Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan

Khamis, 15 Januari 2015

' BAH MERAH '


Kita adalah warga yang tidak banyak karenah. 

Ketika diarahkan turun mengundi semasa pilihanraya, kita patuh - pangkah pihak yang diyakini seperti yang dibenarkan oleh undang-undang.

Kita juga bukan warga yang taksub kepada pihak tertentu sehingga deria berfikir tidak berfungsi. 


Kita membaca semua jenis akhbar kerana kita buta warna politik ketika membaca. Kita berkawan dengan semua orang walaupun ada ketikanya kita menyaring tajuk perbualan supaya tidak menyinggung perasaan  pihak lain atau untuk menjaga keselamatan diri sendiri dari gejala fitnah.  

Saya adalah salah seorang daripada ' KITA ' itu.  

Di antara tajuk yang menarik perhatian saya untuk dibaca sekarang ialah saranan mewujudkan ikatan perpaduan dikalangan dua parti siasah gergasi Melayu di Kelantan selepas negeri itu ' cedera teruk ' dilanda ' Bah Merah ' baru-baru ini.  

Maka banyaklah artikal yang saya baca melalui berbagai jenis akhbar. Sayangnya, kebanyakkan kandungan artikal yang dibaca itu adalah umpama ' sampah-sampah ' yang dihasilkan oleh penulis upahan atau ' abdi ' kepada fahaman kepartian yang jumud samada dengan kerelaan diri sendiri atau arahan oleh tuan-tuan mereka (akhbar) .

Jumud kerana inginkan perpaduan bangsa tetapi masih mengangkat satu pihak dan melekehkan pihak lain yang selama ini sememangnya' diperangi '. Kalau jujur inginkan perpaduan bangsa, hentikanlah ' peperangan' itu!

Namun, di celah-celah timbunan ' sampah ' itu saya menjumpai sebuah artikal melalui kolum ' Gelombang Global ' bertajuk BEZA POLITIK BANJIR KELANTAN DAN TSUNAMI ' dalam akhbar Utusan Malaysia pada 15/1/15. Penulisnya ialah Azmi Hassan. Saya tidak mengetahui arah dan kiblat tulisan beliau sebelum ini. Bagaimanapun, artikal beliau kali ini sewajarnya dibaca dengan berlapang dada. Isi tulisan beliau tidak mempersendakan intelek pembaca, begitu harmoni, seimbang dan kelihatan sangat jujur.  
=======================================================================
BEZA POLITIK BANJIR KELANTAN DAN TSUNAMI
UTUSAN MALAYSIA

     
Keadaan kemusnahan rumah penduduk Kampung Manek Urai Lama  dalam
Keadaan kemusnahan rumah penduduk Kampung Manek Urai Lama dalam kejadian banjir di Manek Urai, Kelantan baru-baru ini.



Saranan pelbagai pihak yang mahu melihat parti politik UMNO dan Pas ber­satu dalam proses pem­bangunan semula Kelantan yang dilanda musibah banjir adalah manifestasi rakyat terutama sekali dari bangsa Melayu yang mahu kedua-dua parti ini melupakan perbezaan ideologi politik masing-masing demi masa depan negara.

Lebih menarik harapan tersebut terbit daripada kalangan rakyat biasa dan bukannya dalam kalangan ahli politik kedua-dua parti dan ia tidak tertakluk kepada rakyat Kelantan sahaja. Gesaan terbit dari semua kelompok rakyat kerana manfaat penyatuan adalah begitu nyata sekali bukan sahaja untuk bangsa Melayu tetapi juga bangsa lain.

Musibah banjir dilandaskan sebagai pemangkin penyatuan dua seteru politik kerana memikirkan pembangunan semula Kelantan memerlukan kerjasama rapat di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Tetapi penggerak yang paling utama mengapa musibah dijadikan sandaran oleh kebanyakan rakyat adalah sudah seringkali berlaku malapetaka telah menjadi penghubung di antara pihak bermusuh. Sesetengah melabelkan senario ini sebagai diplomasi bencana.

Tidak menghairankan juga mengapa banyak pihak menggunakan contoh malapetaka tsunami yang melanda Aceh pada 2004 yang menjadi pendorong utama mengapa pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan kerajaan Indonesia sanggup bertolak ansur demi rakyat.

Sebelum tsunami melanda pada 26 Disember 2004, Aceh berada dalam pemerintahan tentera dan diisytiharkan darurat oleh Jakarta bermula 2002 kerana keadaan konflik yang berada dalam tahap tidak boleh dikawal. Tetapi dua hari selepas tsunami pemimpin GAM pada ketika itu Hasan Tiro mengisytiharkan gencatan senjata secara unilateral demi untuk memastikan bantuan kepada rakyat Aceh tidak terencat kerana situasi konflik.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang baharu sahaja dua bulan dilantik menjadi presiden Indonesia telah membalas tindakan GAM dengan mengutus wakil kerajaan bukan sahaja untuk menentukan bantuan sampai kepada yang memerlukan tetapi mencari ruang dan peluang untuk berdamai.

