Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 21 Ogos 2012

HARI RAYA DI KAMPUNG : REMBAU-MASJID TANAH

Walaupun berlainan negeri, jarak kampung saya di selatan Negeri Sembilan dengan kampung isteri di Masjid Tanah, Melaka, cuma 20 minit perjalanan sahaja. Isteri saya sekampung dengan isteri Menteri Pertahanan Datuk Dr Zahid Hamidi. Isteri bekas Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Emran juga berasal dari kampung yang sama. Beruntunglah mereka yang dimuliakan dan dibesarkan kerana sekurang-kurangnya saudara mara dan kawan-kawan dapat menumpang bangga. Isteri saya pasti akan mengitar semula maklumat dan dengan bangganya mengaku bahawa isteri Menteri Pertahanan itu ialah rakan sekampung dan rakan sekolahnya. Begitu juga dengan isteri Datuk Emran.
RAKAN SEKAMPUNG DAN SEKOLAH ISTERI
Tidak dinafikan bahawa walaupun berlainan darjat mereka masih mesra ketika sesekali berjumpa di sesuatu majlis di Masjid Tanah, Melaka. Benarlah kata pepatah, “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Suami kepada isteri saya pun apa kurangnya, part time blogger!
WIN WIN SITUATION
Mungkin di atas faktor ‘one way street’ dalam perjalanan balik ke kampung masing-masing ini, dan mengambil kira saya cuma dua beradik berbanding di sebelah isteri yang mempunyai lapan orang adik beradik, isteri saya merestui kami sekeluarga berhari raya di kampung saya dahulu. Sungguh pun demikian, selambat-lambatnya pada petang hari raya kedua kami mesti bertolak ke Masjid Tanah. Ini peraturan mandatori ‘win win’. Inilah ‘routine’ kami sekeluarga sejak dahulu. Jangan ditanya siapa yang mendapat sedikit kelebihan kerana tiada keadilan yang mutlak dalam real kehidupan ini.   
SOLAT SUNAT IDILFITRI
Ketika hendak memulakan solat, Tuan Imam masjid mengingatkan semula para jumaah mengenai cara-cara menunaikan solat sunat idilfitri. Berlaku sedikit kelucuan kerana Tuan Imam beberapa kali membacakan doa berbuka puasa ketika hendak memberitahu lafaz niat solat sunat idilfitri kepada jumaah.
TEKS KHUTBAH BAHASA MELAYU STANDARD ‘DINEGERISEMBILANKAN’
Saya akui bahawa kadang-kadang saya agak berlebihan sedikit dalam menonjolkan ‘keanaknegerian’ saya. Bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan Tuan Imam yang membaca khutbah hari raya, aras ‘keanaknegerian’ saya sebenarnya tidak kemana. Seingat saya, ketika membaca buku teks di sekolah dahulu, slanga butir-butir sebutan yang dibaca masih di dalam landasan Bahasa Melayu standard walaupun tidak terlepas sebanyak sedikit dari pengaruh loghat Negeri Sembilan. Bagaimanapun, berlainan sama sekali dengan bacaan Tuan Imam. Beliau, pertengahan 60-an, anak jati kampung yang tidak pernah keluar dari kampung membaca teks khutbah yang Bahasa Melayu standard ke loghat Negeri Sembilan seratus peratus. Saya percaya ‘orang semenda’ di kalangan bukan orang Negeri Sembilan atau generasi yang dibesarkan di bandar dan balik kampung sekali sekala sahaja amat sukar atau bahkan tidak memahami langsung buah butir yang dikhutbahkan oleh Tuan Imam.
DATO’ CHEF ISMAIL AHMAD ORANG KAMPUNG DEN
Selepas selesai solat idilfitri para jumaah mengambil tempat dengan bersandar ke dinding ruang dewan solat yang berbentuk empat segi bujur untuk mengadakan bacaan doa selamat dan tahlil arwah. Di kesempatan yang ada, anak jati yang menjadi kebanggaan seluruh penduduk kampung ini, Dato’ Chef Ismali Ahmad bersalaman dengan kesemua jumaah yang membentuk ‘bulatan’ empat segi bujur yang dinyatakan tadi. Benar, Dato’ Chef Ismail Ahmad amat rapat dengan penduduk kampung. Sehubungan ini, terpampang catatan di papan kenyataan masjid mengenai undangan ke majlis rumah terbuka di telapak rumah tua keluarga beliau pada hari raya kedua.
TOKOH DAN ORANG TERNAMA DI KALANGAN KELUARGA DATO CHEF ISMAIL
Sumbangan keluarga Dato’ Chef Ismail Ahmad dalam melahirkan tokoh-tokoh yang bukan sahaja membanggakan penduduk kampung tetapi juga terkenal di seluruh negara agak membanggakan. Saya katakan bahawa kelahiran tokoh-tokoh tersebut bertepatan dengan ‘theori alternate’ atau ‘theori selang’. Setakat ini telah menjadi sejarah bahawa tiga orang dari kalangan ahli keluarga beliau mengikut nasab sebelah ibu menjadi tokoh-tokoh yang dikenali dan ternama.
Ianya bermula dari Governor Melaka Ke-dua yang juga pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan Pertama, Tun Hj. Abdul Malik Yusuf, kemudian diikuti oleh anak saudaranya (anak saudara Tun Hj.Abdul Malek Yusuf), Dato’ Muhammad Jabil yang menjawat jawatan Ketua Pengarah Perhutanan di sekitar tahun 1980-an, dan kini Dato’ Chef Ismail Ahmad, seorang chef selebriti dan usahawan terkenal. Untuk lebih jelas ; Tun Hj. Abdul Malek Yusuf ialah datuk saudara dan Dato’ Muhammad Jabil pula ialah bapa saudara kepada Dato’ Chef Ismail. Inilah yang saya katakan ‘theori selang’ – Datuk Saudara – Bapa Saudara – Anak Saudara. Adakah akan lahir seorang lagi tokoh ternama di kalangan anak-anak kakak-kakak Dato’ Chef Ismail (Dato’ Chef Ismail tiada adik perempuan) pada masa yang akan datang?             
