Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 19 September 2013

OH MELAYU KU

Gambar Hiasan
Seawal jam 8.30 pagi saya telah berada di salah sebuah warung berhampiran premis rumah kedai dan pasar raya baharu di sebuah pekan yang sedang membangun di selatan tanah air untuk membeli sarapan pagi keluarga yang balik berkumpul di kampung.

Sementara menunggu roti canai dan nasi lemak dibungkus saya duduk di sebuah kerusi kosong dan memesan teh tarik. Di meja yang sama telah ada seorang pelanggan lelaki di usia awal 30-an. Dia menghisap rokok berkawankan segelas teh tarik. Saya bersalaman dengannya.

Pada mulanya saya tidak perasan 'jiran' saya itu ada masalah. Saya mula memasang telinga dan mencuri dengar buah butir percakapan lelaki itu apabila mendapati gelagatnya agak lain sedikit. Dia ada masalah.

Dia bercakap dan merungut sendirian. Namun, buah butir percakapan dan rungutannya tidak fokus atau tidak tentu hala. Ada mengenai dunia artis, mengenai orang tidak solat, mengenai politik, mengenai harga barang yang semakin mahal dan lain-lain. 

Saya mulai memberi perhatian apabila dia merungut mengenai rumah kedai dan pasar raya baharu yang tersergam gagah di hadapan kami.

" Bang Long tak adil,..............................duit pampasan ..............jual tanah sawah.........., " dia tidak menghabiskan kata-katanya tetapi bibirnya menjuih marah kepada bangunan baharu itu.

Saya menunggu dia menghabiskan luahannya. " Ramai artis berhijrah, eloklah tu.....," dia bercakap topik yang lain pula. Niat saya tidak kesampaian.

" Di atas tapak sawah ini dibangunkan rumah kedai yang hebat dan cantik. Ramai orang luar yang tidak dikenali datang ke sini. Ada yang rupa Melayu tetapi bukan Melayu kita. Ada yang rupa India tetapi bukan India kita. Ada yang macam Cina tetapi bukan Cina kita. Yang jual petai di kaki lima itu sah Orang Melayu."   

Dia berhenti bercakap. Air teh tarik yang masih berbaki dihirupnya sampai habis. Dia menghisap rokok dan melepaskan asapnya perlahan-lahan. Dia memandang saya dan tersenyum.

"Ada yang iras Cina, sememangnya Cina kita," saya terkejut kerana tidak menyangka ada benda yang hendak diluahkannya lagi. 

Saya menunggu buah butir yang akan diluahkannya lagi. Dia seperti mengetahui isi hati saya dan  ' mempermainkannya' dengan cara tidak berkata apa-apa. 

" Abang," saya terkejut kerana dia menegur saya.

" Skrip lama dikitar semula. Di atas tanah keluarga saya yang tidak milik kami ini lagi didirikan bangunan hebat itu. Pada peringkat permulaan adalah sepintu dua orang kita belajar berniaga di situ. Lama kelamaan mereka tidak akan dapat bertahan - gulung tikar. Akhirnya semua premis akan dimiliki oleh 'orang luar'.

Abang lihat warung-warung yang umpama cendawan tumbuh berhampiran bangunan rumah kedai dan pasar raya itu. Semuanya diusahakan oleh orang kita. Ini juga skrip lama yang sudah dihafal. Orang luar berebut premis niaga bangunan batu, orang kita bertelagah berebut tempat untuk menegak khemah berniaga goreng pisang."

Orang itu bingkas bangun sambil merungut-rungut dan meninggalkan saya. Saya tidak pasti samada dia telah membayar harga minumannya atau sebaliknya. Atau pun peniaga warung memberinya minum secara percuma kerana dia ada 'lesen besar'. 

Usahlah diselidik sangat akan benar atau tidaknya watak dan skrip catatan ini. Usahlah mengandai-andaikan bahawa watak utama adalah watak proksi yang diada-adakan.

  • Setuju sahajalah bahawa bangunan premis niaga baharu wujud. 
  • Setuju sahajalah bahawa tapak premis niaga itu asalnya adalah tanah sawah/milik orang kita. 
  • Setuju sahajalah bahawa ' seluruh Malaya' telah mengetahui pemilik asal tanah sawah. 
  • Setuju sahajalah bahawa orang Melayu masih tidak berapa pandai dan tidak mampu berniaga di dalam bangunan yang hebat dan mahal. 
  • Setuju sahajalah bahawa orang lainlah yang akan berlumba-lumba datang dan seterusnya menguasai setiap premis niaga baharu. 
  • Setuju sahajalah bahawa bila ada premis perniagaan baharu, orang kita akan mendirikan warung-warung tepi jalan umpama melukut di tepi gantang - berniaga goreng pisang, laksa, kueh mueh, nasi lemak......

Pekan Kota - Sedikit Sama Dicicah- Win Win?
Usah menyalah diri, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

Di satu sudut yang tersembunyi yang letaknya jauh di dasar hati, saya mula memikir bahawa ada eloknya juga 'Pekan Ku Kota' duduk selesa dalam situasi 'Status Quo' yang sama sehingga 'Anak-Anak Lela Maharaja' atau 'Anak Adat' yang lain benar-benar bersedia membangunkan pekan antik itu.  
    

   







2 ulasan:

  1. Kekadang yang macam tu... SB. IM pernah jumpa!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Elok juga ambil tahu buah butir 'percakapan' golongan ini...he..he..

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."