Lapan bulan selepas tsunami melanda Aceh, kerajaan Indonesia dan GAM memeterai persetujuan awal untuk berdamai di mana pejuang GAM bersetuju untuk menyerahkan senjata sementara Jakarta pula melaksanakan proses pengampunan terhadap pejuang tersebut. Memang benar bencana tsunami adalah pemangkin utama yang menjadi pendorong kepada kedua-dua pihak untuk bertolak ansur walaupun konflik telah berlarutan semenjak dari tahun 1976 lagi.

Sebab itu ramai yang mempersoalkan jika GAM dan Jakarta mampu bertolak ansur demi pembangunan rakyat Aceh, mengapa tidak pula UMNO dan Pas melakukan perkara serupa demi rakyat Kelantan. Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir yang dianggotai oleh kedua-dua pihak dari Kerajaan Persekutuan dan negeri, tidak keterlaluan diibaratkan sebagai permulaan kepada senario perpaduan yang lebih bermakna.

Tetapi rakyat Malaysia perlu memahami senario tsunami Aceh dan banjir Kelantan adalah agak berbeza sebelum melakukan perbandingan. Memang benar musibah malapetaka adalah pemangkin di Aceh, tetapi apa yang berlaku di sebalik tabir sebenarnya memaksa kedua-dua pihak bertolak ansur.

Struktur organisasi GAM menjadi lumpuh kerana ramai pejuang mereka terkorban apabila tsunami melanda dan oleh itu mereka tidak mampu membantu rakyat Aceh pasca tsunami. Kerajaan Indonesia juga mencuri peluang bukan sahaja menghalang GAM dari turut serta dalam misi bantuan tetapi juga memburu dan menahan pejuang yang masih hidup tetapi dalam tahap lemah.

Senario sebegini membuahkan persepsi kepada rakyat Aceh bahawa GAM tidak mampu mentadbir lebih-lebih lagi apabila bencana melanda dan faktor ini yang membuatkan GAM terpaksa bertolak ansur dalam perjuangan mereka menuntut kemerdekaan penuh dari Indonesia.

Tetapi berbeza pula dengan senario Kelantan di mana kerajaan negeri tidak lumpuh dan masih mampu menghulur bantuan kepada rakyat Kelantan. Tetapi yang paling penting adalah Kerajaan Persekutuan tidak mengambil peluang mengambil alih pentadbiran negeri kerana ini boleh dilakukan dengan mudah melalui pengisytiharan darurat banjir.

Tidak timbul keadaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau negeri menghalang saluran bantuan kerana sejak dari mula lagi kedua-dua seteru ini bekerjasama demi rakyat Kelantan terutama sekali pasca banjir. Harapannya adalah perdamaian di Aceh boleh dijadikan iktibar walau bagaimana sukarnya untuk bersatu tetapi demi kepentingan rakyat, segala rintangan tersebut mampu direntasi. Perkara pokok adalah setiap pihak perlu bertolak ansur dan mempercayai di antara satu sama lain.

Paling terbaik adalah UMNO dan Pas mencontohi GAM dan Jakarta. Perlu dihindari apa yang telah menimpa Sri Lanka kerana akibat tsunami dua pihak yang bertelagah iaitu kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kerajaan Sri Lanka meningkatkan permusuhan dan tidak mahu berkompromi pasca tsunami. Akibatnya adalah sedekad selepas tsunami melanda tahap pembangunan dan kestabilan Sri Lanka menjadi lebih buruk sementara Aceh bertambah makmur dan aman.



PENULIS ( AZMI HASSAN) ialah Geostrategis Institut 
Ge­ospatial dan Sekolah Perdana UTM.

sila rujuk www.utusan.com.my/.../beza-politik-banjir-kelantan-dan-tsunami-1.48044



Selasa, 13 Januari 2015

KITA SAKIT HATI



Tanpa menafikan bahawa ada di kalangan jemaah (Melayu) beragama Islam sendiri tidak bersetuju dengan sesetengah teks khutbah Jumaat yang pada pendapat mereka ada kalanya terlalu rigid, saya percaya jemaah beragama Islam merentas bangsa dan fahaman politik di negara ini sangat-sangat tersinggung dengan tuduhan seperti yang dipaparkan di atas ( jika benar ) oleh seorang warga negara yang bukan berbangsa Melayu dan bukan beragama Islam .

Saya percaya majoriti rakan kita yang bukan Islam juga tidak suka rakan seagama mereka mengacau ganggu urusan ibadat kita.

Tuduhan itu ( jika benar) membawa maksud lebih kurang ' Jakim mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya, jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia '.
Apa bendanya mempromosikan tindakan melampau (agama) jika pada kebanyakkan khutbah Jumaat sebahagian besar jemaah khususnya di kampong-kampong lena di ulit mimpi kerana ada di antara tajuk khutbah tidak mampu menaikkan ghairah mereka untuk mengikutinya hingga selesai. Atau mungkin juga jemaah solat Jumaat di negara ini suka tidur semasa khutbah dibacakan!

Saya sangat yakin bahawa seorang khatib yang berani menyelitkan bait-bait catatan sastera yang bukan untuk difahami secara literal seperti ' Busungkan Dada Engkau, Bujang " dalam khutbahnya mengenai kekejaman Yahudi di Palestin sekalipun mungkin akan menghadapi kesukaran untuk bersoal jawab dengan pihak berkuasa agama.

