Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 6 November 2012

KABILAH BERKELAHI: MENYELESAI CARA ORANG KAMPUNG

Nampak tenang. Realitinya, kabilah-kabilah bangsa ku kini beramukan, berperang sesama sendiri. Tiada lagi belas. Tiada lagi kasih sayang.

Hairannya, kabilah-kabilah bangsa ku sepakat ke masjid yang sama. Bersama solat Jumaat. Bersama solat lima waktu berjumaah. Bersama solat sunat tarawikh. Amin mengaminkan doa. Selesai solat, kabilah bangsa ku bersalaman, bermaafan.

Seperti, kabilah-kabilah bangsa ku tiada masalah! Seperti, tiada apa yang tidak kena. Seperti, begitu harmoni.

Tetapi kenapakah kabilah-kabilah bangsa ku beramukkan seusai keluar dari masjid? 'Berbunuhan'!

Agenda membangun bangsa dan mempertahan maruah agama dan bangsa tidak selantang dahulu. Kalau pun ada, tujuannya sangat mencurigakan. Atau, satu pihak mencadang, satu pihak lagi menentang. Bahkan, tidak mustahil satu pihak lagi 'sabotage'!

Sebaliknya, 'jiran-jiran' kita tidak berpecah. Mereka cuma bertukar rumah. Mereka semakin erat. Mereka semakin kuat. Mereka semakin dipedulikan. Mintalah, apa sahaja kecuali bulan bintang. Mereka akan disantuni.

Kenapa?

Ini pandangan aku. Pertama, jumaah kabilah-kabilah bangsa ku telah terbelah dua yang setara, sama-sama kuat. Masing-masing larut dengan ego. Dengan keadaan begini kabilah-kabilah bangsa ku secara keseluruhannya tidak kuat, lemah. Kalau satu puak perkasa dan satu puak lagi terlalu lemah, keadaan seperti sekarang mungkin tidak berlaku. Masalahnya, apabila satu pihak terlalu lemah, pihak yang kuat akan ' mengerjakan' saudaranya yang lemah sampai lunyai.

Kedua, wujud golongan 'opportunis'. Mereka mendakwa 'Non Partisan'. Mereka mendakwa hendak menyelamatkan kabilah bangsa. Mereka mendakwa hendak mendamaikan  kabilah- kabilah bangsa yang 'berbunuhan'. Ada 'NGO'. Ada golongan 'Cendekia'. Ada pesara. Ada politikus bebas. Hakikatnya, mereka tidak berkecuali. Mereka berpihak. Merekalah pengambil kesempatan. Merekalah yang menambah marakkan api permusuhan kabilah- kabilah bangsa yang tidak sehaluan. Mereka tidak pernah mendamaikan. Lihatlah gelagat mereka. Mereka persis soldadu upahan. Mereka sentiasa di saf paling hadapan 'memperjuangkan' isu-isu yang diumpan oleh pihak yang menaungi mereka. Muncung-muncung mereka kelihatan lebih ke hadapan.

Ketiga, kaedah menuding jari menuduh kabilah yang lain penyebab perpecahan tidak akan menyelesaikan masalah. Janganlah sakiti hati sesama saudara walaupun berlainan kabilah. Carilah titik persefahaman. Tidak mengapa wujud cabang-cabang kabilah asalkan saling hormat menghormati. Dalam keadaan tertentu dan terdesak, " Saudara sebangsa dan seagama walaupun berlainan kabilah akan menyebelahi saudaranya juga akhirnya."

Usahlah hidup dengan retorik , " Apabila nasi sudah menjadi bubur " yang acapkali disuakan kepada kita itu. Itu ungkapan tokoh-tokoh cari makan'. Pemain ungkapan itu tidak ada klas. Usah pedulikan walaupun pun mereka di kalangan professor, pensyarah kanan, penulis buku politik dan sebagainya.

Ingatkah pesan allahyarham Usman Awang? Berkelahi cara Melayu, Menikam dengan Pantun, Menyanggah dengan senyum.

Sesungguhnya, kabilah bangsa ku menunggu 'Si Pendamai' yang ' Non Partisan'. Yang tidak berpihak. Atau, sekurang-kurangnya menyembunyikan naluri berpihaknya.


Tatkala 'Si Pendamai' itu hadir dalam cacamurba dan hiruk-pikuk sama saudara berkelahi, kabilah-kabilah bangsa ku akan bersatu. Kita menjadi gagah dan dihormati!

Ibarat telur sesangkar
pecah sebiji pecah semua
cubit paha kiri
peha kanan pun sakit.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."