Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 31 Mac 2012

warkah kepada kawan sekolah

Saudara Datuk Dr……………,

Arakian, adalah saya terlebih dahulu menyusun jari sepuluh memohon maaf kerana menulis warkah yang tidak sepertinya ini.. Kaedah tulisan warkah ini adalah seperti yang diajarkan oleh guru bahasa Melayu kita, Cik Gu Ali, ketika kita bersekolah di sekolah ‘English Secondary School’ di bandar kecil kelahiran kita lebih tiga dekad yang lalu.

Adalah dimaklumkan bahawa saya dan seisi keluarga saya di dalam kanduangan sihat walafiat. Semoga berlebihan lagi hendaknya di pihak saudara sekeluarga.

Semoga saudara menerima kedatangan surat ini dengan berlapang dada. Jangan terkejut. Jangan juga berprasangka bahawa saya mempunyai tujuan peribadi. Jauh sekali memohon untuk mendapatkan pekerjaan bagi anak-anak saya di agensi yang saudara terajui. 

Sesungguhnya, Saya amat berbesar hati kerana walaupun kita berada di kedudukkan yang amat berbeza, saudara telah bersusah payah berusaha mengesan tempat kerja saya dan seterusnya menghubungi saya 5-6 tahun yang lalu. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi pelawaan untuk mengunjungi pejabat atau rumah saudara.  

Walaupun dalam perbualan melalui telefon itu saudara  kadang-kadang tersasul memanggil saya dengan panggilan ‘Kamu’ yang agak kasar sedikit bunyinya dan bukannya ‘Kau’ seperti yang kita amalkan ketika di zaman persekolahan dahulu, saya menerima hakikat bahawa di kedudukkan sebagai timbalan peneraju agensi ketika itu, saudara telah terbiasa dengan panggilan sedemikian kepada orang bawahan.

Saya mengikuti kemajuan kerjaya saudara. Saya amat berbangga melihat kawan sekolah menjadi ‘orang besar’ dan terkenal; nama dan gambar saudara saban hari terpampang di akhbar dan television.

Jangan terkejut jika saya katakan bahawa saya mengetahui banyak perkara mengenai saudara. Ini berlaku kerana salah seorang anak saudara saya ialah pegawai kanan di salah satu jabatan di agensi yang saudara ketuai. Sungguh pun demikian, saya tidak pernah memberitahunya mengenai perhubungan kita.

Melaluinya saya mendapat  banyak info terkini dan boleh dipercayai mengenai agensi dan juga diri peribadi saudara dalam menerajui agensi yang saudara ketuai.

Dikatakan bahawa aura yang saudara miliki di kalangan kakitangan memudahkan saudara mengeksplementasikan gerak kerja agensi. Saya  mendapat tahu sejak saudara mengambil alih taugas Ketua Agensi, tahap disiplin di kalangan kakitangan telah meningkat dengan mendadak. Tidak ada lagi kakitangan yang minum atau bersimbang di kantin pada waktu bekerja. Begitu juga di segi disiplin berpakaian. Semua kakitangan mematuhi etika berpakaian – pakai tali leher, kad pekerja dan tanda nama.

Mengikut apa yang disampaikan kepada saya, pegawai dan kakitangan amat menyenangi saudara. Sauadara amat popular dan disayangi.

Saya juga dimaklumkan bahawa banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan oleh mantan Ketua Agensi yang telah saudara lunaskan dengan jayanya.  

Sedemikian, walaupun agak lambat, yaani hampir setahun, saya mengambil kesempatan melalui surat ini mengucapkan tahniah di atas kejayaan saudara menaiki tingkat demi tingkat hiraki perjawatan sehingga sampai ke kemuncaknya, yaani menjawat jawatan Ketua Agensi. Di bawah saudara ada ribuan pegawai dan kakitangan. Tahniah!

Pada sebarang kesempatan, saya selalu memberitahu anak-anak atau kawan-kawan, “Datuk Dr….Ketua Agensi itu kawan sekolah ayah/saya.” Saya bangga. Saya juga percaya kawan-kawan kita yang lain pun mempunyai perasaan yang sama.

Saudara tentu ingat kawan kita pakar mathematik, Zaki. Baru-baru ini kami dipertemukan secara tidak sengaja. Dia menyatakan bahawa dia salah langkah. Dia meletakkan jawatan sebagai Pegawai Pertanian kerana terpengaruh dengan ajakan kawan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Akhirnya, perniagaan tersebut gulung tikar. Bertambah-tambah malang lagi, dan yang lebih dibimbangkannya ialah hutangnya sekeliling pinggang dengan ahli keluarga dan kawan-kawan.  Dia ada memberitahu saya hendak berjumpa dengan saudara.      
 
Saya masih ingat cita-cita asal saudara cuma hendak menjadi seorang guru sahaja. Nah, realitinya saudara menjadi khalifah kepada ribuan kakitangan di sebuah agensi.     

Dan, kerana ‘khalifahlah’ sebenarnya telah memaksa saya menulis surat ini.  

Benar, tidak dinafikan bahawa saudara menerajui agensi dengan baik. Orang bawahan merasa selamat bekerja di bawah saudara.