Begitulah santun dan harmoninya teks khutbah Jumaat kita.

Kita hairan bagaimana penuduh mendapat maklumat sehingga dengan beraninya membuat tuduhan ?

Adakah mungkin dia menyamar sebagai seorang Islam dan berpura-pura melakukan solat Jumaat bersama jemaah Islam yang lain? Kalau inilah keadaannya, penuduh mungkin mendengar teks khutbah bukan keluaran pihak berkuasa yang dibaca oleh khatib secara gelap atau tanpa kebenaran.

Insiden ini lebih teruk lagi dari kacau ganggu oleh jiran sebelah. Mana mungkin jiran sebelah mengarahkan kita buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini...  Itu jiran yang tidak baik!


Khamis, 25 Disember 2014

CIKGU ABD JABAR TELAH MENINGGAL DUNIA

Saya pernah menulis mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas Batu Laut ( kini Tanjung Sepat), Selangor bagi penggal 1974, 1978 dan 1982 ini. Beliau ialah Hj. Abd Jabar bin Mohd Yusof.

Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh anak perempuan beliau, Siti Zurul bt. Hj. Abd Jabar melalui kotak ulasan dalam ' entry' bertarikh 28/4/13 bahawa tokoh politik yang dikagumi itu telah meninggal dunia pada 1 November 2014.

Saya percaya pencinta politik khususnya penduduk DUN Batu Laut ( kini DUN Tanjung Sepat ) tanpa mengira fahaman politik merasa kehilangan seorang ahli politik (Bebas) bertaraf ikon. Jasa-jasa Allahyarham tidak akan terlupakan.

Semoga keluarga Allahyarham menerima ketentuan ini dengan sabar. Al-Fatihah.




Nota:
Berita kematian Hj. Abd. Jabar bin Mohd Yusof adalah 100% dari sumber kenyataan pengunjung blog ini yang bernama Siti Zurul bt. Hj. Abd. Jabar. Beliau mengaku anak kepada penama.

Ahad, 2 November 2014

BENTENG

Mungkin saya telah menemui ungkapan yang tepat mengenai mengapa orang awam sukar memahami isu-isu semasa termasuk isu agama, politik, kemasyarakatan dan lain-lain.

' BENTENG ' itulah ungkapan yang digunakan oleh Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza), bekas Mufti Perlis. 

Beliau menggunakan ungkapan ' Jangan Jadi BENTENG' kepada seorang tokoh agamawan muda yang yang menyertai sebuah parti politik dalam satu forum. Secara lebih jelas Dr Maza mengingatkan dari sudut yang saya fahami agar golongan agamawan jangan berperanan persis alat anti peluru berpandu yang berperanan cuma untuk menangkis dan memusnahkan semua tembakan yang ditujukan oleh pihak musuh. 

Golongan agamawan yang menyertai sesebuah parti politk atau pertubuhan jangan jadi alat untuk menjawab isu agama terhadap partinya dan juga ' menembak' parti lawan/pertubuhan lain secara membabi buta tanpa mengambil kira kedudukkan sebenar sesuatu perkara. 

Seorang penceramah agama yang lain pula mengingatkan golongan agamawan hendaklah berada di saf hadapan ' warak dunia ', iaitu jangan berbuat baik kepada manusia kerana takut atau hendakkan sesuatu darinya.

Golongan agamawan juga hendaklah ada keberanian menegur saf pimpinan.

Sehubungan ini, senario hari ini dalam masyarakat kita menunjukkan bahawa kebanyakkan tokoh samada tokoh agama, tokoh/aktivis masyarakat, tokoh sasterawan, penulis artikal dalam akhbar dan lain-lain lagi ' bersetuju ' diri mereka dijadikan benteng kepada parti/pertubuhan tertentu. Saya tidak menyatakan tokoh politik kerana kita semua sudah mengetahui situasinya.

Tokoh agama akan tetap berada di pihak parti yang disenanginya dalam semua isu agama. Tokoh NGO akan terus memihak kepada mana-mana pihak yang yang disokongnya. Tokoh sasterawan, tokoh penulis artikal dan tokoh-tokoh lain pun mengambil sikap memihak tanpa segan silu dan bertimbang rasa.

Akibatnya, segala sesuatu yang datang dari pihak lawan/pihak yang tidak disokong adalah tidak betul!

Sedemikian, apabila anak-anak kita bertanya kenapa Ustaz A dan Ustaz B memberi jawapan berbeza ke atas permasalahan yang sama, anda jawablah, " Ustaz A dan Ustaz B telah membiarkan diri mereka menjadi benteng kepada parti yang mereka sokong."

Begitulah juga apabila orang kampung anda yang naif bertanya kenapa wartawan dari Akhbar A dan Akhbar B menulis secara berbeza umpama langit dan bumi ke atas isu yang sama, maka anda jawablah dengan yakin tanpa was-was, " Wartawan A dan Wartawan B telah mewakafkan diri mereka dijadikan benteng oleh parti yang mereka sokong."

