sesedap 'Char Koey Teow BM'.
Anak muda yang memiliki ijazah dalam teknologi maklumat itu adalah anak kepada seorang pesara pegawai tinggi kerajaan. Sekalipun demikian, dia yang telah mempunyai jawatan tetap di agensi kerajaan masih belum berjaya menjawat jawatan yang bersesuaian dengan kelulusannya.
Secara peribadi saya mengaku bahawa saya sangat jauh dengan dapur. Saya tidak pandai masak. Walaupun pada usia sekarang, banyak perkara mengenai dapur dan masakan adalah perkara-perkara asing bagi saya. Saya tidak perlu mengkhususkan perkara ini kerana akan memalukan diri sendiri. Dipendekkan cerita, saya boleh diungkapkan sebagai ' tidak pernah ke dapur '.
Namun demikian, saya selalu memerhatikan isteri memasak ' Char Koey Teow ' dengan menggunakan 'resepi rahasianya'. Bermula dari itu, saya minat makan Char Koey Teow dan memasaknya. Selain itu saya juga mendalami ilmu mengenai Char Koey Teow melalui internet/you tube di luar pengetahuan isteri. Saya sangat yakin bahawa dia masih menganggap saya cuma melayan blog sendiri ketika akrab bersama lap top.
Mendalami ilmu Char Koey Teow bermaana mengetahui serba sedikit mengenai resepi dan teknik memasak makanan yang diasaskan oleh keturunan Hokien itu. Masa yang diambil untuk memasak Char Koey Teow tidak lebih dari 2 minit.
Bahan asas untuk memasak Char Koey Teow ialah minyak masak, bawang putih yang telah dikisar, sambal khas untuk char koey teow, kicap, stok udang ( air udang), udang, kerang, daun kucai, taugeh dan telor. ( Sambal dan kicap khas char koey teow ' ready made' banyak terdapat di pasaran).
Salah satu elemen penting ketika memasak Char Koey Teow ialah ' kemahiran ' memasak dengan pantas dan mengawal api. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan setelah mencuba beberapa kali saya kini ' bolehlah' memasak makanan itu.
Bukti saya boleh masak ialah anak-anak suka Char Koey Teow yang saya sediakan. Bukankah saya di kedudukkan from zero to hero? Belakang parang kalau diasah lama-lama akan tajam juga!
Jika ada rezeki saya akan menggunakan ' Kicap Char Koey Teow BM' yang dikatakan ' Raja' kepada segala ' Char Koey Teow selepas Hari Raya ini. Semoga kawan yang seusia anak sulung saya tidak terlupa membawa kicap itu dari Penang.
Ini perkara rahasia. Siapakah orang pertama yang akan saya hidangkan dengan masakan Char Koey Teow menggunakan Kicap Char Koey Teow BM yang dikatakan power itu?