Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label perayaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perayaan. Papar semua catatan

Isnin, 14 Oktober 2013

KERINTING RAMBUT

Salon gunting rambut ekslusif di Tingkat 2, Kompleks Beli Belah Ampang Point, Selangor umpama langit dengan bumi jika dibandingkan dengan kedai gunting rambut wanita di Pekan Tampin, Negeri Sembilan.

Buatlah perbandingan dari segi mana sekalipun - antara tukang gunting dan kerinting rambut, hiasan dalaman, aksesori dan lain- lain lagi. Tidak akan ada titik persamaan.

Apatah lagi jika perbandingan itu dibuat antara salon gunting rambut unisex di Tingkat 2, Kompleks Beli Belah Ampang Point itu (sekarang) dengan kedai gunting dan kerinting rambut wanita di Pekan Tampin, Negeri Sembilan yang pernah beroperasi lebih 4 dekad yang lalu.

Orang gila sahaja yang terfikir hendak membuat perbandingan antara kedua-dua kedai itu. Namun, ada satu persamaannya.

Setiap kali saya melewati salon gunting rambut unisex di Tingkat 2, Kompleks Beli Belah Ampang Point saya akan teringatkan arwah ibu dan adek perempuan saya ketika membuat persediaan menyambut Hari Raya lebih empat dekad yang lalu. Ketika itu saban tahun apabila menyambut Hari Raya, adek perempuan saya akan mengerintingkan rambutnya di Pekan Tampin, Negeri Sembilan. Saya turut menemankannya bersama arwah ibu.

Melalui pengalaman itulah sehingga sekarang saya masih 'menyimpan di dalam minda kehidupan' aroma bau cecair yang digunakan untuk mendandan atau mengerintingkan rambut di Pekan Tampin lebih empat dekad yang lalu.

Aroma bau cecair yang digunakan untuk mendandan rambut (termasuk mengerinting) rupa-rupanya tidak mengalami proses transformasi yang seiring dengan anjakan lain dalam busines dandanan rambut!

Aroma bau cecair yang digunakan oleh tukang gunting dan kerinting rambut yang amat menyenangkan di Pekan Tampin, Negeri Sembilan lebih empat dekad yang lalu adalah 100% sama dengan aroma bau yang terlepas dari pintu salon gunting rambut ekslusif berhawa dingin di Tingkat 2, Kompleks Beli Belah Ampang Point, Selangor yang ada sekarang.

Sehubungan ini, setiap kali melewati salon gunting rambut unisex di Tingkat 2, Kompleks Beli Belah Ampang Point, saya akan teringatkan momen-momen indah dan mengasyikkan suatu ketika dahulu. Saya juga secara spontan mengimbau semula betapa 'cantiknya' adek perempuan saya menggayakan fesyen rambut kerinting.

Jumaat, 9 Ogos 2013

01 SYAWAL DI KAMPUNG HALAMAN

01 SYAWAL 1434H(KHAMIS):

Ada sekurang-kurang tiga perkara yang jangan diambil mudah semasa menguruskan sesuatu majlis - Makan-minum, Alat Siaraya (PA System) dan Penyambut tetamu. 

Malangnya, alat siaraya (PA System) di masjid kampung saya pada 1 Syawal (Semalam) ' sangkut ' (tidak berfungsi). Alat tersebut cuma pulih ketika khutbah yang disampaikan oleh Imam 1 (Satu) hampir sampai ke penghujungnya.

Bagaimanapun, solat sunat Idilfitri dapat juga dijalankan dengan seadanya. Seperti tahun-tahun sebelumnya, bilangan jumaah ramai sehingga melimpah ke luar masjid.

Bersama dengan dua orang anak remaja saya, kami turut serta dalam majlis tahlil yang dijalankan selepas selesai khutbah Hari Raya. Majlis tahlil seperti ini adalah sesi tradisi masyarakat di kampung saya.

Selepas tahlil, jumaah dihidangkan dengan makanan yang dibawa oleh penduduk kampung. Memandangkan bilangan juadah yang tidak banyak, saya anak beranak tidak turut serta makan dengan jumaah yang lain.

Sebenarnya, ketika di zaman anak-anak dan awal remaja, majlis makan selepas sunat hari raya/tahlil adalah suasana yang ditunggu-tunggu oleh para jumaah terutamnya di kalangan anak-anak yang merantau . Ketika itu juadah terlalu banya kerana hampir setiap rumah membawa juadah masing-masing ke masjid.

Seingat saya ketika itu makanan yang dibawa selain dari lemang dan rendang Negeri Sembilan ada banyak lagi makanan yang membolehkan kita sangat-sangat ' beruntung' kerana mendapat juadah yang diingini - masak lemak daging salai, masak lemak ikan limbat salai, gulai daging landak, gulai burung, lauk belalang pindang buah bacang, nasi ulam, gulai tempoyak daun, lauk ikan sawah, gulai siput, ulaman (petai, kerdas & jering), masak lemak telur itik dan banyak lagi termasuk ' jeruk buah hutan' yang saya terlupa namanya. 

Dalam ' lautan jumaah ' yang ramai itu sebenarnya ramai yang saya tidak kenal. Banyak di antara mereka adalah segenerasi dengan anak-anak saya - menetap dan membesar di luar kampung ibu/bapa dan balik ke kampung sekali sekala.