" BENTENG " adalah di atas kehendak diri sendiri. Bagaimanapun, bukan mudah hendak melepaskan diri untuk tidak terus menjadi benteng. Benteng ada tarikannya.



 

Ahad, 13 April 2014

SAAT YANG MENGASYIKKAN

Kemesraan Dua Orang Pemimpin Seagama (Ketika YAB Perdana Menteri ziarah Timb. Mursyidul Am PAS di hospital)

Dua orang tokoh yang kemesraan mereka terserlah di atas adalah pemimpin besar dua buah parti politik yang saling 'bermusuhan' . Dalam mengamalkan sistem demokrasi yang dibenarkan oleh undang-undang negara, anda mungkin menyokong salah seorang daripada mereka dan saya pula yang seorang lagi.

Justeru itu, kita juga mungkin ' bermusuh '. 

Namun, kita mungkin meluahkan emosi yang sekata, "Masya Allah, Syukur, Alhamdulillah", apabila melihat mereka melupakan sebentar ideologi parti masing-masing sehingga mewujudkan suasana harmoni yang sedemikian rupa. 

Semoga pendekatan politik bertaraf dunia ini diikuti oleh pemimpin-pemimpin yang lain. Sekalipun mungkin ada yang memandang sinis kemesraan mereka, kita pula hendaklah memilih kaedah berbaik sangka. Bukankah umat Islam itu bersaudara? Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga.

Sabtu, 8 Februari 2014

CERITA POLITIK KEDAI KOPI



Usai akad nikah anak lelaki di rumah pihak perempuan, ‘VVIP’ lelaki di sebelah pihak lelaki makan bersama VVIP lelaki di pihak perempuan di sebuah meja khas.  Hadirin yang lain mengambil tempat di bawah kanopi yang didirikan. Majlis keramaian selanjutnya dilangsungkan pada keesokkan harinya.

‘ VVIP’ lelaki di sebelah pihak lelaki ialah saya, seorang adek ipar dan dua orang biras.

VVIP di sebelah pihak perempuan pula ialah Abang pengantin perempuan, Bapa Saudara Pengantin Perempuan (bekas professor madya), seorang lagi Bapa Saudara Pengantin Perempuan (bekas duta), seorang kenalan dari Indonesia dan seorang pesara kerajaan yang mendakwa bekas kawan sekampus dengan ‘seorang ahli politik’ yang ‘nafasnya’ menentukan sejuk atau panas suhu politik negara.

Walaupun kedua-dua kumpulan ‘VVIP’ itu ada jurang yang agak ketara dari segi ‘ keberadaan’, laluan komunikasi dua hala berjalan dengan baik dan lancar. Tiada masalah.

Namun, ‘masalah’ mula mengundang apabila dua orang ‘VVIP’ di pihak saya (lelaki), dua orang VVIP di pihak pengantin perempuan dan seorang rakan sekampus ahli politik yang saya nyatakan sebelum ini mula perasan mereka ada ‘ chemistry’ dalam membicarakan hal politik negara.

Mereka ‘sekapal’. Maka, keluarlah segala macam rumusan dan ungkapan yang saling menyokong antara mereka.

Terkeluarlah tuduhan-tuduhan yang tidak sepatutnya pada pengamatan sesetengah orang yang tidak sealiran dengan saksiah mereka.

Walaupun banyak perkara yang saya tidak ‘ perkenan’, saya yang cuma sekali sekala mencelah memaksa diri dalam mode tersengeh yang tidak manis kerana menghormati majlis dan pendirian majoriti ‘ahli majlis VVIP’ yang dipertemukan secara ‘adhoc’ itu.

Sabtu, 1 Februari 2014

BLOGGER SANTAI : TIDAK PEDULI DUNIA LUAR?

Adakah satu 'dosa' kepada ' Bogger Santai ' iaitu pengamal blog yang dunia mereka diasyikkan dalam radius hal-hal santai, peribadi, keluarga dan hal-hal remeh temeh. Mereka dilihat tidak ambil peduli langsung apa yang berlaku di sekeliling.

Golongan ini dilihat seolah-olah tidak ambil peduli atau lebih malang lagi tidak menyedari perkara-perkara besar yang sedang berlaku di luar. Ledakkan gunung berapi sekalipun tidak mampu menganjakkan jari jemari mereka dari keyboard komputer masing-masing. Mereka bukannya menulis mengenai betapa dasyatnya ledakan iatu tetapi menulis mengenai keindahan panorama alam semula jadi.

Mereka seolah-olah tidak masuk campur dalam isu Politik, Kalimah Allah, GST, Pengurangan Subsidi Barangan dan Kenaikan Tarif Kos Perkhidmatan, Banjir Besar, Jenayah dan sebagainya.

Pasti ada jawapan yang munasabah mengapa golongan ini menjauhkan diri dari menulis hal politik dan isu-isu serius.  Apakah jawapan atau jawapan-jawapannya?   



Sabtu, 4 Januari 2014

MELAYU SINGAPURA

   
Saya telah begitu lama tidak ke Singapura. Suatu ketika dahulu di tahun-tahun awal 80-an ketika ditugaskan beberapa hari di Johor Bharu, saya dan kawan-kawan sekerja hampir setiap hari ‘turun’ ke Singapura selepas waktu pejabat. 

