Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 17 Ogos 2014

RICH DAD PART TWO


Semalam , 20 Syawal, saya dan keluarga menghadiri rumah terbuka kawan isteri di Sri Hartamas. Susur galur pendakian hidup kawan isteri sehingga beliau dapat mendudukki rumah mewah di kawasan elit itu telah saya kisahkan dalam catatan ' Rich Dad, Poor Dad ' sebelum ini.

Majlis rumah terbuka di kawasan perumahan di puncak bukit itu juga dihadiri oleh ramai bekas rakan sekerja isteri saya dan kawannya itu. Dalam majlis yang agak besar di mana didirikan tiga buah kemah dan menunya juga hebat yang termasuk kambing panggang golek saya sempat bersembang dengan suami kepada salah seorang  kawan isteri ( kawan isteri yang lain yang menjadi tetamu) yang turut hadir . Seperti kami, saya juga percaya kedatangan mereka sekeluarga juga bertujuan ingin menjenguk ' istana ' baharu rakan yang bertuah itu .

Sembang kami berterusan ketika isteri masing-masing 'membuat lawatan' ke bahagian dalam rumah. Suami kepada rakan isteri (tetamu) yang bernama Abdul Ghani (bukan nama sebenar) berasal dari Ladang, Kuala Terengganu. Ketika saya berada di Kuala Terengganu setahun yang lalu saya sempat menyaksikan kampungnya yang terletak di tengah Bandar Kuala Terengganu telah menjadi padang jarak padang tekukur. Seluruh kampung Abdul Ghani telah diambil alih oleh kerajaan untuk dibangunkan.

Abdul Ghani memaklumkan bahawa ibu bapanya telah mendapat pampasan sebanyak RM4.3 juta di atas pengambilan tanah mereka oleh kerajaan.

Saya mengusik Abdul Ghani bahawa tentunya beliau juga mendapat limpahan durian runtuh yang didapati oleh ibu bapanya. Abdul Ghani menyatakan bahawa ibu bapanya masih hidup lagi dan biarlah mereka merasa hidup senang. Abdul Ghani seolah-olah memberi mesej bahawa dia dan adek beradiknya masih belum mendapat seperti yang saya sangkakan.

Abdul Ghani menyatakan bahawa gaya hidup orang kaya Melayu di Pantai Timur berbeza dengan di Pantai Barat seperti Kuala Lumpur. Beliau mendakwa orang kaya Melayu Pantai Timur tidak berapa mempamirkan kekayaan mereka walaupun memiliki aset tunai yang banyak. Katanya lagi, jutawan baru ibu bapanya masih menjalani gaya hidup orang biasa. Bapanya masih menggunakan motorsikal kapcai lama dan tidak kekok memakai baju singlet lusuh ke kedai kopi.

Kami meninggalkan majlis setelah isteri masing-masing usai melakukan ' lawatan ' ke ruang dalam rumah baharu kawan mereka.

Secara kebetulan tempat letak kereta kami adalah di tempat yang sama. Saya sedikit terpaku menyaksikan Abdul Ghani, suami kepada kawan isteri yang telah bersara setahun lepas itu nampak hebat dengan kereta mewah baharu pacuan empat roda. Saya mecongak spontan - mungkin dari ganjaran persaraan atau mungkin juga hadiah dari ibu bapanya yang menerima habuan durian runtuh dalam jumlah yang banyak. 

Saya teringat lawak nakal anak sulung berbunyi, " Ayah tidak ada lot tanah di Kuala Lumpur kah?" dalam catatan blog yang lalu. Dalam catatan itu saya menjawab dengan jawapan defensif. Sewajarnya saya menjawab, " Ayah telah menghadiahkan kepada semua anak-anak ayah dengan ' ibu ' kekayaan iaitu pelajaran, gunakanlahnya untuk kebaikan dunia dan akhirat."  


4 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Jika kita nilaikan semula erti kekayaan itu.... maka kita semua adalah orang kaya juga.
    Selain itu. untuk kekayaan material kita perlu bandingkan dengan mereka yang jauh kekurangan dari apa yang kita ada.. hahaha.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Itu sepatutnya. Namun demikian, kerana kelemahan ' iman ' , kita kadang-kadang cuma berpegang dengannya dalam keadaan terpilih.

      Padam
  2. Jiran jiran sekeliling saya rata rata berbangsa cina. Rumah biasa biasa, kehidupan biasa biasa tapi anak anak semua dihantar ke luarnegeri untuk melanjutkan pelajaran. Mereka juga seperti tuan. Menghadiahkan anak anak dengan ibu kekayaan...Kami juga mengikuti jejak mereka

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr/i Tanpa Nama,

      Hebatnya iktibar mengenai seorang penyanyi apabila solat jenazahnya diimamkan oleh anak beliau sendiri.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."