Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label haiwan. Papar semua catatan

Rabu, 18 Februari 2015

CERITA SAYA DAN KUCING

Saya tidak ingat tahun-tahun sebenar keluarga kecil saya terlibat memelihara kucing secara aktif dan akhirnya menjangkau ke peringkat agak ekstrim. 
 
Ianya bermula secara tidak disengajakan apabila dua ekor anak kucing yang ditumpangkan sementara di rumah kami oleh seorang jiran untuk diambil/dipelihara oleh salah seorang di kalangan ahli keluarga kami di kampong. 
 
Kucing-kucing itu tidak jadi bertuankan saudara di kampong kerana sebab-sebab tertentu. Maka, terpaksalah kami memelihara dua ekor anak kucing malang yang tidak sudi diterima oleh saudara di kampong itu.
 
Ketika itu pendekatan kami memelihara kucing masih ' normal '. Kami cuma memberi makan nasi biasa yang dicampur dengan secubit ikan kering atau sisa-sisa makanan/ikan yang tidak habis dimakan.
 
Kucing-kucing itu dibiarkan lepas bebas. Kami menghukum kucing-kucing itu dengan hukuman yang agak keras jika ' buat kerja tidak senonoh ' di dalam rumah.
 
Ketika itu kami masih belum didedahkan lagi dengan dunia golongan penyayang kucing tegar.
 
' Kegilaan ' bermula dicetus apabila saya membawa balik tiga ekor anak kucing yang kematian ibu secara sembunyi-sembunyi ke rumah ( tanpa pengetahuan dan ' kebenaran ' ahli keluarga yang lain) . Saya melihat sendiri bangkai ibu anak kucing jalanan itu berlumuran darah kerana (mungkin) dilanggar oleh kenderaan lalu-lalang di dalam kawasan pejabat ketika hujan renyai. Masakan naluri manusia saya membiarkan ratapan ngiauan anak-anak kucing kematian ibu itu begitu sahaja! Sanggupkah anda?
 
Isteri saya pada awalnya tidak menyenangi tindakan membawa anak-anak kucing malang itu balik ke rumah. Tak ado kojo buek kojo! Bagaimanapun, isteri dan anak-anak terpaksa menerima hadirnya anak-anak kucing itu kerana hamba Allah itu telah ada di dalam rumah kami. Mereka tidak ada pilihan selain membuang anak kucing itu.  Tentunya mereka tidak tergamak melakukan tindakan kejam itu.
 
Saya dan keluarga mula memasuki satu fasa baharu dalam pemeliharaan kucing. Saya membeli susu kucing untuk menyusukan bayi kucing-kucing yang kematian ibu itu. Anak-anak kucing itu berjaya dibesarkan. Ironisnya, semua ahli keluarga termasuk isteri yang tidak suka pada peringkat awal menyayangi kucing-kucing itu. Anak-anak kucing yang comel dan menceriakan kami sekeluarga itu dilayan bak menatang minyak yang penuh.
 
Selepas itu bermulalah siri ' dunia tidak siuman ' saya. Saya tidak berfikir panjang lagi untuk  mengutip  kucing-kucing jalanan yang hidup terbiar dan melarat apabila terserempak di mana-mana.  
 
Ada juga beberapa ekor kucing yang di dalam keadaan tidak sempurna dan uzur mendatangi dan  ' mengetuk ' pintu rumah kami  - kucing berkurap, berkudis, berulat dan sebagainya. Kami tidak pernah menghampakan tetamu yang datang dengan cuma membeli tiket satu hala sahaja itu.
 
Situasi ini mendedahkan saya dan keluarga kepada dunia memelihara kucing secara agak melampau yang didakwa oleh sesetengah orang sebagai kerja memenatkan dan juga kerja sia-sia yang tidak mendatangkan hasil. 

Kami sekeluarga mula terbiasa dengan makanan khas kucing, susu khas untuk kucing, vaksin, ubat cacing, suntikan penyakit kurap, syampo dan rawatan doktor veterinar.