Ketika itu nilai mata wang kita hampir sama. Barang-barang di Singapura pula jauh lebih murah dari di Malaysia. Di antara buah tangan yang selalu kami bawa balik ke Johor Bharu ialah minyak wangi (Aramis, Brut), buah laici yang ditinkan dan buah-buahan. 

Di usia masih muda dan era berinternet dan berblog tidak terfikirkan lagi, saya tidak endah langsung kelangsungan hidup Orang Melayu Singapura ketika itu. Selesakah kehidupan mereka di negara yang segala alur kehidupan dikuasai dan ditentukan oleh etnik Cina itu? 

Yang saya tahu, berada di Singapura ketika itu begitu mengujakan – ronda-ronda, makan-makan dan ‘shopping’. 

Semenjak dua menjak ini kita selalu diingatkan oleh ahli politik bahawa nasib Orang Melayu (Malaysia) kononnya akan senasib Melayu Singapura jika tidak berhati-hati dalam menangani renjatan politik semasa. 

Dari segi manakah ‘bangsatnya’ Melayu Singapura berbanding Melayu Malaysia? Jati diri? Ekonomi? Pelajaran? Kemampuan bersaing? Penghapusan warisan? 

Mungkin Melayu Singapura tidak mampu bertahan dalam perkara yang melibatkan warisan kerana dasar meritokrasi dan ‘hati kering’ pemerintah negara itu. Bagaimanapun, adakah unsur-unsur jati diri, ekonomi, pelajaran dan kemampuan bersaing Melayu Singapura turut menjadi bangsat? 

Ketika zaman persekolahan saya, pelajar-pelajar yang pernah belajar di Singapura dan berpindah sekolah ke Malaysia (Contoh: ibu bapa balik ke Malaysia) kebiasaannya lebih bijak, menonjol dan berkebolehan dari pelajar biasa Malaysia. 

Pada hari ini kita tentu bersetuju bahawa mereka yang berasal dari Singapura khususnya di kalangan ahli seni sangat berjaya di Malaysia – M. Nasir, Ramli Sharif, Aaron Aziz, Adi Putera, Fauziah Ahmad Daud, Ramli MS dan ramai lagi.

Pasukan bolasepak Singapura yang kerap kali mengalahkan pasukan negara kita adalah terdiri dari pemain-pemain yang majoritinya berketurunan Melayu. Mereka kelihatan begitu bergaya dan tidak sedikit pun menampakkan keadaan tertekan atau 'bangsat'.   Hakikatnya, tidak ada seorang pun pemain keturunan Cina dalam pasukan bolasepak Singapura.

Ketika anak-anak muda Melayu Malaysia belum serasi dengan budaya berkaraoke, warga emas Melayu Singapura telah biasa dengan budaya berkaraoke. Sepuluh tahun yang lalu ahli keluarga seorang jiran di taman perumahan saya termasuk warga emas yang berasal dari Singapura tidak segan silu menyanyi karaoke dalam majlis perkahwinan anak jiran itu.

Di sebalik banyak cerita negatif mengenai Melayu Singapura, saya masih tidak mendapat jawapan mengapa salah seorang saudara saya dan keluarganya yang menetap dan bekerja di Singapura berpuluh-puluh tahun sanggup menukar kerakyatan kepada warganegara Singapura. 

Baru-baru ini saya berada di kalangan dua orang kawan membahaskan atau bahasa kasarnya ' bertekak' mengenai isu Melayu Singapura Hari Ini dalam konteks politik Malaysia. Seorang berpendapat Melayu Singapura kini di dalam keadaan tidak berdaya kerana dasar-dasar diskriminasi dan tekanan melampau yang diamalkan oleh jentera pemerintah yang dimonopoli oleh keturunan Cina. 

Seorang lagi pula berpendapat Melayu Singapura yang berada dalam persekitaran mengutamakan meritokrasi bertaraf dunia dan pemerintah yang didominasi oleh keturunan Cina sekalipun kecundang dalam mempertahankan elemen-elemen sentimental milik Melayu seperti kawasan perumahan Melayu dan warisan sejarah Melayu, mampu menyesuaikan diri dan memiliki daya saing yang tinggi. 

Perbahasan mereka yang adakalanya tidak terkawal berakhir dengan tiada pemenang. Saya juga tidak suka mendedahkan perkara-perkara yang mereka bangkitkan kerana tidak sesuai bagi sebuah blog bukan genre politik. 

Lanjutan dari isu ini saya teringat kepada sebuah catatan di dalam blog " SEPANJANG JALAN KENANGAN' yang pernah saya baca di sekitar tahun 2012 bertajuk ' Melihat Orang Melayu Di Singapura. Semoga 'entry' tersebut dapat membantu serba sedikit dalam mendapatkan maklumat mengenai saudara sebangsa kita itu.