Saya juga cuba mencari ' orang-orang tua ' di kampung sendiri. Namun, jumlahnya tidak banyak. Benarlah kata seorang kawan sebaya, " Yang kita anggap tua telah tiada (meninggal dunia), kitalah yang tua."

Rabu, 7 Ogos 2013

SELAMAT HARI RAYA IDILFITRI 1434H


RAKAN BLOGGER the ol' rascal


"SELAMAT HARI RAYA IDILFITRI 1434H"

Saya mengucapkan " SELAMAT HARI RAYA IDILFITRI 1434H " kepada semua rakan blogger dan pembaca yang pernah menjenguk blog saya. Segala kekurangan dari segi penyampaian adalah kelemahan saya. Saya minta maaf.

Saya juga berharap rakan blogger 'the ol' rascal.wordpress.com' di dalam kandungan sehat walafiat. 

Saya agak runsing sedikit kerana beliau yang selalu melontarkan pandangan dan kisah-kisah menarik melalui blog beliau tiba-tiba 'menghilangkan diri'. Entry terakhir beliau bertarikh 17 June 2013.

Khamis, 6 September 2012

YANG PERNAH DIBESAR DAN DIMULIAKAN

Hari ini, 6 September 2012 bersamaan hari ke-19 Syawal, organisasi tempat saya bertugas mengadakan majlis sambutan hari raya. Majlis sambutan hari raya seperti ini adalah amalan tradisi kami sejak berpuluh tahun yang lalu. 

Seperti majlis-majlis sambutan sebelumnya, sambutan pada tahun ini sangat 'happening'. Hebat dari segi tetamu yang diundang, program yang diatur dan juadah yang disediakan. Tetamu yang diundang termasuklah bapak menteri, VIP dan termasuk juga anak-anak yatim. Sebanyak 16 ekor kambing telah dikorbankan. Selain itu terdapat berbagai jenis makanan lain yang disediakan di khemah-khemah yang didirikan di sekeliling pejabat. Para pengunjung dihiburkan dengan 'live band' dan juga karaoke. Semua yang hadir berpuas hati dan tersenyum sampai ke telinga.

Di tengah kemeriahan sambutan hari raya tahun ini saya sempat memerhati kelibat seseorang. Beliau datang berseorangan dan memasuki kawasan bangunan pejabat 13 tingkat kami melalui pintu kecil di sebelah belakang . Beliau meletakkan kereta di tempat letak kereta kakitangan biasa. Saya, seorang kawan dan seorang pengawal keselamatan bertugas yang berada di situ sempat bersalaman dengan beliau. Mudahnya kehidupan beliau. Tiada protokol, tiada yang menyambut, tiada pengiring yang berlari anak mengiringi beliau, tiada kebesaran, tiada kemuliaan....... 

Kerana, segala kebesaran dan kemuliaan sedang berlangsung di pintu besar bangunan pejabat. Dari orang No. 1 hingga ke pelayan pejabat sedang menyambut ketibaan bapak menteri, timbalan menteri, ahli-ahli pihak berkuasa dan tetamu VIP yang lain. Selepas itu dengan hormatnya tetamu kehormat tersebut diiringi ke 'meja santapan khas VIP'. 

Beliau yang ditemani oleh dua tiga orang pegawai yang pernah bertugas di bawahnya, cuma memerhati sayu orang-orang hebat dari sebuah khemah untuk tetamu di kalangan orang biasa. Dengan diiringi oleh dua tiga orang pegawai tadi, beliau meninggalkan majlis yang masih meriah tanpa disedari oleh kebanyakkan pegawai dan kakitangan yang pernah berketuakannya.  

Beliau bukannya seperti Husni Mubarak atau Sadam Husin yang dibenci oleh rakyatnya. Beliau yang baru bersara setahun yang lalu sebagai 'Orang No.1' sangat disenangi oleh pegawai dan kakitangan sepanjang tempoh beliau memimpin organisasi kerajaan yang agak berpengaruh ini. 

Dosa beliau sehingga 'Tidak Dibesarkan dan Dimuliakan' lagi cuma kerana 'beliau tidak berpangkat lagi'. Beliau telah bersara. Itu sahaja. Namun demikian, diharapkan beliau tidak berkecil hati. Ini adalah hukum hidup sejagat yang akan dialami oleh pemimpin.     

Jumaat, 24 Ogos 2012

RAYA DI KAMPUNG FASA 2

01 Syawal – 02 Syawal 1433H pergerakan saya dan keluarga aktif dan berjalan lancar – ‘Two ways ticket Rembau – Masjid Tanah’.
Cuma anak-anak kurang selesa sedikit ketika berkunjung ke rumah seorang saudara terdekat di Masjid Tanah, Melaka. Mereka ‘boring’ dengan telatah saudara terdekat itu yang terlalu asyik, bersemangat dan amat berbangga dengan kerjaya seorang cucunya lulusan diploma sebuah institusi bukan IPTA. Saban tahun itulah cerita yang diulang-ulang.
Merasa bangga tidak salah. Yang salah ialah keterlaluan sehingga membawa kepada gejala riak.      
MENJENGUK RUMAH DI AMPANG
Pada hari ke-3 Syawal saya sendirian balik sebentar ke Ampang, Selangor kerana menjenguk keadaan rumah. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan teratur dan selamat. Petangnya balik semula ke Negeri Sembilan

