SEJAK beberapa bulan kebelakangan
ini, saya dibebani oleh dua pakej wifi dari syarikat internet yang sama. Ini
berlaku kerana sikap sambil lewa dan ‘minda di bawah pohon ketapang’ yang
‘menyindrom’ (bolehkah saya gunakan perkataan ini?) saya.
Kalau ada pakar bahasa yang
secara tidak sengaja terbaca blog ini, saya minta maaf. Di ketika zaman saya
membesar dan menjadi dewasa, sindrom merosakkan bahasa belum lagi berputik. Kini,
kita secara umumnya tidak lagi ambil peduli mengenai untung nasib bahasa
ibunda. Ungkapan-ungkapan seperti “ I, You,
So, We all, Kitorang dan berpuluh-puluh ungkapan perosak lagi dengan sewenang-wenangnya
diucapkan oleh anak-anak bangsa di majlis-majlis rasmi dan termasuk juga oleh juruhebah
di setesyen radio/tv kerajaan dan swasta. Tiada pihak yang memantau dan ‘marah’.
Sebenarnya, saya telah ada wifi
sendiri sebelum anak saya menambah satu lagi yang digunakannya ketika menuntut
di Shah Alam. Sepatutnya kami memulangkan semula salah satu daripada wifi itu
dengan segera kerana tidak digunakan sepenuhnya.
Kerana ‘tidak tahan’ dengan bebanan dua bil , saya
terpaksa menggagahkan diri menghubungi syarikat internet untuk menamatkan salah
satu perkhidmatan. Pada mulanya agak merimaskan kerana dipaksa mematuhi arahan
demi arahan oleh Sang Halimunan, ‘Mesin Bercakap’. Ketika Sang Halimunan
berehat pula, lebih lima puluh peratus masa keseluruhan ‘diperkosa’ oleh
iklan-iklan yang tidak diperlukan. Seiring itu, bil telefon terus dijana dengan
lajunya….
Namun demikian, urusan juga
dibantu oleh kudrat manusia yang sangat minima. Saya dijanjikan bahawa permohonan
akan diproses dan seterusnya diselesaikan dalam tempoh tertentu.
Selain itu, saya berurusan dengan
Sang Halimunan samada yang boleh bercakap atau bisu– arahan yang diformat, sms, e-mail.
Seterusnya saya diarahkan oleh Sang
Halimunan untuk menyerahkan kembali apa (alatan) yang patut diserahkan semula kepada agen di Ampang
Park, Kuala Lumpur. Walaupun ada sedikit ‘songeh’ oleh manusia yang dilantik
sebagai agen syarikat itu, urusan dapat diselesaikan dengan jayanya.
Anggapan awal saya bahawa syarikat internet itu
mungkin akan melambat-lambatkan atau menyukarkan urusan pembatalan langganan
sangat jauh meleset. Urusan dilakukan secara professional. Tiada sesiapa yang
dianiaya atau ditipu.
Hakikatnya, hampir setiap denyut kehidupan
kita hari ini disua dengan Sang Halimunan. Sang Halimunan bukan sahaja sangat
berkuasa di sekitaran lembah, gurun, gunung-ganang, angkasa dan lautan maya
tetapi juga sangat berintegriti; Jujur, cekap, menepati masa dan sangat rigid. Sang Halimunan, termasuk yang tidak dinyatakan dalam catatan ini, sangat membantu. Manusia seperti tidak boleh bergerak tanpa mereka!
ujang kutik.
BalasPadamwa setuju sangat2 ...ekeke
Sdr theolrascal,
BalasPadamKita pun berkawan secara halimunan.He..he.