MELIHAT ORANG MELAYU DI SINGAPURA 

( Dari Blog A.F. Yassin "SEPANJANG  SEJALAN KENANGAN" 20 April 2012)
A.F. YASSIN (Ahmad Fadzil bin Haji Yassin) lulusan Ijazah Sarjana Sains Komunikasi . KARYA Novel Kanak-kanak - Robinson Crusoe 1974 - Sesat dalam Hutan. 1996. Cerpen - Nyiur Bertuah Nyiur Celaka. Kuala Lumpur. Esei/Sastera - Sembang Sastera, Bersama Orang Persuratan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1998 Umum - Etika dan Kewartawanan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986 - Insan Pejuang, Bangsa Melayu Abad Ke-20, Johor Bahru, Yayasan Warisan Johor, 2000 - Sejarah Adat-Istiadat Kesultanan Johor (1529 - 1855), Johor Bahru, Yayasan Warisan Johor, 2002. .A.F. Yassin berasal dari Kg. Gadung, Kota, Negeri Sembilan dan kini menetap di Negeri Selangor.



Menaiki komuter MRT di Singapura membawa kenangan menarik, terutama melihat suasana sekitaran dari Stesen Buono Vista di barat Singapura menuju Stesen Pasir Ris di sebelah timur. Perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit. Koc penuh sesak dengan penumpang.

 Ketika kereta api berhenti sejenak di Stesen Paya Lebar, penulis melihat semula Perkampungan Melayu, kira-kira 200 meter di sebelah kanan dan berhampiran dengan "pasar makan" Geylang Serai. Kompleks Perkampungan Melayu itu memang menarik kerana reka bentuk keMelayuannya. Ada pelbagai jualan di kompleks itu, termasuk sebuah restoran makanan laut, gerai makan Melayu dan gerai hasil kraftangan orang Melayu. Di kompleks itulah malam sebelumnya saya menikmati hidangan Melayu sambil menonton peraduan menyanyi karaoke sempena mengutip derma untuk pembinaan sebuah masjid. Nyanyian karaoke oleh para peserta yang kebanyakan terdiri daripada  pasangan suami isteri mengingatkan saya kepada zaman kegemilangan Jalan Ampas tahun 1950an dan Pop Yeye tahun 1960an. Hampir semua lagu yang dibawakan adalah lagu-lagu dari filem-filem P. Ramlee dan lagu-lagu tahun 1960an. Difahamkan kompleks itu didirikan dan dimiliki oleh orang bukan Melayu.

 Kecuali kompleks itu tidak ada lagi bangunan bercirikan Melayu yang dibina di sekitarnya. Dulu satu waktu, kawasan Geylang ini dipenuhi rumah-rumah bentuk Melayu sehinggalah ke Pasir Ris. Kini ia dipenuhi bangunan rumah pangsa puluhan tingkat yang memagari sepanjang jalan MRT. Penduduknya tidak lagi majoriti Melayu tetapi telah dibaurkan sehingga menjadi percampuran pelbagai sukubangsa - Cina, Melayu dan India.

 Ketika keluar dari Stesen Pasir Ris, penulis terkenal Singapura Jamal Tukimin menujukkan jari telunjuknya ke arah timur. Katanya, "Dulu tempat itu adalah perkampungan Melayu. Di situ juga lokasi penggambaran siri filem Bujang Lapuk. Sekarang hanya rumah pangsa dan taman." Dan di sebuah restoran stesen itu kami melihat sekumpulan anak muda lelaki perempuan sedang asyik bersembang. Mereka berpakaian fesyen terkini, yang lelaki berseluar pendek dan yang perempuan berseluar panjang. Seorang daripada mereka duduk di kerusi roda.

 Pada mulanya kami menyangka mereka daripada keturunan Cina kerena wajah mereka saling tgak tumpah keturunan itu. Tetapi setelah mendengar mereka bercakap, barulah saya sedari bahawa mereka anak muda Melayu. Nampaknya semakin hari semakin sukar untuk  mengenali  keturunan anak-anak muda Singapura melalui wajah dan perawakan. Jamal sendiri  pun kata begitu. Malah dia sendiri kini mempunyai ahli keluarga yang wajahnya tidak lagi sepenuhnya Melayu atau Jawa. Menurutnya, dia punya menantu dari keturunan India dan kalau tidak ada haral melintang pada tahun depan dia bakal mempunyai menantu dari keturunan Cina pula.

 Oleh kerana hari hampir maghrib, Jamal membawa kami ke mesjid terdekat. Kata Jamal mesjid Pasir Ris yang kami kunjungi itu baru sebulan setengah dibuka dan ia dibina hasil titik peluh penduduk, tanpa bantuan satu sen pun daripada kerajaan. Sebagai anak Melayu, kata Jamal, penduduk berasa bangga kerana "kita tidak mengemis." Kerajaan hanya membantu dari sudut pengurusan kewangan, iaitu dengan "membuat pemotongan gaji."