Seawal pagi hari ke-4 Syawal, ada satu lagi fasa ketika bercuti menyambut hari raya di kampung tahun ini yang saya catatkan :
IKAN TALAPIA ORGANIK

Ketika balik ke kampung saya selalu membeli ikan talapia yang diusahakan oleh seorang penduduk kampung yang diusia pertengahan 40-an ini. Justeru itu, seawal pagi saya telah sampai di kolam itu. Menariknya, kolam ikan yang terletak betul-betul di kaki Gunung Datuk (Gunung Rembau) ini mendapat punca bekalan air bersih dan sejuk dari anak air pergunungan. Dari kolam ikan pengusaha tersebut juga kita dapat saksikan puncak Gunung Datuk dengan jelas. Pengusaha kolam ikan yang peramah itu meminjamkan saya teropongnya (bonocular) untuk melihat fenomena puncak gunung dan lataran persekitaran alam semula jadi yang indah.
Pengusaha kolam ikan yang pernah merantau ke beberapa tempat termasuk Sabah dan Sarawak itu banyak bercerita mengenai pengalamannya merantau di negeri orang. Dia mengambil keputusan menetap di kampung untuk mengusahakan kolam ikan itu sejak dua tahun yang lalu.
DAGING PEKASAM
Pengusaha kolam ikan itu memberitahu saya arah rumah seorang penduduk kampung yang menjual daging pekasam setelah mengetahui betapa obsesnya saya untuk mendapatkan makanan tradisi itu. Kebetulan sedang kami berbual, seorang kawan sepejabat datang ke kolam itu hendak membeli ikan. Dia juga bersemangat hendak mendapatkan daging pekasam. Kami tersengih suka hati kerana akhirnya dapat juga membeli makanan tradisi yang eksotik itu.   
BERKUNJUNG KE TELAPAK KAMPUNG HALAMAN ARWAH DATUK DI KAMPUNG BONGEK
Walaupun agak lambat sedikit,  saya dua beradik dan keluarga masing-masing berkunjung juga ke rumah saudara di telapak kampung halaman arwah datuk (di sebelah ibu) di Kampung Bongek. Kawasan rumah berpagar dawai yang menempatkan dua buah rumah itu diselenggara dengan dengan baik dan bersih persis homestay.

Secara kebetulan di hadapan rumah terdapat ‘tobek’ (kolam) yang sarat dengan tumbuhan teratai yang sedang berbunga yang menambahcantikan persekitaran di situ. Rumah pertama ialah rumah tua tempat arwah datuk dilahirkan dan membesar. Sebuah rumah lagi di bina oleh keluarga arwah adik perempuan datuk. Kedua-dua buah rumah tersebut kini didudukki oleh anak-anak perempuan kepada arwah adik perempuan datuk saya.  Topik perbualan saya dengan dua orang Emak Saudara Sepupu (Sepupu kepada ibu saya) yang mendiami kedua-dua rumah pusaka itu pada ziarah kali ini banyak menjurus kepada salasilah keturunan keluarga kami. Melaui mereka saya baru mengetahui bahawa beberapa individu sebenarnya mempunyai perhubungan persaudaraan dengan kami. Di antara yang mengesankan saya ialah betapa sebuah keluarga yang kehidupannya sangat susah yang kami kenali sebagai kenalan biasa sebenarnya ialah saudara terdekat.
Saya percaya senario ‘tidak kenal saudara’ ini bukan sahaja berlaku kepada kami tetapi juga kepada anda dan khalayak lain. Inilah yang saya ungkapkan, “ Jadi orang terkenal, tokoh dan berpengaruh, saudara akan datang dan mengaku anda sebagai saudara“.         
BERKUNJUNG KE TELAPAK KAMPUNG HALAMAN ARWAH AYAH DI KAMPUNG NERASAU
