Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 9 November 2012

BILO OGHANG NOGOGHI SOMBILAN BOCAKAP DIALEK MINANGKABAU

Saya yakin sebilangan anda bukan Orang Negeri Sembilan sukar membezakan garis pemisah antara dialek Negeri Sembilan dengan Minangkabau. Mungkin juga anda 'mengkeluhumkan' dialek Negeri Sembilan itu adalah dialek Minangkabau, dialek Minangkabau itu adalah dialek Negeri Sembilan. Anda silap.

Saya, anak jati Negeri Sembilan. Jujurnya, sebelum ini saya tidak berpeluang mendengar Orang Negeri Sembilan bercakap dialek Minangkabau secara khusus. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan dengan kereta kawan pergi - balik dari tempat penginapan ke tapak projek ketika bertugas di Jasin, Melaka minggu lepas, saya berpeluang mendengar juruhebah dari sebuah setesen radio bukan sahaja bercakap dialek Negeri Sembilan yang asli (sebenar) tetapi juga 'bercakap' dialek Minangkabau.  

Saya seronok mendengar dua orang juruhebah (Orang Negeri Sembilan) bercakap dialek Minangkabau!

Sebaliknya, saya juga yakin bahawa Orang Minangkabau mungkin marah jika mendengar ‘percakapan’ tersebut. ‘Percakapan’ mereka kedengaran 'mendheghek' (dibuat-buat) dan seolah-olah mempersendakan dialek Minangkabau.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa dengan sedikit sentuhan lagi, kedua-dua juruhebah tersebut akan mahir bercakap dialek Minangkabau. Ini berlaku kerana kebanyakkan suku kata yang diucapkan dalam dialek Orang Negeri Sembilan berpunca dari sumber asal, iaitu dialek Minangkabau. Cuma entah di mana silapnya, dialek Negeri Sembilan ‘menyeleweng’ dari dialek asal, dialek Minangkabau. Tahap ‘menyeleweng’ tersebut dapat diungkapkan; ‘Jauh tak jauh, dokek (dekat) tak dokek ‘. Ianya antara ‘Ko Mano?’ dengan Kama?’ (ke mana?) dan juga elemen konotasi (tinggi rendah dan liuk lintuk) sebutan yang sangat berbeza.   

Sesungguhnya, nenek moyang Orang Negeri Sembilan yang berasal dari Tanah Minangkabau tidak pernah terfikir bahawa keturunan mereka tidak pandai bertutur dialek Minangkabau. Mereka mampu ‘Memperpatihkan’ Orang Negeri Sembilan hingga ke hari ini, tetapi tidak kepada mewariskan penuturan dialek Minangkabau. Kini, dialek Minangkabau dengan dialek/Orang Negeri Sembilan umpama saudara jauh ‘bau-bau bacang’ sahaja - ‘Jauh tak jauh, dokek (dekat) tak dokek ‘!  

6 ulasan:

  1. ujang kutik,

    bahasa jiwa bangsa..

    BalasPadam
  2. Andeh, ambo lah mambaco blog mamak sajak sabulan tarakhir, biapun dialek babeda tapi ambo masih paham dialek urang nagari sambilan, sabagai urang minang salut kami jo Mamak ujang. semoga bisa basuo kito suatu hari nanti

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Isnaini,

      Salam persaudaraan serumpun dan seketurunan.

      Nenek moyang kami adalah Orang Minangkabau dari Sumatera Barat yang datang ke Negeri Sembilan lebih 500 tahun yang lalu. Di sekitar tahun 1511 Masehi.

      Kedatangan lain-lain etnik dari Indonesia (Jawa,Bugis,Mandailing,Banjar,Rawa dan lain-lain) ke negeri-negeri di Malaysia berlaku beratus tahun selepas kedatangan Orang Minangkabau ke Negeri Sembilan. Mereka masih dapat mengesan keturunan di Indonesia.

      Sebaliknya, kami Orang Negeri Sembilan telah terputus hubungan dengan susur galur keturunan di Tanah Minangkabau kerana tempoh masa penghijrahan nenek moyang kami ke Negeri Sembilan telah berlaku terlalu lama (lebih 500 tahun).

      Perbezaan dialek Negeri Sembilan/Minang berlaku kerana pengaruh penduduk tempatan atau penduduk asal Negeri Sembilan, iaitu asilimasi.

      Selain dari Negeri Sembilan, terdapat beberapa tempat lagi di Malaysia dikenali sebagai penempatan Orang Minangkabau. Antaranya ialah di Gombak dan Beranang dalam Negeri Selangor. Masyarakat Minang di tempat-tempat tersebut masih bercakap dialek Minang dan masih berhubungan dengan saudara mereka di Tanah Minangkabau. Ini berlaku kerana kedatangan Orang Minangkabau ke Gombak dan Beranang cuma berlaku dalam tempoh 100-150 tahun kebelakangan sahaja.

      Saya mempunyai naluri ingin tahu mengenai Tanah Minangkabau yang sangat tinggi. Tanah Minangkabau adalah tanah asal usul nenek moyang kami yang tidak dapat kami ketahui atau kesan langsung telapak sebenarnya.

      Semoga kita berhubungan lagi.

      T.Kasih.

      Padam
  3. Pak Ujang, sila datang ke Ranah Minang. Naik Air Asia dari KLIA2 ke BIM, Padang.

    BalasPadam
  4. Sdr Yanuhardi,

    1. Insya Allah , mungkin bila bersara nanti.

    2. Olek masih dituturkan oleh generasi tua.

    Sebenarnya impak Minangkabau masih kekal utuh dalam masyarakat Negeri Sembilan. Cuma yg saya hairañkan dua pihak saling ' sombong ' dalam senario di Malaysia.

    Masyarakat Negeri Sembilan dan Minangkabau asli di Malaysia tidak rapat.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."