 Statistik tahun 1990 menunjukkan penduduk Melayu Singapura berjumlah kira-kira 400,000 ribu orang, termasuk kira-kira 17,000 orang Islam bukan Melayu. Penduduk Melayu Singapura terdiri daripada keturunan Melayu (261,200 orang), keturunan Jawa (65,600 orang), keturunan Boyan (43,200 orang), keturunan Bugis (1,500 orang) dan keturunan suku Melayu lainnya (11,200 orang). Jumlah penduduk Singapura seluruhnya ialah 2.7 juta orang. Orang Melayu merupakan golongan majoriti dalam kumpulan minoriti, iaitu kira-kira 15% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Menurut Jamal Melayu Singapura telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana dan mereka telah mampu bersaing dengan masyarakat-masyarakt lain, terutama  masyarakat Cina dalam semua bidang, pendidikan khasnya.   Mereka tidak lagi rasa tersisih atau rendah diri. 

 Yang menarik ialah wajah kosmopolitan orang Melayu ini baik lahiriah mahupun batiniah, lebih-lebih lagi batiniah. Hj Mohamad Arif Ahmad, dalam kertas kerjanya "Kebudayaan Melayu Kini Dalam Kehidupan Di Singapura" yang dibentangkan dalam Kongres Nilam pada tahun 1999 merumuskan bahawa "Cara hidup baru demikian itu, lama kelamaan telah mengubah kehidupan orang Melayu dini yang sentiasa berkita, menjadi orang Melayu kini yang hidup beraku dan berengkau, yakni yang lu sapa-gua sapa. Semangat kekitaan hampir pudar."

 Kata  Mohamad Arif, "Oleh kerana 86% jiran di rumah pangsa terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam, maka jarang-jaranglah orang Melayu berpeluang mengucapkanassalamualaikum kepada jirannya. Mereka lebih kerap kali mengucapkan good morning kepada jirannya. Kadang-kdang chau-an atau sekali-sekala manekem. Itu pun hanya sekali dua mereka bersapaan dalam sehari, ketika kebetulan mereka bertemu di dalam lif atau masa hendak pergi atau pulang kerja.

 Dari sudut kebudayaan, orang Melayu menghayati kebudayaan kebangsaan sebagai rakyat Singapura dan dalam pada itu menghayati dan mengamalkan pula kebudayaan warisan sebagai orang Melayu. Mohamad Arif mengertikan kebudyaan kebangsaan sebagai kebudayaan yang tercipta sesuai dengan kehendak dan kepentingan negara - sama ada yang tercipta hasil dari rasa, karsa dan daya masyarakat Singapura ataupun yang terbentuk dari asimilasi/akulturasi budaya warisan bangsa-bangsa warganegara. Manakala dia mengertikan kebudayaan warisan sebagai kebudayaan yang terwaris daripada nenek moyang, yang telah dihayati zaman berzaman. Demikianlah amalan dan penghayatan orang Melayu terhadap kebudayaan. Hal ini mudah difahami kerana asas-asas persekitaran dan demografi yang telah dirancang sejak sekian tahun oleh pihak berkuasa.

 "Sebagai golongan majoriti dalam miniroti, kami anggap ini jalan keluar paling baik untuk kehidupan langsung orang Melayu di pulau ini," kata seorang peserta Kongres Nilam (Nilai Melayu). "Yang penting sekarang ialah mencari jalan bagaimana jati diri orang Melayu terus kekal dan mencari satu formula yang boleh menonjolkan eniti keMelayuan itu sendiri."

 Membaca kertas kerja Muhammad Arif, yang pertama kali dibentangkan di "Simposium Jalinan Melayu Antarabangsa", di Holiday Inn Shah Alam April 1996 yang lalu, mengingatkan saya kepada kehidupan orang Melayu di Cape Town, Afrika Selatan. Ingatan itu diperkuatkan lagi oleh tingkah laku sekumpulan anak-anak muda Melayu di Stesen Pasir Ris. Di Cape Town, identiti Melayu yang tingal hanya nama warisan. Kaum Melayu di Cape Town tidak dapat menegaelak daripada bersemenda dan berkahwin secara saling-silang ras dengan suku-suku bangsa lain, seperti Arab dan India. Dan akhirnya bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa ibunda (bahasa pertama). Bahasa Melayu sudah menjadi asing, malah tidak dituturkan langsung baik sesama ahli keluarga mahu pun sesama kawan dan anggota masyarakat.

 Orang Melayu Singapura belum sampai ke tahap itu dan menurut seorang peserta agak mustahil untuk sampai ke tahap begitu, namun disebabkan keghaiarahan suku bangsa ini untuk saling bersaing dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu demi mengejar kemajuan akan memungkinkan berubahnya senario budaya Melayu Singapura menjadi seperti yang di Cape Town. Di Majlis Pusat, Institut Kebangsaan bagi Kepimpinan Masyarakat (NACLI), tidak ada sepatah pun bahasa Melayu digunakan di papan-papan tanda arah. Anak-anak muda yang duduk di sebalah kami itu juga lebih banyak bersembang dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Pakaian yang mambalut tubuh yang tidak lagi sawo matang ittu tidak lagi menampakkan ciri keMelayuan.