Kami ke Kampung Nerasau untuk menziarah satu-satunya adik perempuan kandung arwah ayah yang masih hidup. Beliau, seorang pesara guru diusia 70-an. Suaminya telah meninggal dunia setahun yang lepas. Beliau tinggal bersama keluarga anak kakaknya yang dijadikan sebagai anak angkat.    
Saya pernah menulis catatan mengenai seorang alim dari Kampung Nerasau, Lebai Muhammad Haris bin Ahmad. Mualim ini telah merentas Selat Melaka untuk berdakwah serta mengembangkan Tarikat Ahmadiah di kepulauan Riau/Siak. Lebai Muhammad Haris bin Ahmad juga ialah datuk saudara kepada tokoh ulama muda Negeri Sembilan, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin.
Pada kesempatan yang ada, saya bertanya kepada ibu saudara saya itu mengenai ulama hebat tersebut – bagaimana latar belakang keluarganya, di mana telapak rumahnya dan lain-lain lag. Ibu saudara saya memberitahu bahawa ulamak tersebut ialah sepupunya (termasuk juga sepupu arwah ayah saya). Saya menumpang bangga. Saya juga sempat mengunjungi Masjid Kariah Nerasau yang letaknya tidak beberapa jauh dari rumah ibu saudara saya. Diceritakan bahawa ulama Lebai Muhammad Haris bin Ahmad sinonim dengan masjid tersebut dalam usaha beliau mendekatkan diri dengan Allah.
BERKUNJUNG KE RUMAH ANAK ANGKAT ARWAH DATUK DI PORT DICKSON
Kunjungan kami ke Port Dickson boleh dikatakan sebagai kunjungan balas kerana keluarga anak angkat datuk saya dan seisi keluarganya telah datang ke rumah kami seawal 01 Syawal. Anak angkat datuk saya ini, 64 tahun, ialah seorang ahli perniagaan bergelar ‘Dato’. Perhubungan di antara keluarga kami telah berjalan sejak lebih 20 tahun yang lalu. Melalui suatu tempoh yang lama itu saya dapat saksikan turun-naik dan kejayaan beliau dalam perniagaan. Dari menyewa rumah kos rendah kini ke banglow. Sebenarnya dia dan isterinya bukan anak watan Negeri Sembilan. Beliau berasal dari Batu Pahat, Johor dan isterinya dari Kota Bharu, Kelantan.  
Bagaimanapun, inilah yang dikatakan takdir hidup. Tanpa disangka-sangka dia diserang penyakit yang tidak dapat dikategorikan dengan jelas jenis penyakitnya sejak setahun yang lalu. Dia separuh hilang ingatan dan sukar berjalan. Dia juga tidak boleh berkomunikasi dengan sesiapa. Sungguh pun demikian, dari segi klinikalnya, dia disahkan tidak mengahadapi sebarang masalah kesihatan.
Sehubungan ini, pihak keluarganya juga berusaha melalui kaedah perubatan alternatif. Setakat ini masih belum mendatangkan hasil yang diharapkan. Keluarganya berhajat hendak berubat dengan Prof. Dr Harun Din Darul-Shifaq di Bangi pula. Secara kebetulan salah seorang anak kampung kami ialah pembantu Dr Harun yang menguruskan temu janji dengan tokoh akademik, agama, perubatan Islam dan politik itu. Saya berjanji akan menguruskan temu janji dengan Dr Harun Din melalui pembantu beliau yang juga orang kampung saya itu.
BALIK SEMULA KE AMPANG, SELANGOR PADA 05 SYAWAL 1433H
Rancangan awal kami sekeluarga hendak balik ke Ampang pada pagi 05 Syawal. Bagaimanapun, seperti kebiasaannya rancangan awal tidak pernah dipatuhi. Kami bertolak balik pukul 6.30 petang mengikut lebuhraya LEKAS. Kami singgah menunaikan solat Maghrib di Perhentian Beranang. Kami bercadang hendak singgah makan malam di warung ‘favourite’ di Hulu Langat tetapi ‘warung itu masih berhari raya’. Akhirnya, singgah di satu-satunya warung yang telah dibuka dalam laluan kami ke rumah.

