Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 24 Mac 2013

NEGERI SEMBILAN : legasi pewaris tanah pusaka( lamunan di majlis aqiqah cucu saudara)


Syukur, lahirnya seorang lagi legasi pewaris bumi pesaka ini
Anak perempuan begitu bermaana dalam masyarakat Negeri Sembilan. Ianya persis pada kedudukkan putera lelaki di kalangan sultan.


Tanpa zuriat perempuan, ada perkara teras yang tidak lengkap lagi. Dalam sistem Adat Perpatih, anak perempuan sahaja waris yang layak ‘mewarisi tanah pusaka’. Momentum ini akan berlarutan selagi sistem Adat Perpatih diamalkan.


Pewaris diraikan
Ungkapan ‘ mewarisi tanah pusaka ’ oleh golongan wanita seperti yang diketahui telah menimbulkan satu tanggapan negatif yang tidak dapat dicerahkan sepenuhnya sehingga ke hari ini. Generasi Negeri Sembilan hari ini sendiri kebanyakkannya tidak mengetahui jawapan yang tepat apabila diasak dengan soalan yang berkaitan dengan isu pemilikan tanah pusaka kepada keturunan perempuan sahaja oleh rakan-rakan mereka di kalangan bukan orang Negeri Sembilan .


Ditanggapi bahawa anak lelaki Negeri Sembilan tidak mendapat apa-apa dari tanah peninggalan ibu bapa mereka. Ini ‘ajaran salah’! Anak lelaki layak mewarisi tanah yang tidak dikategorikan sebaga Tanah Pusaka. Pembahagiannya adalah mengikut hukum faraid yang memberi kelebihan kepada anak-anak lelaki.


Saya juga tidak bercadang untuk memikul beban persoalan yang seperti tidak ada kesudahannya dalam catatan ini. Saya cuma memaparkan keadaan yang berlaku sekadar yang saya ketahui dan fahami sahaja.


Doa selamat
Namun, eloklah direnungkan jawapan yang agak panjang oleh Pak Lang Mat Longchek, seorang Ketua Adat di kampung saya apabila diprovovokasi dengan persoalan ini di majlis aqiqah cucu perempuan kepada adik perempuan saya di Kampung Chengkau Ulu, Rembau baru-baru ini. 


Kata beliau, “ Ini bukan sahaja hukum Adat Perpatih tetapi adalah undang-undang/hukum/peraturan global (beliau bersekolah Inggeris). Kalau lelaki yang berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan datang dengan cuma menjinjing sebuah bag plastik, setelah bertahun-tahun masih cuma memiliki bag plastik yang lusuh dan kusam itu dan dia juga tidak berjaya membimbing dan mendidik anak-anaknya supaya berjaya di dunia dan akhirat, ada peluang untuk  dia akan keluar dengan membawa bag plastik yang sama ( sehelai sepinggang) jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.”


Teras kata yang cuba disampaikan oleh Pak Lang Mat Longchek ialah, “Pemalas dan tidak ‘perform’ dalam seni kehidupan akan bernasib malang!”
         

Adat Perpatih : Perempuan Empunya Harta,
Lelaki Memegang Jawatan ( Dalam Sistem Adat Perpatih Hiraki
Perjawatan Adat Dipegang/Kuasai Oleh Orang Lelaki Sepenuhnya) 
Apakah itu tanah pusaka ? Secara ringkasnya bolehlah difahami seperti berikut: Tanah pusaka adalah Tanah Adat yang diwarisi oleh keturunan perempuan dalam sesuatu suku. Tanah Adat pula ialah mana-mana tanah yang dimeterikan (cop) dengan perkataan ‘ Tanah Adat’ (Customary Land) di dalam geran tanah.


Contoh tanah-tanah yang ‘biasanya’ dikategorikan sebagai Tanah Pusaka ( Tanah Adat ) ialah tanah-tanah di kampung tradisional yang mengandungi tapak rumah, dusun dan sawah.


Kebiasaannya tanah kebun getah bukannya dalam kategori Tanah Pusaka ( Tanah Adat ). Sungguh pun demikian, mutakhir ini banyak Tanah Pusaka (Tanah Adat) ditanam dengan tanaman kelapa sawit.

Dalam konteks banyak rumah kosong di Negeri Sembilan hari ini, adalah diharapkan anak-anak perempuan membina rumah di kampung sendiri atau sekurang-kurangnya selepas mereka bersara. 


Seperti catatan-catatan saya yang lalu mengenai masyarakat Negeri Sembilan yang mengamalkan sistem Adat Perpatih, saya mengulangi kalimah yang sama, “ Saya cuma menulis perkara yang berlaku. Saya tidak berada dikedudukkan untuk mempertahankan secara bermati-matian perkara-perkara yang ditafsir ‘tidak baik’ terhadap amalan sistem Adat Perpatih. Setiap orang itu ada pendapatnya yang mungkin tidak sealiran dengan orang lain.”   


Kg. Chengkau Ulu
23/3/2013

2 ulasan:

  1. Pulau Pinang adat Melayunya tak ada. Cuma ada adat Melayu Mamak.

    Malam Jumaat bakar kemenyan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Saya ada lamunan seronok tetapi sukar hendak diucapkan bentuk seronok itu secara tepat mengenai saudara kita Melayu Mamak ini.

      Saya membayangkan keunikan legasi keturunan ini yang kembara dari benua India ke negara ini dan berasilimasi dengan orang Melayu tempatan. Transformasi kepada bahasa dan iras golongan saudara kita ini ada nuansa yang menyeronokkan dan mengasyikkan.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."