Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 24 Ogos 2012

RAYA DI KAMPUNG FASA 2

01 Syawal – 02 Syawal 1433H pergerakan saya dan keluarga aktif dan berjalan lancar – ‘Two ways ticket Rembau – Masjid Tanah’.
Cuma anak-anak kurang selesa sedikit ketika berkunjung ke rumah seorang saudara terdekat di Masjid Tanah, Melaka. Mereka ‘boring’ dengan telatah saudara terdekat itu yang terlalu asyik, bersemangat dan amat berbangga dengan kerjaya seorang cucunya lulusan diploma sebuah institusi bukan IPTA. Saban tahun itulah cerita yang diulang-ulang.
Merasa bangga tidak salah. Yang salah ialah keterlaluan sehingga membawa kepada gejala riak.      
MENJENGUK RUMAH DI AMPANG
Pada hari ke-3 Syawal saya sendirian balik sebentar ke Ampang, Selangor kerana menjenguk keadaan rumah. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan teratur dan selamat. Petangnya balik semula ke Negeri Sembilan

Seawal pagi hari ke-4 Syawal, ada satu lagi fasa ketika bercuti menyambut hari raya di kampung tahun ini yang saya catatkan :
IKAN TALAPIA ORGANIK

Ketika balik ke kampung saya selalu membeli ikan talapia yang diusahakan oleh seorang penduduk kampung yang diusia pertengahan 40-an ini. Justeru itu, seawal pagi saya telah sampai di kolam itu. Menariknya, kolam ikan yang terletak betul-betul di kaki Gunung Datuk (Gunung Rembau) ini mendapat punca bekalan air bersih dan sejuk dari anak air pergunungan. Dari kolam ikan pengusaha tersebut juga kita dapat saksikan puncak Gunung Datuk dengan jelas. Pengusaha kolam ikan yang peramah itu meminjamkan saya teropongnya (bonocular) untuk melihat fenomena puncak gunung dan lataran persekitaran alam semula jadi yang indah.
Pengusaha kolam ikan yang pernah merantau ke beberapa tempat termasuk Sabah dan Sarawak itu banyak bercerita mengenai pengalamannya merantau di negeri orang. Dia mengambil keputusan menetap di kampung untuk mengusahakan kolam ikan itu sejak dua tahun yang lalu.
DAGING PEKASAM
Pengusaha kolam ikan itu memberitahu saya arah rumah seorang penduduk kampung yang menjual daging pekasam setelah mengetahui betapa obsesnya saya untuk mendapatkan makanan tradisi itu. Kebetulan sedang kami berbual, seorang kawan sepejabat datang ke kolam itu hendak membeli ikan. Dia juga bersemangat hendak mendapatkan daging pekasam. Kami tersengih suka hati kerana akhirnya dapat juga membeli makanan tradisi yang eksotik itu.   
BERKUNJUNG KE TELAPAK KAMPUNG HALAMAN ARWAH DATUK DI KAMPUNG BONGEK
Walaupun agak lambat sedikit,  saya dua beradik dan keluarga masing-masing berkunjung juga ke rumah saudara di telapak kampung halaman arwah datuk (di sebelah ibu) di Kampung Bongek. Kawasan rumah berpagar dawai yang menempatkan dua buah rumah itu diselenggara dengan dengan baik dan bersih persis homestay.