Kami menjadi 'juruteknik veterinar' tidak bertauliah separa mahir. Kami berani memotong tali pusat anak kucing yang menghadapi kesukaran ketika hendak dilahirkan. Kami boleh mengesan kucing-kucing demam, menghadapi masalah cacing, menderita sakit batu karang dan sebagainya. 

Kami sekeluarga semakin menjadi ekstrim. Setiap gerak dan kelakuan kucing di dalam pemantauan kami. Kami ' alert ' kepada kucing-kucing yang sakit dan tiada selera makan. Kami tidak lagi jijik ' menyiasat' najis/kencing kucing untuk mengetahui samada kucing itu diserang cacing atau penyakit batu karang. Kami tidak lagi takut menghulurkan jari ke dalam mulut kucing ketika merawat secara hands on kepada kucing-kucing yang sakit.

Kami boleh sahaja bangun dari tidur pada malam hari jika terdengar kucing-kucing kami bergaduh sesama sendiri. Kami seperti tidak menghiraukan apa kata jiran kata ketika terbongkok-bongkok mencari kucing yang terlepas dari rumah kucing di belakang rumah jiran pada waktu tengah malam . 

Kami sekeluarga juga menghadapi ' kemurungan ' apabila ada di antara kucing-kucing kami hilang, sakit atau mati.

Bagi kucing-kucing yang terlepas dari rumah kucing dan tidak tahu jalan pulang, kami terintai-intai kepulangannya. Ternampak sahaja imbas kucing yang sewarna kami sangkakan itulah kucing kesayangan yang tidak balik-balik ke rumah. " Di manakah perginya? Bagaimankah kucing itu mendapatkan makanan kerana sepanjang hayatnya makanan disediakan? Atau tong sampah manakah yang diselongkarnya untuk mendapatkan makanan? Momen-momen sebegini sangat menyiksakan. 

Bagi kucing-kucing yang mati kami terkenang-kenang akan momen-momen bahagia dan episod-episod sedih mendapatkan rawatan setakat yang terdaya.   
 
Walaupun dalam kedudukkan bajet terhad, saya dan keluarga berjaya menyediakan rumah khas kucing yang agak selesa di ruang sebelah belakang rumah dengan mengupah tukang orang Indonesia.
 
Kami juga ' pandai' membaca saikologi kucing. Kucing-kucing kami yang sebahagian besar dunia mereka terkurung di dalam rumah kucing bersaiz 10 kaki x 6 kaki perlu dilepaskan ke dalam  ruang rumah kediaman dalam tempoh tertentu sekurang-kurangnya dua hari dalam seminggu untuk meredakan rasa stress.
 
Rumah kucing wajib dibersihkan/basuh sebanyak dua kali sehari - waktu pagi selepas solat subuh dan malam hari di sekitar jam 9.30 malam.

Seorang rakan yang juga memelihara banyak kucing menyarankan supaya rumah kucing dibasuh dengan menggunakan cecair pencuci ' Chlorox ' ( atau lain-lain jenama). Alhamdulillah, dengan mengikut nasihatnya, rumah kucing saya di dalam keadaan bersih dan terhindar dari nuansa bau tidak menyenangkan. Seekor lalat pun tidak berani datang!
 
Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa ada juga kalanya terasa kepenatan dalam melayan karenah kucing-kucing yang ditakdirkan hadir dalam kehidupan keluarga kami. Bagaimanapun, rasa tanggungjawab dan perasaan kasihan dan sayang kepada haiwan-haiwan itu yang 'dicampakkan' ke dalam hati-hati kami sekeluarga menyebabkan segala kepenatan dan berhabis wang ringgit dianggap sebagai tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Ianya tidak ubah sebagai tanggungjawab untuk kelangsungan ahli keluarga sendiri.

Jujurnya, sejak kebelakangan ini saya tidak lagi mengutip kucing-kucing terbiar secara bujur lalu melintang patah kecuali dalam keadaan tertentu yang tidak dapat dielakkan. Keadaan ini berlaku disebabkan bilangan ' anak-anak angkat ' saya telah agak banyak.

Seiringan ini, kebelakangan ini juga ditakdirkan saya jarang terserempak dengan kucing jalanan terbiar yang wajib diselamatkan atau tidak cukup sekadar dengan keluhan kasihan-kasihan-kasihan sahaja tanpa berbuat sesuatu.