Namun demikian, saya difahamkan beberapa pendekatan saudara dalam menghayati agama mutakhir in mencacatkan sedikit kehebatan saudara dalam bidang pentadbiran dan perhubungan awam;

Pertama, boleh dikatakan  saudara tidak kelihatan langsung menunaikan solat zuhur berjumaah di surau pejabat agensi sejak menjawat jawatan Ketua Agensi.  

Kedua, saudara dikatakan tidak peka kepada waktu solat dengan mengheret ketua jabatan dalam maraton mesyuarat yang panjang. Diceritakan ramai ahli mesyuarat  terlepas menunaikan solat fardhu kerana serbasalah dengan keasyikkan bermesyuarat yang saudara pengerusikan.    

Ketiga, saudara telah menubuhkan kumpulan penari kebudayaan yang ahlinya termasuk anak-anak gadis yang muda dan cantik. Maka tergedek-gedeklah anak-anak gadis tersebut menari yang tentunya tidak memakai tudung.

Keempat, yang keempat ini dikhabarkan hangat diperkatakan. Dikatakan bahawa seteruk-teruk mantan Ketua Agensi yang telah bersara pun tidak menunjukkan kekuasaan beliau dengan perkara ke-4 ini. Saya tidak memaparkan perkara ke-4 dalam surat ini. Saudara tahu mengenai perkara ke -4 itu kerana ‘kuasa’ saudara yang melakukannya.

Zaman ketika kita masih di sekolah menengah di pekan kecil daerah kita lebih 30 tahun dahulu, bukan sahaja golongan muda tetapi orang dewasa pun mengabaikan solat. Namun demikian, di kalangan kawan-kawan kita, kita sahaja yang ‘kadang-kadang’ menunaikan solat. Kawan-kawan kita yang lain langsung tidak solat.

Saudara tentu masih ingat dalam perjalanan balik ke rumah dan sebelum pekena ABC di Kedai Cina Kompot, kita singgah menunaikan solat fardhu Zuhur di masjid jamik daerah kita terlebih dahulu. Saudara jadi imam dan saya jadi makmum. Disebabkan saudara tidak pandai membaca doa dalam bahasa Arab (saya pun tidak tahu), selepas ‘intro’ dalam bahasa Arab, saudara memimpin doa dalam bahasa Melayu. Di antara permohonan yang tidak pernah saudara tinggalkan dalam doa tersebut ialah supaya dimakbulkan cita-cita saudara hendak menjadi guru.

Momen-momen zaman bersekolah telah lama meninggalkan kita. Hajat saudara untuk menjadi guru dan seterus menjadi guru besar tidak tercapai. Namun demikian, Allah telah meletakkan saudara jauh lebih hebat dari seorang guru besar. Allah jadikan saudara ‘Orang Besar’. Fikirkanlah.  

Akhirnya, saya mohon maaf jika ada di antara kandungan surat ini meyinggung perasaan saudara. Sekian.Terima kasih.


Yang benar,
UjangKutik
kawansekolah                        

6 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Imam AlGhazali rahimahullah di dalam pengajian pernah bertanya kepada anak2 muridnya.

    "hai murid2 sekalian, apakah yang paaaaaling ringan'.

    Lalu berbagai2 jawapan diberi oleh anak2 murid beliau. Ada yang jawab, kapas. Ada yang jawab helaian kulit bawang. Dan bermacam jawaban.

    Semuanya salah. Akhirnya Imam tersebut menjawab.

    'SOLAT'.

    Ini kerana ramai orang meringan-ringankan kewajiban solat.

    Mudah2an Allah hindarkan kami dari sikap meringan-ringankan solat.

    Amin....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Semoga kita mendapat manfaat dan saling nasihat menasihati antara satu sama lain di kalangan kita dan juga pembaca blog.
      yang lain.

      Saya melihat sisi positif blog; sebagai terapi untuk meluahkan rasa terpendam,mengeluarkan pendapat & pandangan samada secara jelas atau terselindung dan yang paling penting sebagai medan untuk kita menyampaikan sesuatu yang berfaedah samada dalam kehidupan seharian atau kehidupan akhirat.

      Terima kasih.

      Padam
  2. ujang kutik,

    peringatan buat sorang sahabat...atas momen2 yang pernah di lalui bersama...

    semoga kita di restui Allah swt.

    BalasPadam
  3. Sdr theolrascal,

    Benar, bukannya kita iri hati kepada sahabat atau golongan yang 'dimuliakan' ini.Biasanya surau-surau di pejabat dimakmurkan oleh golongan bawahan sahaja.

    Sepatutnya dalam beragama sama sahaja komitmennya antara 'orang kecil' dengan 'Orang Besar'. 'Orang Besar' pun kena makmurkan surau/masjid.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang berkesan kata kata dalam surat ini. Sepatutnya membawa kesedaran kerana datangnya dari seorang kawan lama. Persoalanya apa kemunkinan dia membaca?

      Padam
  4. Sdr Al-Manar,

    Tuan,

    Terima kasih. Kemungkinan beliau membacanya tipis.Namun demikian,penulis mendapat kepuasan meluahkan sesuatu yang hendak disampaikan. Semoga catatan ini juga untuk renungan pembaca yang lain.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."