Secara kebetulan di hadapan rumah terdapat ‘tobek’ (kolam) yang sarat dengan tumbuhan teratai yang sedang berbunga yang menambahcantikan persekitaran di situ. Rumah pertama ialah rumah tua tempat arwah datuk dilahirkan dan membesar. Sebuah rumah lagi di bina oleh keluarga arwah adik perempuan datuk. Kedua-dua buah rumah tersebut kini didudukki oleh anak-anak perempuan kepada arwah adik perempuan datuk saya.  Topik perbualan saya dengan dua orang Emak Saudara Sepupu (Sepupu kepada ibu saya) yang mendiami kedua-dua rumah pusaka itu pada ziarah kali ini banyak menjurus kepada salasilah keturunan keluarga kami. Melaui mereka saya baru mengetahui bahawa beberapa individu sebenarnya mempunyai perhubungan persaudaraan dengan kami. Di antara yang mengesankan saya ialah betapa sebuah keluarga yang kehidupannya sangat susah yang kami kenali sebagai kenalan biasa sebenarnya ialah saudara terdekat.
Saya percaya senario ‘tidak kenal saudara’ ini bukan sahaja berlaku kepada kami tetapi juga kepada anda dan khalayak lain. Inilah yang saya ungkapkan, “ Jadi orang terkenal, tokoh dan berpengaruh, saudara akan datang dan mengaku anda sebagai saudara“.         
BERKUNJUNG KE TELAPAK KAMPUNG HALAMAN ARWAH AYAH DI KAMPUNG NERASAU
Kami ke Kampung Nerasau untuk menziarah satu-satunya adik perempuan kandung arwah ayah yang masih hidup. Beliau, seorang pesara guru diusia 70-an. Suaminya telah meninggal dunia setahun yang lepas. Beliau tinggal bersama keluarga anak kakaknya yang dijadikan sebagai anak angkat.    
Saya pernah menulis catatan mengenai seorang alim dari Kampung Nerasau, Lebai Muhammad Haris bin Ahmad. Mualim ini telah merentas Selat Melaka untuk berdakwah serta mengembangkan Tarikat Ahmadiah di kepulauan Riau/Siak. Lebai Muhammad Haris bin Ahmad juga ialah datuk saudara kepada tokoh ulama muda Negeri Sembilan, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin.
Pada kesempatan yang ada, saya bertanya kepada ibu saudara saya itu mengenai ulama hebat tersebut – bagaimana latar belakang keluarganya, di mana telapak rumahnya dan lain-lain lag. Ibu saudara saya memberitahu bahawa ulamak tersebut ialah sepupunya (termasuk juga sepupu arwah ayah saya). Saya menumpang bangga. Saya juga sempat mengunjungi Masjid Kariah Nerasau yang letaknya tidak beberapa jauh dari rumah ibu saudara saya. Diceritakan bahawa ulama Lebai Muhammad Haris bin Ahmad sinonim dengan masjid tersebut dalam usaha beliau mendekatkan diri dengan Allah.
BERKUNJUNG KE RUMAH ANAK ANGKAT ARWAH DATUK DI PORT DICKSON
Kunjungan kami ke Port Dickson boleh dikatakan sebagai kunjungan balas kerana keluarga anak angkat datuk saya dan seisi keluarganya telah datang ke rumah kami seawal 01 Syawal. Anak angkat datuk saya ini, 64 tahun, ialah seorang ahli perniagaan bergelar ‘Dato’. Perhubungan di antara keluarga kami telah berjalan sejak lebih 20 tahun yang lalu. Melalui suatu tempoh yang lama itu saya dapat saksikan turun-naik dan kejayaan beliau dalam perniagaan. Dari menyewa rumah kos rendah kini ke banglow. Sebenarnya dia dan isterinya bukan anak watan Negeri Sembilan. Beliau berasal dari Batu Pahat, Johor dan isterinya dari Kota Bharu, Kelantan.  
Bagaimanapun, inilah yang dikatakan takdir hidup. Tanpa disangka-sangka dia diserang penyakit yang tidak dapat dikategorikan dengan jelas jenis penyakitnya sejak setahun yang lalu. Dia separuh hilang ingatan dan sukar berjalan. Dia juga tidak boleh berkomunikasi dengan sesiapa. Sungguh pun demikian, dari segi klinikalnya, dia disahkan tidak mengahadapi sebarang masalah kesihatan.
Sehubungan ini, pihak keluarganya juga berusaha melalui kaedah perubatan alternatif. Setakat ini masih belum mendatangkan hasil yang diharapkan. Keluarganya berhajat hendak berubat dengan Prof. Dr Harun Din Darul-Shifaq di Bangi pula. Secara kebetulan salah seorang anak kampung kami ialah pembantu Dr Harun yang menguruskan temu janji dengan tokoh akademik, agama, perubatan Islam dan politik itu. Saya berjanji akan menguruskan temu janji dengan Dr Harun Din melalui pembantu beliau yang juga orang kampung saya itu.
BALIK SEMULA KE AMPANG, SELANGOR PADA 05 SYAWAL 1433H
Rancangan awal kami sekeluarga hendak balik ke Ampang pada pagi 05 Syawal. Bagaimanapun, seperti kebiasaannya rancangan awal tidak pernah dipatuhi. Kami bertolak balik pukul 6.30 petang mengikut lebuhraya LEKAS. Kami singgah menunaikan solat Maghrib di Perhentian Beranang. Kami bercadang hendak singgah makan malam di warung ‘favourite’ di Hulu Langat tetapi ‘warung itu masih berhari raya’. Akhirnya, singgah di satu-satunya warung yang telah dibuka dalam laluan kami ke rumah.