Sungguhpun demikian, saya  menyediakan satu botol makanan kucing di dalam kereta. Sekurang-kurangnya saya dapat melegakan seketika derita bahana kelaparan haiwan-haiwan tidak bertuan yang dijumpai secara tidak sengaja di jalanan.

Saya tidak pernah memberitahu jumlah kucing yang dipelihara secara seragam kepada rakan-rakan yang bertanya. Saya cuma memberitahu jumlah sebenar kepada rakan-rakan yang sayangkan kucing. Sebaliknya, saya akan memberitahu jumlah kucing yang jauh berkurangan apabila ditanya oleh mereka yang tidak suka atau tidak berapa suka kepada kucing.

Melalui pengalaman, saya merumuskan mereka yang tidak sukakan kucing, tidak berapa suka kucing dan bencikan kucing tidak akan dapat menerima rasionalnya membela kucing terutamanya mengutip kucing-kucing di jalanan.
 
Sebenarnya lenggok dan latar catatan ini tidaklah terlalu ekstrim. Jika anda rajin menjenguk blog-blog pencinta/penyelamat haiwan jalanan , anda akan dipaparkan dengan kisah-kisah yang jauh lebih mengagumkan yang tidak mampu dilakukan oleh sebarangan orang.

Bayangkan, ada di antaranya yang menetap di rumah pangsa kos rendah memelihara berpuluh ekor kucing jalanan yang diselamatkan. Saya tidak dapat membayangkan suasana hiruk-pikuk dan juga reaksi jiran-jiran. Rasional atau tidak tindakannya adalah satu perkara lain yang kita telah mengetahui jawapannya.  

Sanggupkah kita melemparkan seekor dua ikan kembong yang dibeli apabila terserempak dengan seekor kucing yang mengiau kelaparan dalam perjalanan ke rumah? Atau kita cuma meluahkan perasaan simpati kasihan-kasihan-kasihan.

Realitinya, di luar sana ada hamba-hamba Allah yang di antaranya bukan dari kalangan orang kaya memperuntukkan sedikit masa, tenaga dan wang ringgit mereka untuk menyantuni dan memberi makanan kepada kucing/anjing terbiar di jalanan.

Akhirnya, saya menutup catatan ini dengan himpunan ungkapan klise oleh pencinta haiwan terbiar yang berbunyi " Kami bukan ingin menunjuk-nunjuk atau riak kerana menyantuni haiwan terbiar tetapi terimalah penceritaan ini dengan berlapang dada. Anda mungkin seorang yang suka berkebun dan menanam beranika jenis bunga yang cantik. Anda tentunya selalu menceritakan kecantikan bunga-bungaan di taman bunga anda itu kepada orang lain. Salahkah anda berbuat sedemikian?  Begitulah, lebih kurang latar persamaannya dengan penceritaan golongan yang lain ".

Terima kasih jika anda sanggup membaca catatan ini hingga ke akhir.

Rabu, 22 Oktober 2014

ANJING


Firasat saya berkata bahawa pendapat Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengenai spesis haiwan bernama ' ANJING ' adalah di antara pendapat yang paling lunak dan bertimbang rasa mengenai haiwan malang yang kebiasaannya dilayan dengan kasar samada secara emosi atau fizikal oleh kebanyakkan orang Melayu.

 

Kita tidak perlu membebankan diri memikirkan anjing-anjing kesayangan (pet) yang hidup selesa di bawah jagaan keluarga bukan Islam. Tiada keperluan kepada kita memegang dan apatah lagi memeluk haiwan itu.

 

Bagaimanapun, berikanlah simpati dan pertolongan sedapat yang boleh kepada anjing-anjing jalanan terbiar, sakit atau cedera yang ditemui secara tidak sengaja.

 

Janganlah kita juga seperti kebanyakkan orang Melayu yang lain mengambil sikap bukan sahaja membenci bahkan memerangi khususnya anjing yang hidup merempat kerana diabaikan oleh pemilik asal haiwan-haiwan itu.     