Alhamdulillah, kami selamat sampai di Ampang jam 9.30 malam. Keadaan di rumah juga selamat dari tetamu yang tidak diundang. Bagaimanapun, sedih dan sayu juga meninggalkan keluarga di kampung setelah bersama hampir satu minggu. Paling mengingatkan ialah keletah dua orang cucu saudara, Amirul (5 tahun) dan Ayra (3 tahun) yang comel dan petah bercakap. Amat menyeronokkan mengintai Amirul menunaikan solat. Dia membaca dengan kuat. Bacaannya betul dan lengkap. Kami juga seronok-bangga mendengar dia membaca doa dalam bahasa Inggeris. Juga kata-kata si adik, Ayra yang selalu mengucapkan ungkapan, “Please speak English” atau “Cannot go home”, yaani mengajuk kata-kata yang diucapkan oleh guru tadikanya. Selain itu, unsur positif atau negatif kerana menonton rancangan karton juga sangat mempengaruhi mereka berdua. Sedemikian terkeluarlah istilah-istilah seperti “Ele, bersoleklah tu”, “Boboiboy”,”Mail bin Ismail”, “Tak guna”,"Barulah anak jantan" , "Anak lelaki tidak menangis" dan “Padan muka”. 
 

Selasa, 21 Ogos 2012

HARI RAYA DI KAMPUNG : REMBAU-MASJID TANAH

Walaupun berlainan negeri, jarak kampung saya di selatan Negeri Sembilan dengan kampung isteri di Masjid Tanah, Melaka, cuma 20 minit perjalanan sahaja. Isteri saya sekampung dengan isteri Menteri Pertahanan Datuk Dr Zahid Hamidi. Isteri bekas Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Emran juga berasal dari kampung yang sama. Beruntunglah mereka yang dimuliakan dan dibesarkan kerana sekurang-kurangnya saudara mara dan kawan-kawan dapat menumpang bangga. Isteri saya pasti akan mengitar semula maklumat dan dengan bangganya mengaku bahawa isteri Menteri Pertahanan itu ialah rakan sekampung dan rakan sekolahnya. Begitu juga dengan isteri Datuk Emran.
RAKAN SEKAMPUNG DAN SEKOLAH ISTERI
Tidak dinafikan bahawa walaupun berlainan darjat mereka masih mesra ketika sesekali berjumpa di sesuatu majlis di Masjid Tanah, Melaka. Benarlah kata pepatah, “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Suami kepada isteri saya pun apa kurangnya, part time blogger!
WIN WIN SITUATION
Mungkin di atas faktor ‘one way street’ dalam perjalanan balik ke kampung masing-masing ini, dan mengambil kira saya cuma dua beradik berbanding di sebelah isteri yang mempunyai lapan orang adik beradik, isteri saya merestui kami sekeluarga berhari raya di kampung saya dahulu. Sungguh pun demikian, selambat-lambatnya pada petang hari raya kedua kami mesti bertolak ke Masjid Tanah. Ini peraturan mandatori ‘win win’. Inilah ‘routine’ kami sekeluarga sejak dahulu. Jangan ditanya siapa yang mendapat sedikit kelebihan kerana tiada keadilan yang mutlak dalam real kehidupan ini.   
SOLAT SUNAT IDILFITRI
Ketika hendak memulakan solat, Tuan Imam masjid mengingatkan semula para jumaah mengenai cara-cara menunaikan solat sunat idilfitri. Berlaku sedikit kelucuan kerana Tuan Imam beberapa kali membacakan doa berbuka puasa ketika hendak memberitahu lafaz niat solat sunat idilfitri kepada jumaah.
TEKS KHUTBAH BAHASA MELAYU STANDARD ‘DINEGERISEMBILANKAN’
Saya akui bahawa kadang-kadang saya agak berlebihan sedikit dalam menonjolkan ‘keanaknegerian’ saya. Bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan Tuan Imam yang membaca khutbah hari raya, aras ‘keanaknegerian’ saya sebenarnya tidak kemana. Seingat saya, ketika membaca buku teks di sekolah dahulu, slanga butir-butir sebutan yang dibaca masih di dalam landasan Bahasa Melayu standard walaupun tidak terlepas sebanyak sedikit dari pengaruh loghat Negeri Sembilan. Bagaimanapun, berlainan sama sekali dengan bacaan Tuan Imam. Beliau, pertengahan 60-an, anak jati kampung yang tidak pernah keluar dari kampung membaca teks khutbah yang Bahasa Melayu standard ke loghat Negeri Sembilan seratus peratus. Saya percaya ‘orang semenda’ di kalangan bukan orang Negeri Sembilan atau generasi yang dibesarkan di bandar dan balik kampung sekali sekala sahaja amat sukar atau bahkan tidak memahami langsung buah butir yang dikhutbahkan oleh Tuan Imam.
DATO’ CHEF ISMAIL AHMAD ORANG KAMPUNG DEN
Selepas selesai solat idilfitri para jumaah mengambil tempat dengan bersandar ke dinding ruang dewan solat yang berbentuk empat segi bujur untuk mengadakan bacaan doa selamat dan tahlil arwah. Di kesempatan yang ada, anak jati yang menjadi kebanggaan seluruh penduduk kampung ini, Dato’ Chef Ismali Ahmad bersalaman dengan kesemua jumaah yang membentuk ‘bulatan’ empat segi bujur yang dinyatakan tadi. Benar, Dato’ Chef Ismail Ahmad amat rapat dengan penduduk kampung. Sehubungan ini, terpampang catatan di papan kenyataan masjid mengenai undangan ke majlis rumah terbuka di telapak rumah tua keluarga beliau pada hari raya kedua.
TOKOH DAN ORANG TERNAMA DI KALANGAN KELUARGA DATO CHEF ISMAIL
Sumbangan keluarga Dato’ Chef Ismail Ahmad dalam melahirkan tokoh-tokoh yang bukan sahaja membanggakan penduduk kampung tetapi juga terkenal di seluruh negara agak membanggakan. Saya katakan bahawa kelahiran tokoh-tokoh tersebut bertepatan dengan ‘theori alternate’ atau ‘theori selang’. Setakat ini telah menjadi sejarah bahawa tiga orang dari kalangan ahli keluarga beliau mengikut nasab sebelah ibu menjadi tokoh-tokoh yang dikenali dan ternama.
