Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 21 September 2014

PENJUAL APAM BALIK


Sementara menunggu apam balik yang dipesan siap saya mengambil peluang berbual dengan peniaga apam balik yang pada jangkaan saya di usia hujung 50-an atau awal 60-an.  

Dia pernah bekerja sebagai pemandu lori di salah sebuah syarikat yang membangunkan Projek Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Selepas projek tersebut siap, dia kehilangan pekerjaan.

Selepas itu dia mencari rezeki umpama burung yang keluar pada awal pagi dan petangnya kembali semula ke sarang. Dia tiada pekerjaan tetap.

Dia pernah menjadi kuli kontrak. Dia berhenti kerja kerana mendakwa majikan lamanya itu tidak memberi dia peluang menambahkan kemahiran. Dia cuma ditugaskan mengangkut batu-bata atau semen sahaja. Dia tidak didedahkan kepada kerja-kerja yang memerlukan kemahiran seperti menyimen atau kerja-kerja memasang  kemasan lantai.    

Dia telah membuat beberapa jenis pekerjaan dan pernah menganggur beberapa ketika dalam tempoh tersebut.

Pekerjaan terakhirnya menjadi kuli orang dan makan gaji ialah sebagai pembantu kepada seorang penjual apam balik di sekitar Chow Kit Road, Kuala Lumpur.  Di situlah dia belajar membuat apam balik secara informal.

Yang dimaksudkan informal ialah majikannya penjaja apam balik itu tidak mahu menurunkan ilmu membuat apam balik kepadanya walaupun dia pernah merayu.

Dia belajar membuat apam balik secara ' indirect' melalui pemerhatian sepanjang tempoh membantu penjaja itu berniaga apam balik. Dia baharu sahaja berniaga apam balik dengan menggunakan motorsikal roda tiga sejak 6 bulan yang lalu.

Mungkin kerana ilmu membuat apam balik yang diperolehinya adalah secara informal dan ' learn by mistake ', apam balik yang dihasilkannya masih perlu sedikit tambah baik supaya boleh bersaing dengan yakin.

Ungkapan yang berbunyi, ' Orang berniaga kedekut ilmu ' mungkin ada benarnya.

Bekas majikannya, penjual apam balik di Jalan Chow Kitt, Kuala Lumpur di tempat dia pernah bekerja itu tidak rugi apa-apa jika bermurah hati mengajar pekerjanya ilmu membuat apam balik. Sekurang-kurangnya dia (majikan lama) dapatlah juga membantu bekas ' kulinya' sendiri membina kehidupan yang lebih baik.

Saya masih terngiang-ngiang kata-kata kecewa penjual apam balik yang baru saya kenali itu betapa kedekut dan ' busuknya' hati majikan lamanya yang tidak mahu menurunkan ilmu membuat apam balik kepadanya. Keluhnya, " Mana kedapatnya, orang berniaga kedekut ilmu."

Orang berniaga kecil-kecilan kedekut ilmu atau orang berniaga kecil-kecilan dengki orang lain lebih senang atau lebih kaya?
 



6 ulasan:

  1. 2 cawan tepung gandum
    ½ cawan gula
    1 sudu teh soda bicarbonate
    1 sudu teh baking powder
    Sedikit pewarna kuning
    1 biji telur
    1½ cawan air
    Sedikit mentega/planta untuk mengoles
    Bahan tabur : Kacang tanah yang sudah dikisar

    Campur butter dan jagung manis supaya lebih sedap

    Cara-cara
    Mesin gula bersama telur hingga kembang,
    Masukkan soda, bicarbonate, air dan pewarna kuning. Mesin lagi hingga sebati.
    Masukkan tepung dan mesin lagi sehingga sebati. (ADUNAN SIAP)
    Oleskan planta di permukaan kuali & tuangkan 1 senduk adunan tadi, kemudian nipiskan.
    Biarkan seketika & sementara menunggu masak, taburkan bahan tabur di atas.
    Apabila cukup masak, angkat dan dilipat DUA sebelum dipotong. Selamat Mencuba!

