Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Rabu, 2 Julai 2014

RAMADHAN : KITA MUDAH MENGERJAKAN IBADAT


Hari ini, 3 Julai 2014 ( Khamis) bersamaan 5 Ramadhan 1435H. Di kalangan mereka yang mencari rezeki tanpa menggunakan tulang empat kerat secara berlebihan sehingga peluh membasahi tubuh dirasakan tidak ada masalah berpuasa.

Di kalangan mereka yang menggunakan kudrat  dan bekerja dalam persekitaran yang panas dan tidak selesa tentunya menghadapi cabaran yang bukan kepalang untuk melunaskan ibadah puasa. Namun, ibu-bapa-datuk-nenek, saudara mara, jiran atau kawan-kawan kita sendiri yang ditakdirkan mencari rezeki dalam keadaan sedemikian masih mampu berpuasa. Tiada masalah.

Sedemikian, siapa pun kita dan walaupun berkali-kali tewas yaani berpuasa seadanya, amalan tidak banyak dianjak dan wal hasil balik asal selepas bulan Ramadhan, masih tidak pernah berputus asa atau lemah semangat. Kita pasang niat lagi, “ Ibadah saya pada tahun ini akan lebih baik dari sebelumnya.” 

Maka, penuh sesaklah segala masjid dan surau pada 01 Ramadhan 1435H.

Sabar!! Jika anda mengagak saya bertujuan melontarkan pandangan klise mengenai gelagat kebanyakkan di antara kita yang mungkin termasuk diri kita sendiri, anak-anak kita, anak-anak saudara kita, biras-biras kita yang cuma penuh semangat mengunjungi masjid/surau pada minggu awal bulan Ramadhan tetapi ‘ back to normal ‘ selepas itu, anda silap. Saya tidak berhajat ke arah itu.

Puteri bongsu saya sendiri secara semborono kurang senang dengan isu ‘ masjid/surau penuh pada awal Ramadhan tetapi ‘ back to normal ’ selepas itu’ yang saya paparkan dalam catatan (entry) ‘ Ayat-Ayat Klise Datang Lagi ‘ melalui blog ini. Saya katakana bahawa saya tiada niat yang tidak baik. Semuanya adalah ungkapan yang diucapkan atau dijadikan modal oleh ustaz/ penceramah ketika mengajar atau juga oleh mereka yang suka bergurau. Bagaimanapun, ada di antara 'tuduhan' tersebut mungkin ada benarnya. Siapa dapat menafikan bahawa masjid/surau tidak berapa dikunjungi lagi selepas bulan Ramadhan?

Jika anda di kalangan yang istiqamah ke masjid/surau sepanjang tahun dan bukan sahaja pada bulan Ramadhan, anda sewajarnya bersyukur dan bukannya riak atau ujub kerana segala sesuatu adalah dengan izin dan belas kasihan Allah.

Siapakah yang menggerakkan hati kita untuk datang ke masjid/surau sedangkan suatu ketika dahulu kita mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke tangga masjid/surau?       

Semua orang (Islam) ingin mendekatkan diri dengan Allah dalam bulan Ramadhan. Sebab itu pada bulan Ramadhan orang (Islam) rajin ke masjid/surau, kuat bersedekah, menjaga tata laku, kaki ekor mengambil cuti dari membeli nombor ekor pada bulan Ramadhan, gejala mengumpat berkurangan dan orang Islam banyak melakukan perkara yang baik-baik.

Sepanjang bulan Ramadhan atmosfera diisi dengan keseronokkan, keasyikkan, ceria, masjid/surau meriah, orang (Islam) lebih kuat amalan ibadahnya dan sebagainya.

Andainya dibuang dari senarai kemeriahan pesta di pasar juadah, berpuasa tetapi tidak solat, membazir membuat persiapan menyambut Hari Raya, tidur sepanjang hari, bermalas-malasan dan terlebih makan ketika berbuka puasa seperti yang selalu diperkatakan oleh ustaz/penceramah sekalipun dari senarai kemeriahan dan keseronokkan dalam bulan Ramadhan kerana tersasar dari tujuan berpuasa, ada banyak lagi perkara-perkara yang menyeronokkan dan positif pada bulan Ramadhan.

Sekalipun jumaah yang datang ke masjid/surau semakin berkurangan minggu demi minggu, jumlah jumaah yang memakmurkan masjid/surau masih jauh lebih banyak dari bulan-bulan yang lain. Orang (Islam ) juga sangat mudah bersedekah dan berbuat baik dalam bulan Ramadhan. Juga, mungkin kita tidak pernah melakukan solat malam tetapi dapat melakukannya dengan menghadiri qimamullail yang diadakan di masjid/surau khususnya pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.

Kenapa?

Saya telah mendapat jawapannya. Saya sangat terkesan dengan pendapat seorang pendakwah berstatus ‘Dr’ mengenai perkara ini. Beliau berpendapat , “ Orang Islam mudah mengerjakan amal ibadat dan kebaikan dalam bulan Ramadhan kerana Allah membuka hati kita untuk berbuat demikian dalam bulan yang banyak kelebihannya.” Dan, itulah di antara kehebatan bulan Ramadhan mengikut pendapat beliau.

Sesungguhnya, kita menunggu-nunggu kedatangan 01 Syawal ketika sedang melakukan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan kerana seronoknya merayakan kemenangan. Kita mungkin terlupa bahawa kesoronokkan menghayati bulan Ramadhan adalah dalam tempoh satu bulan berbanding 01 Syawal yang cuma satu hari sahaja.  

Saya baru faham dengan jelas jalan cerita mengenai rasa sayu ketika Ramadhan meninggalkan kita pada saban tahun. Terima kasih Dr.        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."