Ianya bermula dari Governor Melaka Ke-dua yang juga pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan Pertama, Tun Hj. Abdul Malik Yusuf, kemudian diikuti oleh anak saudaranya (anak saudara Tun Hj.Abdul Malek Yusuf), Dato’ Muhammad Jabil yang menjawat jawatan Ketua Pengarah Perhutanan di sekitar tahun 1980-an, dan kini Dato’ Chef Ismail Ahmad, seorang chef selebriti dan usahawan terkenal. Untuk lebih jelas ; Tun Hj. Abdul Malek Yusuf ialah datuk saudara dan Dato’ Muhammad Jabil pula ialah bapa saudara kepada Dato’ Chef Ismail. Inilah yang saya katakan ‘theori selang’ – Datuk Saudara – Bapa Saudara – Anak Saudara. Adakah akan lahir seorang lagi tokoh ternama di kalangan anak-anak kakak-kakak Dato’ Chef Ismail (Dato’ Chef Ismail tiada adik perempuan) pada masa yang akan datang?             
Saya sekeluarga dan keluarga adik perempuan adalah di antara pengunjung paling awal ke rumah terbuka Dato’ Chef Ismail pada hari raya kedua. Sebagai pengunjung awal kami berpeluang bergambar dengan beliau. Kami belum pernah lagi ke restoran ekslusif beliau, Restoran Rebung. Namun demikian, keenakkan masakan di rumah terbuka itu membenarkan segala sangkaan terhadap kehebatan beliau dalam bidang masakan.        
ZIARAH SAHABAT ARWAH IBU
Agama menyarankan kita berbuat baik dan menyantuni kawan-kawan baik yang masih hidup ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Pada hari kedua kami telah menziarah sahabat baik arwah ibu, Mak Cik Yam (bukan nama sebenar). Mak Cik Yam dan keluarga saya telah menjalin hubungan persahabatan yang sangat rapat. Beliaulah di antara individu yang banyak membantu semasa ibu saya sakit. Kepada keluarga kami jugalah beliau meluahkan perasaan ketika mengalami kepayahan dalam menjalani kehidupan. Begitulah juga sebaliknya.
Saya tidak mengetahui di mana silapnya Mak Cik Yam,hujung 60-an, dan suaminya yang kini tinggal berdua di rumah dalam keadaan seperti ada kekurangan, terpinggir dan sayu. Ketika kami datang, suaminya berbaring di katil kerana kurang sehat. Saya tidak melihat keceriaan pada kehidupannya dari dahulu hingga sekarang. Keadaan dalam rumahnya kosong – tiada perabut, tiada TV, tiada peti sejuk. Mak Cik Yam juga tidak ada menyediakan kueh mueh untuk sambutan hari raya.
Pasangan ini dari satu sisi sebenarnya sangat hebat. Ketiga-tiga orang anaknya cerdik. Yang paling tua, lelaki, mendapat biasiswa dan belajar di United Kingdom (UK) pada awal tahun 80-an. Malangnya, anak sulung mereka yang mengambil nama sempena seorang menteri itu dan umurnya kini di sekitar 45 – 48 tahun tidak balik ke tanah air semula. Tidak diketahui sebab sebenar anak mereka berbuat demikian. Saya masih ingat jawapan spontan suami Mak Cik Yam ketika ditanya mengenai jurusan yang diambil oleh anaknya. “S - - u (nama pertama anaknya) ambil jurusan apa?” “Business, biar balik nanti banyak bawa duit.”
Anak kedua dan ketiga (semuanya perempuan) Mak Cik Yam juga cerdik. Kedua-dua anak perempuannya lulusan Universiti Malaya dan kini menjawat jawatan kerajaan yang baik. Saya tidak menuduh anak-anak mengabaikan Mak Cik Yam dan suami. Saya cuma melihat secara zahir dan juga mengingat semula kata-kata berlapik yang pernah diluahkan oleh Mak Cik Yam mengenai kehidupannya. Sesungguhnya real kehidupan kadang-kadang tersasar jauh dari apa yang kita rancang.
ZIARAH BEKAS PEMBANTU KELUARGA
Selain dari menziarah saudara mara di sebelah isteri di Masjid Tanah, kami saban tahun menziarah bekas pembantu keluarga (saya tidak mahu menggunakan istilah pembantu rumah) keluarga kami. Ketika itu anak-anak masih kecil. Dia, seorang ibu tunggal bersama kami selama hampir 10 tahun. Dia terpaksa balik ke Melaka kerana perlu menjaga keluarga yang memerlukan jagaan rapi. Sedih juga kami sekeluarga ketika itu. Secara kebetulan, tidak lama selepas itu  ( di sekitar 2001) isteri saya ditawarkan VSS.
Sepanjang bersama kami, beliau kami berikan kuasa autonomi dalam menangani karenah anak-anak kami bertiga. Dia tidak kekok memarahi anak-anak kami. Sedemikian, anak-anak kami sangat rapat dengannya terutama anak emasnya, anak kami nombor dua. Mungkin di atas faktor inilah, anak kedua kami, 23 tahun dan sedang menjalani praktikal tahun akhir sangat manja dengannya, dan sedikit ‘bossy’ sehingga terbawa-bawa ke hari ini. Seingat saya dialah yang memasukkan buku-buku anak saya itu ke dalam beg sekolah, menyikatkan rambut, memakaikan pakaian, memakaikan kasut dan menggalas beg sekolah semasa menghantar anak-anak menunggu bas sekolah di hadapan rumah. Kesannya, anak kedua itu akan memeluk cium ‘ibu angkatnya’ itu pada setiap kali berjumpa. Anak kedua itu juga tidak berkira dengan ibu angkatnya. Dia tanpa ragu-ragu memberi sejumlah wang yang diperolehinya kerana kerja-kerja part time semasa cuti semester atau duit poket pinjaman pelajarannya sendiri.    
Hari ini, hari raya ke-3 saya dan keluarga masih berada di kampung. Walaupun demikian, selang sehari saya perlu menjenguk kucing-kucing di rumah di Ampang. Ini adalah di antara tugas berat yang mencabar dan tidak dapat dielakkan. Nasib baik Rembau – Ampang tidak jauh- sekitar 100 km sahaja - satu jam perjalanan – tidak mengapa – hati suka. Nak buek macam mano?
Banyak lagi agenda hari raya di kampung yang belum dilunaskan……….                      
   