Saya sekeluarga dan keluarga adik perempuan adalah di antara pengunjung paling awal ke rumah terbuka Dato’ Chef Ismail pada hari raya kedua. Sebagai pengunjung awal kami berpeluang bergambar dengan beliau. Kami belum pernah lagi ke restoran ekslusif beliau, Restoran Rebung. Namun demikian, keenakkan masakan di rumah terbuka itu membenarkan segala sangkaan terhadap kehebatan beliau dalam bidang masakan.        
ZIARAH SAHABAT ARWAH IBU
Agama menyarankan kita berbuat baik dan menyantuni kawan-kawan baik yang masih hidup ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Pada hari kedua kami telah menziarah sahabat baik arwah ibu, Mak Cik Yam (bukan nama sebenar). Mak Cik Yam dan keluarga saya telah menjalin hubungan persahabatan yang sangat rapat. Beliaulah di antara individu yang banyak membantu semasa ibu saya sakit. Kepada keluarga kami jugalah beliau meluahkan perasaan ketika mengalami kepayahan dalam menjalani kehidupan. Begitulah juga sebaliknya.
Saya tidak mengetahui di mana silapnya Mak Cik Yam,hujung 60-an, dan suaminya yang kini tinggal berdua di rumah dalam keadaan seperti ada kekurangan, terpinggir dan sayu. Ketika kami datang, suaminya berbaring di katil kerana kurang sehat. Saya tidak melihat keceriaan pada kehidupannya dari dahulu hingga sekarang. Keadaan dalam rumahnya kosong – tiada perabut, tiada TV, tiada peti sejuk. Mak Cik Yam juga tidak ada menyediakan kueh mueh untuk sambutan hari raya.
Pasangan ini dari satu sisi sebenarnya sangat hebat. Ketiga-tiga orang anaknya cerdik. Yang paling tua, lelaki, mendapat biasiswa dan belajar di United Kingdom (UK) pada awal tahun 80-an. Malangnya, anak sulung mereka yang mengambil nama sempena seorang menteri itu dan umurnya kini di sekitar 45 – 48 tahun tidak balik ke tanah air semula. Tidak diketahui sebab sebenar anak mereka berbuat demikian. Saya masih ingat jawapan spontan suami Mak Cik Yam ketika ditanya mengenai jurusan yang diambil oleh anaknya. “S - - u (nama pertama anaknya) ambil jurusan apa?” “Business, biar balik nanti banyak bawa duit.”
Anak kedua dan ketiga (semuanya perempuan) Mak Cik Yam juga cerdik. Kedua-dua anak perempuannya lulusan Universiti Malaya dan kini menjawat jawatan kerajaan yang baik. Saya tidak menuduh anak-anak mengabaikan Mak Cik Yam dan suami. Saya cuma melihat secara zahir dan juga mengingat semula kata-kata berlapik yang pernah diluahkan oleh Mak Cik Yam mengenai kehidupannya. Sesungguhnya real kehidupan kadang-kadang tersasar jauh dari apa yang kita rancang.
ZIARAH BEKAS PEMBANTU KELUARGA
Selain dari menziarah saudara mara di sebelah isteri di Masjid Tanah, kami saban tahun menziarah bekas pembantu keluarga (saya tidak mahu menggunakan istilah pembantu rumah) keluarga kami. Ketika itu anak-anak masih kecil. Dia, seorang ibu tunggal bersama kami selama hampir 10 tahun. Dia terpaksa balik ke Melaka kerana perlu menjaga keluarga yang memerlukan jagaan rapi. Sedih juga kami sekeluarga ketika itu. Secara kebetulan, tidak lama selepas itu  ( di sekitar 2001) isteri saya ditawarkan VSS.
Sepanjang bersama kami, beliau kami berikan kuasa autonomi dalam menangani karenah anak-anak kami bertiga. Dia tidak kekok memarahi anak-anak kami. Sedemikian, anak-anak kami sangat rapat dengannya terutama anak emasnya, anak kami nombor dua. Mungkin di atas faktor inilah, anak kedua kami, 23 tahun dan sedang menjalani praktikal tahun akhir sangat manja dengannya, dan sedikit ‘bossy’ sehingga terbawa-bawa ke hari ini. Seingat saya dialah yang memasukkan buku-buku anak saya itu ke dalam beg sekolah, menyikatkan rambut, memakaikan pakaian, memakaikan kasut dan menggalas beg sekolah semasa menghantar anak-anak menunggu bas sekolah di hadapan rumah. Kesannya, anak kedua itu akan memeluk cium ‘ibu angkatnya’ itu pada setiap kali berjumpa. Anak kedua itu juga tidak berkira dengan ibu angkatnya. Dia tanpa ragu-ragu memberi sejumlah wang yang diperolehinya kerana kerja-kerja part time semasa cuti semester atau duit poket pinjaman pelajarannya sendiri.    
Hari ini, hari raya ke-3 saya dan keluarga masih berada di kampung. Walaupun demikian, selang sehari saya perlu menjenguk kucing-kucing di rumah di Ampang. Ini adalah di antara tugas berat yang mencabar dan tidak dapat dielakkan. Nasib baik Rembau – Ampang tidak jauh- sekitar 100 km sahaja - satu jam perjalanan – tidak mengapa – hati suka. Nak buek macam mano?
Banyak lagi agenda hari raya di kampung yang belum dilunaskan……….                      
   