 

Jangan lampiaskan benci dan amarah kita kepada anjing-anjing jalanan yang mungkin menyelongkar tong sampah di hadapan rumah kerana mencari makanan dengan cara membaling batu besar. Halaulah anjing-anjing itu dengan bijaksana.

 

Semoga artikal oleh Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang dipetik dari facebook beliau  yang disiarkan pada 22 Ogos 2013 dapat membantu kita bersama memahami isu panas mengenai anjing yang meledak sekarang.

 

Di antara ungkapan beliau (Dr Maza) yang menarik untuk direnungkan ialah Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri.


SILA CLICK ' BACA LAGI ' UNTUK MEMBACA ARTIKAL DR. MAZA.


 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

ANJING DAN ISU MASYARAKAT MALAYSIA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai
facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)



Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.


Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hariraya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.


Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut;


Samakan Dengan Anjing


Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.


Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah: (maksudnya)


“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).


Jadi, jika masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.


Islam Benci Anjing?


Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?


Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya)

 “dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).


Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.




Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).


Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.


Bolehkah muslim memiliki anjing?


Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)


Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.




Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.


Bolehkah Muslim Memegang Anjing?


Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.


Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :

“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).




Memelihara Anjing Dalam Rumah


Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.


Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.


Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!


Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:

“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).


Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.


Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.

Isnin, 5 Mei 2014

TERIMA KASIH TETAMU KU

TERKINI

Hamba Allah ini telah tiada lagi (mati) pada 11.05.2014.



Suatu pagi ketika hujan renyai
kamu memberanikan diri
melintas jeriji pagar rumah ku
berbekal sesusuk rongga kurus berkudis
dan muka kasihan
merayu diberikan sedikit makanan

sejak itu
kamu tidak mahu pulang
ke tempat asal yang entah di mana
sebaliknya,  membina rumah baharu
di hadapan pintu rumah ku
aku benarkan sekalipun sangat mengganggu
sekalipun layanan ku seadanya sahaja
sekalipun tiada ucapan terima kasih

datanglah jiran-jiran memuji
akulah Si Pencinta haiwan sejati
berlaku kasihan kepada haiwan kesayangan Nabi

di suatu pagi ketika hujan renyai
kamu mengajak aku berbincang
tentang budi yang perlu dibalas
di luar jangka 
akulah yang telah termakan budi mu

kamu katakan
tentang sedikit bunga amal ku
kini mula galak berbuah pahala
datang bersama tetamu tidak diundang
yang masih belum mahu pulang.

Jumaat, 11 April 2014

JEBE

Setelah beberapa ketika menahan sabar kerana tercabar, putera sulung saya yang menikah pada penghujung bulan Oktober, 2013, bersuara. 

Manakan tidak, sepupunya yang berkahwin lewat sebulan telah ‘ ada ‘. Begitu juga kawan-kawannya yang berkahwin pada tarikh hampir sama juga sudah ‘ada’. 

Teruja dan gelojohnya dia bukan kepalang. Insan pertama yang diberitahu di sebelah keluarga kami ialah ibunya, isteri saya. Dia menelefon ibunya dan menyatakan dengan bangga, “ Insya Allah, ibu akan jadi nenek. “ 

Walaupun saya turut teruja, saya menahan diri tidak menelefonnya. 

Tidak berapa lama selepas itu saya menerima WhatsAp dari adik bongsunya yang menuntut di kolej. Dia telah pergi begitu jauh. Dia telah menghantar WhatsAp imej scan oleh klinik yang mengesahkan isterinya telah mengandung kepada adiknya. 

Kira-kira 5 minit kemudian ibunya menerima penggilan telefon dari anak lelaki kedua kami yang bercuti di Cameron Highlands. Adik lelakinya juga sudah dimaklumkan! 

Suasana semakin tidak terkawal. Pada malamnya selepas solat Isyak saya menerima panggilan telefon darinya. Dia bertanya samada ibunya telah memberitahu saya sesuatu berita. Logiknya, tak kanlah ibunya tidak memberitahu berita yang menggembirakan keluarga kami. 

