Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 16 November 2014

PAYA JARAS


Semalam, Sabtu, 15/11/14, saya sekeluaga menziarah cucu perempuan (cucu pertama) di rumah keluarga isteri anak lelaki di Subang Bistari, Shah Alam. Inilah jadual kami sekeluarga, Ampang - Subang Bistari,  setiap minggu selepas kelahiran cucu yang dinantikan selama ini.

Saya masih tidak faham mengapa kawasan perumahan itu diletakkan di bawah kawasan Shah Alam kerana tidak jauh dari situ terletaknya pusat pentadbiran Petaling. Kawasan perumahan itu juga sangat dekat dengan tapak Pasar Malam Paya Jaras melalui jalan pintas yang saya masih belum mahir selok beloknya.

Anak lelaki sulung saya semula jadinya sukakan anak-anak. Dia tidak kekok melayan anak-anak sepupu atau sesiapa sahaja ketika masih bujang. Justeru itu, gelagatnya berlebih-lebihan lagilah ketika dianugerahkan anak sendiri.

Bagaimanapun, seperti kebanyakkan anak lelaki lain khususnya anak lelaki dalam masyarakat tradisi Negeri Sembilan, dia tidak berapa didedahkan dengan kerja-kerja rumah. Secara tidak adil, banyak kerja-kerja rumah dibebankan kepada anak perempuan dalam sesebuah keluarga. Saya sendiri pernah 'dikenakan' oleh anak perempuan apabila tidak mahir dengan kaedah menyalai ikan keli ketika balik kampung Saya ditegur oleh anak perempuan kerana meletakkan ikan keli yang hendak dipanggang terus ke atas besi pemanggang. Kaedah yang betul seperti yang diajar oleh arwah ibu saya kepadanya ialah dengan meletakkan ikan di atas alas pelepah daun pisang supaya ikan yang salai/panggang tidak melekat dengan besi pemanggang. Betullah kata ungkapan berbunyi, " No man has a good enough memory to be a successful liar ".

Sekalipun demikian, sifat sayangnya kepada kanak-kanak dan anjakan kehidupan moden terutamanya di bandar tidak membenarkan dia mewarisi tabiat tradisi lelaki Negeri Sembilan (khususnya) itu. Setelah mempunyai keluarga sendiri, dia sangat mengambil berat dan bertungkus lumus dalam menguruskan isterinya yang baharu bersalin dan juga zuriat pertamanya. Dia dilihat mahir dan menghayati satu lagi fasa dalam hidupnya.

Saya pernah memberitahunya ( dan anak-anak yang lain) bahawa banyak perkara yang tidak dihadam semasa belum berkeluarga/ada anak akan dimamah dan dihadam dengan sendirinya apabila mempunyai keluarga. 

Putera sulung saya dan isterinya menamakan puteri mereka dengan tiga ungkapan nama yang cukup untuk menghasilkan satu bait puisi. Ianya adalah gabungan nama moden dan Melayu klasik. Setelah mendengar alasannya yang disokong oleh makna setiap nama-nama itu, saya sebagai seorang yang meminati kata-kata puitis, pada dasarnya bersetuju dengan nama yang diberikan kepada anak pasangan itu. Semoga anak kecil itu akan menjadi seorang yang secantik namanya dalam segala segi.

Ketika berdua menatap bayi yang sedang lena tidur, anak saya dengan bangga ' berbual ' dengan anaknya, " Keturunan antara bangsa - Melayu/Cina/India/Baba Melaka." Isteri anak saya mempunyai darah keturunan Melayu/India/Cina/Cina Peranakan di sebelah ibu dan bapanya.

Saya sekeluarga dan anak sulung sempat juga meluangkan masa mengunjungi Pasar Malam Paya Jaras di sebelah petangnya dalam keadaan hujan renyai-renyai kerana diuar-uarkan dengan berbagai jualan hasil kampung. Memang ada benarnya - ikan sungai, berbagai sayur dan ulaman yang sukar didapati di tempat lain boleh diperolehi di sini.

Saya sangat bahagia apabila mendapati ulam eksotik ' Kerdas ' yang pokoknya telah pupus di banyak tempat ada di jual di Pasar Malam Paya Jaras. Saya membelinya dengan harga RM3.00 selonggok yang mengandungi 33 ulas.

Oh kerdas, saya tidak menemui kamu di Chengkau atau Rembau, Negeri Sembilan, saya bahagia kerana akhirnya menemui kamu di Paya Jaras, Selangor!     
    
    

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang kutik,

    Saya masih ingat di kampong Paya Jaras ini kami mempunyai satu batang pokok jering yang menghasilkan agak banyak juga buahnya. Memang benar tangkai jering amat liat untuk dipatahkan. Namun saya tidak 'terdidik' untuk memakan ulam-ulaman seperti ini. Apatah lagi kerdas. Malah petai juga saya tidak makan ketika itu. Hanya setelah beberapa tahun setelah berumah tangga baru sahaja saya cuba mengambil sedikit petai sahaja. Tetapi hari ini Alhamdulillah banyak dedaunan ulaman boleh saya mengambilnya bersama sambal belacan. Namun, jering dan kerdas masih lagi tak bisa diambil. Tak pasti mengapa. Kata orang belum cuba belum tahu ya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Kalau mengira dengan kaedah simple arithmatic, ulaman seperti kerdas, jering dan petai akan kehilangan pengikut dalam tempoh terdekat. Ini kerana dalam kalangan keluarga pemakan ulam tegar pun telah mula menampakkan hilangnya legasi makan ulam (petai, jering dan kerdas) dalam keluarga itu. Generasi kedua mereka yang berasal dari kampung, iaitu generasi sebaya anak-anak saya tidak lagi makan ulam. Ulam seperti petai ( terlebih lagi jering atau kerdas) adalah benda asing yang perlu dijauhkan. Dalam keluarga saya, cuma saya sahaja yang masih makan ulam petai mentah.

      Bagaimanapun, ini adalah kemungkinan sahaja kerana saya melihat orang Cina, Indon dan Bangla mula menyukai ulam eksotik itu.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."