Sabtu, 18 Ogos 2012

N.SEMBILAN : MANTAI, MOGANG


“Mantai, Mogang”. Mantai dan Mogang ialah dua ungkapan orang Negeri Sembilan yang berbeza maksud tetapi nuansa perbezaannya sangat kecil.
Mantai dalam maksud asal bererti kerja-kerja menyembelih kerbau secara gotong royong dan daging ( termasuk juga lain-lain komponen seperti hati, limpa dan paru) sembelihan dibahagi sama rata di kalangan penduduk. Pembahagian daging dibuat secara longgokan berdasarkan jumlah peserta mantai ( semua penduduk kampung ) tanpa menggunakan alat penimbang tetapi berdasarkan anggaran oleh seorang yang mahir. Kos membeli lembu ditanggung secara bersama oleh peserta mantai.   
Mogang bermakna satu hari sebelum 1 (satu) Ramadhan. Uniknya, di samping membuat lemang ketika menyambut 1 (satu) Syawal, penduduk Negeri Sembilan juga membuat lemang ketika hendak memulakan ibadah puasa, yaani pada hari ‘Mogang’. Pada hari ‘moganglah’ diadakan kerja-kerja ‘mantai’ (menyembelih kerbau) sebelum Ramadhan. Realitinya, kini ungkapan ‘Mogang’ jarang digunakan dan ramai generasi Negeri Sembilan hari in tidak mengetahui ‘apo bondonyo Mogang’(apa maknanya ‘Mogang’) itu.  
Pada masa dahulu anak-anak Negeri Sembilan yang merantau akan berusaha balik kampung pada hari ‘Mogang’ dan hari ‘Mantai’.
Bagaimanapun, pada umumnya dan setahu saya, ‘Mantai’ mengikut amalan asalnya tidak lagi diamalkan di Negeri Sembilan. Penduduk Negeri Sembilan hari ini ‘Mantai’ di pasar atau pondok-pondok menjual daging bermusim sahaja.  
Amalan membuat lemang sebelum mula berpuasa dan ketika menyambut hari raya (Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji) juga kurang dilakukan sekarang. Kebanyakkan penduduk Negeri Sembilan hari ini lebih suka membeli lemang yang dijual oleh penjual lemang amatur di musim perayaan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan kerja-kerja membuat lemang agak remeh, memerlukan kemahiran dan kesabaran.          
Oh…… negeri ku!

Rabu, 15 Ogos 2012

ANAK-ANAK ZAMAN DAHULU, ANAK-ANAK ZAMAN SEKARANG

Walaupun anak-anak telah meningkat remaja dan ada yang telah berkerjaya, sesekali saya masih bercerita kepada mereka mengenai kisah-kisah nostalgik di kampung asal usul tempat saya membesar. Saya seperti tidak memperdulikan kelebihan intelek, akademik dan sensitiviti mereka. Bagi saya, ini adalah kuasa ‘ekslusif’ seorang ayah. Siapa pun seorang anak, statusnya dengan ibu bapa perlu sehala - menghormati.

Ironinya, dalam kebanyakkan ‘sesi penceritaan’, anak-anak sepakat sesama mereka untuk tidak menyerlahkan sebarang reaksi, samada menyukai atau menyanggah. Ini bukan bermakna saya seorang ayah yang diktator. Sebaliknya, mereka mungkin ada mesej yang hendak disampaikan. He..he...

Di antara kisah-kisah lampau yang diceritakan ialah mengenai sambutan hari raya di masa saya masih anak-anak. Saya ceritakan betapa hebatnya anak-anak kampung di zaman itu membina jati diri sebagai 'anak jantan' dan memiliki kemahiran kemudi hidup yang tidak dimiliki oleh anak-anak hari ini.

Anak-anak lelaki zaman dahulu di usia semuda 10 -12 tahun boleh membuat sendiri meriam buluh karbaid. Mereka di usia semuda itu mencari dan menebang sendiri pokok-pokok buluh terpilih di hutan belantara tanpa campur tangan ibu bapa. Sekalipun demikian, permainan meletupkan meriam buluh karbaid dijalankan dengan selamat.Tiada yang ‘tertembak’ dan terbakar!

Anak-anak kampung juga proaktif dengan membuat sendiri pelita yang diperbuat daripada buluh atau tin susu. Dua lagi bahan asas ialah minyak tanah dan sumbu kain.

Kebanyakkan kanak-kanak perempuan zaman itu suka mengkerintingkan rambut ketika menyambut hari raya. Cecair yang digunakan mengkerintingkan rambut mempunyai aroma bau yang unik. Saya yang turut bersama arwah ibu menemankan adik perempuan ke kedai kerinting rambut di bandar akan teringat kenangan itu hingga ke hari ini pada setiap kali melintasi kedai gunting rambut wanita kerana keunikan aroma bau itu. Rupa-rupanya perubahan masa dan kepesatan teknologi tidak memberi kesan kepada elemen penting dalam dunia dandanan rambut iaitu aroma bau tersebut. Aroma bau itu masih sama seperti dahulu.   
         
Namun di sebalik maintain ‘macho’, anak-anak tersengih juga apabila saya menceritakan cara orang dahulu menjual air batu dalam bulan Ramadhan. Saya katakan bahawa orang kampung cuma dapat minuman air batu ketika bulan Ramadhan sahaja. Saya tidak tahu samada mereka percaya atau sebaliknya bahawa bungkah air batu yang dibeli di bandar akan diliputi dengan habuk papan dan disimpan dalam tanah sebelum dijual kepada penduduk kampung.