    BalasPadam
    Balasan
    1. En/Puan Tanpa Nama,

      Isteri saya mencadangkan supaya beli buku yang ada resepi apam balik dan hadiahkan kepada peniaga apam balik itu.

      Saya katakan cadangan itu baik tetapi agak sensitif kerana seseorang itu ada egonya.

      Bagaimanapun, terima kasih di atas budi baik En/Puan. Saya akan minta isteri mencuba resepi yang diberikan untuk hidangan keluarga sendiri.

      Padam
  2. Apam Balik Coklat Durian

    Bahan-bahannya(anggaran 20 keping):-

    Bahan Apam Balik:
    450gm tepung gandum
    40gm serbuk koko
    30gm susu tepung
    1/2 sudu teh serbuk penaik
    100gm gula pasir halus
    1/2 sudu teh garam
    600ml air
    1 sudu teh yis segera
    6 biji telur
    60gm gula pasir
    2 sudu teh soda bikarbonat
    50gm marjerin, cairkan

    Bahan inti:
    200gm isi durian, kisar halus
    250ml susu cair
    1/4 sudu teh garam
    1 biji kuning telur
    60gm gula pasir
    4 sudu makan tepung jagung dan 4 sudu makan air, larutkan untuk memekat
    5 titik pewarna kuning(sy tak masukkan sbb tak ada)
    5 titik esen durian (saya tak masukkan sbb tak ada)

    Cara membuatnya:
    Inti
    Panaskan susu cair. Masukkan kisaran durian, pewarna kuning, garam, telur dan gula pasir. Kacau rata. pekatkan dengan larutan tepung jagung. Kacau sehingga meletup-letup. Masukkan esen durian. Kacau rata dan ketepikan. (Jangan sampai keras sangat
    Apam Balik
    Campurkan tepung gandum, serbuk koko, susu tepung, serbuk penaik, gula halus dan garam. Kacau rata
    Tuang air sedikit demi sedikit sambil dipukul-pukul sehingga rata (saya guna whisk tangan). Masukkan yis segera dan kacau rata. Biarkan selama 30 minit
    Pukul ringan telur dan gula pasir. Tuangkan kedalam bancuhan tepung sambil dikacau rata. Masukkan soda bikarbonat dan marjerin cair. Kacau rata.
    Tuangkan kedalam kuali rata anti lekat tanpa disapu marjerin. Biarkan kembang. Tutup dan biarkan masak.
    Sapukan inti. lipat dua. Sapukan permukaan apam balik dengan mentega
    Pesan Sedap
    Jangan sapu kuali rata dengan marjerin atau minyak kerana ia akan menyebabkan kulit apam balik berlubang-lubang.
    Pesan saya
    Anda boleh lebihkan sukatan inti sebab inti durian nie memang sedap. Anda boleh letakkan banyak sikit pada apam balik.
    Anda boleh guna pan yang berpenutup supaya apam masak rata
    Gunakan api perlahan supaya ia cantik

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Ini resepi istimewa dan tentu sedap.

      Padam
  3. Seorang sahabat memberikan saya resipi kuih yang dijualnya. Bukan saja beri tapi siap dengan praktikal sekali. Dan sesiapa saja boleh mengambil resipinya kerana pada sahabat saya itu rezeki dianugerah oleh Allah. Dia tak pernah gusar jika punya saingan. Kata sahabat itu pada saya "cuba bayangkan setiap kali orang menggunskan resipi saya setiap kali itulah pula pahala dianugerah untuk bekal hari kemudian". Sekarang bekas pembantu rumahnya mencari rezeki hasil tunjuk ajar sahabat saya itu. Jikalau matlamat kita ialah syurga ........

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr/i Tanpa Nama,

      Jujurnya sangat susah mendapatkan resepi dari peniaga. Mereka sudah simpan dalam fail merah @ Fail Sulit.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."