Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 12 Julai 2014

SYEIKH ALI AL-JABEER DAN ADEK MUSA

Jumaat tadi saya solat di Surau Hotel De Palma kerana ada urusan di Ampang Point, Selangor. Hotel De Palma, Ampang Point tidak sampai satu kilometer dari pejabat saya. Kebiasaannya saya menunaikan solat Jumaat di Surau Kem Pasifik yang terletak di belakang pejabat .

Saya tidak menghiraukan sangat poster mengenai kehadiran Syeikh Ali Al-Jabeer berketurunan Arab yang berpengkalan di Indonesia dan Adik Musa Al-Hafiz, juga dari Indonesia di Surau Hotel De Palma yang terpampang di beberapa lokasi sekitar Ampang Point. Kedua-dua personaliti yang saling lengkap-melengkapkan itu dijadualkan berada di hotel milik kerajaan Negeri Selangor itu dari waktu tengah hari ( Solat Jumaat ) hingga waktu berbuka puasa.. Mereka menjadi tetamu jemputan Hotel De Palma.

Pendek kata, saya tidak sedikit pun teruja dengan personaliti dari luar negara itu. Sebaliknya, saya sedikit ' kurang senang' dengan kehadiran pendakwah dari negara-negara yang negara mereka sendiri ada masalah. Kebejatan hidup beragama di Indonesia jauh lebih teruk dari negara kita. Orang-orang Arab di negara-negara Arab juga tidak pernah ambil peduli akan nasib rakyat Palestin yang diperlakukan secara kejam oleh Yahudi terkutuk.

Syeikh Ali Al-Jabeer dan Adik Musa bersama ayahnya sampai selepas 10 minit azan dikumandangkan. Penerimaan jumaah semasa mereka sampai umpama menyambut selebriti. Sekalipun di dalam surau (diluluskan untuk solat Jumaat), ada individu yang tidak melepaskan peluang merakam gambar mereka.   

Sebelum solat fardhu Jumaat bermula juruacara memaklumkan bahawa Syeikh Ali Al-Jabeer akan menyampaikan kutbah Jumaat. Sementara itu Adik Musa pula akan bersedia untuk diuji oleh orang ramai mengenai kehebatan beliau menghafal ayat-ayat Al-Quran selepas selesai solat fardhu Jumaat.

Maka tibalah masa Syeikh Ali Al-Jabeer menyampaikan kutbah Jumaat. Sikap ' buruk sangka' saya masih menguasai diri saya.  Syeikh itu memulakan bacaan seperti biasa iaitu di dalam Bahasa Arab. Saya mengagak dia akan menyampaikan kutbah dalam Bahasa Inggeris kerana mana mungkin kutbah dalam Bahasa Arab sepenuhnya kepada khalayak yang ' buta ' Bahasa Arab. Bagaimanapun, penungguan saya tidak kunjung tiba. Dia masih asyik dengan Bahasa Arabnya. Saya ' memprotes ' di dalam hati.

Pada suatu fasa, tiba-tiba Syeikh Ali Al-Jabeer, awal 40-an, yang tinggi lampai, berjambang dan agak kacak dengan kostum bangsawan Arab bercakap dalam Bahasa Melayu loghat Indonesia. Dia sangat fasih berbahasa Melayu loghat Indonesia. Kutbahnya disampaikan dengan begitu menarik dan memukau. Kandungan kutbah beliau mencakup isu-isu ketaqwaan dan juga nasib umat Islam yang sedang diuji di Mesir, Syria, Iraq, Myanmar dan lebih-lebih lagi di Palestin. Di antara luahan yang dipimpinnya ialah, " Ya Allah, kami tidak dapat membantu saudara kami di Palestin dengan kekuatan, kami cuma dapat membantu dengan berdoa....."  
.
Solat fardhu Jumaat dipimpin oleh seorang lagi peserta rombongan Syeikh Ali Al-Jabeer- Adek Musa yang berketurunan Arab bernama Imam Mustafa. Saya terpaksa menggunakan lagi ungkapan ' memukau '.  Bacaan surah-surah Al-Quran imam itu memukau.. Imam Mustafa juga membaca qunut nazilah sebagai doa dan solidariti di kalangan sesama saudara seagama kepada penduduk Palestin yang sedang digempur oleh Yahudi jahanam. Bacaan qunut nazilah tersebut sangat panjang. Emosi saya turut sebak dengan kehebatan kaedah penyampaiannya dalam kedudukkan saya sendiri tidak faham Bahasa Arab. 