6 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    Saya jadi excited giler membaca tulisan sdr menyambut Hari Raya di kampung ini. Selain itu faktor nye juga kerana kali ini ada di sertai juga gambar sekeluarga.

    Ya,...apa kurang nye isteri saudara kerana suami nye seorang part time blogger..ekeke.

    semoga agenda hari raya berjaya di lunaskan sepenuh nye.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Kita seronok berhari raya di 'tempat permainan', tetapi anak-anak belum tentu lagi.

      Ya, kita juga seronok menjadi part time blogger. Kita catatkan apa yang kita lihat dan apa yang kita alami.

      Selamat hari raya dan berblog.

      Padam
  2. assalamualaikum En. Ujang,
    semalam saya pun beraya di Rembau, tapi di Kampung Bongek.

    apa-apa pun, selamat hari raya aidilfitri. minal aidil wal fa'izin. maaf zahir & batin.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikomsalam Juana,

      Hari ini (22/8/12) kami akan ke rumah telapak arwah datuk di Kg.Bongek. Jangan-jangan kita ada bau-bau bacang....

      Selamat hari raya dari kami kpd Juana sekeluarga.

      Padam
  3. Negeri Sembilan memang kaya dengan adat resam yang terus diketengahkan himngga hari ini. Banyak ditempat tempat lain adat resam telah ditukar menjadi ringkas, tidak lagi meniggalkan rasa keistimewaan sesuatu sambutan. Saudara beruntung.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Al-Manar,

      Terengganu pula mempunyai kelebihan dari sudut lain. Saya perhatikan penglibatan rakyat Melayu Terengganu dalam perniagaan homestay dan batik sangat membanggakan. Kedua-dua perniagaan tersebut masih tidak dapat diganggu oleh bukan Melayu. Satu lagi ialah perniagaan kecil-kecilan kedai emas.Belum lagi perusahaan keropok/keropok lekor.

      Kami di luar juga sering membicarakan kejayaan anak-anak Terengganu dlm UPSR (11 tahun berturut-turut unggul).Bagaimana?

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."