Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Rabu, 22 Oktober 2014

ANJING


Firasat saya berkata bahawa pendapat Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengenai spesis haiwan bernama ' ANJING ' adalah di antara pendapat yang paling lunak dan bertimbang rasa mengenai haiwan malang yang kebiasaannya dilayan dengan kasar samada secara emosi atau fizikal oleh kebanyakkan orang Melayu.

 

Kita tidak perlu membebankan diri memikirkan anjing-anjing kesayangan (pet) yang hidup selesa di bawah jagaan keluarga bukan Islam. Tiada keperluan kepada kita memegang dan apatah lagi memeluk haiwan itu.

 

Bagaimanapun, berikanlah simpati dan pertolongan sedapat yang boleh kepada anjing-anjing jalanan terbiar, sakit atau cedera yang ditemui secara tidak sengaja.

 

Janganlah kita juga seperti kebanyakkan orang Melayu yang lain mengambil sikap bukan sahaja membenci bahkan memerangi khususnya anjing yang hidup merempat kerana diabaikan oleh pemilik asal haiwan-haiwan itu.     

 

Jangan lampiaskan benci dan amarah kita kepada anjing-anjing jalanan yang mungkin menyelongkar tong sampah di hadapan rumah kerana mencari makanan dengan cara membaling batu besar. Halaulah anjing-anjing itu dengan bijaksana.

 

Semoga artikal oleh Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang dipetik dari facebook beliau  yang disiarkan pada 22 Ogos 2013 dapat membantu kita bersama memahami isu panas mengenai anjing yang meledak sekarang.

 

Di antara ungkapan beliau (Dr Maza) yang menarik untuk direnungkan ialah Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri.


SILA CLICK ' BACA LAGI ' UNTUK MEMBACA ARTIKAL DR. MAZA.


 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

ANJING DAN ISU MASYARAKAT MALAYSIA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai
facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)



Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam era yang lepas.


Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hariraya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam. Ada yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.


Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu berikut;


Samakan Dengan Anjing


Walaupun manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.


Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah: (maksudnya)


“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).


Jadi, jika masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.


Islam Benci Anjing?


Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?


Dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: (maksudnya)

 “dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).


Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.




Sementara dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).


Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.


Bolehkah muslim memiliki anjing?


Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)


Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.




Ertinya, muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.


Bolehkah Muslim Memegang Anjing?


Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.


Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :

“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).




Memelihara Anjing Dalam Rumah


Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.


Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.


Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!


Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:

“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).


Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.


Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.

4 ulasan:

  1. Orang melayu kita mmg byk yg memandang jijik pada anjing...tapi tidak keluarga saya, walaupun bapa saya seorang ustaz tapi beliau dan keluarga kami memberi makan sekor anjing dan anaknya yg ditinggalkan oleh tuannya bila berpindah rumah atas dasar simpati. Sebagai balasan, anjing tersebut menjaga ayam ternakan kami jika terjatuh longkang dan sebagainya. Menarik bukan?

    - Hayati -

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hayati,

      Terima kasih kerana berkongsi pengalaman.Semoga Allah merahmati keluarga anda.😡

      Padam
  2. Bukan jijik pada anjing ,tp termasuk najis mughalazah disebabkan itu kita cuba mengelak ...tp sifat manusia yg normal tetap akan menolong atau kesian jika melihat mereka dlm kesusahan.pernah terbaca kitab lama mengatakan rumah yg ada anjing malaikat rahmat tak masuk..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa Nama,

      1. Kenajisan (mughallazah) tidak menafikan tanggungjawab Muslim menyantuni dan membantu haiwan itu. Malangnya, kerana sikap dan jahil dalam ilmu fekah membuatkan kita tidak berlaku adil.

      Saya sendiri dan beberapa orang Muslim lain pernah mengalami situasi tidak berbuat apa-apa/ambil peduli ke atas seekor anak anjing yang dilanggar oleh sebuah kenderaan di tempat awam. Anak anjing malang yang dalam keadaan sakit yang amat sangat itu tidak dibantu walupun sekadar menariknya ke tepi jalan supaya tidak dilanggar oleh kenderaan lain.

      Semuanya menunjukkan memek muka kasihan tetapi tidak bertindak.

      Tiba-tiba seorang anak muda Cina memberhentikan kenderaannya. Beliau mengambil anak anjing malang itu. Tidaklah diketahui apa yang dilakukannya. Bagaimanapun, dia dilihat dan kelihatan hendak menolong anak anjing itu mengikut caranya.

      Sehubungan ini, saya berpendapat walaupun hampir (mungkin) semua orang Islam yang menyaksikan insiden itu kasihan dan ingin membantu tetapi niat baik dan mulia mereka dihalang oleh sikap tipikal orang Melayu (Islam) yang sangat negatif terhadap anjing dan kejahilan fekah.

      2. Saya juga berpandangan bahawa perkara yang perlu difokuskan ialah kefahaman fekah berkaitan anjing. Di dalam kehidupan seharian kita secara umumnya, kecuali segelintir, tidak perlu memelihara anjing dan apatah lagi memegang/memeluk anjing. Bagaimanapun, kita berhubung secara tidak langsung.

      3. Apakah selama ini kita mengabaikan kenajisan elemen anjing, contohnya, memijak jejak anjing dengan kasut/selipar selepas hujan di kawasan perumahan, berurusan dengan pengaruh elemen anjing ketika mendapatkan rawatan kucing di hospital veterinar, barang-barang makanan ada elemen babi yang dijual secara terbuka di kedai-kedai tertentu dan lain-lain contoh di atas dasar ilmu (fekah), buat-buat tidak kisah walaupun mengetahui kenajisannya atau tidak menganggap permasalahan itu sebagai isu?

      - Selipar yang terpijak jejak basah anjing perlu disamakkah?
      -Pekerja Islam yang baru memegang sayur/ikan basah memegang pula tin makanan yang mengandungi daging babi di kaunter bayaran kedai-kedai tertentu?

      Wallahualam.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."