Alhamdulillah, kami selamat sampai di Ampang jam 9.30 malam. Keadaan di rumah juga selamat dari tetamu yang tidak diundang. Bagaimanapun, sedih dan sayu juga meninggalkan keluarga di kampung setelah bersama hampir satu minggu. Paling mengingatkan ialah keletah dua orang cucu saudara, Amirul (5 tahun) dan Ayra (3 tahun) yang comel dan petah bercakap. Amat menyeronokkan mengintai Amirul menunaikan solat. Dia membaca dengan kuat. Bacaannya betul dan lengkap. Kami juga seronok-bangga mendengar dia membaca doa dalam bahasa Inggeris. Juga kata-kata si adik, Ayra yang selalu mengucapkan ungkapan, “Please speak English” atau “Cannot go home”, yaani mengajuk kata-kata yang diucapkan oleh guru tadikanya. Selain itu, unsur positif atau negatif kerana menonton rancangan karton juga sangat mempengaruhi mereka berdua. Sedemikian terkeluarlah istilah-istilah seperti “Ele, bersoleklah tu”, “Boboiboy”,”Mail bin Ismail”, “Tak guna”,"Barulah anak jantan" , "Anak lelaki tidak menangis" dan “Padan muka”. 
 

7 ulasan:

  1. salam bang ,, salah seorg adik abg sebayu dgn sey dan mr syawal porjo... di kesempatan ni sey nak ucapkan selamat hari ghayo semogo ghayo tahun dapek yg terbaekkk,,,, lagi satu bang , sey nak ajak abg n family abg datang ko ghumah sey pado 1/9 ,, sey nak buek kenduri nikah kan anak pompuan sey ,, harap jiko abg ada masa ,, jomput datang ,,,, di alamat kg Bintongan Ghombau Nismilan,,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Oncu,

      Ya,Mr Shawal Parjo sebayo adik sey.Adik sey dah bercucu.Anak sey yg tuo lelaki - baru bertunang.

      1/9/12 tu samo dgn majlis saudara sey di Gombak - dapek Minang Gombak. Bagaimanapun, Terima kasih & selamat mendapat menantu.

      Padam
  2. Ujang Kutik,

    Lalu saya sambungmembaca bahagian kedua catatan raya aidil fitri 2012 saudara.

    Ia seolah catatan kembara 4x4 trans rembau-masjid tanah..haha. Part time blogger dah jadi macam seorang pro blogger ..ekeke. Teruskan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      T.Kasih kerana membaca sinambung catatan hari raya.Mungkin di kampung banyak masa,tenang dan mudah dapat ilham. Cuma endingnya sahaja ditamatkan di Ampang.

      Saudara & kawan-kawan beritahu catatan panjang-panjang malas nak dibaca.Saya beruntung kerana sdr (rakan blogger)sudi melayan catatan seperti ini.

      Bagaimanapun, ini hobi peribadi dan kepuasan peribadi 'yg tidak menghiraukan apa orang kata'.Mungkin hobi ini sedarjat dengan hobi memancing atau hobi memikat burung. Ini hobi alaf baru! He..he He...he

      Bagaimanapun, jangan kita lupakan tangga surau selepas all out dalam bulan Ramadhan. Saya ada ambil gambar orang solat Maghrib di sebuah masjid selepas Ramadhan - seorang imam dan seorang makmum!

      Padam
  3. Asslmkm. Sya nk tau la mcm mne nk buat daging pekasam tu. hrp dpt bg tau cara dan resepi dye. Terima kasih.

    BalasPadam
  4. tuan
    jika bolih bagi no telpon orang yang jual DAGING PEKASAM , atau alamt atau cara nk kesana
    kami teramat sukakan , tolong tuan

    BalasPadam
  5. Tanpa Nama,

    Saya simpati dengan anda kerana sekarang agak sukar mendapatkan makanan ' eksotik'.

    Saya tiada nama telefon nama pengusaha itu. Bagaimanapun, jika Tuan/Puan biasa dengan sekitar Pekan Kota - Kg. Perah- Ulu Gadung saya boleh berikan petunjuk:

    Dari Pekan Kota ke Kg. Perah (kurang 1 kilometer), ikut kiri melalui Jalan Kg. Perah - Gadung - Bongek. Sekitar 500 kilometer tuan akan melalui jalan baharu yang melintasi jalan keretapi. Apabila menurun - di sebelah kanan kolam ikan- di sebelah kiri tanah perkuburan. Ikut susur jalan yang melewati tanah perkuburan dan kampung itu. Tuan/puan tanyalah mana-mana penduduk kampung yang ditemui. Insya Allah mereka akan membantu.

    Semoga saya dapat membantu.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."