Bagaimanapun, saya pura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku. Dia pula berpura-pura buat bodoh dengan bertanya perkara yang dia telah mengetahui jawapannya untuk memeriahkan keadaan. Katanya lagi, “ Insya Allah ayah akan jadi datuk.” Tahniah! 

Setelah itu dia meminta untuk bercakap dengan ibunya. Saya mencuri dengar perbualan ibu-anak dengan teliti. “ Mak Long di Shah Alam sudah diberitahu kah? Mak Ngah di kampung (N.Sembilan) sudah diberitahukah? Pak Teh? Mak Lang di Kosas? 

Orang kampung saya di Negeri Sembilan mengungkapkan gelagat anak saya ini dengan ungkapan “ Jebe “ ( sebutan Je berbunyi suku kata pertama perkataan Jenaka, sebutan be berbunyi suku kata kedua perkataan biber - Je-be). Jebe adalah gelagat yang membawa maana bangga, megah,… dalam mood yang melampau dan tidak terkawal. 

Jebe adalah suatu pelakuan semula jadi yang sukar atau tidak dapat dielakkan apabila mendapat kelebihan atau sesuatu yang membanggakan. Jebe tidak semestinya pelakuan yang membawa maksud negatif. 

Bagaimanapun, pelakuan Jebe dengan mudah boleh beralih kepada riak dan ujub apabila dilakukan secara berlebihan dan tidak berpaksikan bahawa segala sesuatu adalah di atas anugerah, kasih sayang dan belas kasihan Allah. 

Tuan punya blog ini juga mungkin dituduh ‘ Jebe’ kerana tersangatlah gembira bakal mendapat cucu (Insya Allah) dan meluahkan kegembiraan tersebut secara halus melalui laman blognya. . 

Semoga Allah melindungi anak lelaki sulung saya, isterinya dan kandungan isterinya. Semoga anak yang bakal lahir (Insya Allah) menjadi hamba Allah yang beriman. Amin.

Sabtu, 8 Februari 2014

CERITA POLITIK KEDAI KOPI



Usai akad nikah anak lelaki di rumah pihak perempuan, ‘VVIP’ lelaki di sebelah pihak lelaki makan bersama VVIP lelaki di pihak perempuan di sebuah meja khas.  Hadirin yang lain mengambil tempat di bawah kanopi yang didirikan. Majlis keramaian selanjutnya dilangsungkan pada keesokkan harinya.

‘ VVIP’ lelaki di sebelah pihak lelaki ialah saya, seorang adek ipar dan dua orang biras.

VVIP di sebelah pihak perempuan pula ialah Abang pengantin perempuan, Bapa Saudara Pengantin Perempuan (bekas professor madya), seorang lagi Bapa Saudara Pengantin Perempuan (bekas duta), seorang kenalan dari Indonesia dan seorang pesara kerajaan yang mendakwa bekas kawan sekampus dengan ‘seorang ahli politik’ yang ‘nafasnya’ menentukan sejuk atau panas suhu politik negara.

Walaupun kedua-dua kumpulan ‘VVIP’ itu ada jurang yang agak ketara dari segi ‘ keberadaan’, laluan komunikasi dua hala berjalan dengan baik dan lancar. Tiada masalah.

Namun, ‘masalah’ mula mengundang apabila dua orang ‘VVIP’ di pihak saya (lelaki), dua orang VVIP di pihak pengantin perempuan dan seorang rakan sekampus ahli politik yang saya nyatakan sebelum ini mula perasan mereka ada ‘ chemistry’ dalam membicarakan hal politik negara.

Mereka ‘sekapal’. Maka, keluarlah segala macam rumusan dan ungkapan yang saling menyokong antara mereka.

Terkeluarlah tuduhan-tuduhan yang tidak sepatutnya pada pengamatan sesetengah orang yang tidak sealiran dengan saksiah mereka.

Walaupun banyak perkara yang saya tidak ‘ perkenan’, saya yang cuma sekali sekala mencelah memaksa diri dalam mode tersengeh yang tidak manis kerana menghormati majlis dan pendirian majoriti ‘ahli majlis VVIP’ yang dipertemukan secara ‘adhoc’ itu.