Melalui pengalaman, saya sedikit rimas melihat gelagat seorang anak kenalan berusia 12 tahun (Klas 6) yang asyik merengek meminta dibelikan gajet terkini dan mengajak ayahnya makan di Mac Donald sepanjang saya datang berziarah ke rumah kenalan itu. Ini sebenarnya bukan kes terpencil.

Di usia sedemikian, anak-anak kampung di zaman terdahulu telah boleh membuat alat-alat permainan yang tidak terfikirkan oleh anak-anak hari ini. Anak-anak di zaman terdahulu di usia 9 - 12 tahun boleh membuat sendiri senapang buluh peluru buah cenidai, lastik kayu meranti, pistol meniruk (menembak) ikan, kail pancing batang buluh yang diraut,membuat sangkar burung, membuat gasing dan berbagai lagi tanpa bantuan ibu bapa. Malah, seperti yang dinyatakan di atas, mereka boleh buat meriam buluh karbaid yang 'membinasa dan canggih' yang turut digeruni oleh 'George Bush'.

Anak-anak di zaman terdahulu juga boleh diharapkan. Mereka boleh diharapkan oleh ibu bapa untuk menjaga sekawanan kerbau di padang, membanting padi di sawah, menolong ibu bapa di ladang atau mengail ikan di sungai.            

Adalah tidak adil untuk membanding-bandingkan dua generasi secara melampau kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Lagi pun situasi terbina di atas paksi  pengaruh masa dan persekitaran yang sangat berbeza. Bagaimanapun, apakah agaknya yang akan diceritakan oleh anak-anak kita kepada anak-anak mereka yang juga cucu-cucu kita pada suatu waktu nanti?

Isnin, 30 Januari 2012

fenomena

Semalam, Ahad, 29 Januari, 2012 ketika menghantar putri bongsu balik ke Shah Alam kami singgah di Karnival Buku Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

Realitinya bukanlah sesuatu yang mudah untuk sampai ke tapak karnival. Bersusun-susun kereta di diletakkan sepanjang jalan dari berbagai arah laluan menuju ke tapak karnival. Manusianya pula berduyun-duyun bagai satu pesta besar. Begitulah gambarannya. Hebat.

Saya pada mulanya bercadang hendak meletakkan kereta kira-kira satu kilometer dari tapak karnival. Bagaimanapun, akhirnya saya memilih kaedah mainan 'Russian Roulette' - untung batu tenggelam, untung sabut timbul.

Alhamdulillah, kami amat bernasib baik kerana sebuah kereta hendak keluar sebaik sahaja kami sampai berhampiran tapak karnival. Kami, terutamanya isteri saya tersenyum sampai ke telinga. Syukur.

Saya tidak membeli sebarang buku. Isteri saya membeli beberapa buah buku masakan. Puteri bongsu kami juga tidak membeli sebarang buku. Baucar buku RM200.00 yang diterimanya tidak sedikit pun luak. Belum digunakan lagi.

Saya bertanya kepada anak gadis, "Kenapa tidak beli buku? Cuba tengok remaja yang lain, masing-masing begitu teruja , ada yang beli sampai penuh satu bakul."  

Jawabnya, "Adik (nama manjanya) tidak minat langsung dengan sastera.Banyak sangat berangan dan khayalan."

Waduh. Sombongnya dia.

Dia pula bertanya kepada saya, " Ayah pula kenapa tidak beli?"

"Malu, berebut dengan gadis-gadis remaja," saya menjawab.

Saya dapati bahawa hampir lapan puluh peratus pengunjung di gerai jualan buku ialah remaja perempuan. Amat sedikit remaja lelaki. Golongan dewasa juga tidak ramai. Pada pemerhatian saya, hampir semua buku-buku yang dipamirkan ialah novel-novel bertemakan cinta. 

Saya mengagak bahawa kebanyakkan remaja yang mengunjungi karnival tersebut ialah pelajar IPTA dan IPTS di sekitar Shah Alam, Selangor. Ada sesuatu yang berlegar-legar di minda tua saya, " Adakah remaja hari ini dilanda sindrom membaca novel-novel cinta? Atau fenomena novel cinta?

Setelah menghantar anak ke kediamannya, seperti biasa saya dan isteri singgah di rumah kakak ipar di Seksyen 18, Shah Alam. Kami meninggalkan rumah kakak ipar jam 9.30 malam. Dalam perjalanan balik ke Ampang kami melalui Masjid Negeri Selangor.

Saya baru teringat bahawa ada ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Negeri Selangor.

Di perenggan atas saya menggambarkan bahawa "Bersusun-susun kereta di diletakkan sepanjang jalan dari berbagai arah laluan menuju ke tapak karnival. Manusianya pula berduyun-duyun bagai satu pesta besar. Begitulah gambarannya. Hebat."  

Sebaliknya, apa yang saya lihat di laluan sepanjang jalan ke Masjid Negeri Selangor dan selepasnya jauh lebih hebat dari yang saya saksikan di karnival buku petang tadi. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa penduduk Shah Alam dilanda "Fenomena Ustaz Azhar Idrus". Bagaimanapun, fenomena Ustaz Azhar Idrus dikatakan bukan sahaja melanda Shah Alam, tetapi juga ke seluruh negara.

Benarkah begitu?



crystal, batu pahat.
30 januari 2012