Selepas selesai solat Jumaat Adek Musa mengambil tempat di hadapan hadirin. Syeikh Ali Al-Jabeer bertindak sebagai pemudah cara. Adek Musa seorang hafiz cuma berusia 5 tahun 6 bulan. Ayah yang menjadikannya seorang anak yang hebat dan luar biasa adalah orang biasa yang bukan ustaz atau ulamak. 

Berbeza dengan Syeikh Ali Al-Jabeer yang nampak hebat dan bergaya, penampilan Adek Musa dan ayahnya sangat sederhana dan seadanya. Adek Musa yang memakai pakaian basahan harian (bukan baju baharu), memakai ketayap lama yang lebih besar dari saiz kepalanya dan rongak menyerlahkan bahawa beliau berasal dari latar belakang keluarga yang susah. Di usia 5 tahun setengah sifat keanak-anakan beliau dipamirkan. Beliau yang duduk di atas kerusi melunjurkan kedua-dua belah kakinya ke arah hadirin yang duduk di saf hadapan. Syeikh Ali Al-Jabeer membiarkan gelagat keanak-anakan Adek Musa.

Syeikh Ali Al-Jabeer membuka gelanggang kepada hadirin untuk menguji Adek Musa. Penanya cuma diminta membaca ayat yang diinginkan dari mana-mana surah dalam Al-Quran. Adek Musa akan diminta meneruskan bacaan tersebut tanpa merujuk kepada Al-Quran. Adek Musa juga diminta menamakan nama surah yang dibaca. 

Sebanyak 5 orang hadirin termasuk seorang kenalan yang telah bersara menguji Adek Musa. Adek Musa telah dapat menjawab semuanya dengan cepat dan betul. Saya melihat aksi Adek Musa bagaikan ' Google'. Beliau ' bagaikan' Al-Quran bergerak. Beliau baru berusia 5 tahun setengah.

Sekalipun demikian, Syeikh Ali Al-Jabeer yang 10 orang daripada 12 adek beradeknya berstatus Al-Hafiz berulangkali mengingatkan bahawa usaha menonjolkan Adek Musa bukan sekali-sekali berunsur riak atau kediniaan. Usaha menampilkan Adek Musa adalah satu syiar ke arah menggalakkan anak-anak kecil khususnya bukan di kalangan berketurunan Arab menguasai penghafalan Al-Quran.

Saya sebak menyaksikan Adek Musa yang sangat luar biasa. Beliau mampu menguasai setiap patah ayat-ayat suci dengan tajwid begitu mudah dan bersahaja. Bagaimanakah ibu bapanya yang bukan dari latar belakang agama dan hidup susah berjaya mengasuh anak kecil di usia sebegitu menjadi sangat hebat?

Syeikh Ali Al-Jabeer dan Adek Musa, anda hebat dan selayaknya dimuliakan.    

2 ulasan:

  1. Saya sudah lama terpukau dgn penceramah penceramah dari luar samada dari nusantara maupun dr barat. Isi ceramah dan gaya penyampaian mereka yg begitu efektif dalam berdakwah. Susunan kata yg begitu lunak cukup menyentuh jiwa. Tuan bertuah dapat bertemu adik Musa kerana dalam fb begitu rancak memperkatakan tentang kehebatan adik ini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. SDr Tanpa Nama,

      Alhamdulillah, rezeki saya yang tidak dirancang.

      Saya tidak dapat menerangkan sepenuhnya gambaran kekaguman saya terhadap anak yang luar biasa itu. Bila lihat dan alami sendiri baru tahu.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."