 Sebelum meninggalkan Singapura Ahadnya, saya mampir di Istana Kampong Glam di Sultan Gate. Seluruh kawasan istana telah menjadi hakmilik negara (state property), mulai 18 September 1999. Satu papan tanda tentang perkara itu diletakkan di depan istana dan kawasan itu telah menjadi kawasan larangan. Namun masih terdapat 11 keluarga waris Sultan Hussein Shah tinggal di dalam pekarangan istana dan pemerintah menganggapnya sebagai setinggan. Pada 29 September, ahli-ahli waris ini telah disaman untuk hadir di mahkamah bagi menjawab  mengapa mereka menduduki tanah hakmilik negara secara haram.

 Difahamkan bahawa ahli-ahli waris seperti Tengku Yusoff b T. Abd Samad dan isteri Raja Khatijah Bt Raja Saad serta Raja abu Bakar b. Raja Abd Rahman telah mngiriman surat kepada  Queen Elizabeth II di London meminta jasa baik baginda menyelesaikan masalah istana ini. Pada 15 September 1999 mereka menerima jawapan dari ratu Inggeris itu yang antara lain berkata bahawa agak mustahil bagi baginda  masuk campur  dalam hal-ehwal negara lain. Namun Baginda telah memanjangkan surat itu kepada Robin Cook, Setiausaha Luar  dan Hal-Ehwal Komonwel untuk tindakan selanjutnya. Surat jawapan Ratu Inggeris itu dialamatkan kepada Tengku Mohamad B Tengku Jamil.

 Keadaan hidup serba dhaif ahli-ahli waris Sultan Hussein di pekarangan istana adalah refleksi kisah sejarah bermulanya Sultan Hussein diangkat menjadi Sultan Johor ke-16 oleh penjajah Inggeris pada tahun 1819. Hari ini saki baki waris sultan itu mula bertaburan, sesetengahnya telah meninggalkan pulau republik itu buat selama-lamanya, menumpang ehsan di rumah kerabat di Johor, terutama di Batu Pahat. Istana Kampong Gelam pula ibarat sarang setinggan di tengah-tengah kota kosmopolitan yang corak pembangunan fizikalnya tidak ubah seperti kota London atau Cape Town.

Isnin, 10 Jun 2013

POLITIK

Seperti warga yang lain, saya juga mengikuti perkembangan politik tanah air. Walaupun demikian, selain dari 'benci' membaca tulisan beberapa orang penulis bukan ahli politik yang lebih sudu dari garpu, pada umumnya saya juga tidak suka membaca buku atau artikal politik yang ditulis oleh ahli/penyokong tegar sesebuah parti politik. 

Saya telah tepu membaca hasil tulisan golongan ahli/penyokong tegar sesebuah parti politik . Akhirnya akan berat sebelah @ bias juga.

Sungguh pun demikian, saya adalah pengikut tegar kolum sebilangan penulis yang diketahui kecondongan politik mereka tetapi dalam masa yang sama mampu mengekang seketika kecintaan atau kecondongan tersebut dan seterusnya menghasilkan karya atau artikal politik yang sesuai dibaca oleh khalayak dari berlainan keyakinan atau ideologi. Penulis seperti ini sangat professional dan tidak menyakitkan hati mana-mana pihak secara berlebihan. 

Saya bukan warga penyantun politik 'atas pagar'. Saya ada keyakinan sendiri.

Itulah saya. Salahkah saya bertabii seperti ini?

 

Jumaat, 17 Mei 2013

PRU 13 : SUDAH LAMA TIDAK JUMPA BIRAS



Hari ini, 17 Mei  2013, hari ke-12 selepas PRU Ke-13. Ada satu perkara yang masih belum dapat saya lunaskan. Saya rindu hendak berjumpa dengan biras, Ketua Cawangan, yang juga ‘orang kuat’ bakal calun DUN yang tidak dicalunkan.

Saya telah tidak berjumpa dengan beliau selama hampir tiga bulan. Beliau terlalu sibuk dengan urusan parti. Setiap kali saya menelefon hendak datang ke rumahnya, beliau tiada kelapangan. Hatta, banyak juga majlis kenduri-kendara keluarga yang beliau tidak dapat hadir kerana sibuk dengan urusan parti.

Tanggapan awal saya bahawa komitmen politik beliau reda sedikit setelah bosnya tidak dicalunkan ternyata meleset. Semangat beliau tidak pernah luntur. Komitmen terhadap parti beliau beralih pula kepada kerja-kerja membantu calun baru yang menggantikan bosnya. Beliau adalah pejuang tulin kepada parti yang disokongnya.

Arakian, calun yang menggantikan bosnya kalah dalam PRU 13 pada 5 Mei 2013.

Namun demikian, saya masih belum berputus asa dan akan mencuba membuat ‘temujanji’ untuk berjumpa dengan beliau samada di rumahnya atau di rumah saya. Banyak perkara yang hendak saya dengar dan ketahui dari beliau. Di antaranya, perhubungan beliau umpama belangkas dengan bosnya yang pernah menjadi ahli DUN beberapa penggal itu selepas PRU 13. Adakah perhubungan tersebut masih seperti biasa atau habis manis sepah dibuang? 

Saya menjangkakan perhubungan mereka masih berjalan seperti biasa walaupun 'kehangatannya' mungkin berkurangan sedikit kerana tiada apa lagi yang hendak dikejar.