Saya berada di Pasar Nelayan
Sungai Yu, Kuala Selangor pada petang Sabtu 07 September 2013. Kompleks pasar nelayan itu terletak lebih kurang 3 - 4 kilometer dari Bandar Kuala Selangor menghala ke Tanjung Karang. Saya melihat
ramai orang di sekitar kawasan jeti nelayan itu.
Ketika menjenguk ke dalam
pasar saya mendapati bekalan ikan tidak banyak. Akhirnya saya mengetahui bahawa ramai nelayan
tidak turun ke laut kerana ada kejadian seorang nelayan pantai hilang pada hari
Khamis (5/7/2013).
Saya mendapat tahu bahawa
operasi bersepadu mencari mangsa telah dijalankan oleh berbagai pihak sejak
kehilangan tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Saya menghampiri kumpulan
orang ramai di jeti dan membiarkan isteri serta anak perempuan memilih ikan di
pasar. Saya mendapati mereka ( isteri dan anak perempuan) tidak begitu teruja
untuk mengetahui cerita orang hilang . Mungkin
mereka beranggapan bahawa kejadian itu tidak banyak kaitan sangat dengan tujuan
kami ke situ – membeli ikan segar.
Saya melihat pasukan
penyelamat telah mendirikan bilik operasi berhampiran pengkalan bot-bot nelayan
berlabuh. Ada di antara pasukan penyelamat yang mula hendak bergerak mencari mangsa.
Ada yang balik semula ke pengkalan. Pasukan penyelamat juga menggunakan khidmat
beberapa ekor anjing pengesan.
Orang ramai merasa sedikit ‘
terhibur’ melihat telatah salah seekor daripada anjing tersebut yang agak ‘nakal’ dan
‘mengada-ngada’. Anjing itu tiba-tiba terjun ke dalam sungai (muara) dan
hilang buat seketika. Tiba-tiba haiwan terlatih itu memunculkan diri dan menaiki
semula bot penyelamat. Kami diberitahu oleh pelatih anjing bahawa anjing itu
memang suka mandi.
Kejadian orang hilang itu telah mendapat
liputan beberapa buah akhbar bermula pada 6/9/2013. Mangsa, 50 tahun, bernama Jamaludin
bin Abd Ghani. Mangsa dilapurkan telah keluar dari rumahnaya seawal jam 7.00
pagi pada 5/9/2013 untuk mencari ketam di kawasan hutan bakau sekitar Jeti Sungai Yu.
Ada sebuah akhbar yang
dengan beraninya melaporkan bahawa kononnya mangsa disorok oleh komuniti Orang
Bunian yang mendiami kawasan hutan bakau berhampiran jeti nelayan itu.
Mangsa, bekas tentera,
dikatakan pandai berenang dan sangat mahir dengan selok belok di kawasan itu –
kawasan jeti dan hutan bakau.
Dari jeti saya turut bergegas bersama dengan beberapa orang lain ke satu
kawasan tanah lapang berhadapan dengan hutan bakau. Di situ sedang berlangsung
satu ritual ‘ perbomohan’ yang diusahakan oleh keluarga mangsa.
Saya sebak menyaksikan
isteri dan anak perempuan mangsa memanggil-manggil nama mangsa dengan berbinkan
nama ibunya berulang-ulang kali. Mungkin sesiapa yang pernah mengalami situasi yang mereka alami itu akan lebih memahami isi hati keluarga terdekat mangsa.
Tok bomoh menasihatkan isteri dan anak perempuan mangsa supaya bersabar dan berdoa semoga
ketua keluarga mereka selamat. Bomoh itu juga menyatakan bahawa dia sendiri tidak mengetahui samada mangsa masih hidup atau telah tiada. Namun katanya, “ Bahagian badan
mangsa di paras pusat ke bawah telah terbenam di dalam tanah/lumpur.” Bomoh itu mengarahkan agar isteri mangsa terus menyediakan
makanan untuk mangsa di rumah sama seperti seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh mangsa tidak ditemui lagi.
Setelah upacara selesai, bomoh
di usia awal 50-an yang berpakain kemas itu 'mengajak' saya berbual dengannya. Dia memberitahu bahawa insiden tersebut bukanlah kejadian pertama di
kawasan itu. Sebelum ini beliau telah beberapa kali diminta membantu keluarga mangsa
yang terlibat. Di antaranya termasuk kejadian seorang mangsa (beliau sebutkan nama mangsa) ketika mencari ketam juga hampir setahun yang lalu. Pada hari
keempat mangsa telah balik semula ke rumahnya dalam keadaan tersangat lemah.
Bagaimanapun, mangsa telah meninggal dunia 2 hari selepas itu. Bomoh itu berulangkali menegaskan bahawa kawasan itu ' keras '.
Kononnya, dalam banyak kejadian mangsa menjadi menjadi tamak mengutip ketam yang kelihatan begitu banyak di dalam kawasan hutan
bakau yang ‘ bertuan’ itu. Akhirnya, 'tuan punya atau penduduk kawasan' itu ' menutup segala jalan keluar' yang menyebabkan mangsa sesat dan tidak nampak jalan balik!
Saya mungkin dapat mendengar
cerita-cerita yang lebih menarik jika dapat berbual lebih lama lagi dengan bomoh yang
peramah itu. Namun, saya tidak boleh berada lebih lama di situ kerana isteri
mengajak ke Pasar Pasir Penambang yang jaraknya kira-kira 3 kilometer dari
situ.
Saya dan keluarga
meninggalkan Jeti Nelayan Sungai Yu di sekitar jam 6.00 petang.
UPDATE (MAYAT MANGSA DIJUMPAI PADA 08/09/2013):
Salah sebuah
akhbar semalam (9/9/2013) menyiarkan berita bahawa mayat mangsa telah dijumpai tersangkut di celah pokok
nipah oleh pasukan penyelamat pada 8 September 2013 jam 11.55
pagi, yaani empat hari selepas hari kejadian.
Diberitakan juga
bahawa seorang pencari ketam lain berketurunan India yang mengenali mangsa ada melihat mangsa di kawasan hutan bakau itu. Pencari ketam keturunan India itu telah menjerit
kepada mangsa untuk memaklumkan bahawa dia mahu pulang kerana hari hendak hujan.
Namun, mangsa tidak menjawab sebaliknya masih bergerak di dalam kawasan hutan
bakau itu.
ULASAN:
Mayat mangsa telah ditemui. Tiada sesiapa mempunyai akses yang tepat bagaimana mangsa yang pandai berenang, mahir dengan selok belok dan karenah di kawasan dia cari makan itu boleh kecundang di celah pokok nipah.
Namun, cerita-cerita sisi
yang mengaitkan kejadian seperti ini dengan makhluk yang dinamakan ‘Orang Bunian’ acapkali mewarnai masyarakat kita.Kejadian-kejadian yang dihubungkaitkan dengan
dunia ‘ Orang Bunian’ adalah penghikayatan yang menyeronokkan audien walaupun selalunya berakhir dengan ‘
ending’ yang tidak memberi kelebihan kepada manusia - manusia selalu dikalahkan atau dibuli oleh yang dikatakan Orang Bunian itu.
Namun demikian, perbahasan dan pemahaman mengenai ' Orang Bunian ' di sisi agama memerlukan kita mengambil pendekatan berhati-hati dan merujuk kepada orang agama (Ustaz) yang mahir dalam perkara ini.
Al-Fatihah dan semoga ahli keluarga mangsa bersabar menghadapi ujian hidup yang berat ini. Wallahua'lam.