Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Rabu, 4 November 2015

KAWAN (ii)

Kawan
Tidak perlu beritahu;
Kamu memang dilahirkan untuk menjadi juara
Handikap yang gemilang
Biasa-biasa tetapi masih dalam liga
Atau, seeded yang kecundang.

Kawan
Tidak perlu beritahu;
Kamu bersantai di Starbucks
Bermain golf di Taiwan
Mempunyai rumah di TTDI
Atau, penghuni rumah PPRT
Yang cuma mampu bersidai di restoran mamak atau bazar Melayu.

Kerana, kamu yang aku cukup kenal; yang sama-sama naik bas tidak berhawa dingin, yang mengayuh basikal ke sekolah, sama-sama mencicah bebola apam beras ke dasar cendul Pak Ya dengan harga tidak lebih 30 sen, sesekali bila ada duit lebih menikmat mee rojak mamak semurah 50 sen, yang pandai Add Math, yang 'top 3', yang 'top 10', pelari hebat, berebut roti canai Si Tamil Murugesu di kantin sekolah kita, sesekali melahap meehon kerang Ah Kow di simpang jalan ke klinik, sesekali pekena ABC Cina Kompot atau sesekali makan besar apabila menerima ' scholarship ' ( kan kita pelajar kelas cerdik, sekalipon aku tidak secerdik sebilangan kamu, apatah lagi sehebat Teh Hui Nah Si Genius).

(Kerana kita pelajar mendengar kata, kita tidak merokok atau ponting sekolah di Kedai Cina Kompot.)

Kawan Tidak perlu beritahu siapakah kamu hari ini
Bukannya aku cemburu atau ingin menghina
Aku takuti ianya kelak membunuh hikayat kenang-kenangan indah kita.

IBRAHIM SALEH Ampang, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."