Itulah yang pertama dan terakhir
saya dan keluarga singgah di warung tepi Sungai Rembau yang indah itu. Ini
janji kami sekeluarga. Serik dan menyampah!
Saya dan keluarga telah bercadang
beberapa kali hendak singgah menjamu selera di salah sebuah warung di tepi Sungai Rembau. Akhirnya hajat tersebut
berjaya dilunaskan ketika dalam perjalanan balik ke Ibu Kota selepas Hari Raya
Haji baru-baru ini.
Kami sampai di situ lebih kurang
jam 2.00 petang. Ketika itu pelanggan tidaklah ramai sangat. Kami mengambil tempat
berhampiran juru wang. Di atas meja makan yang kami duduki telah menunggu
pinggan mangkuk yang masih belum dikemaskan.
Biasa dengan layanan klas satu
restoran mamak, kami menunggu pelayan mengambil pesanan. Setelah menunggu
hampir 10 minit, tiada sesiapa yang datang. Saya pergi ke tempat pekerja
pembuat air untuk membuat pesanan. Kata pekerja itu, “ Saya buat air sahaja.”
Saya menahan marah. Saya kembali semula ke tempat duduk. Masih tiada sesiapa
yang datang. Semua pekerja warung dengan air muka mencuka sibuk dengan tugas
masing-masing. Dua puluh minit berlalu.
Saya pergi pula ke kaunter (mungkin anak taukeh) yang jaraknya sangat dekat dari tempat kami
duduk. Dia nampak kami datang dan duduk tercegat di situ. Dengan nada suara
yang agak tinggi saya membuat pesanan. Pesanan sampai 15 minit kemudian.
Kami meninggalkan warung itu
dengan rasa amarah dan dendam.
Dalam perjalanan ke kereta saya
nampak, Presiden CEUPACS, Dato’ Omar Osman dan keluarga duduk di salah sebuah
meja di warung itu. Saya lihat beliau duduk tersandar menghadap ke arah Sungai Rembau.
Mungkin sedang menunggu pelayan atau sedang menunggu makanan yang telah dipesan.
Mungkin juga beliau sedang merancang
sesuatu untuk kebaikan pekerja-pekerja perkhidmatan awam. Kalau beliau duduk berhampiran
laluan saya ke kereta, saya bercadang hendak bersalaman. Saya akan ucapkan, “
Tahniah Dato’, Dato’ membanggakan anak-anak Rembau.”
Cerita di warung itu tamat.
Namun demikian, semasa dalam
perjalanan ke Jasin, Melaka dengan menaiki kereta kawan baru-baru ini saya
bercerita mengenai pengalaman ‘pahit’ ketika singgah di warung tepi Sungai
Rembau. Belum lagi habis saya bercerita, kawan sedaerah saya itu dengan penuh
emosi dan amarah yang amat sangat meluahkan perasaan tidak puas hatinya ketika turut
singgah di warung itu. Malah dia dalam keadaan setengah histeria kerana tidak
‘diapekkan’ (tidak dipedulikan), mengamuk dengan mengeluarkan kata-kata yang
tidak sepatutnya kepada tuan punya warung. Dia dan keluarganya meninggalkan
warung itu tanpa membuat pesanan! Tidak mengapalah, dia meninggalkan warung itu
dengan gah kereta ‘merc’ milik isterinya. Sekurang-kurangnya sikap panas
barannya dapat diselaraskan dengan penampilan sebagai ‘orang kaya’ yang
meyakinkan.
Insiden ini berlaku kerana
peniaga warung mengabaikan perkara asas yang sebenarnya bukan isu besar
atau susah. Susah sangatkah senyum kepada pelanggan dan bertanyakan makanan
yang hendak mereka pesan? Ekau buek malu oghang Ghombau! Ekau memang memalukan oghang
Ghombau. Ini bukan cagho kito oghang Ghombau yang beradat. Ini sombong bodoh namanya!
Ujang Kutik,
BalasPadamReaksi bagaimana yang harus saya berikan selain tersengeh..
ngeeeee...
Sdr theolrascal,
PadamYa, ini sekelumit pengalaman diri di daerah sendiri.Banyak lagi yang indah-indah.....He...he..
assalamualaikum En. Ujang,
BalasPadamni kedai yang kat tengah sawah selepas pekan Rembau tu ko? beberapa tahun dulu saya dan keluarga pernah singgah sebab nak makan cendol. tapi masa tu service ok je. kalau betul apa yang En. Ujang cakap tu, memang memalukan oghang Ghombau lah.
Juana,
BalasPadamWaalaikumsalam.
Untuk berlaku adil mungkin saya dan kawan se daerah saya (kita) (Orang Kg.Gadung)datang ke warung berkenaan pada masa dan suasana yang tidak sesuai.
Nota: Saya tidak khususkan warung yang mana satu.