Sebilangan di kalangan kita menyangka bahawa kita sudah berada di kalangan orang baik-baik. Walaupun tidak solat berjumaah di surau atau masjid, sebilangan di kalangan kita masih cukup solat lima waktu. Bezanya, solat dilakukan di rumah.
Walaupun solat di rumah, sebilangan di kalangan kita menunaikannya dengan pakaian yang digosok kemas. Namun demikian, ada kalanya solat juga dilakukan dalam keadaan mengharukan pada mata yang memandang - kain pelikat kusam , ketayap berbau hapak dan berbaju singlet pagoda tidak berlengan. Ada juga ketikanya cuma berkain pelikat hingga menutup rongga pusat dan berketayap tanpa memakai baju. Kata sebilangan di kalangan kita, “Tidak melanggar fekah dan tiada orang yang nampak.”
Namun demikian, sekali sekala sebilangan di kalangan kita muncul juga di rumah Allah dengan berjubah sehingga ke buku lali dan menggunakan minyak atar berjenama. Nampak bergaya dan elegan.
Kalau ada kutipan derma, sebilangan di kalangan kita tidak lokek menderma seringgit dua. Ikhlas dan mengharapkan ganjaran dari Allah.
Masa-masa terluang sebilangan di kalangan kita dimanfaatkan dengan menonton television, melayari internet atau berkaraoke bersama kawan-kawan. Ya, hidup ini perlu dicerahkan dengan sesuatu yang santai dan menenangkan.
Walaupun ada di antara sebilangan di kalangan kita di usia warga emas, kita tidak kekok dan tanpa rasa bersalah bercerita mengenai artis,mengenai drama bersiri Korea, mengenai peserta American Idol, mengenai peserta yang tersingkir dalam rancangan tv Raja Lawak atau mengenai peserta seksi yang mengada-ngada di rancangan realiti tv.
Bagaimanapun, sebilangan di kalangan kita tidak pergi menonton di pawagam, tidak minum arak, tidak berjudi dan tidak mengacau anak-isteri orang. Jauh sekali berpelisiran di pub, kelab malam atau melanggan pelacur di sempadan. Itu perbuatan orang jahat.
Sebilangan di kalangan kita mungkin seorang pesara PTD, pengarah di agensi kerajaan, CEO, seorang guru sekolah, juruteknik di kilang elektronik, seorang buruh, atau sesiapa sahaja.
Sebilangan di kalangan kita juga tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah kerana dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik, berada di dalam negara yang aman damai dan terhindar dari bencana alam.
Maka, tidak putus-putus juga sebilangan di kalangan kita mengaku betapa bertuahnya kita tidak mengalami banjir besar, gempa bumi, kekurangan makanan dan peperangan seperti yang dihadapi oleh saudara seagama di luar negara.
Tidak putus-putus juga sebilangan di kalangan kita meluahkan kelegaan yang tidak terhingga kerana tidak mengalami kesengsaraan seperti yang dihadapi oleh saudara seagama yang dikerjakan oleh musuh sehingga lunyai dan negara mereka menjadi padang jarak padang tekukur seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan,Bosnia dan di serata muka bumi ini.
Berulang-ulang kali sebilangan di kalangan kita ‘menyalahkan’ saudara seagama yang tidak bernasib baik kerana menjadi penduduk kepada negara yang kerap ditimpa bencana alam atau yang dikerjakan sehingga lunyai oleh musuh dan sekutu mereka.
Layakkah sebilangan di kalangan kita mendabik dada dan menyatakan kita orang baik-baik dengan cuma berbekalkan solat lima waktu yang dilakukan dengan cara ala kadar sahaja? Bagaimana pula dengan amalan solat berjumaah, menghadiri kuliah agama, berzikir, puasa sunat, membaca Al-Quran secara konsistan, qiamullail, aktiviti kemasyarakatan dan dakwah? Dan pada aras yang lebih tinggi; kebajikan anak-anak yatim, golongan orang susah, pelarian Islam, memperkasakan ekonomi ummah,pendidikkan,membantu saudara seagama di negara-negara yang bergolak dan banyak lagi yang perlu diberi perhatian.
Siapakah sebenarnya golongan ‘Sebilangan Di Kalangan Kita’ini? Pasti, di antaranya ialah sebilangan atau individu yang berada di luar skrin lap top kita. Golongan yang lain? Mungkin anda dan mungkin juga saya.
Sesungguhnya, komitmen dalam beragama tidak boleh ‘dibakukan’ sehingga kelihatan terlalu mudah dan tidak sepatutnya! Realitinya, banyak lagi bebanan tugas yang perlu dilunaskan untuk berada pada kedudukkan sebilangan di kalangan orang baik-baik. Sekalipun, pada tahap paling minima.
Ujang Kutik,
BalasPadamini real life situation....masa kini.
Sdr theolrascal,
PadamYa, sebilangan atau individu di luar skrin lap top kita. Dan, mungkin anda, mungkin juga saya.Ayuh...sama-sama kita menuju ke arah lebih baik.
salam saudara ujang,
BalasPadamitulah realitinya hidup zaman ini mudah-mudahan kita menjadi org yg senantiasa mau menjadi org yg lebih "baik-baik".... InsyaAllah
cetussan minda dr saudara amat saya hargai kerana mungkin saya salah saorang yg "perasan" telah menjadi org yg "baik-baik" itu..
Sdr azmnor,
BalasPadamWaalaikomsalam.
Saya pun demikian. Moga kita berusaha ke arah lebih baik.
Insya Allah.